adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Isnin, 17 Ogos 2015

Teh Bunga Telang - Blue Chai

Sebenarnya saya bercadang hendak memotong baki rumput di lama belakang. Laman depan dah selamat dipotong. Separuh laman belakang juga dah selamat dipotong. Tapi dek kerana gunting rumput dah semakin tumpul walaupun dah berkali-kali diasah, kerja memotong rumput jadi makin menjerihkan. Dalam meninggi rumput terselit serumpun dua pokok daun semalu yang dah berbatang keras. Batang keras itulah yang buat pemotong rumput saya makin tumpul. Sudahnya terpaksa minta pekerja Bangladesh potongkan. Biasanya kerja memotong rumput keseluruhan laman belakang termasuk laman depan dapat diselesaikan dengan bayaran RM15 manakala keseluruhan laman belakang diselesaikan dengan bayaran RM10. Oleh sebab saya dah tak larat nak melayan gunting rumput maka kerja separuh jalan saya diselesaikan dengan kos RM10. Nak buek camno, kalu tidak, somak la rumah den. Kang rumput sama tinggi dengan pokok serai pulak.


Alang-alang dah kurang kerja, maka adalah sedikit masa nak mencantas pokok bunga telang yang dah serabut. Pokok bunga telang ini saya memang semai di pangkal pokok bunga kantan supaya ada tempat sulur kacang telah berpaut. Bunganya memang lebat tapi tak pernah sekali saya kutip bunganya. Bila dah habis cantas semua barulah kemas sikit rimbunya. Yang bagusnya bila dicantas adalah, lebih banyak bunga akan keluar.


 Inilah yang dapat dari cantasan. Banyak bunganya yang kalau tak dikutip membazir pula rasanya. Saya ambil keputusan untuk kutip semua bunganya. Bunga telang hanya kembang sehari sahaja. Jadi bunganya elok dikutip setiap hari kalau inginkan jumlah bunga yang banyak terutamanya jika berhajat untuk buat ramuan pewarna nasi kerabu. 



Bunga yang saya kutip Sabtu lepas saya jemur seharian kemudian sambung keringkan di dalam rumah sebab hari mula mendung tengah hari itu. Kami pula hendak keluar menghadiri jemputan beberapa majlis rumah terbuka di hari Syawal yang terakhir. 


Pagi Ahad esoknya, bunga telang telah kering sepenuhnya. Dapatlah saya menghirup teh biru buat pertama kali. Saya rendam lima kuntum bunganya dalam air panas sehingga air sedikit suam. Tanpa tambahan apa-apa saya rasa tehnya tidak mempunyai rasa yang ketara. Mungkin kalau direndam dengan air renehan pandan, serai atau kulit kayu manis dapat menambahkan rasanya. Kalau ditambah perahan lemon atau madu juga pasti sedap. Mungkin akan datang saya akan cuba mempelbagaikan rasanya atau mencuba masukkan bunganya sebagai ramuan salad.


Berdasarkan pembacaan saya, teh bunga telang baik untuk kesihatan rambut, mata, kesihatan sistem reproduktif wanita dan pelbagai lagi khasiat. Telang juga dikatakan dapat menghilangkan jerawat dan mampu membantu mengatasi masalah insomnia. Banyak bahan bacaan dapat Internet yang membincangkan khasiat telang cuma sejauh mana betulnya tidak dapat dipastikan. 


4 ulasan:

  1. Wah...cantik warna teh tu..macam teringin nak mencuba...

    BalasPadam
  2. Banyak khasiat teh bunga Telang ni yea. Boleh nak cuba juga.

    BalasPadam
  3. Biasa juga guna bunga Telang ni buat nasi kerabu. Bagi warna biru cantik sikit.

    BalasPadam
  4. terimakasih banyak sangat menarik sekali...

    BalasPadam

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...