Setelah menamatkan penjelajahan Ducktour, kami beralih pula menjelajah Bandar Melaka dengan menaiki beca. Menaiki beca adalah antara aktiviti kesukaan suami saya. Pantang jumpa beca, mesti nak naik walaupun beca pusing tidak sampai 100 meter. Beca yang dipilih mestilah yang paling cantik. Memandangkan keluarga kami dah besar, maka kami ambil dua beca. Dengan bayaran sebanyak RM25, abang beca bawa kami ronda-ronda dari Menara Taming Sari melalui Taman Merdeka ke A’ Famosa. Dari A’ Famosa, abang beca akan melalui beberapa muzium sehingga sampai ke Muzium Samudera dan kembali ke Menara Taming Sari. Laluannya adalah sebahagian Heritage Trail Melaka. Untuk kali ini, kami minta abang beca hantar kami ke Muzium Samudera sahaja. Untuk pengetahuan, rakan-rakan boleh letak kereta di Taman Merdeka dan di sana rakan-rakan boleh menaiki Menara Taming Sari, mengikuti Ducktour dan menaiki beca di tempat mula yang sama. Jadi, tidak perlu risau mencari tempat letak kereta bagi setiap aktiviti.
Usai melawat Muzium Samudera yang berangkai tiga itu dan makan tengahari, kami sekeluarga berjalan kaki ke Taman Merdeka. Taman Merdeka dinamakan sempena dengan peristiwa pengistiharan Malaya merdeka pada tahun 1957 di Dataran Pahlawan iaitu sebuah padang kecil di tepi taman ini. Dataran itu sudah tidak ada lagi dan dibangunkan dengan Dataran Pahlawan Mall. Taman Merdeka ini merupakan sebuah taman bunga yang cantik sesuai menjadi tempat melepaskan lelah setelah penat berjalan. Di taman ini, ada disediakan surau dan tandas untuk kegunaan awam.
Di bahagian belakang Taman Merdeka ada Muzium Seni, Muzium UMNO Melaka, Muzium Setem, Muzium Senibina dan juga replika Istana Melayu Melaka. Di sini juga terdapat tinggalan pintu masuk utama ke Kota Merah iaitu A’ Famosa. Kota ini digelar Kota Merah kerana bahan binaan utama adalah batu semulajadi berwarna merah yang banyak terdapat di pesisir pantai Melaka. Anak-anak gembira berlari-lari di kawasan taman yang redup ini.
Antara tarikan yang menarik di sini adalah terdapat pameran keretapi Tanah Melayu, kapal terbang lama dan juga jentera bomba yang lama selain replika kereta lembu. Kebiasaannya inilah tempat menarik untuk mengambil gambar khususnya kanak-kanak.
Jika rakan-rakan berminat untuk berbasikal sekitar kawasan ini, khidmat menyewa basikat turut disediakan oleh pengusaha persendirian. Di sekitar kawasan ini juga rakan-rakan boleh menyewa basikal yang dikayuh berbaring ini.
Setelah penat berjalan, Ameer pun mula merungut.
“Ibu, mana kereta saya. Saya tak tau mana kereta saya. Saya nak balik (h)otel. Seluar saya dah basah air soya tumpah (sebenarnya setitik dua yang dah kering lebih sejam lalu). Saya dah penat ni. Kaki saya dah nak MATI.”
Ibu ketawa berdekah-dekah. “Mana adalah. Kaki abang takkan mati.” Hehehe.
Kebetulan kami memang dalam perjalan ke kereta untuk berangkat meninggalkan Taman Merdeka.
heheheh kelakar dialog yg last tu...syok jugak kan naik beca...rasanya sy tak pernah lagi merasa naik beca..kena try nih..:D
BalasPadam