adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Isnin, 1 Disember 2014

Gardenia Jasmine Belmont a.k.a Cape Jasmine

Saya kurang pasti bila agaknya Cape Jasmine ini mula berada di laman saya. Yang saya pasti, pokok ini jarang berbunga dan daunnya kurang lebat. Mungkin juga disebabkan saya jarang mempedulikannya cuma disiram seperti biasa dan kadang kala dibaja bila berkelapangan. Setelah Showtime Stilleto Rose saya berbunga minggu lalu, ‘baton’ disambut pula oleh Cape Jasmine saya ini. Laman saya berbunga tidak putus walaupun hanya sekuntum setiap kali. Saya agak ia mula berkembang mungkin pada hari Sabtu lalu. Oleh sebab saya tiada di rumah, maka saya tidak dapat menatapnya pada hari ia mula mekar menyerlah warna putih gadingnya. Pagi ini kelihatan kelopaknya sudah mulai kuning menunggu masa untuk gugur. Namun begitu harum baunya tetap menyerlah.


Pokok ini banyak ditanam sebagai tanaman pagaran dengan daunnya yang sentiasa hijau berkilat dan bunga yang wangi. Kelopak bunganya bertingkat-tingkat dengan warna putih gading yang akhirnya pudar menjadi  kuning . Ciri-ciri yang indah ini menjadikannya satu hiasan landskap yang indah. Pokok Cape Jasmine atau juga dipanggil Gardenia ini saya tanam di dalam pasu dan diletakkan di kawasan yang menerima cahaya matahari pagi hingga ke tengah hari. Pasunya tidak diletak rapat dengan tanaman lain agar pangkalnya mendapat pengudaraan yang baik supaya tidak diserang penyakit.


Saya jarang memangkas dahan pokok ini tapi bulan lalu saya ada memangkas dengan extreme. Hasilnya banyak dahan baru yang tumbuh walaupun pertumbuhannya gak lambat. Lepas ini saya bercadang untuk kerap memangkas sejurus selepas bunga gugur bagi setiap dahan. Lebih banyak dahan lebih banyak peluang bunga tumbuh. Melalui pembacaan saya difahamkan supaya jangan kerap membaja untuk menggalakkan penghasilan bunga. Pokok dibaja untuk galakkan pertumbuhan daun. Saya akan cuba aturkan jadual membaja kelak.

posted from Bloggeroid

Rabu, 26 November 2014

Showtime Stilleto Rose

Baru-baru ini, saya telah pangkas bunga ros yang telah berkembang penuh bagi memberi laluan kepada kudup bunga ros yang sedang membesar di sebalik kelopaknya. Saban hari, kelihatan kudup bunga ros makin cepat membesar setelah dipangkas. Nampaknya semua makanan ditumpukan terus kepada kudup tersebut. Makin lama makin terserlah warna merah jambu terang di sebalik kehijauan sarung kudupnya.


Pucuk-pucuk ros dipangkal pokok juga makin galak menghijau menumbuhkan pucuk-pacuk baru merah kehijauan. Ada juga kelihatan kudup-kudup bunga kecil muncul bersama pucuk baru. Nampaknya bunga ros akan bersilih ganti memeriahkan laman saya yang tak seindah mana. Berkat hari hujan setiap hari dan mentari menyinar setiap pagi, pokok-pokok lain selain bunga ros juga segar bugar tampaknya.


Setelah hampir dua tahun bersama pokok ros ini, bulan ini sudah dua kali bunga rosnya berkembang cantik. Kalau minggu lalu bunganya agak pucat, minggu ini warna kembali terang merah jambu menyala. Sebelum ini saya sering tertanya-tanya identiti pokok ros saya ini. Hari ini sungguh-sungguh saya meneroka alam maya. Akhirnya saya bertemu jawapan. 


Ros saya ini diberi nama Showtime Stilleto Ros. Berasal dari susur galur Rose Esmeralda dan merupakan Hybrid Tea Rose. Showtime Stiletto Rose mempunyai bunga yang besar yang boleh berkembang sepenuhnya dalam pasu . Mawar ini mempunyai kelopak merah jambu yang mewah dan bentuk yang elegan. Berbatang panjang dan daun-daun hijau yang sihat menambah keindahan dan kualiti bunga ini . Hampir sama ciri-ciri bunga ros saya ini dengan apa yang dikatakan di dalam alam maya. 

Showtime Stilleto Rose

posted from Bloggeroid

Selasa, 25 November 2014

Pendidikan VS Propaganda

Minggu lalu saya berkesempatan mengikuti satu sesi bengkel yang mana pengisian satu slot bengkel tersebut begitu menarik perhatian saya. Antara pengisiannya adalah bagaimana untuk mendidik bukannya mengarah atau dalam kata lain membezakan pendidikan dan propaganda. Pendidikan adalah satu proses memberi pemahaman terhadap sesuatu perkara dengan memberikan pengetahuan seterusnya membentuk sikap dan kemahiran dalam membuat keputusan. Ia merupakan satu proses pembelajaran yang membolehkan penemuan baru dan memerlukan pemahaman yang mendalam. Propaganda atau kempen pula adalah cara atau tindakan utk menghebahkan penerangan melalui dorongan untuk satu perkara dilaksanakan atau hebahan untuk sesuatu doktrin atau fahaman. 

Saya bagi contoh-contoh bagaimana membeza poster pendidikan dan poster kempen. 

Contoh 1: Poster pendidikan. Poster pendidikan memberikan maklumat dan penerangan tentang akibat dan sebab perkara itu dilakukan. Contohnya poster mengenai kebaikan merancang menu harian keluarga ini. Ia menerangkan kebaikan merancang menu harian keluarga bagi menggalakkan keluarga makan makanan yang disediakan di rumah. Poster ini sama sekali tidak mengandungi unsur-unsur arahan di mana setiap individu sendiri memilih untuk mengikuti atau tidak saranan untuk makan makanan yang disediakan di rumah. Ia memberikan informasi namun terpulang kepada penerima informasi untuk menerima saranan tersebut atau tidak.

Googled

Contoh poster pendidikan.

Googled

Contoh 2: Poster kempen. Poster kempen biasanya tidak mengandungi informasi atau mengandungi informasi yang sedikit. Ia lebih berbentuk mendorong seseorang individu untuk melakukan sesuatu. Contohnya seperti poster kempen penggunaan beg plastik ini. Poster ini tidak memaparkan informasi sebab dan akibat kepada perbuatan mengurangkan penggunaan beg plastik dan menggunakan beg plastik kitar semula. 

Googled

Contoh poster kempen.

Googled
Kedua-dua medium ini tidak salah untuk digunakan tetapi kadangkala disalahgunakan untuk menyampaikan informasi yang mengelirukan atau menanam fahaman yang salah. Pendidikan adalah satu proses yang mengambil masa yang lama untuk mendapatkan kesannya namun ia murah untuk dilaksanakan. Propaganda pula memberi kesan yang cepat kerana manusia terus menerima saranan manakala pendidikan memerlukan kefahaman yang mendalam.

Akhir kata, sukacita saya maklumkan bahawa catatan saya ini bukanlah catatan akademik yang boleh digunakan sebagai rujukan ilmiah. Saya cuma ingin menyampaikan informasi dan bukannya berhasrat untuk menyampaikan doktrin. Semoga perkongsian ilmu yang saya dapat dari bengkel tersebut dapat membuka minda kita bersama.

Ahad, 23 November 2014

Mulberi Berbuah Lebat

Dua minggu lalu saya mengemas laman saya sambil memangkas pokok-pokok mulberi saya. Ada lima pasu kesemuanya. Setelah dipangkas, banyak dahan-dahan baru keluar dan kebanyakkannya mengeluarkan putik. Mingu ini ada juga dua tiga biji yang dah kehitaman. Ini kali pertama pokok-pokok mulberi saya berbuah dengan banyak.



Saya belum jumpa cara untuk gemukkan buah mulberi saya. Ada orang kata letakkan baja sewaktu pokok berbuah. Namun saya tidak berkesempatan minggu lalu. Minggu ini ada kesempatan nak membaja. Harapnya pokok yang baru berputik ini dapat menghasilkan buah yang besar.



Pokok yang ini ada bena putih pula. Memandangkan pokok dan buah kelihatan sihat sejahtera, malas pula saya nak buang benda putih tu.



Pokok ini pula pasunya terletak sebelah dengan pasu bunga telang saya. Kontras warna merah buah mulberi dan warna ungu bunga telang menarik pandangan mata.


posted from Bloggeroid

Jumaat, 21 November 2014

Anak Benih Labu Saya


Dalam minggu yang sama saya campak biji benih timun tua ke dalam tong kompos saya, saya ada juga campak biji labu ke dalamnya. Seperti biasa, selepas seminggu ada anak benih labu akan keluar. Biasanya saya akan buang sahaja anak benihnya kerana malas hendak menjaganya. Tapi kali ini saya pindahkan empat anak benih paling sihat ke dalam pasu besar. Siap pancang saya sediakan. Hajat di hati hendak cuba ajar labu memancang pancang. Entah teguh atau tidak pancang saya nanti menahan berat pokok dan buahnya.
Pasu labu dan timun tua
Minggu kedua

Minggu ini, anak labu saya sudah berumur empat minggu. Berdasarkan pengalaman lalu, labu saya mula mengeluarkan bunga jantan pada umur lapan minggu. Pada waktu itu, saya tanam labu terus di atas tanah. Sepanjang hayatnya, hanya sekali sahaja ia mengeluarkan bunga betina. Setelah beberapa bulan menunggu bunga betina, akhirnya saya putus asa dan musnahkan saja pokok labu saya. Sedih betul rasanya. Tapi, inilah namanya dugaan berkebun. 
Minggu keempat
Minggu keempat
Setelah empat minggu, anak pokok labu saya ini sudah setinggi hampir satu kaki dan tinggal hanya tiga sahaja dalam satu pasu. Seperti pokok timun tua saya, saya berhajat hendak simpan dua anak pokok saja. Setiap hari disiram waktu pagi sementara petang hujan akan turun. Seluruh dasar pokok disungkup dengan daun-daun kering yang tebal supaya air dalam tanah tidak cepat tersejat. Hujung minggu ini akan dibaja. Kalau berjaya berbuah, untunglah saya. Benih datang dari labu dibeli dari pasar tumbuh menjadi pokok dan berbuah. Modal yang digunakan hanya untuk baja sahaja. Medium tanaman pula adalah tanah-tanah dari pasu lama yang di baik pulih dengan campuran kompos dan baja tinja ayam. Pasu pula guna pasu sedia ada di rumah. Harapnya kuatlah semangat nak menjaga pokok labu saya ini.



posted from Bloggeroid

Rabu, 19 November 2014

Benih Timun Tua

Masa saya kecil dulu, seingat saya mak saya agak jarang menghidangkan timun tua dalam menu seharian kami. Saya hanya mula kerap menggunakan timun tua sejak saya berkahwin dengan suami saya kerana mak mertua saya sering masak asam timun tua. Resipinya mudah sahaja. Tumbuk bawang merah bersama ikan bilis dan cili padi. Rebus bahan yang ditumbuk dengan timun tua yang dah dibuang bijinya dan kulitnya. Masukkan juga asam keping. Suami saya gemar makan asam timun tua ini dengan ikan pelaling goreng. Kadang kala saya masak lemak tempoyak dengan ikan sungai atau asam pedas tumis.

Minggu Pertama
Dulu-dulu saya ingat timun tua ini adalah timun yang dibiarkan masak sehingga kuning. Rupanya tidak sama sekali. Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil Yellow Chinese Cucumber. Ia sekeluarga dengan timun sama seperti tembikai dan labu. Bulan lalu, saya ada taburkan biji timun tua ke dalam tong kompos saya. Doa saya kalau menjadi biji benih yang saya taburkan ini, saya akan pindahkan ke pasu dan harapnya ada semangat jaga sampai berbuah. Harapan saya bijinya bertunas tidak tinggi kerana kadangkala buah dituai petani sebelum matang jadi mungkin benihnya juga agak kurang matang. akhirnya selepas seminggu keluarlah tunas benih timun tua.

Minggu Pertama
Agak banyak juga tunas yang keluar. Saya alihkan lima anak benih yang paling sihat ke dalam satu pasu lain. Pancang juga saya sediakan. Harapnya pancang itu teguh. Di dasar pasu saya racik dengan daun-daun pokok kantan segar dan teduhkan dengan sungkupan jarang-jarang daun kantan. Bimbang anak benih kepanasan dek terik mentari dan tak teguh menahan rintisan air hujan. Alhamdulillah bertahan ke minggu kedua.

Mingggu Kedua
Dari minggu kedua membawa minggu ketiga. Hujung minggu ini sudah masuk minggu keempat. Nampak semakin teguh anak pokok timun saya. Asalnya ada lima anak benih, sekarang tinggal tiga. Setiap minggu saya akan buang satu anak benih yang paling kecil dan lambat pertumbuhannya supaya kurang persaingan anak benih yang sihat. Dalam tiga yang tinggal, ada satu nampak gayanya akan kecil sedikit. Saya akan alihkan dia ke pasu lain sebagai back-up. Perancangannya nak biarkan dua sahaja hidup berjaya sehingga berbuah. 

Minggu Keempat
Pokok timun ini perlukan baja dan air yang banyak sepanjang hayatnya. Setiap minggu saya siram dengan baja enzim dapur. Semasa dipindahkan ke pasu pada awalnya memang tanah dah digaul kompos dan baja tinja ayam. Setiap hari di siram pagi dan petang. Hujung minggu ini perlu ditambah lagi baja tinja ayam. Tak sabar rasanya menunggu bunga pertama keluar.


posted from Bloggeroid

Isnin, 17 November 2014

I HEART You Rose..

Sabtu lepas, kudup bunga ros saya masih belum kembang. Tengah hari Ahad, kudup bunga ros saya rupanya telah kembang penuh. Bunganya tidak secantik kali pertama ia berbunga, mungkin lewat petang Sabtu dia telah mula berkembang dan tengah hari itu bunganya telah melalui fasa akhir perkembangan. Namun saya tetap puas hati dan bersyukur. Segar mata memandangnya walaupun hanya sekuntum. Kudup kecil semakin membesar. Mungkin hujung minggu ini berkembang lagi. Pucuk-pucuk baru juga makin menumbuhkan daun-daun baru. Putik-putik bunga baru belum muncul lagi. Kalau ada rezeki pucuk-pucuk baru mengeluarkan kudup bunga, nampaknya bertali aruslah bunga ros saya berbunga saban minggu. 




Selasa, 11 November 2014

Ros Yang Keseorangan


Sedikit masa dulu saya ada mempunyai dua pasu ros miniatur merah jambu dan sepasu ros merah jambu biasa yang wangi bila berkembang. Kemudian, saya tanam ros Jepun di pangkal dasar pokok-pokok ros saya sedangkan saya tahu pokok ros tidak boleh sama sekali berkongsi pasu dengan tanaman lain. Akibatnya, dua pasu ros miniatur saya mati. Dua minggu lalu saya keluarkan semua ros jepun dalam pasu ros merah jambu saya supaya ros saya yang tinggal itu tidak menerima nasib yang sama.



Selepas di tambah dengan tanah, saya sungkup pangkalnya dengan potongan batang pokok kantan supaya tanahnya tidak cepat kering. Selama dua minggu saya siram dengan air hujan bercampur enzim sisa dapur. Saya tidak siram setiap hari kerana sejak akhir-akhir ini hujan turun setiap hari kecuali jika tidak hujan malam saya akan siram pada waktu pagi. Setiap hari, ros saya terkena cahaya matahari sekitar awal pagi sehingga tengah hari. Saya pernah letaknya di kawasan terkena sinaran matahari dari pagi sehingga lewat petang namun daunnya cepat kering. Ros jika tidak boleh terlalu rapat dengan pokok lain kerana pangkalnya perlukan pengudaraan yang baik.



Sejak dua tiga hari yang lalu pokok bunga ros saya ini dah mula keluarkan dua kudup bunga. Kelihatan beberapa pucuk baru yang sihat juga telah keluar. Nampaknya akan banyak kudup ros baru akan keluar bersambung-sambung. Hati saya melonjak gembira. Tidak lama lagi berserilah laman saya. Hajat nak menambah koleksi bunga ros perlu dilupakan seketika. Maklumlah, kami ni menyewa rumah kerajaan, bila-bila masa saja boleh berpindah. Renyah rasanya nak memindahkan pasu-pasu. Tapi semangat nak berkebun sentiasa berkobar-kobar.

Jumaat, 7 November 2014

Buat Header Blog Dengan PowerPoint

Kadang-kadang bila bosan teringin nak tukar header blog. Tapi masalahnya komputer yang ada tidaklah secanggih mana. Perisian yang ada pun asas sahaja. Kita ni bukanlah pandai sangat nak faham jargon Internet sehinggalah pada suatu hari ‘terjadi’ bijak pandailah pula. Timbul idea nak buat header blog menggunakan perisian Microsoft PowerPoint.

Langkah 1, 2 dan 3 :


Buka fail baru dalam PowerPoint. Setkan saiz yang bersesuaian dengan saiz header. Klik tab ‘Design’. Pilih ‘Page Setup’ dan tentukan saiz header. Saiz header bergantung pada saiz skrin komputer anda. Untuk komputer saya, saiz yang sepadan adalah 32 cm x 5 cm.

Setelah disetkan, ada boleh menghias header anda dengan memasukkan gambar, bentuk tulisan yang cantik dan pelbagai lagi mengikut daya kreativiti anda.

Langkah 4:


Simpan fail anda dalam bentuk JPEG.

Langkah 5 dan 6:


Dalam dashboard blog, klik ‘Layout’ dan kemudian klik ‘Edit’ pada bahagian pengatas/header.

Langkah 7 dan 8:


Klik ‘Choose File’ dan pilih fail JPEG yang anda simpan sebentar tadi. Pilih pilihan kedua untuk memastikan fail JPEG anda sahaja yang menjadi header.

Langkah 9 dan 10:


Klik ‘Save’ dan ‘Preview’. Jangan bimbang sekiranya header terlalu pendek atau terlalu panjang. Ulang semula langkah pertama untuk setkan saiz header. Mungkin perlu beberapa kali percubaan. Tapi inilah cara paling mudah dan murah tanpa perlu install perisian baru yang lebih kompleks penggunaannya.


Setelah berpuas hati, hayatilah hasil kerja anda pagi, petang, siang dan malam. Selamat mencuba!

Khamis, 6 November 2014

Si Merah Jambu Terang


Bunga raya merah jambu mini ini saya jarang-jarang ambil kisah. Tapi risau juga kadang-kadang kelihatan ada dahan yang mati. Cepat-cepat saya pangkas bimbang berpenyakit. Baru-baru ni saya perasan ada banyak putik bunga yang keluar. Mungkin kerana sekarang Putrajaya kerap ditimpa hujan pada waktu petang. Pagi disimbah sinaran matahari terang, petang disirami air hujan pula. Sudah dua kali hujung minggu saya siram pokok-pokok di laman rumah dengan baja enzim sisa dapur atau lebih dikenali sebagai MOL. Saya kurang pasti pula adalah disebabkan pengaruh keadaan mikro iklim yang agak baik sekarang atau keberkesanan MOL saya itu. Yang pasti memang agak banyak putik bunga yang keluar berbanding kebiasaan.

Warna merah jambu terangnya memang cantik. Kelihatan seperti gadis genit berada di laman sesuai dengan saiznya. Hajat saya nak menambah koleksi bunga raya masih belum dapat direalisasikan. Maklumlah, kami tinggal di rumah kuarters. Bila-bila masa sahaja mungkin berpindah. Belum mampu nak angkut semua pasu-pasu berpindah ke rumah baru.





Isnin, 3 November 2014

Pokok Ati-Ati (Coleus) Pertama Saya



Pokok ati-ati ini saya dapat dari rumah mertua saya. Saya ambil benih dengan mematahkan pucuknya kira-kira sejengkal. Sampai saja di rumah, segera saya rendamkan di dalam air pangkalnya. Setiap hari airnya ditukar ganti. Setelah hampir seminggu tiada tanda akar akan muncul. Pangkalnya pula hampir lembik. Segera saya cucukkan ke atas tanah di bawah lindungan. Kawasan tanah semaian itu menerima pancaran matahari pagi. Hampir dua minggu ia di sana bersama-sama keratan ati-ati yang lain. Ada dua warna. Yang ini dan satu lagi ungu gelap warnanya. Ati-ati berdaun gelap itu masih terlalu kecil. Kira-kira lebih sedikit dari satu inci. Itu sahaja yang sempat diselamatkan kerana pangkalnya lembik tak dapat diselamatkan. 

Ati-ati berdaun hijau merah ini ada dua anak pokok kecil yang berjaya hidup dalam kotak semaian. Hujung minggu lalu sempat dialihkan ke pasu. Setelah dialihkan ke dalam pasu, ati-ati diletakkan di kawasan yang kena cahaya matahari dari pagi hingga lewat tengah hari. Harapnya warna merah daun lebih menyerlah kerana ati-ati sukakan cahaya matahari.

Dari http://thepuregardener.blogspot.com/2010/03/miniature-topiaries-are-here.html
Hajat di hati hendak membentuk ati-ati ini menjadi topiari. Melalui pembacaan saya, pokok ati-ati yang tumbuh menegak diperlukan untuk membentuk topiari. Anak pokok dibiarkan hidup tumbuh menegak sehingga mencapai ketinggian yang diingini. Cantas semua pertumbuhan dahan di bahagian tepi pokok. Setelah mencapai ketinggian yang sesuai, pangkas pucuk pokok bagi menggalakkan pertumbuhan dahan baru. Buang pucuk-pucuk baru setiap kali keluar dahan baru untuk menjadikan hujung pokok lebih “bushy”. Saya harap saya berjaya.

Rujukan:
  1. How to make a coleus topiary
  2. How to Make a Coleus Topiary


posted from Bloggeroid

Sabtu, 1 November 2014

Bunga Telang & Nasi Lemak Biru



Telang saya berbunga agak lebat sejak akhir-akhir ini. Setiap hujung minggu saya akan pangkas pucuknya untuk menambahkan cabangnya. Bunga dikutip segera setiap hari dan dibiarkan kering di dalam peti. Bila tiada bunga untuk berkembang menjadi kacang, makin galak ia berbunga. Hari ini koleksi kutipan bertambah lagi. Rancangannya hendak dijadikan pewarna nasi lemak.





Inilah hasil kutipan sehingga pagi ini. Itupun banyak juga layu di pokok tidak dikutip mutakhir ini. Saya rebus seketika sehingga bunga hampir tidak berwarna. Air rebusan ditapis dan digunakan menanak nasi selain santan. Beras ditanak juga dengan bawang putih, hirisan bawang kecil, daun pandan dan diperasakan dengan sedikit gula serta garam. Saya suka juga masukkan sedikit halba bagi menambah keharuman.





Puas hati dapat makan nasi lemak biru. Rasanya sama saja dengan nasi lemak biasa tapi cukup teruja dengan warnanya. Tambahan pula bunganya datang dari laman sendiri. Teramat puas hati.
posted from Bloggeroid

Rabu, 29 Oktober 2014

Erti Kepentingan


Minggu lalu saya berpeluang menjadi sebahagian daripada penggerak satu mesyuarat penting yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri. Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh wakil-wakil Persekutuan dan wakil-waktu iaitu termasuklah beberapa YB Menteri-Menteri dan juga semua YAB Menteri Besar/Ketua Menteri. Bukan perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut yang saya hendak ceritakan tapi ada satu perkara lain yang buat saya berfikir.

Usai mesyuarat tersebut, seseorang daripada pejabat sekitar bertanya kepada saya apa output daripada mesyuarat tersebut. Oleh kerana saya tidak berada dalam bilik mesyuarat, saya maklumkan bahawa mungkin beberapa perkara mungkin memerlukan pertimbangan lanjut memandangkan setiap ahli mempunyai kepentingan masing-masing. Bagi yang belum jelas, kepentingan yang maksudkan di sini adalah kepentingan Persekutuan dan kepentingan Negeri. Untuk pengetahuan, tanggungjawab serta hak-hak Persekutuan dan Negeri ada dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Konflik kadangkala timbul apabila kedua-dua pihak mempunyai perspektif berbeza dalam menangani satu isu. 

Berbalik kepada perbualan ringkas saya tadi. Respons yang diberikan oleh pegawai tersebut membuatkan saya tersentap.

“Sebenarnya kita semua salah. Tidak wujud kepentingan Persekutuan atau kepentingan Negeri. Yang wujud hanyalah kepentingan negara. Betul tak?

Saya tersenyum. Banyak lagi yang perlu saya belajar dalam menentukan kepentingan dalam hidup. Kepentingan saya buat masa sekarang adalah keluarga walaupun kadangkala tingkah laku saya tidak mencerminkan begitu. Dalam hidup, kita perlu tahu membezakan kehendak dan keperluan. Sudah tentu, keperluan mempunyai kepentingan lebih berbanding kehendak. Ada masanya memenuhi keperluan orang lain lebih penting berbanding memenuhi keperluan diri sendiri. Kepentingan sesuatu perkara bagi setiap individu adalah berbeza. Bagaimana untuk mengatur setiap kepentingan adalah bergantung pada kebijaksanaan masing-masing.


Selasa, 28 Oktober 2014

Bersarapan Dengan Bijirin Oat

Sejak akhir-akhir ni dah jemu makan sarapan nasi lemak dari kafeteria. Pilihan pun tak banyak. Kalau tak makan sarapan nanti sakit perut pula. Lebih baik tak makan tengah hari daripada tak sarapan. Penyelesaian termudah adalah makan oat untuk sarapan. Di rumah memang tersedia bijirin oat segera sebab saya suka tambahkan oat dalam minum MILO saya untuk lebih kenyang. Setakat hari ini sudah tiga kali saya bersarapan dengan oat dalam tempoh dua minggu. Maksudnya tidaklah setiap hari. Jemu rasa tekak makan oat setiap hari. Yang bagusnya perut terasa kenyang lebih lama dan rasa lebih selesa berbanding jika bersarapan dengan nasi lemak mewah dengan sambal. Tambahan pula, perut saya kerap berasa senak sejak kebelakangan ini. Makan oat untuk sarapan sedikit melegakan mungkin kerana kandungan serat yang tinggi.

Oat, susu, pisang, Nutella, kuaci dan madu asli.

Makan oat begitu sahaja memang agak membosankan. Hari pertama saya cuba gabungkan oat, susu, hirisan pisang, sedikit madu asli, sesudu Nutella dan sedikit taburan biji bunga matahari panggang iaitu kuaci. Semua bahan ini memang ada di dapur. Hari itu saya bersarapan tanpa kos. Kenyang sehingga tengah hari. Waktu tengah hari saya makan kuew tiow sup sahaja untuk supaya tidak terlalu lapar lewat petang nanti.

Oat, susu, mulberi, kurma dan kuaci.
Kali kedua bersarapan dengan oat saya campurkan campuran oat dan susu dengan mulberi yang dipetik dari laman saya. Campurkan sedikit cencangan kurma dan sedikit kuaci. Jimat lagi dengan sarapan tanpa kos. Hari ini saya bersarapan dengan oat lagi. Kali ini saya campurkan mangga masak dan kuaci sahaja. 

Oat, susu, mangga dan kuaci.
Memang mudah bersarapan dengan oat. Sebelum keluar rumah, isikan secawan penuh oat ke dalam bekas. Masukkan secawan lebih sedikit susu dan masukkan potongan kecil buah-buah segar atau frozen. Untuk tambahkan crunch pada oat, tambahkan kekacang panggang. Sampai di pejabat, terus makan. Dalam perjalanan ke pejabat, oat sudah kembang dengan susu. Jika suka, tambahkan manisan asli seperti madu. Susu yang saya gunakan adalah susu full cream.

Hasil godek-godek di Internet, di sini saya nak berkongsi cara untuk menjadikan bijirin oat lebih enak:

  1. Tambahkan buah-buahan segar atau frozen fruit. Saya telah cuba mulberi, pisang dan mangga. Buah-buahan menambahkan variasi kepada rasa dengan rasa masam dan manis yang menyegarkan.
  2. Tambahkan buah-buahan kering seperti kismis dan kurma. Setakat ini saya sudah cuba kurma dan sedang berkira-kira untuk masukkan halwa kundur atau halwa halia. Buah tin kering atau aprikot kering juga pasti sedap.
  3. Tambahkan kekacang untuk menambahkan crunch kepada bijirin. Memandangkan kuaci sahaja yang di dapur, saya belum berkira-kira nak menggunakan kekacang lain namun kacang badam mungkin pilihan selepas ini. Pasti enak setelah dipanggang rangup.
  4. Maniskan dengan pemanis asli seperti sirap mapel atau madu. Madu sebagai pemanis semula jadi sendiri mempunyai pelbagai variasi rasa dan punya khasiat yang pelbagai. Saya sudah cuba masukkan madu asli ke dalam bijirin oat saya. Mungkin selepas ini saya mahu cuba madu variasi lain pula. Kalau cuba nisan kabung juga pasti menarik.
  5. Pelbagaikan rasa dengan rempah ratus. Ada banyak rempah ratus yang sesuai untuk bijirin sarapan yang manis. Saya sedang berkira-kira untuk sira pisang dengan sedikit bunga cengkih atau sira labu dengan sedikit rempah kulit kayu manis ataupun inti epal pai digandingkan bijirin oat. Menaip sahaja dah buat saya terliur.
  6. Seterusnya cuba masukkan jem buah-buahan atau sapuan roti untuk tambahan variasi rasa. Nuttela yang saya masukkan ke dalam bijirin oat saya memang menaikkan selera berbanding bijirin yang hambar. Mungkin selepas ini boleh cuba pelbagai jem lain seperti jem mulberi atau jem roselle. Rasa masam manis boleh mengejutkan deria rasa.
  7. Tambahan yang seterusnya mungkin agak ekstrem. Cuba masukkan ais krim, serpihan bar coklat, marshmallow atau cip coklat. Yang ini mungkin saya kurang teruja nak cuba sebab saya kurang sukakan makanan manis. Tapi sesekali apa salahnya.


ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...