Ini kali pertama saya menanam lobak putih. Sejak disemai, tidak banyak perhatian diberikan kepada semaian lobak putih saya. Penjagaannya cumalah disiram dua kali sehari dan dibaja setiap dua minggu. Kalau ikut apa yang dinyatakan pada pek benih, tuaian boleh dilakukan dalam minggu keenam hingga minggu kelapan. Namun, pada minggu ketujuh, ubinya hanya sebesar jari kelingking. Saya biarkan saja dan teruskan rutin pembajaan dan penyiraman. Alhamdulillah pada minggu kelapan, ubinya telah kelihatan. Saya biarkan lagi dua minggu sehinggalah dituai pada hari Isnin lalu sekitar minggu kesepuluh. Walau bagaimanapun, ubi lobak putih yang kedua masih perlu diberi masa kerana ubinya masih belum kelihatan. Bimbang juga kalau ubi yang terbentuk sudah mula berserat atau bergabus akibat terlalu lewat dituai.
Sangkaan saya meleset.
Baunya manis waktu kulit luarnya dikupas sebelus dipotong untuk digoreng bersama daunnya. Saya tumiskan sedikit hirisan bawang kecil, cili merah dan bawang putih. Renihkan air dan masukkan ubinya dahulu. Kemudian perasakan dengan lada sulah, garam dan sos tiram. Masukkan daunnya dan tutup api. Masukkan sedikit minyak bijan dan hidangkan. Isinya manis dan dan elok rapuh walaupun rupanya pecah. Cuma daunnya sedikit berserat. Pusingan kedua nanti saya akan semai lebih. Barulah puas hati dapat makan lobak putih tanam sendiri. Kepuasan makan sayuran dari kebun sendiri tak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan