adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Khamis, 31 Oktober 2013

Ayam Percik Panggang ala - Ayamas

Dalam seminggu, saya akan masak makan malam sebolehnya pada kebanyakkan hari. Sejak saya kerap masak sendiri selepas melahirkan Alif, Ameer lebih suka makan masakan di rumah walaupun sekadar mee goreng biasa. Bukannya saya tidak memasak sebelum ini, cuma agak jarang sehinggakan setiap kali lapar, Ameer akan minta babahnya beli makanan di kedai makan. Saya faham niat suami beli makanan di kedai kerana tidak mahu menyusahkan saya. Tapi, ibu mana tak sedih apabila anak-anak lebih mengutamakan makanan dari kedai makan dari masakan ibunya. Alhamdulillah Ameer tidak pernah lupa puji masakan ibu yang tidak seberapa. Lagipun masakan di kedai bukanlah sedap sangat sampai kadangkala buntu memikirkan apa yang dimakan. Setelah penat fikir, rasanya mengecewakan anak tekak pula. Labih baik penat memikir apa yang hendak dimasak. Sekurang-kurangnya puas hati hasil air tangan sendiri. 


Biasanya saya tidak masak ayam setiapa hari atau ikan setiap hari. Protein utamanya mesti diselangseli. Kalau tidak jemu pula. Jadi semalam giliran ayam. Ayam itu akhirnya diputuskan untuk dimasak percik. Ayam percik yang saya inginkan tidak berkuah. Maksudnya rencah percik itu dipanggang bersama ayam sehingga meresap rasa rencahnya. Teringat pula kesedapan Ayam Percik Ayamas. Setelah dihadamkan beberapa resepi yang ada, inilah resepi Ayam Percik Panggang Ala-Ayamas versi saya.

Bahan-bahan Perapan Ayam:
Setengah ekor ayam diperap dengan garam, lada sulah, serbuk kunyit dan seinci hali yang ditumbuk halus. Perap dalam 10 hingg 20 minit.

Bahan Tumisan:
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
½ inci halia
½ inci kunyit hidup
Sebatang serai dimayang halus
3 biji cili kering direndam dalam air panas
½ cawan santan pekat
Garam
1 keping  asam keping
1 sudu besar gula merah

Cara Penyediaan:
Dengan api yang sederhana, panggang ayam yang diperap. Dalam masa yang sama, kisar bawang merah, bawang putih, halia, kunyit, serai dan cili kering. Setelah dikisar, tumis bahan kisaran hingga pecah minyak. Masukkan santan dan asam keping. Renih sehingga pekat dan perasakan dengan garam dan gula merah. Tutp api dan curahkan sedikit demi sedikit pada ayam yang sedang dipanggang dan ratakan pada keseluruhan ayam. Masak sehingga ayam cukup masak. Rehatkan ayam seketika sebelum potong. Hidangkan dengan nasi putih dan salad.

 
Menjadi masakan ayam saya ini. Rencahnya meresap ke tulang. Isi ayamnya berjus dan sedang elok masaknya. Cuma masin sedikit. Elok dikurangkan masin dalam kuah kerana perapan ayam telah diletakkan garam. Setengah ekor yang saya masak sedang elok cukupnya untuk saya, suami, Ameer dan Ahmad. Lepas ini bolehlah cuba lagi!

Selasa, 29 Oktober 2013

Donut Lemon Tanpa Telur - Bombe Fritte (Italian Doughnut)



Saya suka makan donut. Namun bukanlah setiap kali makan mesti makan donut gebu yang berjenama. Sesekali mahu juga makan donut biasa-biasa aja. Namun seringkali donut yang dijual di kafeteria menepati citarasa anak tekak. Saya sukakan kelainan dari segi rasa donut. Maka saya pun cubalah resepi Bombe Fritte. Bombe Fritte adalah sejenis donut goreng yang sering disajikan sewaktu musim perayaan orang-orang Itali. Ia mempunyai rasa lemon yang enak. Kali pertama saya buat adalah ketika habis berpantang selepas melahirkan Ahmad. Ahmad sudah berumur dua tahun. Maksudnya sudah dua tahun sehingga saya buat sekali lagi hujung minggu lalu. Rasa lemon donut ini buat saya teringat-ingat. Resepinya mudah seperti di bawah.

Bahan-bahan:

1 cawan susu
5 sudu besar gula
½ sudu teh garam
4 cawan tepung gandum
1 ¼ sudu teh yis
1 sudu teh parutan kulit lemon
1 sudu teh esen vanilla
7 sudu mentega

Cara penyediaan:

Panaskan susu sehingga sedikit suam dan masukkan gula. Kacau sehingga gula larut dan tutup api. Adunkan setengah sukatan susu suam dan yis serta satu sudu tepung. Kacau sebati dan ketepikan sehingga adunan menjadi sedikit berbuih. Sementera itu, larutkan garam ke dalam lebihan susu. Setelah campuran yis telah sedia, masukkan tepung, parutan lemon dan esen vanilla. Adun sebati dan masukkan mentega yang telah lembut. Adun sebati dan ketepikan sehingga adunan menjadi berganda. Uli dan terapkan adunan tersebut. Biarkan seketika hasil terapan sehingga mengembang. Goreng adunan sehingga keperangan. Hidangkan setelah disaluti dengan gula.

Video di bawah ini ada menunjukkan kaedah penyediaan donut lemon ini. Lebihan adunan tu saya tetap terapkan juga tapi sebelum uli semula dibiarkan seketika dalam 10 minit dan terap semula. Saya gunakan penerap bentuk beruang supaya nampak menarik.


Saya hanya gorengkan separuh sahaja untuk dimakan pada petang Ahad itu. Ameer makan 10 ketul! Dia memang penggemar donut sejati. Dia lebih sukakan donut lemon ini tanpa gula. Tambahan pula, donut ini tiada telur jadi tiadalah bau hanyir dari telur. Mungkin rasa semulajadi lemon sudah cukup buatnya. Dari satu adunan boleh dapat kira-kira 50 ketul donut bentuk beruang. Baki yang tidak dimakan digoreng separuh masak dan dibekukan setelah sejuk. Maka dapatlah donut lemon sejuk beku yang boleh dimakan bila-bila masa setelah dipanaskan semula. Sambil menulis inipun masih teringat-ingat rasa donut lemon yang gebu.


Jumaat, 18 Oktober 2013

Rimba Sayuran Menghijau

Hari ini saya cuma mahu berkongsi gambar tanaman ayah saya yang subur menghijau. Cemburu betul saya dibuatnya. Sawi ayah saya galak berbunga. Manis apabila emak masak tumis dicampur dengan pecahan telur. Kangkung juga galak tumbuh. Emak saya masak pecal kangkung dan sekali-sekala digoreng sahaja atau dibuat rencah nasi goreng.  Ulaman seperti pudina, pegaga dan kesum menjadi tanaman sungkupan. Cili pula jenuh dikutip sampai dibiarkan masak atas pokok saja. Kobis masih banyak walaupun telah berkali dikutip. Kailan pun banyak juga tapi saya rasa agak pahit kailan ini. Selasih Thai pula tumbuh subur dengan daun yang gemuk-gemuk. Tanaman baru yang ada di batas ini adalah lobak merah, daun sup dan sawi putih. Tengok-tengoklah gambar yang ada buat cuci mata penggilap motivasi. Nak harapkan kebun sendiri tinggal lalang saja yang tumbuh. Keluar rumah hari masih gelap. Sampai rumah hari dahpun gelap. Bilalah agaknya ada masa nak berkebun kembali.













Jumaat, 11 Oktober 2013

Hari Terakhir Percutian Hujung Minggu Di Melaka

Maafkan saya kerana masih belum bercerita tentang percutian hujung minggu kami ke Melaka. Saya janji, ini catatan yang terakhir. Memang niat di hati hendak pecahkan cerita percutian kami dalam beberapa catatan pendek supaya tidak lupa dan segar dalam ingatan apabila cuba diimbau kembali di masa hadapan. Saya tidak mahu pengalaman percutian kami sekeluarga dilupakan begitu sahaja. Walaupun kecil di mata orang namun besar di hati kami terutama anak-anak. Sampai hari ini anak-anak masih mengajak bermain layang-layang kerana sangat terkesan dengan pengalaman bermain-main layang. Itulah memori indah anak-anak saya.


Selepas sarapan dan daftar keluar dari hotel penginapan, kami mula bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Zoo Melaka. Zoo Melaka adalah antara zoo yang diuruskan oleh Kerajaan Negeri yang agak terkenal di Malaysia selain Zoo Taiping. Keluasan zoo ini agak kecil berbanding Zoo Taiping. Tram hanya melakukan satu pusingan mengelilingi zoo ini. Bagi yang ingin berjalan kaki, cuaca agak terik pada hari itu. Jadi kami hanya menaiki tram sahaja dan berjalan kaki sedikit ke kawasan kawanan gajah, haiwann kegemaran anak-anak. Pada hujung minggu, ada persembahan burung pada setiap jam 11 pagi, 2 petang dan 4 petang. Kami sudah terlepas persembahan pertama dan tidak pula menunggu untuk persembahan kedua. Tambahan pula anak-anak juga kelihatan agak penat untuk berjalan kaki mengelilingan kawasan zoo.




Dari Zoo Melaka, kami bergerak ke Pusat Pengurusan Penyu Padang Kamunting. Tempat ini adalah di bawah pengurusan Jabatan Perikanan Negeri Melaka dan dibuka kepada lawatan orang awam dari jam 10.30 pagi hingga 4.00 petang. Saya memang merancang ke sini untuk bawa anak-anak melihat penyu dengan lebih dekat. Setibanya di sana, anak-anak pula nyenyak tidur. Maka tidak sampai hati hendak dikejutkan. Kami Cuma menyusuri Pantai Pengkalan Balak dengan kereta. Di Pantai Pengkalan Balak ini banyak kelihatan gerai makanan dan chalet-chalet kecil untuk disewakan. Kawasan ini sesuai untuk keluarga yang ingin menghabiskan cuti hujung minggu di pantai. Di pesisir pantai ini dapat dilihat beberapa kawasan dipagarkan kerana di sana terletaknya kawasan penetasan telur penyu. Pantai Pengkalan Balak ini bersambung dengan kawasan pantai Tanjung Bidara. Bandar yang paling dekat dengan kawasan ini adalah Bandar Masjid Tanah. Saya pernah tinggal di bandar ini selama setahun kira-kira 12 tahun lalu. Waktu itu saya hanyalah pelajar Kolej Matrikulasi Londang yang hanya ke bandar sebulan sekali sahaja. Kunjungan ke Tanjung Bidara hanya sekali sahaja pada waktu itu, itupun dengan keluarga.

Memandangkan kami belum makan tengahari, maka kami singgah di Kedai Makan Tepi Pantai Mak Jah yang terletak kurang dari 100 meter dari Pondok Polis Pengkalan Balak. Pelbagai menu makan ditawarkan antaranya pelbagai nasi goreng, pisang goreng, laksa, rojak buah dan aneka kuih-muih. Saya makan Nasi Goreng Ayam yang begitu sedap. Suami saya menikmati Laksa Asam yang pekat kuahnya dengan isi ikan. Kami juga makan pisang goreng dan rojak buah. Sudahlah makanannya sedap-sedap belaka, bayu pantai pula menghembus sepoi-sepoi bahasa. Anak-anak pun mengambil kesempatan bermain layang-layang. Angin cukup kuat di sini sehingga layang-layang Ahmad terbang jauh tidak dapat dikesan. Ada juga pelawat bermandi-manda di pantai ini. Di hujung tanjung, ada sebuah kelab kapal layar dan ramai juga dilihat bermain layar di sana.





Khamis, 10 Oktober 2013

Makanan Penambah Kualiti dan Kuantiti Susu Ibu

Sudah menjadi kebiasaan ibu-ibu yang menyusukan anak akan cuba mencuba pelbagai jenis makanan yang dapat meningkatkan kualiti dan juga kuantiti susu ibu. Saya juga tidak terlepas. Kali ini saya akan kumpulkan semua maklumat yang saya dapat melalui pembacaan dan pelbagai sumber yang boleh dipercayai mengenai makanan yang boleh menggalakkan pengeluaran susu ibu dan juga yang mampu meningkatkan nilai nutrisi susu ibu. Jenis makanan tersebut disebut sebagai makanan laktogenik. Jenis makanan ini membantu penyusuan dalam pelbagai cara. Makan makanan yang mempunyai nilai kalori yang mencukupi dan punya nilai nutrisi yang tinggi bukan sahaja membantu membekalkan tenaga yang mencukupi bagi ibu yang menyusukan malah membantu dari membekalkan bahan penggalak kepada pengeluaran susu. Bahan-bahan ini membekalkan mineral dan lemak yang seimbang bagi memastikan sel-sel dan saraf ibu berfungsi dengan baik pada tahap yang optima.

Berikut adalah senarai makanan tersebut. Rakan-rakan boleh klik “Ctrl F” dan taip nama makanan yang anda cari. Pencarian rakan-rakan akan menemui nama makanan tersebut jika ianya disenaraikan di dalam artikel ini.

Jintan

Jintan boleh dimakan dalam dua bentuk iaitu bijinya sebagai rempah manakala bebawangnya sebagai sayuran. Bebawangnya boleh dimasak dengan kaedah stim, tumis layur atau rebusan. Biji jintan dikenali sebagai salah satu herba yang dikatakan mampu meningkatkan pengeluaran susu ibu. Selain daripada itu juga, jintan manis berupaya merawat ketidakhadaman dan masalah angin di dalam perut. Ciri-ciri ini juga turut disalurkan kepada bayi melalui penyusuan susu ibu bagi merawat bayi yang mengalami kolik. Jintan manis juga dapat membantu menyelesaikan masalah berkaitan menstrual wanita. Ia juga dipercayai dapat membantu meningkat kadar metabolisma seseorang secara tidak langsung membantu membakar lebih kalori dalam badan seseorang.

Bacaan Lanjut
Lobak merah, bit dan keladi

Ubi berwarna merah ini kaya dengan kandungan beta-carotene di mana ianya diperlukan dalam kuantiti yang lebih banyak sepanjang penyusuan. Biji lobak merah guna digunakan sebagai bahan penambah susu ibu. Sayuran ini mengandungi minyak asli dan juga phytoestrogen, iaitu sejenis bahan seumpama estrogen dari tumbuhan yang mengimbangi kandungan hormon estrogen di dalam badan wanita yang membantu penyusuan. Bit adalah sumber mineral dan zat besi yang baik. Pengambilan bit secara mentah dapat membantu menghindari masalah kekurangan zat besi.

Artikel ini akan kerap dikemaskini untuk manfaat bersama. Sebagai ibu yang mahukan hanya yang terbaik untuk anaknya, kita hanya mencuba dan bertawakal, segala yang berlaku adalah di atas kehendak Allah jua.

Buah Mulberi Mulai Meranum - Minggu 7



Minggu ini masuk minggu ketujuh umur pokok mulberi saya sejak disemai. Sekarang cuma tinggal lapan anak pokok sahaja. Tiga anak pokok lagi telah mati kekeringan di peringkat awal semaian kerana kekeringan. Alhamdulillah perkembangan anak-anak pokok yang tinggal agak baik. Cuma keadaan di dalam pasu agak sesak sedikit. Sebanarnya saya berhasart untuk memberikan lima dari anak pokok ini kepada rakan-rakan sepejabat. Namun dek kerana kekangan masa, saya masih belum berpeluang untuk mengalihkan anak-anak pokok ini. Bimbang pula anak pokok mati setelah dialihkan. Tambahan pula hujung minggu ini kami sekeluarga akan pulang ke kampung. Mungkin minggu depan akan diusahakan juga kerja mengalih anak pokok ini.


Sungguh mudah menjaga pokok mulberi ini. Hanya perlu disiram sekali sehari sejak disemai. Pokoknya memerlukan cahaya matarahi penuh sepanjang hari dan tahan cuaca panas. Setelah dialihkan pokok-pokok mulberi pasti pertumbuhannya menjadi lebih galak kerana kurang persaingan ruang untuk akar terus tumbuh. Lepas itu bolehlah kerap dipangkas agar rimbun dan menggalakkan pokok untuk menghasilkan lebih banyak buah.


Sudah agak lama anak pokok mulberi saya berputik buah. Dalam minggu ini kelihatan putik-putik buah sudah kelihatan mula berubah kemerahan. Saya sabarkan diri supaya tidak segera petik sehinggalah buahnya berubah warna hitam. Mujurlah putik-putik buahnya tidak dibaham semut-semut hitam. Setakat ini ada empat biji buah yang sedang ranum.

Isnin, 7 Oktober 2013

Menikmati Pemandangan Sungai Melaka Pada Waktu Malam

Sudah seminggu berlalu tapi masih belum habis bercerita tentang percutian hujung minggu di Melaka minggu sudah. Saya minta maaf pada yang jemu mengikutinya tetapi terima kasih kepada yang masih sudi baca sampai habis. Minggu ini agak sibuk. Terima kasih diucapkan kepada beberapa rakan yang sudi tinggalkan ulasan pada beberapa catatan saya. Saya minta maaf masih belum punya masa lebih untuk balas ulasan. Saya ada juga baca catatan rakan-rakan di blog masing-masing tapi agak sibuk untuk tinggalkan ulasan. Saya juga minta maaf kerana sejak akhir-akhir ini tiada catatan tentang kebun. Kebun juga sudah tidak terurus. Hasil pun adalah sedikit. Walau bagaimanapun, ini adalah sambungan cerita percutian hujung minggu kami.


Selepas seronok melayan anak-anak bermain layang-layang di Pantai Klebang, kami bergerak ke Bandaraya Melaka semula untuk menikmatai pemandangan malam Sungai Melaka dengan Malacca River Cruise. Kami sudah biasa menaiki perkhidmatan cruise ini pada waktu siang, sekarang kami inigin menikmatinya pemandangan pada waktu malam pula. Bagi yang belum pernah menaiki cruise ini, saya cadangkan jangan terlepas menikmatinya kerana berbaloi menikmati pemandangan Sungai Melaka dengan cruise sama ada waktu siang atau malam. Agak ramai pengunjung pada malam itu kerana beberapa kumpulan pelajar turut bersama beratur. Sedang saya beratur dengan mendukung anak kecil saya, tanpa disedari ada sekumpulan manusai yang tidak beradab telah memotong barisan betul-betul di hadapan saya tanpa saya sedari. Marah betul saya tapi jika diteruskan kemarahan saya itu membuang tenaga saja.


Apapun, pemandangan sepanjang Sungai Melaka pada waktu malam sungguh menarik. Bahagian belakang bangunan yang dicat putih turut dihisasi dengan lukisan graffiti. Lukisan graffiti yang dilukiskan memaparkan kebudayaan rakyat Melaka. Lukisna tersebut dilukiskan di bahagian belakang rumah-rumah kedai lama. Terdapat juga bahagian rumah-rumah kedai yang diubahsuai menjadi café butik hotel. Kita boleh melihat sekumpulan pelancong menikmati hidangan makan malam mereka dengan penuh bergaya di tebingan sungai. 


Di bahagian tengah perjalanan, ada sebuah taman hiburan yang dibangunkan. Agak menarik bagi yang berminat untuk meluangkan masa bermain permainan yang disediakan.


Di bahagian hujung perjalanan pula, terdapat sebuah perkampungan lama iaitu Kampung Morten. Kampung ini dipenuhi dengan rumah-rumah kampung dengan gaya senibina rumah Melayu lama yang maish dikekalkan ciri-cirinya dengan pengubahsuaian yang sangat minima. Kampung ini dilimpahi dengan cahaya lampu kalimatang yang menonjolkan ciri-ciri senibinanya khususnya kecantikan ukiran kayu dan bentuk bumbungnya.


Perjalanan cruise kami tamat agak lewat kerana beratur menunggu hingga sampai giliran memasuki bot agak lama. Rancangannya kami hendak menikmatai makan malam di Umbai, namun anak-anak tidur sebaik masuk ke dalam kereta kerana kepenatan. Maka kami menikmati makan malam kami di sebuah restoran asam peda di sekitar kawasan laksamana. Nama restoran tersbeut adalah Restoran Asam Pedas Claypot. Kedainya agak besar dengan begitu ramai pengunjung namun perkhidmatannya sangat cepat. Pelbagai jenis ikan disediakan untuk asam pedas. Kepada sesiapa yang ingin mencuba sama pedas claypot, bolehlah ke restoran ini.

Khamis, 3 Oktober 2013

Ibu, Macamana Bunyi "Zebra"?


Ameer tanye ibu macamana bunyi zebra. Ibu jawab tak tahu selepas fikir agak lama. Ameer pun kata "zebra bunyi dia mcm ni la.. Apro sekes apro sekes"- read: Afro circus afro circus! Hadoila anak!

Rabu, 2 Oktober 2013

Bermain Layang-Layang Di Pantai Klebang

Setelah anak-anak diberi peluang merehatkan diri seketika di dalam kereta sementara kami bersolat bergilir-gilir, kami pun bergerak meninggalkan Taman Merdeka. Mengikut perancangan asal, sepatutnya kami melawat Muzium Kapal Selam di Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang. Namun jam telah menghampiri jam 4 petang. Muzium tersebut tutup pada jam 4 petang. Maka kami batalkan rancangan untuk ke muzium tersebut. Kami sekeluarga bergerak ke rancangan seterusnya iaitu ke kawasan Klebang juga untuk menikmati ‘coconut shake original’. 

Kalau ke Klebang, cari stesen minyak Caltex. Di sana ada dibuka gerai ‘coconut shake’ untuk dijual bagi yang ingin ‘take away’. Bagi yang ingin menikmatinya sambil makan juadah minum petang, bolehlah masuk ke simpang berhampiran. Di sana ada gerai yang lebih besar siap dengan dua kaunter bayaran. Di gerai ini ada disediakan ruang tempat letak kereta yang luas. Bagi yang ingin menjamu selera, pelbagai jenis kuih ada disediakan. Antara juadah yang sedap adalah Nasi Lemak dan juga Pulut Kuning beserta rendang. Ambil makanan dan bayar dahulu sebelum menjamu selera. Sewaktu membuat bayaran, tempeh minuman yang anda inginkan. Selain ‘coconut shake’, gerai ini turut menjual air kelapa biasa dan air tebu. Pelbagai variasi air kelapa juga ada untuk dinikmati. Saya paling suka Nasi Lemaknya.



Kami kemudiannya bergerak ke Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang kira-kira jam 6.30 petang. Kawasan ini asalnya adalah kawasan perairan Selat Melaka yang kemudiannya ditambun oleh pihak Kerajaan Negeri untuk tujuan pembangunan. Pada masa ini, kawasan ini menjadi pusat rekreasi dengan menawarkan kawasan pantai memutih yang luas. Di kawasan ini banyak terdapat geria menjual layang-layang dan menjual makanan. Bagi yang ingin menunggang kuda, rakan-rakan boleh menunggang kuda sendirian dengan atau menaiki kereta kuda yang boleh memuatkan kira-kira 3 hingga 4 orang. 


Memandangkan hari telah lewat petang, maka anak-anak hanya dapat bermain layang-layang sekejap sahaja. Saat hari semakin kelam, angin pun sudah kurang bertiup. Pada waktu itu, pemandangan sungguh cantik. Subhanallah. Cantik sungguh ciptaan Allah.



Sedang Ameer leka bermain layang-layang, Ahmad tidak bergerak langsung dari celah pokok. Ke tengah tidak, ke tepi pun tidak. Ajak ke tempat duduk pun tidak mahu. Sebolehnya tidak mahu diangkat kakinya. Dia geli pasir masuk ke dalam seliparnya.


Selasa, 1 Oktober 2013

Kaki Saya Dah Nak MATI!


Setelah menamatkan penjelajahan Ducktour, kami beralih pula menjelajah Bandar Melaka dengan menaiki beca. Menaiki beca adalah antara aktiviti kesukaan suami saya. Pantang jumpa beca, mesti nak naik walaupun beca pusing tidak sampai 100 meter. Beca yang dipilih mestilah yang paling cantik. Memandangkan keluarga kami dah besar, maka kami ambil dua beca. Dengan bayaran sebanyak RM25, abang beca bawa kami ronda-ronda dari Menara Taming Sari melalui Taman Merdeka ke A’ Famosa. Dari A’ Famosa, abang beca akan melalui beberapa muzium sehingga sampai ke Muzium Samudera dan kembali ke Menara Taming Sari. Laluannya adalah sebahagian Heritage Trail Melaka. Untuk kali ini, kami minta abang beca hantar kami ke Muzium Samudera sahaja. Untuk pengetahuan, rakan-rakan boleh letak kereta di Taman Merdeka dan di sana rakan-rakan boleh menaiki Menara Taming Sari, mengikuti Ducktour dan menaiki beca di tempat mula yang sama. Jadi, tidak perlu risau mencari tempat letak kereta bagi setiap aktiviti. 


Usai melawat Muzium Samudera yang berangkai tiga itu dan makan tengahari, kami sekeluarga berjalan kaki ke Taman Merdeka. Taman Merdeka dinamakan sempena dengan peristiwa pengistiharan Malaya merdeka pada tahun 1957 di Dataran Pahlawan iaitu sebuah padang kecil di tepi taman ini. Dataran itu sudah tidak ada lagi dan dibangunkan dengan Dataran Pahlawan Mall.  Taman Merdeka ini merupakan sebuah taman bunga yang cantik sesuai menjadi tempat melepaskan lelah setelah penat berjalan. Di taman ini, ada disediakan surau dan tandas untuk kegunaan awam.

Di bahagian belakang Taman Merdeka ada Muzium Seni, Muzium UMNO Melaka, Muzium Setem, Muzium Senibina dan juga replika Istana Melayu Melaka. Di sini juga terdapat tinggalan pintu masuk utama ke Kota Merah iaitu A’ Famosa. Kota ini digelar Kota Merah kerana bahan binaan utama adalah batu semulajadi berwarna merah yang banyak terdapat di pesisir pantai Melaka. Anak-anak gembira berlari-lari di kawasan taman yang redup ini.




 

Antara tarikan yang menarik di sini adalah terdapat pameran keretapi Tanah Melayu, kapal terbang lama dan juga jentera bomba yang lama selain replika kereta lembu. Kebiasaannya inilah tempat menarik untuk mengambil gambar khususnya kanak-kanak.



 

Jika rakan-rakan berminat untuk berbasikal sekitar kawasan ini, khidmat menyewa basikat turut disediakan oleh pengusaha persendirian. Di sekitar kawasan ini juga rakan-rakan boleh menyewa basikal yang dikayuh berbaring ini.


Setelah penat berjalan, Ameer pun mula merungut.
“Ibu, mana kereta saya. Saya tak tau mana kereta saya. Saya nak balik (h)otel. Seluar saya dah basah air soya tumpah (sebenarnya setitik dua yang dah kering lebih sejam lalu). Saya dah penat ni. Kaki saya dah nak MATI.”
Ibu ketawa berdekah-dekah. “Mana adalah. Kaki abang takkan mati.” Hehehe.

Kebetulan kami memang dalam perjalan ke kereta untuk berangkat meninggalkan Taman Merdeka.


Melawat Rangkaian Muzium Samudera



Untuk lawatan kali ini, saya sengaja pilih untuk melawat Muzium Samudera sahaja. Di Melaka ini ada lebih dari 10 buah muzium pelbagai subjek. Memandangkan anak-anak masih kecil, maka Muzium Samudera dalah paling sesuai kerana anak-anak sukakan bot dan kapal. Lagipun, muzium ini merupakan replika sebuah kapal Portugis, Flor De Lamar yang telah tenggelam sedikit masa dulu. Dengan itu, dapatlah anak-anak merasai pengalaman memasuki kapal. Tiket lawatan kapal ini membolehkan kita melawat dua lagi muzium iaitu Muzium Samudera Fasa II dan Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).


Dalam Muzium Samudera ini, pamerannya banyak tertumpu khazanah dan catatan pelayaran Portugis, Belanda dan orang-orang Melayu. Bagi Muzium Samudera Fasa II pula, pamerannya lebih banyak meliputi kisah pelayaran orang Melayu, tokoh pelayaran dunia, artifak yang terggelam di dasara laut, hidupan laut dan lain-lain lagi. 


 
Muzium TLDM pula banyak mempamerkan aktiviti pelayaran TLDM, kapal-kapal perang, tokoh-tokoh TLDM dan juga sedikit sebanyak latarbelakang angkatan TLDM. Pada hujung minggu, ada anggota TLDM bertugas di kaunter. Pada hari lain, hanya petugas muzium sahaja yang bertugas.



Selesai melawat Muzium Samudera, anak-anak berehat seketika di bawah tangga kapal yang teduh sambil saya menyusukan si Alif. Seronok tengok anak-anak gembira. Walaupun kita penat, badan tetap digagahkan selagi anak-anak punya daya nak berjalan-jalan. Disekitar ketiga-tiga muzium ini ada Medan Selera di mana kami sekeluarga menikmati makan tengahri. Surau juga ada disediakan namun agak kecil saiznya. Di tingkat bawah Medan Selera, ada banyak gerai jualan yang menjual pelbagai hasil kraftangan dan makanan tradisional masyarakat Melaka.



ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...