adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Rabu, 28 Disember 2016

Cerita Basi : Dua Hari Pertama - Tiga Minggu di Korea Selatan

Lama sangat dah tak menulis apa-apa dalam blog ni. Nak cerita hal-hal berkebun pun sekarang suam-suam kuku je sebab sibuk sangat. Bila dah tak sibuk macam hujung-hujung tahun sekarang barulah nak korek cerita lama. Jadi, walaupun cerita ni dah basi, saya masih nak kongsikan kenangan berkursus di Korea Selatan selama tiga minggu. Saya ke sana dari 17 Julai sehingga 6 Ogos 2016. Ngam-ngam seminggu lepas 1 Syawal. Balik pun ngam-ngam Syawal habis. Melepas nak beraya sakan.

Selama tiga minggu saya di sana, saya berpeluang ke pelbagai wilayah dalam negara tersebut tapi hanya untuk tujuan latihan sahaja. Perbelanjaan di sana ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Korea Selatan sebagai sumbangan kepada negara-negara sedang membangun. Saya dan seorang rakan mewakili Malaysia bersama-sama beberapa rakan dari negara-negara ASEAN menghadiri latihan tersebut.

Dua hari pertama kami di Korea, kami menetap di asrama Korea International Cooperation Agency (KOICA). KOICA merupakan agensi kerajaan yang memberikan latihan kepada pegawai-pegawai kerajaan pelbagai negara-negara sebagai sumbangan negara Korea Selatan kepada dunia. Korea Selatan telah bangkit dari sebuah negara yang sangat miskin pada era tahun 50an dan kini merupakan sebuah negara yang maju. KOICA ini terletak di Seongnam iaitu kira-kira 1 jam dari Seoul. 



Kami tiba di Incheon dan terus dibawa ke asrama ini. Biliknya selesa sangat. ada juga disediakan kemudahan dapur pantry dan juga mesin basuh dan pengering pakaian. Kiranya kalau dapat tawaran latihan di sini boleh bawa tiga empat pasang baju saja pun boleh hidup. Di sini juga ada bank, klinik dan kemudahan riadah. Nak keluar ke bandar pun sangat senang. Sesiapa yang menjalani latihan di sini mendapat layanan tetamu kepada Kerajaan Korea dan jika pas pelatih ditunjukkan kepada orang awam, mereka akan segera bantu kalau kita dalam kesusahan.







Di sini memang disediakan makanan halal dan kebetulan sewaktu ketibaan kami, memang ramai warga Asia Barat sedang menjalani latihan juga. Inilah sarapan dan makan tengah hari saya pada hari pertama di sini. Lepas tu dah malas nak ambil gambar makan sebab hampir sama sahaja menunya tapi sedap juga.



Lepas makan tengah hari, saya dan rakan saya ke bandar Seongnam. Saja jalan-jalan cuci mata. Yang dibeli cuma susu dan kudapan sahaja. Memang tak berniat nak membeli apa-apa lagi sebab lama lagi nak tinggal di negara K-Pop ni. Lagipun elaun belum dapat hahaha.




Syokla jalan-jalan kat bandar Seongnam ni. Sungai ini namanya Tancheon River. Kalau memang menetap kat sini memang hari-hari tak kisah jalan kaki menyusur sungai. Lagipun orang-orang di sini memang biasa berjalan kaki. Tapi saya di sini pada musim panas. Ya ampun panasnya haba. Angin memang tak bertiup. Best lagi  panas kat Malaysia ada angin tiup (eh?) hahahaha



Esoknya, kelas dah mula. Tapi masih belum belajar hal-hal teknikal. Di KOICA, kami cuma belajar sedikit berkenaan sejarah Korea Selatan, sistem politik dan budaya setempat. Seronok juga belajar benda baru. Saya bukan peminat drama Korea jadi kadang-kadang blur juga tapi yang ini memang menarik perhatian saya. Orang Korea memang kebiasaannya menangis setiap kali nak menunjukkan perasaan, baik sedih, gembira, marah atau bersyukur. Orang Korea juga sentiasa mengamalkan sikap kebersamaan contohnya: Mak saya akan disebut mak kita, keluarga saya jadi keluarga kita. Tapi akan jadi pelik bila : isteri saya jadinya isteri kami hehehehe.


Waktu ni masing-masing senyap je sebab belum mesra. Mungkin juga masing-masing masih berat mulut nak speaking hihihi. Oklah. Nanti bila rajin saya sambung cerita bila kami semua dah berpindah ke wilayah lain esoknya.




Khamis, 19 Mei 2016

Throwback : Tuaian Labu dan Jagung Manis



Kali terakhir catatan saya berkenaan labu di kebun sejemput saya adalah pada bulan Februari lepas. Masa tu yang cuma ada hanyalah sekuntum bunga betina yang sempat saya debungakan. Beberapa hari kemudian saya sekuntum bunga betina labu berkembang lagi dan sempat juga saya debungakan.



Seminggu kemudian, labu saya sudah membesar kira-kira tapak tangan saya. Bunga kedua juga membesar lebih kurang sama saiznya. Dalam tempoh itu, cuma beberapa kali saya baja dan disiram setiap hari. Ketiak itu, hujan sudah jarang turun dan cuaca panas sudah mula mengcengkam. Pokok-pokok lain juga sudah hamper mati.



Alhamdulillah, sebulan selepas bunga pertama kembang, saya sudah tuai dua biji labu manis dengan beberapa tongkol jagung. Sepatutnya saya tuai lebih awal tapi takut-takut pula bimbang labunya belum menjadi. Sebiji labu beratnya lebih kurang 800 hingga 900 gram. Saya dapat 1.7kg labu. Sebiji saya beri kepada mak mertua. Sebiji lagi saya ambil. Asalnya nak beri kepada emak saya tapi emak dan ayah mengerjakan umrah ketika itu. Jadi saya kira mungkin bukan rezeki emak saya kali ini. Insya Allah kemudian hari ada rezeki emak saya.


Pada ketika ini, pokok labu masih ada di laman namun tak serimbun dulu. Daun-daunnya kecil sahaja dek penangan cuaca panas. Sekarang sudah nampak sedikit segar daunnya kerana saya sudah kurang sibuk. Jadi saya kini punya masa untuk menyiram setiap hari. Bunga-bunga jantan juga sudah kembali namun belum sempat kembang. Gugur sahaja setakat ini. Walau apapun, tanda-tanda pemulihan semakin ada.

Rabu, 18 Mei 2016

Mangga Chokanan Belakang Rumah

Rasanya dalam dua tiga tahun lepas memang ada suami saya tanam sepokok anak pokok mangga di belakang rumah. Masa tu memang malas berkebun. Cuma bunga-bunga di laman sahaja terjaga. Akhirnya pokok mangga tu mati. Suatu hari saya maklumkan suami saya yang kawan saya ada menanam mangga di laman rumahnya. Belum sampai dua bulan pokoknya dah berbuah dan elok isinya bila masak.

Jadi kami pun ke MARDI pada suatu hari Ahad di penghujung Januari tahun ini. Banyak juga anak-anak pokok yang ada dijual di pusat semaian MARDI Serdang. Memandangkan kami tinggal di kuarters, maka kami cuma beli anak benih mangga chokanan pada harga RM5.00 dan juga nak benih pisang berangan pada harga RM2.00. Seminggu kemudian saya alihkan keduanya ke laman belakang.
Tak lama lepas sebulan, pokok pisang dan pokok mangga saya mula mengeluarkan pucuk baru. Asalnya berdebar juga saya bimbang anak-anak pokok mati sebab ada bahagian tanah di laman belakang ini masih belum subur kerana belum pernah dikerjakan. Bahagian-bahagian yang biasa saya kerjakan sudah agak subur sekarang. Bak kata jiran saya, rumput di laman saya nampak lebih hijau mungkin kerana sudah semakin subur.


Dengan cuaca panas melampau yang sedang melanda negara, saya bimbang juga dengan keadaan kebun saya. Selain jagung dan labu, pokok-pokok lain mati selepas dituai hasil sekali dua termasuk pokok mulberi terakhir saya. Kebetulan juga saya agak sibuk sekitar tempoh itu. Sekarang bila hujan mula turun di Putrajaya setiap hai, saya dah mula berkebun semula.



Beberapa mingu lepas saya lihat pokok mangga saya seolah menunjukkan tanda akan mengeluarkan bunga. Alhamdulillah, nampaknya betul sangkaan saya. Hujung minggu lalu putik-putik bunga telahpun muncul. Semut-semut hitam kecil juga gembira bermain-main dihujung putik bunga. Saya tak mengharapkan sangat buah akan terhasil mungkin kerana pokok baru belajar berbunga. Kalau dapat sebiji pun saya sudah bersyukur. Alhamdulillah.

Khamis, 25 Februari 2016

Bunga-Bunga di Bulan Februari 2016

Gambar bunga-bunga yang berkembang di laman rumah sepanjang Februari 2016.

Gardenia Jasmine Belmont a.k.a Cape Jasmine

Kangkung


Cosmos (Ulam Raja)

Pink Stiletto Rose

Moss Rose, Rose Moss Portulaca grandiflora 'Sundial Peach'

Chinese Fringe Flower | Loropetalum chinense

Rabu, 24 Februari 2016

Delima Kembali Berbunga di Laman Baru

Awal bulan lalu saya dah pindahkan pokok delima saya ke belakang rumah. Dari hari dipindahkan sehingga hujung minggu lalu, hati saya berdebar-debar kerana bimbang kalau-kalau pokok delima saya mati. Daunnya semakin hari semakin berkurangan. Daunnya banyak yang kuning dan akhirnya gugur. Putik-putik bunga yang banyak waktu dipindahkan juga gugur kesemuanya. 


Kegusaran saya akhirnya bertemu pengakhiran bila saya ternampak sekuntum bunga telah kembang lewat petang Ahad lalu. Daun-daunnya juga kelihatan hijau dan berkilat. Nampaknya cuaca yang panas berdenting dengan hujan yang tak turun berhari-hari tidak menjejaskan pokok delima saya.


Alhamdulillah, ada lagi sekuntum dua kudup bunga juga sudah kelihatan. Harapnya ada buah yang melekat menjadi hasil tuaian. Dengan ruang yang lebih besar, pokok delima saya dapat membesar lebih baik. InsyaAllah.



Isnin, 15 Februari 2016

Labu Manis Di Plot No. 3

Dah lama tak bercerita tentang plot no. 2 saya. Walaupun terasa macam tak ada apa yang menarik berlaku di kebun sejemput saya, tapi bila melihat catatan-catatan lama, banyak juga beza dari minggu-minggu lepas.


Pokok selasih saya dah semakin tua. Tunggu masa nak dicabut dan disemai baru. Daunnya banyak yang kuning dan keras. Walau pun dicantas, daun yang tumbuh tetap sudah keras dan tidak neka dibuat ulam lagi. Pokok cili pula habis daunnya dihinggapi bena putih. Saya cantas dan pucuk baru pun tumbuh. Nampaknya putih bunga yang tumbuh lekat buahnya. Dalam masa yang sama, saya juga semai anak-anak pokok cili yang baru.


Labu yang ada juga semakin galak menjalar. Daunnya juga besar hampir sebesar dua tapak tangan saya. Dalam beberapa minggu memang banyak bunga betina yang keluar. Tapi sayangnya semua gugur setelah beberapa muncul. Setelah dibelah, rupanya ada larva kumbang sudah masuk ke dalam putik-putik bunga labu sama ada jantan atau betina. Sebab itulah banyak bunga yang gugur tanpa sempat berkembang walaupun banyak yang muncul.


Selepas cuti Tahun Baru Cina minggu lepas, bunga-bunga jantan sudah kembali berkembang di kebun sejemput saya. Putik bunga juga sudah semakin banyak yang muncul. Sudah tidak ada tanda-tanda akan gugur lagi.


Setelah dibelek-belek di balik daun rupanya ada dua kuntum kudup bunga betina sedang tunggu masa untuk kembang. Saya ambil gambar putik-putik labu ni kira-kira lewat petang Selasa lepas. Petang Rabu esoknya saya lihat kelopaknya dah layu. Cepat-cepat saya ambil bunga jantan dan debungakan kedua-dua bunga secara manual. Dahla ada sekuntum aja bunga jantan. Cepat-cepat saya panjatkan doa supaya menjadilah pendebungaan manual saya. Dah lama benar saya menunggu saat ini.


Alhamdulillah setakat pagi hari ini putik-putik labu masih utuh walaupun kelopaknya dah luruh. InsyaAllah dapatlah menuai labu manis pertama saya. Sabtu lepas sempatlah saya menuai pucuk labu dibuat masak lemak bersama-sama daun selasih Thai dari kebun juga dengan labu manis yang dibeli dari pasar.


Jumaat, 5 Februari 2016

Bunga Pokok Kari

Pokok kari dalam asu ni sudah enam tahun bersama saya dan tak pernah bertukar pasu sejak dibeli dari nurseri. Sudah banyak kali dicantas, berbunga dan berbuah. Sesekali dibaja. Pokoknya tahan hidup di panas terik dan subur sihat juga di tempat yang teduh. Kalau layu segar semula selepas disiram. Tak pernah pula saya lihat ada rumpai bertenggek menumpang hidup dalam pasu yang sama. Mungkin kerana sifat pokoknya buat pokok lain tak sudi hidup bersama. Kalau ada tanda-tanda sakit menyerang di belakang daunnya, saya cuma cantas habis. InsyaAllah tumbuh semula dengan elok.


Ini gambar putik bunga kari baru keluar minggu lepas. Saya cukup teruja bila pokok kari saya berbunga sebab bunganya wangi dan akan keluarkan buah yang merah menyala.


Hari ini saya lihat bunganya sudah kembang dan mengeluarkan bau yang wangi. Bunga putih dengan kelopak-kelopak kecil. Buahnya nanti boleh disemai. Saya ada lagi sepokok kari depan laman rumah yang dipindahkan dari pasu bunga saya. 


Pokok kari di laman rumah itu tumbuh dari biji kari yang jatuh ke dalam pasu bunga gardenia saya. Pokoknya sekarang hampir mencecah tiga kaki tinggi. Nanti saya akan kongsi gambar pokok kari saya itu.


Rabu, 3 Februari 2016

Memetik Bendi

Dalam dua minggu lepas, putik bendi pertama dah keluar. Tapi nampaknya sekali lagi hasil pertama ditakdirkan bukan rezeki saya sama seperti delima. Dua tiga hari selepas berputik, saya lihat bendinya sudah separuh diragut. Tak pasti sama ada tupai atau binatang lain yang makan kerana belum pernah lagi saya terserempak tupai di laman belakang. Saya petik juga bendi itu supaya tak masak tua di atas pokok. Jika tidak pokok akan berhenti kurang berbunga pula. Sudah menjadi resmi pokok berbuah untuk kesinambungan benih. Jika ada buah sudah tua,maka pokok akan terima sebagai benih sudah pun dihasilkan dan tidak perlu lagi keluarkan bunga untuk hasilkan buah.


Selang dua tiga hari, bunga baru akan kembang dan bunganya akan bertahan sehari sahaja. Kelopak akan kuncup sebelah petang dan gugur meninggalkan putik buah. Sepokok memang tak cukup untuk bekalkan bendi untuk sekali masak. Tapi kalau berpokok-pokok banyak pula. Dalam plot ini saya ada semai lagi tiga pokok yang sedang membesar. Rasanya dalam minggu ini mungkin akan berbunga pokok-pokok yang lain.


Macam mana nak tau bila buah bendi boleh dipetik? Petua yang saya pegang adalah seperti digambarkan dalam lukisan saya yang seberapa.


Minggu lepas dapatlah petik dua biji bendi tapi yang berlingkar itu rasanya sudah kurang lembut tapi masih belum berserat untuk makan. Jadi masih boleh dimakan. Setakat hari ini masih belum dimasak. Mungkin dicelur cicah budu sahaja malam ini.


Selasa, 2 Februari 2016

Alif Teman Ibu Alih Pokok Delima

Bulan Oktober tahun lalu, pokok delima saya akhirnya berbuah sulung. Pada waktu itu saya berhajat untuk alihkan pokok delima saya ke laman belakang. Dek kerana buah sulung itu, saya batalkan hajat saya dan biarkan buahnya terus membesar pada pokok yang tumbuh baik di dalam pasu. Dalam tempoh itu, banyak betul bunga delima yang keluar dan pokok juga semakin besar. Saya syak akar pokok sudah keluar menjalar masuk ke tanah di bawah simen.


Lama saya menunggu masa delima masak merekah. Namun sudah ditakdirkan bukan rezeki saya. Hampir dua bulan lepas buahnya yang agak besar semakin mengecut. Terfikir juga mungkin sudah terlewat untuk saya petik. Tetapi saya tunggu juga. Akhirnya suatu hari saya ternampak delima sudah berada di lantai tanah terkopak. Mungkin sudah menjadi habuan si tupai. Apa yang buat saya gembira adalah apabila melihat butiran delima merah menyala dari dalam kulitnya. Nampaknya buah sudah ranum masa dipetik tupai. Saya pula balik ke kampung halaman agak lama menghabiskan cuti tahunan. Mungkin masa itulah delima dipetik.

Setelah lama tertangguh, akhirnya Ahad lepas saya luangkan sedikit masa untuk alihkan pokok delima saya.


Besar betul. Semput nak mengangkat pasu dengan pokok meninggi tambah pula rantingnya berduri tajam. Walaupun ditanam di dalam pasu, pokoknya lebih tinggi dari anak saya Alif. Alif memang seronok kalau dapat keluar menemani saya di kebun sejemput.



Bunganya memang banyak dan putik-putik bunga baru juga banyak juga baru muncul. Harapnya bila dipindahkan ke laman belakang, dapatlah ia tumbuh dengan lebih besar dan menghasilkan buah yang lebih banyak. Laman depan juga nampak lapang sedikit bila pokok delima dialihkan.



Cuaca panas memang terik sejak akhir-akhir ini dan akan berlanjutan sehingga penghujung Mac. Kadang-kadang hujan turun selepas maghrib di Putrajaya. Cuaca yang panas memang sangat terik sehingga daun-daun pokok banyak yang melecur dek kepanasan tapi masih hidup kerana disiram setiap hari.



Tiap kali ke kebun Alif memang akan merayau-rayau dalam kebun tapi kalau tidak diawasi memang lebih jauh langkahnya sehingga tak terkejar. Selepas berlari-lari, Alif rehat sebentar dan sambung semula berlari. Ahad lepas, Alif memang sengaja minta ibu ambil gambarnya di kebun.



ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...