adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Khamis, 25 Julai 2013

Tomato Mula Berputik - Minggu 7


Alhamdulillah. Tomato ceri saya telah mula berputik manakala tomato bulat juga telah mula gugurkan kelopak bunganya semalam. Sejak mula berbunga, saya jentik manja bunganya sebagai pemangkin pendebungaan. Nampaknya menjadi. Setakat pagi ini, putiknya sebesar hujung jari kelingking saya. Bunga-bunga tomato pada pokok tomato yang sama juga mula berkembang. Tak sabar menunggu masa tomato sedia dipetik. Semalam saya telah letakkan baja tinja ayam dan baja cecair disembur setiap hari. Agaknya berapa masa lama tomato sedia dipetik dari hari ia mula berputik?


posted from Bloggeroid

Selasa, 23 Julai 2013

Labu dan Jagung Manis - 5 Minggu


Labu dan jagung manis ini sama usia kerana disemai pada hari yang sama. 6 pokok jagung manis ini seusia namun kadar pertumbuhannya berbeza. Tak pasti apa penyebabnya. Labu yang ditanam ini adalah dari jenis labu fajar manis. Pertumbuhan agak lambat pada awalnya namun sejak seminggu lalu semakin baik. Mungkin pokok sedang menyesuaikan diri dengan keadaan panas sejak dipindahkan ke batas ini. Alhamdulillah labu fajar manis ini sihat dan kuat namun sesekali kelihatan kehadiran kumbang menyantap daunnya. Saya tak ada masalah dengan kumbang, cuma kalau daun mengalami masalah kulat agak risau juga dibuatnya. Mungkin dalam dua atau tiga minggu muncullah bunga pertamanya. Nampaknya saya kena mula mengkaji kaedah mendebungakan bunganya nanti. Hari ini saya telah letakkan baja tinja ayam pada tanaman jagung dan labu saya. Semoga tanaman saya hidup subur.


posted from Bloggeroid

Isnin, 22 Julai 2013

Tanaman Hiasan - Julai 2013




Sejak sebulan diberi perhatian dengan penuh kasih sayang, akhirnya nampak perubahan tanaman hiasan di porch. Beberapa pokok yang dulunya tak berdaun kini telah mula berdaun hijau dan sebahagiannya. Ada juga telah berbunga. Bagi yang nampak terbantut pembesarannya, saya telah pindahkannya ke pasu yang lebih besar sepadan dengan akarnya. Ada juga yang diserang penyakit, setelah dirawat dengan semburan racun organik beberapa kali namun masih belum sihat terpaksa dibuang saja. Bimbang berjangkit dengan pokok yang lain. Ada juga yang elok diliputi dedaun hijau yang sihat dimakan siput pula. Semalam, siput telah dihapuskan. Harapnya tiada yang datang lagi.
Tanaman di bahagian kiri porch sihat sejahtera mungkin kerana mendapat limpahan matahari pagi. Pokok ros yang saya pindahkan ke bahagian tersebut yang menerima cahaya matahari pagi hingga tengahari makin sihat dan mengeluarkan banyak daun. Kudup bunga pun sudah keluar menunggu masa untuk kembang.
Walau bagaimanapun, tanaman di bahagian kanan porch kurang menyerlah. Bahagian ini redup pada waktu tengahari namun terik menjelang petang. Mungkin waktu penerimaan cahaya yang singkat namun terik sedikit sebanyak mengganggu pertumbuhan pokok. Saya kini masih mencari-cari penyelesaian untuk tanaman di bahagian ini. Sekarang di bahagian ini ada pokok bunga kertas, harum sundal malam, misai kucing, aloe vera dan kesidang. Tanaman ini tahan sinaran mentari terik. Kita akan lihat perkembangannya dalam tempoh sebulan. Pokok-pokok berkenaan baru ditukar ke pasu besar. Harapnya dengan ruang yang lebih besar dapatlah ia tumbuh dengan baik.


Ini pula bahagian yang paling teduh. Yang pasti pokok buluh hiasan, setawar, keladi hiasan dan spider plant menjadi di kawasan ini. Orkid dua pasu yang diletakkan di sini sampai sudah tak berbunga. Keduanya telah dialihkan ke bahagian kiri porch. Harapnya berbungalah orkid berkenaan. Tanaman di kawasan ini akan ditukar pasu dan ditambah lagi supaya lebih meriah.


posted from Bloggeroid

Ahad, 21 Julai 2013

Membuat Kompos Dalam Beg Plastik - Cara Saya


Walaupun laman belakang rumah saya luas, saya tidak menyediakan lubang kompos di kawasan itu. Pertama, kerana saya malas nak buka pintu belakang setiap kali hendak membuang sisa dapur. Lagipun, waktu malam agak gelap di laman belakang. Kedua, saya rasa pihak perbadanan sudah tentu kurang senang jika saya buang sisa dapur untuk dijadikan kompos. Jadi, saya membuat kompos dalam beg plastik sebagai alternatif.
Plastik yang digunakan adalah dari jenis tebal dan tidak terbiodegrasi. Contoh yang paling baik adalah beg plastik pembungkus beras dan lampin pakai buang. Sebelum diisi dengan sisa, buang lubang dibahagian tepi plastik bukan di bahagian bawah. Ini untuk mengeluarkan air sisa dan pengudaraan.
Saya mulakan dengan mengisi sedikit tanah atau daun-daun kering sebagai alas. Kemudian bolehlah masukkan sisa seperti kulit buah-buahan, kulit sayuran, kulit telur dan sebagainya. Elakkan memasukkan bahan makanan bermasak. Elakkan juga memasukkan kulit nenas atau limau ini akan menjadikan tanah berasid. Saya juga masukkan resit, kertas dan daun-daun kering serta sisa cantasan tanaman hiasan.
Selang 2-3 hari saya akan tuang sedikit air untuk mempercepatkan proses reputan dan kaup bahagian bawah naik ke atas. Ini bagi menggalakkan pengudaraan dan menyebatikan bahagian yang belum mereput di bahagian atas. Sesekali, masukkan tanah.
Kompos tersedia setelah bahan mereput iaitu kira-kira 5-6 minggu. Walau bagaimanapun, kulit telur dan ranting kadangkala mengambil yang lebih lama sedikit. Sebelum menggunakannya, saya akan keluarkan bahan kompos dari dalam beg plastik dan masukkan ke dalam sebuah pasu besar. Kompos ini kemudiannya saya gaulkan dengan tanah. Biasanya adunan tanah dan kompos akan mengering sedikit berbanding agak basah dan berketul apabila dikeluarkan dari plastik. Kemudian barulah digunakan sebagi medium semaian atau digaulkan dengan tanah dalam pasu atau batas.
Saya agak baru dalam urusan membuat kompos. Kepada sesiapa yang punya pengalaman, bolehlah berkongsi pengalaman ya!


posted from Bloggeroid

Rabu, 17 Julai 2013

Acik Sam Tanam Padi Dalam...


Sampai saja di rumah Acik Sam Isnin lalu, saya teruja melihat tanaman di dalam tong cat ini. Rupanya Acik Sam menanam padi di dalam pasu yang direndam dalam tong cat. Ini bagi menakung air bagi memastikan tanah di dalam pasu sentiasa terendam dalam air. Dalam lubang gabus pun menjadi padinya. Yang di dalam botol minyak masak masih kecik anak padinya. Bila ditanya banyak mana padi yang dapat, Acik Sam hanya senyum. Katanya saja suka-suka bertanam padi. Acik Sam juga menanam kacang panjang, labu dan cili padi di kawasan seberang rumahnya. Dia juga menternak ayam dan ikan haruan. Katanya kebun sayurnya baru dilanyak jentera yang melalui kawasan kebun. Jadi yang dapat dilihat dalam gambar sahaja yang ada. Tengoklah pokok cili padinya yang mewah berbuah. Kacang panjangnya bergayut daru pokok tak nampak pula dalam gambar. Memang banyak sungguh tapi belum sedia untuk dipetik.






posted from Bloggeroid

Laman Rumah Acik Sam


Kelmarin kami sekeluarga ke rumah ibu saudara suami saya di Sabak Bernam. Ini kali kedua saya ke rumahnya. Rumahnya comel sahaja dengan 2 bilik dan 3 bilik air. Apa yang saya suka benar tentang rumahnya adalah lamannya yang cantik. Tiap kali ke rumahnya, saya tak pernah puas menikmati tamannya. Saya percaya Acik Sam tak ada pengetahuan formal dalam menjaga tanamannya waima pengetahuan dalam penataan gaya tamannya. Namun lamannua begitu kemas dan ceria. Tanaman hiasannya juga begitu cantik, sihat dan menarik. Selain pasu, dia turut menamam pokok hiasannya dalam tin cat, bakul bawang atau botol minyak. Tanpa segan silu saya turut mengambil beberapa benih ros Jepun pelbagai warna dari lamanya dan juga keladi hiasan. Acik Sam pelawa ambil lebih banyak, tapi saya segan pula. Kunjungan lain kali saya ambil lagi. Tak sabar rasanya mahu pindah ke rumah sendiri. Dapatlah menghias laman dengan bersungguh. Tinggal di rumah orang ni agak kurang semangat nak menghias walaupun tak ada salahnya pun.




posted from Bloggeroid

Isnin, 15 Julai 2013

Tomato Mula Berbunga - Minggu 6

Dua minggu lalu, saya telah pindahkan semaian tomato ceri dan tomato bulat saya ke batas. Minggu ini, umur kedua tomato tersebut telahpun berumur 6 minggu. Setelah dibaja pada minggu lepas, saya dapati pokok-pokok tomato tersebut sihat dan kuat. Pagi ini, kedua-dua pokok tomato bulat di batas telah mula menunjukkan tanda-tanda mengeluarkan bunga. Adakah terlalu awal? Wajarkah saya buang dahulu kudup bunganya untuk membolehkan pokok membesar lagi? Berdebar pula dibuatnya. Pokok-pokok tomato ini setinggi kira-kira sekaki sekarang. Sudah agak lama saya tidak menanam tomato sehingga tahap berbunga. Mungkin kerana sekarang saya agak bersungguh berkebun. Tak sabar rasanya nak menuai tomato segar.




posted from Bloggeroid

Ahad, 14 Julai 2013

Tuaian Nasi Kerabu


Sejak seminggu lalu, saya mengutip bunga telang yang mekar setiap pagi. Terasa rugi jika dibiarkan layu pada pokok. Saya simpankannya dalam bekas kering di dalam peti sejuk. Tengahari semalam saya turut tuai sedikit pucuk selasih Thai dan daun limau purut. Seperti biasa, serai juga dituai untuk stok seminggu. Cukup sesuai tuaian ini dibuat ramuan Nasi Kerabu dengan campuran ulaman yang dibeli dari pasar. Bunga telang direbus dengan sedikit air untuk mendapatkan jus birunya. Jus biru itu digunakan untuk menanak nasi biru dan turut juga menjadi bahan untuk adunan Kuih Buah Melaka atau Onde-Onde saya. Daun limau purut dan selasih Thai dihiris halus sebagai ulaman dicampur dengan hirisan bunga kantan, timun dan kacang panjang. Serai pula ditumis bersama bawang putih, halia, bawang putih dan cili giling untuk sambal budu. Puas hati sebab semalam tiada satu pun juadah dibeli dari bazar Ramadhan!


posted from Bloggeroid

Sabtu, 13 Julai 2013

Batas 5 ft x 5 ft - Julai 2013


Batas 5 ft x 5 ft ini disediakan sejak sebulan lalu. Ia mula menempatkan labu dan jagung sejak 3 minggu lalu. Saya juga telah alihkan sepokok tomato ceri, dua pokok tomato bulat dan sepokok selasih Thai. 8 set bawang kecil telah ditanam di bahagian tepi batas. Bendi dan kacang panjang OP masih disemaian menunggu masa yang sesuai untuk dialih ke batas ini.
Tanaman disiram dua kali sehari kecuali jika hari hujan. Tanaman nampak subur terutama tomato dengan ketinggian masing-masing mencecah hampir 1 kaki. Tanah di kawasan ini agak kurang subur. Maklumlah, tanah ini ditambun. Maka, tanaman perlu kerap dibaja dan disiram dengan sekali-sekala kawasan batas ditabur dengan kompos.
posted from Bloggeroid

Khamis, 11 Julai 2013

It Takes 2 To Tango! - Alif Zakwan 2 Bulan


Today is DOUBLE ONE (that's is 11) of July 2013, the SECOND of Ramadhan, and Alif Zakwan is now TWO months old! That's quite a lot of 2s! Alif sudah pandai senyum pada orang dan mula 'bersembang-sembang'. Walau ibu berpuasa, kelihatannya masih cukup susu untuk mengenyangkan Alif. InsyaAllah, dengan izin Allah, susu untuk Alif sentiasa ada sama sepertimana ibu menyusukan Ahmad pada Ramadhan tahun lalu.
posted from Bloggeroid

Selasa, 9 Julai 2013

Mata Anak Bujang Saya


Sedikit masa dulu, suami saya sering ditegur guru Kimia kami supaya jangan tidur di dalam kelas kerana kelihatannya dia agak mengantuk. Suami saya tidak mengantuk, tetapi matanya yang kuyu membuatkannya kelihatan mengantuk.
Kini, kami pula sering ditegur anak-anak kami, Ameer dan Ahmad kelihatan sering mengantuk. Mereka tidak mengantuk tapi anak-anak kami mewarisi mata kuyu suami saya. Lain pula dengan Alif, matanya sepet. Mungkin mewarisi mata moyangnya, nenek saya.
posted from Bloggeroid

Mujurlah Selamat..




Dua gambar di atas itu adalah anak-anak pokok tomato dan selasih saya yang memang layu habis. Tiba saja di rumah petang semalam sejak 5 hari di kampung, berdebar saya melihatkan keadaannya. Semaian labu dan cili masih teguh walaupun tanahnya kering. Begitu juga kobis. Semaian bendi emas mati satu manakala satu lagi masih hidup. Cepat-cepat saya rendamkan seluruh pasu ke dalam besen berisi air yang banyak. Saya rendam sehingga tanahnya betul-betul basah dan biarkan sehingga pagi ini. Tempoh rendaman adalah kira-kira 17 - 18 jam. Alhamdulillah, pagi ini segar belaka. Cuma ada sepokok dua semaian tomato yang memang kurang baik perkembangannya mati kekeringan. Mujurlah beberapa anak jagung, tomato, selasih dan labi di batas masih sihat sejahtera. Semalam pun batas telah disiram. Pagi ini juga yang di batas kelihatan baik. Hajatnya nak membaja hari ni.


posted from Bloggeroid

Ahad, 7 Julai 2013

Kobis atau Kailan?


Hujung minggu lalu, kami sekeluarga pulang ke kampung setelah hampir 2 bulan di Putrajaya sejak saya bersalin. Tiba di rumah, saya lihat batas sayur di tepi rumah orang tua saya sudah mula "didiami" beberapa anak pokok. Dari jauh, kelihatan seperti kobis dek kerana pokoknya yang renek dan daun hampir kudup. Seolah-olah akan membentuk jantung. Dikalangannya ditanam beberapa pokok cili. Mengikut ayah saya, benih yang ditanam adalah kailan. Namun, apabila diajukan soalan kenapa daunnya seperti kudup kobis, ayah saya mula ragu. Kailan ke kobis? Kita lihat ajelah nanti, ujar ayah saya. Daunnya hampir sebesar tapak tangan saya. Umurnya mungkin kira-kira sebulan ke dua bulan. Pokoknya renek tidak sampai sejengkal. Agaknya sayur apa ya?


posted from Bloggeroid

Rabu, 3 Julai 2013

Kebun Sejemput - Julai 2013


Di atas adalah gambar lama belakang rumah saya 4 minggu lalu. Lalang yang meninggi mengundang kehadiran "Abangla" saban hari mengetuk pintu rumah menawarkan perkhidmatan memotong rumput dengan kadar RM10. Sengaja saya biarkan lalang meninggi kerana saya ingin kerjakan sendiri untuk mengeluarkan peluh selepas tamat berpantang. Lagipun saya punya ruang masa untuk lakukan sendiri. Dua minggu pertama saya mulakan dengan mencabut semua lalang dan rumpai dan dilonggokkan ke satu tempat untuk mengering. Saya juga mula menyemai beberapa tanaman dalam tempoh itu. Setelah lapang sebahagian, saya mula menyediakan batas besar dan batas panjang. Rumpai dan lalang kering dijadikan penutup batas besar untuk melindungi tanah dari kekeringan dan terganggu struktur akibat siraman air.

Batas besar itu adalah sebesar 25 kaki persegi memuatkan 6 pokok jagung, sepokok labu fajar manis, 2 pokok tomato bulat, sepokok tomato ceri dan sepokok selasih Thai. Ruang kosong yang tinggal akan ditanam kacang panjang dan beberapa sayuran berdaun yang masih diperingkat semaian. Batas panjang akan memuatkan kobis yang baru berusia 2 minggu. Pagi tadi saya mula sediakan batas untuk cili merah, capsicum kuning dan merah. Kerja-kerja menyediakan batas ini perlu disegerakan sebelum Ramadhan minggu depan. Semoga membuahkan hasil. Inilah rupa laman belakang pada hari ini.


posted from Bloggeroid

Selasa, 2 Julai 2013

Lobak Putih - Minggu 2


Ini merupakan kali pertama saya tanam lobak putih sejak mula pandai makan lobak putih ketika berpantang kali ini. Saya dapati melalui pengalaman rakan-rakan blogger yang berkebun, lobak putih mudah ditanam dan dijaga. Mengikut pek benih yang saya beli dari pasaraya, katanya ubinya boleh dituai dalam tempoh 50 hari selepas semaian. Kira-kira sebulan lagi dapatlah saya tuai ubinya. Saya semai 3 biji benih dalam medium semaian berkompos. Hanya satu benih benih tidak bertunas. Pada umur 2 minggu, pasangan daun sebenar telah kelihatan. Benihnya mula bertunas pada hari ke 4-5 seeepas disemai sedalam kira-kira 1 cm dari permukaan tanah.
posted from Bloggeroid

Isnin, 1 Julai 2013

Tomato Alamanda - Minggu 4


Minggu ini Tomato Alamanda saya dah berumur 4 minggu. Pokok tomato ini telah mengeluarkan pasangan daun sebenar yang ketiga sejak dialihkan ke dalam pasu 2 minggu yang lalu. Hujung minggu ini, insyaAllah saya akan pindahkannya ke batas. Batang pokok tomato juga telah agak kuat sekarang.
posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...