Sekitar hujung tahun lepas, saya ada menyemai tiga batang ubi kayu. Benihnya saya dapat di sekitar belukar di rumah yang kami sewakan di Kota Warisan. Di sana memang banyak pokok ubi kayu yang tumbuh merata-rata di dalam semak. Mungkin ubi kayu menjadi makanan ruji orang-orang asli di perkampungan sekitar. Melihatkan banyaknya pokok ubi kayu di sana, saya pun pujuk suami saya untuk ambil sebatang sederhana panjang untuk ditanam di Putrajaya.
Ubi kayu pada 27 Sept. 2015 dan pucuknya dituai buat kali kedua |
Bulan berganti bulan, semaian pokok ubi saya hampir membuatkan saya kecewa. Berbulan lamanya saiznya setakat paras lutut sahaja. Tapi apabila menjelang umurnya hampir 10 bulan selepas disemai, pertumbuhannya makin laju. Bayangkan dari selepas raya sehingga ke minggu lepas, sudah tiga kali saya kutip hasil pucuknya. Boleh dikatakan setiap tiga minggu saya kutip hasil.
Tanda-tanda pucuk baru pada 7 Okt. 2015 |
Tanda-tanda pucuk baru sepuluh hari selepas dituai |
Sepanjang tempoh hayatnya, saya kerap siram dengan banyak air dan baja setiap dua minggu. Tanah di belakang rumah saya agak keras dan padat teksturnya serta agak kurang subur. Sebab itu saya baja untuk bagi nutrien tambahan dan siram dengan banyak untuk lembutkan tanah. Kata orang, jangan tuai selalu daunnya kerana nanti ubinya tak besar.
Pokok ubi kayu pada 17 Okt. 2015, tiga minggu selepas tuaian kedua dan dituai sekali lagi pucuknya. |
Sabtu lepas saya berniat untuk cabut ubinya. Saya cuma tarik dengan kuat sahaja tanpa perlu menggali. Nampaknya tanah dan semakin lembut. Meriah juga tuaian pucuk ubi saya kerana batang ubi kayu saya dah bercabang-cabang sebab dah sekali dua dituai. Dapatlah dalam 200 gram pucuk ubi kayu. Lebih kurang secekak. Kalau dicampurkan dengan tuaian dua minggu lepas yang masih ada dalam peti sejuk, memang dapat menggulai pucuk ubi lagi dalam sehari dua ni. Setakat ini tuaian pucuk ubi saya masih dalam peti sejuk belum dimasak.
Tuaian pucuk ubi dan ubi kayu dari dua pokok |
Ubi kayu juga dapat dalam 1kg dari dua pokok. Ubinya saya rebus dengan sedikit garam dan digandingkan dengan sambal ikan bilis. Kebetulan petangnya makcik saya ada buat sesi makan-makan dengan ahli keluarga, jadi saya bawa ubi kayu rebus buat buah tangan. Sedap ubinya dan masih belum berserat. Cuma ubinya agak kecil sedikit.
Pokok ubi kayu dan lima semaian baru |
Sengaja saya tinggalkan sepokok untuk disimpan sebulan lagi baru boleh digali. Batang dari pokok-pokok ubi kayu yang dituai ubinya saya semai semula dalam lima batang. Mungkin tahun depan baru dapat tuai ubinya. Pokok ubi yang masih belum dituai juga kemungkinan besar tak dituai ubinya. Dibiarkan sahaja untuk dituai pucuk sahaja. Berbaloi tanam ubi kayu sebab dapat tuai ubi dan pucuknya. Kalau pucuknya di pasar, kadang-kadang tak berbaloi sebab daunnya sudah sedikit liat sebab sudah hampir kering.
Sedap makan pucuk ubi kayu. Buat ulam cicah dengan sambal pun sedap.
BalasPadamBila dah ada isi, memang cepat petumbuhan pokok ubi kayu.
BalasPadamHasil berbudi kepada tanah. Dapat makan ubi dan pucuknya. Alhamdulillah rezeki.
BalasPadamsaya juga ada menanam ubi..tapi ubi kerinting....sedap dan daunnya lagi lembut...setakat nie saya hanya tuai pucuk sahaje....isi belum lagi...ok la kan..kl beli di kedai x tau la berapa ringgit..itu pun pucuk yang tua...alhamdulillah berbudi pada tanah x sia-sia..:)
BalasPadamUbi kayu memang senang nak tanam. Tuaian pun bagus! ;)
BalasPadam