adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Jumaat, 6 Mac 2015

Masjid Muhammad Ali Pasha dan Masjid Al Nasir Muhammad Qalaum

Ok, sebenarnya saya sendiri dah bosan menulis tentang perjalanan di Mesir ni. Tapi kalau tak catatkan nanti dah terlupa pula kenangan indah yang berapa puluh tahun sekali dapat alami lagi. Kali ini saya nak kongsi kecantikan dua masjid tua yang dibina di dalam kawasan kubu Salahuddin Ayubi ini iaitu Masjid Muhammad Ali Pasha dan Masjid Al Nasir Muhammad Qalaum. 

Masjid Muhammad Ali Pasha atau turut dikenali sebagai Masjid Alabaster adalah sebuah masjid yang telah dibina pada zaman pemerintahan Muhammad Ali Pasha dalam tahun 1830 hingga 1348. Ia didirikan sebagai memorial kepada anak Muhammad Ali iaitu Tushun Pasha yang meninggal dunia pada tahun 1816.




Masjid yang dibina dengan pengaruh seni bina Othmaniyah merupakan masjid yang terbesar yang dibina dalam tahun-tahun pertama kurun ke-19. Disebabkan kedudukannya yang terletak di bahagian tertinggi kubu, masjid ini boleh dilihat hampir daripada semua bahagian Cairo. Tatkala menghampiri masjid ini daripada bawah, jelas kelihatan kecantikan bangunan masjid yang dibina dengan perincian dinding daripada batu alabaster, sejenis mineral seperti marmar. Pada ketika kedatangan saya, sebahagian besar permukaan masjid diselaputi debu pasir kerana Cairo telah dilanda ribut pasir beberapa hari sebelum kami tiba. Menurut adik saya, kecantikan masjid ini lebih terserlah selepas hujan kerana debu-debu pasir telah dibersihkan melalui rintik-rintik hujan.







Menara jam tembaga ini yang terletak di tengah-tengah Barat Daya bahagian masjid merupakan hadiah daripada raja Perancis iaitu King Louis Philippe pada tahun 1845. Pemberian jam ini adalah sebagai pertukaran dengan pemberian tiang obelisk Luxor yang kini ditempatkan di Place de la Concorde, Paris.


Di bahagian bawah bukit iaitu berdepan dengan muzium tentera, terdapat satu lagi masjid lama yang dinamakan Masjid Al Nasir Muhammad Qalaum. Masjid ini telah dibina pada awal kurun ke-14 di bawah pemerintahan sultan Mahluk iaitu Sultan Al-Nasr Muhammad pada tahun 1318. Ia merupakan masjid yang dibina sebagai masjid diraja di mana antara penggunaannya adalah sebagai tempat sultan-sultan di Cairo menunaikan solat Jumaat. Masjid ini kemudiannya digunakan oleh penyokong-penyokong baginda dan angkatan tenteranya.


Ada sesuatu perkara menarik berkenaan Sultan Al-Nasr Muhammad ini yang saya baru ketahui. Sultan Nasir mula menjadi sultan pada umur 9 tahun pada lahiriahnya dilihat sebagai seorang yang tidak mempunyai kredibiliti sebagai pemerintah. Baginda seorang yang rendah, tempang dan mempunyai masalah penglihatan. Walau bagaimanapun, baginda mampu mendapat sokongan padu daripada rakyat di atas kebijaksanaan dan semangat kentalnya. Baginda juga telah mengekalkan hubungan yang erat dengan negara-negara lain sehinggakan Ibnu Batuta menggambarkan baginda sebagai seorang yang berhati mulia dan baik budi pekerti.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...