adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Jumaat, 31 Mei 2013

Resepi Berpantang : Ayam Masak Halia



Semalam saya makan tengahari berlaukkan masakan ini. Nasi satu mangkuk berlaukkan masakan ini memang mengenyangkan. Memandangkan semalam lauk ini memang dah bersayur, maka rasa malas nak memasak sayur makin menjadi-jadi. Mak saya kerap masak lauk ni terutama bila saya masih dalam tempoh berpantang kerana antara bahan utamanya adalah halia. Pada saya lauk ini sihat namun sedap. Saya kurang pasti daripada mak dapat resepinya tapi mungkin lebih kepada main 'campak-campak' saja. Ini adalah resepinya bagi yang ingin mencuba.

Bahan-bahan :
Semangkuk isi ayam dipotong kepingan
Seinci halia dihiris memanjang
1/4 bawang kuning Holland dimayang
2 ulas bawang putih dimayang
Sedikit hirisan cili merah
Seinci lobak putih
Seinci lobak merah
1 sudu besar sos tiram
1 sudu teh tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
Garam
Sesudu teh lada hitam ditumbuk
Air
Minyak masak untuk menumis
Hirisan daun bawang dan daun sup



Cara memasak:
Panaskan minyak masak dan tumis halia, bawang kuning, bawang putih dan cili merah sehingga naik bau. Masukkan isi ayam dan kacau sehingga separuh masak. Masukkan lobak putih dan lobak merah. Kacau sehingga ayam dan kesemua lobak hampir masak. Masukkan bancuhan tepung jagung biarkan merenih. Perasakan dengan lada hitam, garam dan sos tiram. Masukkan air mengikut kepekatan kuah yang anda mahukan dan biarkan merenih seketika. Masukkan daun sup dan daun bawang. Kacau seketika dan tuangkan ke dalam mangkuk hidangan.

Nikmati dengan nasi panas. Memang mengenyangkan dan menyelerakan. Selamat mencuba!!
posted from Bloggeroid

Resepi Berpantang : Tumisan Sawi Putih Berkicap



Bosan tak makan sawi hari-hari waktu berpantang? Janganlah begitu.. Ada pelbagai jenis sawi di pasaran. Rasa pun berbeza bagi setiap satu. Bila berpantang bersalin ni, banyak juga jenis sayur yang tidak digalakkan untuk makan. Sawi adalah pilihan yang popular. Kelmarin saya masak sayur sawi putih ditumis dan diperasakan dengan kicap. Pada saya, sawi putih ni wangi dan manis rasanya. Inilah cara ringkas saya sediakan sawi putih.

Bahan-bahan :
2 batang sawi putih
Hirisan cili merah
Hirisan bawang kuning Holland
Ikan bilis dicincang kasar
Kicap manis
Lada sulah
Garam
Sedikit minyak masak
Air

Cara memasak:
Panaskan minyak masak dan tumis ikan bilis, cili merah dan bawang. Setelah naik bau, masukkan sedikit air dan batang sawi yang telah dipotong. Kacau rata dan masukkan daun sawi. Perasakan dengan garam, lada sulah dan kicap manis. Kacau seketika sehingga sawi sedikit layu dan tuang ke dalam mangkuk hidangan. Sayur tidak perlu dimasak terlalu lama untuk mengekalkan khasiatnya. Kuahnya yang panas akan meneruskan proses memasak. Selamat mencuba!
posted from Bloggeroid

Khamis, 30 Mei 2013

Resepi Berpantang : Ikan Haruan Bakar



Setelah hampir tiga minggu bersalin, semalam barulah saya dapat merasa ikan haruan. Bukannya tak gemar, tapi terlupa mendapatkannya untuk membantu penyembuhan luka. Maklumlah, biasanya emak yang carikan dan masakkan. Bila emak sebut pasal ikan haruan barulah teringat minta suami carikan. Suami saya beli ikan haruan ini di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan. Jauh juga dari Putrajaya. Terlupa pula di Alamanda belakang rumah pun ada dijual. Semalam saya bakar ikan haruan ini ikut cara yang saya suka macam ni...

Bahan-bahan :
Sekeping halia
Setengah inci kunyit hidup
Garam
Kicap manis
Bawang kecil dimayang halus
Sesudu teh lada hitam ditumbuk
Ikan haruan
Asam jawa / asam keping / asam limau

Cara memasak:
Cuci ikan haruan dengan air asam sehingga hilang lendir dan bersihkan dengan air. Toskan ikan yang telah dicuci dan kelar sedikit jika perlu. Tumbuk halia, kunyit dan garam sehingga lumat dan lumurkan pada ikan. Bakar ikan dengan api sederhana sehingga masak. Lebih harum jika dibungkus dengan daun kunyit sewaktu membakar. Setelah masak, hidangkan dengan kicap manis yang diperasakan dengan bawang kecil dan lada hitam.

Bagi yang berpantang, janganlah pula gatal nak pedaskan lagi dengan cili padi pula. Makanan terlalu pedas mungkin menyebabkan ketidakselesaan bagi badan yang sedang dalam proses pemulihan selepas bersalin. Tambahan pula cili dikatakan boleh menyebabkan angin. Tak pasti pula sejauh mana kesannya kepada badan kita.

Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya sendiri yang pernah bersalin melalui pembedahan, eloklah kurangkan pengambilan lada hitam dalam masakan. Ia akan sedikit sebanyak mengganggu pemulihan badan selepas pembedahan. Demam jadinya. Berpada-padalah ya bila berpantang ni...
posted from Bloggeroid

Rabu, 29 Mei 2013

Resepi Berpantang : Sup Ikan Merah



Ikan merah adalah antara ikna yang boleh dimakan sewaktu berpantang. Ikan ini boleh dimasak dengan pelbagai cara antaranya sup. Masakan ini juga sesuai dimakan seisi keluarga. Resepi ini saya perolehi dari emak saya. Saya sangat gemarkan sup ini. Ahmad juga gemarkannya. Berikut adalah cara memasak Sup Ikan Merah ini.

Bahan tumisan:
Sedikit minyak masak
Sekeping halia dihiris memanjang
Dua ulas bawang putih dihiris memanjang
Dua ulas bawang kecil dimayang
Sebatang kecil kulit kayu manis
Sekuntum bunga lawang
Setengah sudu teh ketumbar
4 kuntum bunga cengkih
4 biji buah pelaga
Sesudu teh lada hitam ditumbuk

Bahan lain :
2 keping ikan merah
3 cawan air
Garam
Sedikit daun bawang dan daun sup yang dihiris

Cara memasak:

Dengan api sederhana, panaskan minyak masak dan tumis bahan tumisan sehingga harum dan kekuningan. Masukkan air dan biarkan mendidih. Setelah mendidih, masukkan ikkn dan biarkan mendidih seketika. Perasakan dengan garam. Masukkan hirisan daun bawang dan daun sup. Ikan tidak perlu dimasakan terlalu lama. Jika tidak isinya akan terasa kering tetapi jangan pula tidak sempurna masaknya. Enak dihidangkan dengan nasi panas. Selamat mencuba!
posted from Bloggeroid

Isnin, 27 Mei 2013

Berpantang Tanpa Mak Di Sisi..


Pada waktu awal kehamilan, saya memang ada terfikir untuk berpantang di rumah sendiri. Tapi bimbang tak mampu menguruskan anak-anak hanya dengan bantuan suami. Jikalau berpantang di rumah sendiri maksudnya segala urusan anak yang baru lahir dan diri sendiri yang baru bersalin perlu diuruskan sendiri. Maka dua minggu sebelum tarikh bersalin saya pulang ke kampung bersama dua anak bujang saya menunggu hari kelahiran anak ketiga.
Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan saya pulang ke rumah sendiri untuk berpantang tanpa emak kesayangn di sisi. Mak saya masih bekerja jadi kasihan pula pada emak yang siang ke pejabat, balik rumah perlu menguruskan kami anak beranak. Memandangkan kelahiran kali ini agak mudah, maka saya rasa yakin untuk menguruskan sendiri masa pantang saya di rumah sendiri.
Setiap hari saya bangun sekitar jam 6 pagi. Pagi saya dimulakan dengan memanaskan tungku stim saya. Sementara menunggu tungku herba panas, saya akan mengepam susu ibu sebagai stok sebelum kembali bertugas. Saya akan bertungku sementara menanti dua beradik bangun pagi sekitar jam 8 - 9 pagi. Anak bujang dua beradik akan dipastikan mandi sebelum jam 9 pagi. Alif pula akan dimandikan sebelum jam 10 pagi.

Sementera Ameer dan Ahmad sarapan, saya akan mandi dan selesainya berbekung pula. Setelah selesai sarapan, saya berehat. Kerja-kerja rumah seperti urusan kain baju, mengemas rumah suami sudah uruskan.

Pukul 12, saya mula memasak makan tengahari. Ringkas dan mudah saja masakan orang berpantang. Semua kukus dan rebus tapi menyelerakan bagi saya. Nanti saya kongsikan resepinya. Sebelum pukul 2 petang, saya dah selesai makan tengahari.

Sebelum pukul 7 petang ketiga- ketiga anak dah selesai mandi petang. Sebelum pukul 8, makan malam dah selesai saya sediakan. Sebelum makan malam, sesi mengepam kali kedua dilakukan. Itulah rutin saya setiap hari.

Mujurlah luka bersalin kecil saja. Jadi tidaklah rasa susah sangat nak menjaga diri dalam tempoh dua minggu ini. Apa yang penting kesihatan perlu dijaaga kerana ibu adalah jantung keluarga. Kakau saya sakit tentu suami saya susah hati. Semangat juga kena kuat kerana kekuatan diri datangnya dari kekuatan mental. Saya bersyukur kerana segalanya berjalan lancar.
posted from Bloggeroid

Sabtu, 25 Mei 2013

Kawan Rapat Yang Bijak



Inilah anak lelaki ketiga saya yang umurnya 15 hari pada hari ini. Beratnya sudah 3.8 kg. Sudah naik kira-kira 0.5 kg sejak lahir. Namanya Alif Zakwan - kawan rapat yang bijak maksudnya. Agak lama masa yang kami ambil untuk muktamadkan namanya. Ini kerana kami banyak sediakan nama untuk anak perempuan dan keputusan idea untuk anak lelaki. Kami suka nama yang ringkas kerana nama yang ringkas apabila disebut namanya.. itulah nama penuhnya kerana nama adalah doa kepada empunya nama. Semoga Alif menjadi sahabat yang bijak kepada semua insan yang hadir dalam kehidupannya. InsyaAllah...
posted from Bloggeroid

Jumaat, 24 Mei 2013

Alhamdulillah...

Assalammualaikum semua. Agak lama juga saya tidak menulis apa-apa. Selain tidak ada idea nak menulis setelah lama tidak berkebun, telefon saya yang selalu saya gunakan untuk menulis juga rosak sejak tiga minggu lalu. Dalam tempoh itu, inilah perkara penting yang telah berlaku...Pada 10 Mei 2013, doktor telah mengarahkan saya supaya 'menyerah' diri di hospital berdekatan kerana pada pemeriksaan kandungan minggu ke 40 mendapati kandungan air ketuban telahpun berkurangan. Maka, petang itu ditemani emak tersayang, saya pun 'menyerah' diri. Suami masih lagi dalam perjalanan ke kampung untuk bersama saya dari Putrajaya. Petang itu, buat kali ke lapan, doktor 'scan' kandungan saya dan berkata "Itu..nampak 'boy' nya..". Saya terkejut! Setelah lapan kali 'scan' inilah kali pertama saya mengetahui jantina anak ketiga kami. Suami saya tersenyum bila saya maklumkannya petang itu. "Tambah lagi satu cukuplah 'team futsal' babah..." katanya sambil tersenyum.Memandangkan bukaan laluan kelahiran hanya terbuka 2cm sahaja, maka doktor telah memasukkan belon untuk mempercepatkan laluan bukaan. Saya kurang pasti bagaimana ia boleh membantu. Empat jam selepas belon dimasukkan, saya mula merasai sakit bersalin setiap 10 minit iaitu bermula jam 10 pagi.Pada jam 10 malam, kesakitannya mula kerap iaitu setiap kurang 5 minit. Jururawat memeriksa laluan dan ianya terbuka kira-kira 5 cm. Belon dimasukkan pada jam 6.30 pagi. Jika tiada perkembangan, pemeriksaan akan dibuat 24 jam kemudian. Memandangkan laluan terbuka, saya dibawa ke dewan bersalin jam 10.45 malam dan doktor memecahkan air ketuban jam 11.20 malam.22 minit kemudian lahirlah anak lelaki ketiga kami iaitu pada 11 Mei 2013 jam 11.42 malam. Saya bersyukur saya hanya merasai sakit bersalin sekejap saja kali ini dan ini mengejutkan semua termasuk doktor yang menguruskan kes saya. Alhamdulillah kami berdua sihat...
posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...