adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Sabtu, 31 Oktober 2015

Bunga-Bunga Tanaman Makanan di Kebun Sejemput

Syukur dalam minggu ini hujan turun pada setiap hari dan disebabkan itu saya tak menyiram pokok langsung minggu ini. Mungkin sebab itu pokok-pokok lain laman belakang dan laman depan banyak yang berbunga antaranya kacang botor, sawi dan selasih. Kacang botor perlu dibaja bila berbunga supaya menghasilkan buah. Kalau tidak bunganya akan gugur begitu sahaja.






Sawi ini pula memang sengaja tidak dituai sebab daunnya habis dimakan siput setelah tumbuh semula dari keratan batang tuaian pertama. Bunganya dibiarkan sahaja untuk diambil benihnya kelak. Bunga selasih pula dibiarkan untuk galakkan serangga datang supaya bunga cili dapat didebungakan. Namun sayang, masih belum ada rezeki cili berbuah banyak, bunga sahaja yang gugur. Mungkin selepas dibaja minggu ini akan mendatangkan sedikit hasil.

Bunga Sawi

Bunga Sawi

Bunga jantan labu manis pun ada tapi tak sempat pula nak ambil gambarnya. Mungkin sebab dah jemu tengok bunga jantan. Bilalah agaknya bunga betina nak keluar. Minggu saya akan cuba ikhtiar tabur sisa ikan bilis pula untuk galakkan keluarnya bunga betina. Mungkin dalam seminggu dua dapat tengok hasil sama ada keluar atau tidak bunga betina.

Bunga Selasih Thai

Jumaat, 30 Oktober 2015

Perkembangan Delima di Kebun Sejemput

Buah delima tunggal yang ada kukuh di pokok delima saya kelihatannya semakin bulat dan besar. InsyaAllah menjadi buahnya kali ini. Minggu ini saya rancang nak letakkan baja kopi pula setelah semua tanaman disiram dengan baja roti yang dah diperam pada minggu lepas. Minggu lepas juga saya ada peram baja roti sebanyak dua bekas. Kalau terlalu kerap disiram baja roti terasa rugi pula baja kopi yang masih banyak di dalam simpanan.



Minggu lepas juga, dua kuntum bunga delima sudah gugur. Nampaknya minggu ada lagi kuntuman bunga yang keluar. 

Jumaat, 23 Oktober 2015

My Fallen Heroes - Gugurnya Bunga Delima dan Matinya Pokok Tomato

Baru semalam gembira sebab salah satu bunga delima saya sudah mula menunjukkan tanda-tanda menjadi buah manakala tiga lagi masih kekal di pokok. Itu cerita pagi semalam. Lewat petang semalam saya lihat dua putik bunga dari tangkai yang sama dah gugur. Nampaknya tak ada rezeki lebih untuk saya kali ini. Mungkin pokok baru nak belajar berbuah. Dapat sebiji pun saya sudah bersyukur. Bila dibelek-belek, nampaknya ada kudup bunga baru akan keluar dari ranting yang sama. Belum habis-habis lagi berbunga pokok delima yang satu ni.


Buah tomato yang ada dua biji juga semakin merah. Tak tahulah bagaimana rasanya sebab pokoknya sudah mati sejak dua minggu lepas. Sejak itu, tomato tidak membesar lagi. Cuma warnanya sahaja berubah warna dari hijau ke merah dari hari ke hari. Pokoknya mati mungkin kerana terlebih siram setelah hampir kekeringan bila ditinggalkan masa Aidiladha lalu.


Hari ini saya dedikasikan untuk my fallen heroes.

Khamis, 22 Oktober 2015

Delima Hari Ini

Hari ini saya cuma nak kongsi rasa teruja dan tak percaya sebab setelah seminggu diperhatikan, saya rasa pokok delima saya akhirnya akan menghasilkan buah. Ini kerana selepas hampir seminggu kelopak bunganya gugur kesemuanya, putik buahnya masih kekal dibatangnya. Buahnya pun semakin membesar. Mungkinkah pokok delima saya akan menghasilkan buah pertamanya? Saya akan menunggu dengan sabar dan berdoa agar rezeki memihak kepada saya.


Sementara putik buah yang satu sedang membesar, ada lagi dua kuntum baru keguguran kelopak bunga dan satu lagi masih menunggu untuk gugur. Harapnya putik buahnya tak gugur sama.



Rabu, 21 Oktober 2015

Menuai Ubi Kayu dan Pucuknya

Sekitar hujung tahun lepas, saya ada menyemai tiga batang ubi kayu. Benihnya saya dapat di sekitar belukar di rumah yang kami sewakan di Kota Warisan. Di sana memang banyak pokok ubi kayu yang tumbuh merata-rata di dalam semak. Mungkin ubi kayu menjadi makanan ruji orang-orang asli di perkampungan sekitar. Melihatkan banyaknya pokok ubi kayu di sana, saya pun pujuk suami saya untuk ambil sebatang sederhana panjang untuk ditanam di Putrajaya.

Ubi kayu pada 27 Sept. 2015 dan pucuknya dituai buat kali kedua

Bulan berganti bulan, semaian pokok ubi saya hampir membuatkan saya kecewa. Berbulan lamanya saiznya setakat paras lutut sahaja. Tapi apabila menjelang umurnya hampir 10 bulan selepas disemai, pertumbuhannya makin laju. Bayangkan dari selepas raya sehingga ke minggu lepas, sudah tiga kali saya kutip hasil pucuknya. Boleh dikatakan setiap tiga minggu saya kutip hasil.

Tanda-tanda pucuk baru pada 7 Okt. 2015

Tanda-tanda pucuk baru sepuluh hari selepas dituai

Sepanjang tempoh hayatnya, saya kerap siram dengan banyak air dan baja setiap dua minggu. Tanah di belakang rumah saya agak keras dan padat teksturnya serta agak kurang subur. Sebab itu saya baja untuk bagi nutrien tambahan dan siram dengan banyak untuk lembutkan tanah. Kata orang, jangan tuai selalu daunnya kerana nanti ubinya tak besar.

Pokok ubi kayu pada 17 Okt. 2015, tiga minggu selepas tuaian kedua dan dituai sekali lagi pucuknya.

Sabtu lepas saya berniat untuk cabut ubinya. Saya cuma tarik dengan kuat sahaja tanpa perlu menggali. Nampaknya tanah dan semakin lembut. Meriah juga tuaian pucuk ubi saya kerana batang ubi kayu saya dah bercabang-cabang sebab dah sekali dua dituai. Dapatlah dalam 200 gram pucuk ubi kayu. Lebih kurang secekak. Kalau dicampurkan dengan tuaian dua minggu lepas yang masih ada dalam peti sejuk, memang dapat menggulai pucuk ubi lagi dalam sehari dua ni. Setakat ini tuaian pucuk ubi saya masih dalam peti sejuk belum dimasak. 

Tuaian pucuk ubi dan ubi kayu dari dua pokok

Ubi kayu juga dapat dalam 1kg dari dua pokok. Ubinya saya rebus dengan sedikit garam dan digandingkan dengan sambal ikan bilis. Kebetulan petangnya makcik saya ada buat sesi makan-makan dengan ahli keluarga, jadi saya bawa ubi kayu rebus buat buah tangan. Sedap ubinya dan masih belum berserat. Cuma ubinya agak kecil sedikit.

Pokok ubi kayu dan lima semaian baru

Sengaja saya tinggalkan sepokok untuk disimpan sebulan lagi baru boleh digali. Batang dari pokok-pokok ubi kayu yang dituai ubinya saya semai semula dalam lima batang. Mungkin tahun depan baru dapat tuai ubinya. Pokok ubi yang masih belum dituai juga kemungkinan besar tak dituai ubinya. Dibiarkan sahaja untuk dituai pucuk sahaja. Berbaloi tanam ubi kayu sebab dapat tuai ubi dan pucuknya. Kalau pucuknya di pasar, kadang-kadang tak berbaloi sebab daunnya sudah sedikit liat sebab sudah hampir kering.

Selasa, 20 Oktober 2015

Semaian Kacang Panjang dan Tunas Tumbuh Semula Sawi

Setelah dua minggu saya semai kacang panjang di plot no. 2, kini anak-anak kacang panjang sudah semakin membesar. Saya juga dah sediakan pancang yang agak baik untuk kacang panjang membesar. Dalam tempoh dua minggu sahaja sudah banyak daun yang tumbuh dan pembesarannya agak laju. Saya memang tak ada niat nak buang mana-mana anak pokok yang tumbuh buat masa sekarang sebab sayang pula rasanya. Ada juga saya lihat anak pokok yang agak lambat dari yang lain. Mungkin saya patut biarkan tiga sahaja tumbuh supaya kurang persaingan. Minggu lepas saya agak kurang menyiram tanaman saya sebab hampir setiap hari pulang dari pejabat hampir gelap jadi tak ada masa nak ke laman belakang. Saya masih belum baja pokok-pokok kacang saya cuma hujung minggu lalu saya ada siram dengan baja roti. Harap tidak menjejaskan anak-anak pokok yang masih muda.

Semaian kacang panjang berumur 4 hari, disemai pada 4 Okt. 2015

Semaian kacang panjang berumur 4 hari, perkembangan pada 8 Okt. 2015

Semaian kacang panjang berumur 14 hari, gambar pada 17 Okt. 2015

Sawi di plot 1 juga makin besar sejak dicantas juga saban hari. Mungkin seminggu dua lagi bolehlah menuai sawi yang tumbuh dari pangkal sawi hasil tuaian pertama. Ada juga sawi yang dah dimakan siput tapi hanya sehelai dua sahaja tidak menjejaskan tanaman sepenuhnya. Sabtu lalu saya goreng sawi tuaian pertama untuk makan tengah hari, rasanya manis dan rangup. Saya segera masukkan sawi yang dituai dulu di dalam bekas kedap udara sebelum disimpan dalam peti sejuk untuk kekalkan kesegaran sayur. Walaupun sudah lebih seminggu berada di dalam peti sejuk, sawinya masih segar lagi.

Plot No. 1 yang agak kosong

Tunas-tunas sawi yang membesar dari cantasan sawi tuaian pertama
Sekarang ini saya sedang gemburkan batas baru yang akan dijadikan plot no. 3. Saya merancang untuk tanam jagung manis sekali lagi dan beberapa jenis sayur berdaun di plot ini.

Isnin, 19 Oktober 2015

Khabar Dari Mulberi Di Belakang Rumah

Kira-kira enam minggu lalu, saya telah pindahkan semaian mulberi saya ke laman belakang. Saya siram sehari sekali sahaja selepas dialihkan supaya akar tak terkejut. Baja pun tidak. Akhirnya selepas tiga minggu dialihkan baru saya perasan sudah ada beberapa helaian daun baru sudah tumbuh cantik. Mungkin dalam awal minggu kedua sudah mula berpucuk baru. Waktu itu saya belum berani letakkan baja tapi saya siram dua kali sehari beberapa hari dalam seminggu. Sungkupan pun sentiasa ditambah di sekeliling pangkalnya supaya rumpai susah naik dan tanah tidak cepat kering. Sungkupan juga tidak terlalu tebal supaya pangkal batangnya tidak terlalu lembap.

Mulberi pada 27 Sept. 2015

Mulberi pada 4 Okt. 2015

Seminggu kemudian, pokoknya juga dah sekali ganda tinggi dan tegak berbanding dari hari pertama dialihkan. Saya membuat keputusan untuk cantas pokoknya supaya tumbuh cabang baru. Mulanya berkira-kira juga sama ada nak cantas atau pegging pokoknya. Tapi bimbang pula kalau dibuang daun-daunnya nanti pokok stress pula. Jadi saya cantas sahaja dulu. Daunnya sihat dan ada yang bersaiz tapak tangan saya. Selepas dicantas, saya siram dan letakkan baja.

Mulberi pada 4 Okt. 2015 - selepas dicantas

Alhamdulillah, Sabtu lepas saya tengok beberapa pucuk baru dah banyak yang tumbuh bersama-sama putik buah yang banyak juga. Kali ini saya tak baja pokoknya, saya cuma siram dengan bancuhan baja roti sahaja. Baja roti saya peram dari minggu lepas selama seminggu. Menurut Mak Su saya, baja roti yang dia buat memang serasi dengan pokok-pokok di rumahnya. Harap-harapnya beri kesan yang baik kepada semua tanaman saya termasuk mulberi saya ini. 
  
Mulberi pada 17 Okt. 2015


Putik-putik mulberi pada 17 Okt. 2015
Pucuk-pucuk baru yang tumbuh ini akan saya lenturkan kelak bila semua buah-buah dah dituai nanti. Semoga lebih banyak mulberi datang dari pokok ini. Mungkin saya akan semai lagi sepokok dua mulberi di belakang rumah nanti.

Pucuk-pucuk baru mulberi yang cantik hijau berkilat

Ahad, 18 Oktober 2015

Penyejuk Pandangan Mata

Berkongsi warna-warna bunga yang berkembang di laman rumah pada suatu pagi hujung minggu. Asyik-asyik bunga sama. Bilalah agaknya punya rezeki masa dan ruang nak mencari atau menyemai bunga yang baru.

 





Sabtu, 17 Oktober 2015

Cara Menyemai Halia & Kunyit

Selalu juga saya dengar orang bertanya macam nak semai kunyit atau halia. Ada juga yang beli di pasar seketul besar kemudian dikambus semuanya sekali. Memang betul-betul membazir kerana yang perlu ditanam hanya bahagian ‘mata’nya sahaja. Bahagian matanya adalah bahagian yang terbonjol-bonjol di bahagian tepi umbi kunyit seperti dalam gambar lama saya ini. Bila dah beli dari pasar tu, kutil siap-siap bahagian tepinya. Cara yang sama juga kalau nak semai halia. 


Benihnya biasanya saya ambil tidak terlalu kecil saiznya. Lebih kurang sebesar kuku ibu jari tangan pun sudah memadai. Sebesar hujung jari kelingking pun insyaAllah boleh bertunas. Kalau dilihat dalam gambar benih yang saya semai bulan lepas ini, benih halia yang di sebelah kanan gambar tu baru dikutil dari halia yang saya beli dari pasar. Kunyit pula dah hampir sebulan disemai cuma nak dialihkan ke pasu lain yang lebih lebar. 



Sebulan berlalu dan kunyit yang dialihkan ke pasu baru makin segar. Halia pun dah bertunas. Saya semai dalam tanah bercampur kompos dan tak pernah disiramkan sejak disemai. Tanahnya sentiasa lembap sebab tanah berkompos menyimpan lembapan. Ada juga hujan turun sehari dua lalu tapi semaian saya ini di bawah teduhan. Hujan mungkin sedikit tempias. 



Halia dan kunyit ambil masa dalam 6 hingga 8 bulan sebelum boleh dituai dan boleh dituai setelah daunnya mulai kering. Daun kunyit pula boleh diambil bila-bila masa untuk dibuat ramuan masakan. Saya elakkan menyiram banyak air untuk elakkan akarnya jadi busuk dan lembik. Siram bila tanahnya sudah kering sahaja dan saya memang tidak gemburkan untuk elakkan akar rosak. Sesekali buang rumpai bila perlu.

Saya lebih suka tanam halia dan kunyit dalam pasu sebab mudah untuk digali bila daunnya mulai kering. Terbalikkan sahaja pasunya dan bersihkan tanah dari akarnya untuk menuai. Saya dah serik gali tanah untuk dapatkan kunyit bila ditanam terus ke tanah. Ibarat tak habis-habis menggali. Itu pun masih ada akar yang tertinggal di medium pasuan. Tapi tak mengapa, akar yang tinggal akan tumbuh tunas yang baru. Sebaiknya, tanam kunyit atau halia dalam pasu yang terlalu dalam tapi bermulut lebar sebab akarnya tidak pergi jauh ke dalam tapi perlu ruang lebih untuk membesarkan akarnya. Kalau ditanam di dalam pasu dalam, maka rugilah ruang dan tanah di dasar pasu.

Harap dapat membantu sesiapa yang mencari cara menyemai halia dan kunyit.

Jumaat, 16 Oktober 2015

Dalam Delima Dek Kerana Delima

Pokok delima yang tumbuh dari biji di rumah saya akan mencapai umur dua tahun dalam tahun depan. Sejak ia berbunga buat kali ketiga bulan Ogos lalu, pokoknya tak habis-habis berbunga membuatkan saya dalam delima dan tertangguh untuk mengalihkannya ke laman belakang. Saya berharap pokoknya punya lebih ruang untuk membesar dan lebih selamat untuk anak-anak jika ia ditanam di belakang rumah. Jika masih terus di laman depan, bimbang ada yang menjadi masa tertusuk duri di batangnya. Pokok delima saya kini dah hampir setinggi saya walaupun ditanam di dalam pasu bersaiz lebih kurang sekaki.


Bunganya yang berwarna oren terang bersilih ganti tumbuh pada pokoknya tapi sebiji buah pun masih belum lekat. Katanya bunga delima perlu agen pendebungaan untuk berbuah. Saya ada juga lakukan pendebungaan manual dengan menggunakan berus tapi nampaknya belum berjaya. Barangkali tekniknya tidak betul. Setakat hari ini ada enam kuntum bunga delima sedang kembang mekar.



Kalau dialihkan ke laman belakang, ada banyak serangga yang terbang dek kerana kehadiran bunga-bunga rumpai yang pelbagai. Bunga-bunga rumpai yang tumbuh kalau diamati cantik sangat rupa kejadiannya. Halus sungguh perinciannya atas kejadian kekuasaan Allah yang manusia sering kali lupa untuk menghargai.





ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...