Saya belum pernah berjaya tanam nanas dari jambulnya sehingga berjaya. Saya suka sangat makan buah nanas dan biasanya dalam seminggu hampir setiap hari makan nanas. Beberapa bulan lepas saya ada makan nanas jenis madu yang memang sangat manis isinya. Saya simpan jambulnya untuk ditanam. Biasanya kita jumpa di Internet orang akan buang beberapa lapisan daun di pangkalnya dan direndam di dalam air sehingga tumbuh akar. Tapi cara saya lain sedikit.
Setelah diambil jambulnya, saya buang beberapa lapisan daun di pangkalnya sehingga kira-kira seinci. Kemudian saya tanam bahagian yang telah dibuang daun ke dalam tanah kompos. Saya siram sekali sahaja masa menyemai dan selang beberapa hari jika tanah kering. Saya akan pastikan tanah lembap tapi tidak kering dan juga tidak terlalu basah. Dua minggu pertama, saya letakkan di kawasan yang terkena cahaya matahari sehingga tengah hari. Saya akan pantau pertumbuhan daun baharu dengan menandakan daun paling muda pada hari semaian. Dengan ini mudah saya untuk kenal pasti daun baru bila ia muncul sebab nanas tumbuh dengan perlahan. Ada jenis yang saya pernah semai terlalu lama untuk tumbuh daun baru. Semaian nanas yang pertama saya masih sebesar tapak tangan walaupun dan berbulan disemai.
Semaian nanas madu - 5 Julai 2015 |
Ini adalah jambul nanas yang saya semai dalam usia dua minggu lepas semaian. Sepanjang dua minggu disemai nampak segar di bawah kawasan redup kemudian pertumbuhan dia agak lambat. Saya agak mungkin akarnya dah penuh dalam cawan polistirena yang saya gunakan. Saya gemar menyemai guna tanah kompos sebab tanah kompos punya kelembapan semula jadi. Oleh itu tak perlu kerap disiram sebab kalau terlalu lembap akan buat akar semaian busuk dan reput. Semaian biji benih juga mudah busuk. Ada semaian saya yang reput sebab medium semaian terlalu lembap kerana banjir dengan air hujan yang bertakung dalam pasu.
Semaian nanas - 22 Ogos 2015 |
Setelah semaian berumur seminggu, saya alihkan ke laman belakang. Bila dikeluarkan dari cawan polistirena, memang agak jelas akarnya sudah penuh. Sistem akar yang warnanya putih menunjukkan akar nanas saya ini sihat. Diamlah nanas saya ini di sebelah serai. Macam biasa, selepas dialihkan lewat petang, pokok disiram sekali sehari untuk membolehkan akar serasi dahulu. Kalau tak nanti akar reput. Sekali lagi saya perhatikan pertumbuhan daun baru. Tumbuhnya daun baru adalah petanda akar baru juga sedang tumbuh.
Dialihkan ke tanah - 22 Ogos 2015 |
Semakin lama, daun asal pada jambul sudah menghilang tanda semaian nanas saya makin membesar. Saya belum pernah tuai nanas yang ditanam sendiri. Katanya cepat atau lambat untuk tuai hasil bergantung pada jenis nanasnya. Kita tunggu dan lihat sahaja perkembangannya nanti.
Nanas madu pada 27 September 2015 - dua setengah bulan selepas disemai |