Maafkan saya kerana masih belum bercerita tentang percutian hujung minggu kami ke Melaka. Saya janji, ini catatan yang terakhir. Memang niat di hati hendak pecahkan cerita percutian kami dalam beberapa catatan pendek supaya tidak lupa dan segar dalam ingatan apabila cuba diimbau kembali di masa hadapan. Saya tidak mahu pengalaman percutian kami sekeluarga dilupakan begitu sahaja. Walaupun kecil di mata orang namun besar di hati kami terutama anak-anak. Sampai hari ini anak-anak masih mengajak bermain layang-layang kerana sangat terkesan dengan pengalaman bermain-main layang. Itulah memori indah anak-anak saya.
Selepas sarapan dan daftar keluar dari hotel penginapan, kami mula bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Zoo Melaka. Zoo Melaka adalah antara zoo yang diuruskan oleh Kerajaan Negeri yang agak terkenal di Malaysia selain Zoo Taiping. Keluasan zoo ini agak kecil berbanding Zoo Taiping. Tram hanya melakukan satu pusingan mengelilingi zoo ini. Bagi yang ingin berjalan kaki, cuaca agak terik pada hari itu. Jadi kami hanya menaiki tram sahaja dan berjalan kaki sedikit ke kawasan kawanan gajah, haiwann kegemaran anak-anak. Pada hujung minggu, ada persembahan burung pada setiap jam 11 pagi, 2 petang dan 4 petang. Kami sudah terlepas persembahan pertama dan tidak pula menunggu untuk persembahan kedua. Tambahan pula anak-anak juga kelihatan agak penat untuk berjalan kaki mengelilingan kawasan zoo.
Dari Zoo Melaka, kami bergerak ke Pusat Pengurusan Penyu Padang Kamunting. Tempat ini adalah di bawah pengurusan Jabatan Perikanan Negeri Melaka dan dibuka kepada lawatan orang awam dari jam 10.30 pagi hingga 4.00 petang. Saya memang merancang ke sini untuk bawa anak-anak melihat penyu dengan lebih dekat. Setibanya di sana, anak-anak pula nyenyak tidur. Maka tidak sampai hati hendak dikejutkan. Kami Cuma menyusuri Pantai Pengkalan Balak dengan kereta. Di Pantai Pengkalan Balak ini banyak kelihatan gerai makanan dan chalet-chalet kecil untuk disewakan. Kawasan ini sesuai untuk keluarga yang ingin menghabiskan cuti hujung minggu di pantai. Di pesisir pantai ini dapat dilihat beberapa kawasan dipagarkan kerana di sana terletaknya kawasan penetasan telur penyu. Pantai Pengkalan Balak ini bersambung dengan kawasan pantai Tanjung Bidara. Bandar yang paling dekat dengan kawasan ini adalah Bandar Masjid Tanah. Saya pernah tinggal di bandar ini selama setahun kira-kira 12 tahun lalu. Waktu itu saya hanyalah pelajar Kolej Matrikulasi Londang yang hanya ke bandar sebulan sekali sahaja. Kunjungan ke Tanjung Bidara hanya sekali sahaja pada waktu itu, itupun dengan keluarga.
Memandangkan kami belum makan tengahari, maka kami singgah di Kedai Makan Tepi Pantai Mak Jah yang terletak kurang dari 100 meter dari Pondok Polis Pengkalan Balak. Pelbagai menu makan ditawarkan antaranya pelbagai nasi goreng, pisang goreng, laksa, rojak buah dan aneka kuih-muih. Saya makan Nasi Goreng Ayam yang begitu sedap. Suami saya menikmati Laksa Asam yang pekat kuahnya dengan isi ikan. Kami juga makan pisang goreng dan rojak buah. Sudahlah makanannya sedap-sedap belaka, bayu pantai pula menghembus sepoi-sepoi bahasa. Anak-anak pun mengambil kesempatan bermain layang-layang. Angin cukup kuat di sini sehingga layang-layang Ahmad terbang jauh tidak dapat dikesan. Ada juga pelawat bermandi-manda di pantai ini. Di hujung tanjung, ada sebuah kelab kapal layar dan ramai juga dilihat bermain layar di sana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan