adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Rabu, 4 Mac 2015

Muzium Dalam Salah Al Din Citadel

Panjang lagi cerita perjalanan di Mesir. Maklumlah, lima hari berada di sana dan terlalu banyak nak dikongsi. Dalam catatan kali ini saya nak kongsi serba sedikit maklumat tentang Muzium Polis dan Muzium Tentera Kebangsaan Mesir (Egyptian National Police Museum and National Military Museum).

Egyptian Police Museum ini terletak di Barat Daya Salah Al Din Citadel yang dipercayai digunakan sebagai bangunan untuk kegunaan pemanah tentera pada zaman dahulu. Di dalam muzium ini, ada menempatkan pelbagai pameran senjata daripada pelbagai era. Antara senjata yang dipemerkan bukan sahaja dibuat daripada besi, malah ada juga yang dibuat daripada kulit kayu yang tebal dan juga kulit binatang seperti buaya selain cangkerang kura-kura. Turut dipamerkan dalah senjata-senjata yang dihadiahkan kepada pemerintah Mesir daripada pemerintah-pemerintah dunia. Menariknya, kami turut terjumpa keris sebagai salah satu bahan pameran.



Selain daripada itu juga, beberapa bahan-bahan bukti daripada jenayah-jenayah terkenal di Mesir juga turut dipamerkan serta barang-barang peribadi penjenayah. Pelbagai koleksi dadah juga turut dipamerkan.



Walaupun penerangan bahan pameran ada ditulis dalam Bahasa Inggeris selain Bahasa Arab, agak sukar untuk memahami penerangan kerana penggunaan Bahasa Inggeris yang bercelaru. Berdasarkan kepada serba sedikit ayat yang kami faham, kami rasa kami boleh faham dengan ringkas apa yang cuba disampaikan.



Berhampiran pintu masuk muzium polis ini, ada terdapat beberapa sel tahanan banduan yang pernah digunakan sedikit masa lalu yang boleh dilawati. Sel tahanan ini merupakan sel tahanan sebenar yang merupakan sebahagian daripada kubu. Di dalam sel-sel berkenaan, ada diletakkan beberapa patung sebagai bahan pameran yang menunjukkan gambaran tahanan daripada pelbagai era.



Di sebelah Timur Laut kubu, ada menempatkan National Military Museum. Tidak seperti muzium polis, Military Museum ini dikawal oleh beberapa orang tentera di pintu utama dan juga beberapa kawasan lain di dalam kawasan muzium. Berhampiran pintu masuk muzium ini idapati terdapat satu bangunan yang sedang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan Muzium of Islamic Art.




Sejurus melewati pintu masuk berkenaan, kita akan disambut oleh satu laman taman yang menempatkan pelbagai bentuk meriam tentera Mesir daripada pelbagai era. Meriam-meriam ini dikawal oleh seorang anggota tentera. Di tengah-tengah laman ada diletakkan satu tugu bagi memperingati Ibrahim Pasha. Ibrahim Pasha adalah anak lelaki Muhammad Ali Pasha yang dikatakan seorang jeneral tentera Mesir yang hebat sejak zaman remajanya dan telah membawa banyak kemenangan dalam peperangan-peperangan yang disertai oleh tentera Mesir termasuklah menumpaskan serangan daripada angkatan tentera Empayar Othmaniyah. Ibrahim Pasha merupakan kerabat yang paling diraikan dalam Dinasti Muhammad disebabkan kecemerlangannya mengetuai pemerintahan yang diwarisi daripada bapanya.



Di sebelah kiri tugu pula, ada terdapat ruang pameran terbuka yang menempatkan beberapa kapal terbang tentera, kereta kebal dan peluru angkatan tentera Mesir yang kebanyakannya digunakan dalam beberapa siri peperangan di antara Mesir dan Israel. Di bahagian dindingnya terdapat ukiran mural yang menggambarkan angkatan tentera Mesir daripada pelbagai era dan juga gambaran kemajuan di Mesir. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat melihat lain-lain pameran di bangunan utama memandangkan bangunan utama muzium kini dalam proses pengubahsuaian.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...