adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Khamis, 26 Mac 2015

Usaha Ke Arah Gaya Hidup Sihat


Saya sekarang sedang dalam usaha untuk mengurangkan berat badan kepada berat badan ideal. Di samping itu juga, saya cuba mengurangkan risiko yang disebabkan pemakanan yang tidak sihat melalui amalan pemakanan yang sihat. Ini adalah penting kerana keluarga saya mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan sebagainya yang disebabkan amalan pemakanan yang tidak sihat. Walaupun setiap kali mengandung saya akan diminta untuk menjalani ujian air gula, saya bersyukur saya tidak menghidapi penyakit kencing manis sepanjang kehamilan. Doktor sentiasa mengingatkan saya supaya menjaga pemakanan untuk mengurangkan risiko penyakit terutamanya kencing manis. 

Ayah saya menjadi idola saya dalam amalan pemakanan yang sihat. Ayah masih cergas walaupun sudah mencapai umur 62 tahun pada tahun ini. Ayah masih mampu berjoging pada usia ini. Semasa bercuti bersama bulan lepas, lelah juga saya mengikut rentak ayah berjalan laju. Laju betul ayah berjalan. Ayah saya tak merokok, suka minum jus, makan sayuran dan ulaman, suka berkebun dan beriadah. Ayah saya juga sangat menjaga kesihatan mulutnya sehinggakan pada umur sebegini pun kesemua giginya adalah gigi kekal. Tiada satu pun gigi palsu yang ada.

Pernah tak kadang-kadang kita tertanya kenapa badan kita lemau semacam. Ataupun terfikir kenapa dah banyak bersenam tapi tak kurus-kurus juga. Ada juga terjadi perut rasa tak selesa dan kembung menyebabkan perut kerap berbunyi dan buncit selain kerap buang angin. Ini semua berkaitan dengan gaya hidup dan amalan pemakanan yang sihat.

Inilah inisiatif-inisiatif yang saya ambil dalam mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat.

1. Makan makanan segar dan semula jadi : amalkan memakan makanan yang segar iaitu makan makanan yang datang terus datang dari ladang bukan makanan yang telah terubahsuai dari makmal atau kilang. Pilihan makanan adalah terdiri daripada buah-buahan dan sayuran segar, bijirin penuh, daging ternakan segar, produk tenusu serta kekacang. Paling mudah beli barang-barang yang dijual di pasar tani. Pembelian di pasar tani bukan sahaja menguntungkan dengan pilihan segar yang banyak, malah dapat membantu usahawan-usahawan tani menjana pendapat. Saya sejak dulu memang suka membeli barang-barang segar dari pasar tani.

Mee telur buatan sendiri dalam sup sayur-sayuran segar dengan udang



2. Hadkan makanan terproses
 : makanan terproses adalah secara asanya makanan yang berlabel. Secara mudahnya makanan yang telah diproses menggunakan lebih dari satu bahan untuk menghasilkan makanan tersebut. Jenis makanan ini termasuklah makanan sejuk beku. Walaupun anak-anak ada juga makan nuget ayam contohnya, kami memang jarang membeli makanan sejuk beku. Boleh dikatakan hanya sekali dua setahun. Ada juga makanan terproses lain dibeli tapi saya biasanya beli dengan mengamalkan prinsip “If you can’t pronounce an ingredient on a label, don’t put that food in your shopping basket”. 

3. Kurangkan gula, maniskan senyuman : mujurlah saya bukan orang yang suka sangat makanan manis. Minum air manis pun dalam seminggu belum tentu minum. Saya biasanya suka minum teh tanpa gula. Lebih enak kalau teh berperisa seperti teh hijau, teh lemon, teh laici dan sebagainya. Biasanya ada pelbagai jenama teh uncang berperisa antaranya jenama BOH. Kadangkala minum air jus tanpa gula. Saya kini sedang usahakan kurangkan gula dalam masakan. Kalau kurangkan gula dalam minuman dan kudapan memang tak ada masalah terutama kuih-muih memang tak berapa selera dah sekarang.

4. Masak makanan sendiri : ini memang bahagian saya suka sebab saya suka memasak dan cuba resipi baru. Cuma masalahnya kekangan masa dan bahan. Bila ada masa lapang saya akan teroka alam maya mencari resipi-resipi yang boleh diolah dengan bahan yang mudah dicari serta menyihatkan. Siapa kata makanan sihat tak sedap dan membosankan? Lagipun masak sendiri lebih kena dengan cita rasa dan boleh disesuaikan dengan bajet sendiri. Tak semestinya bahan yang mahal sahaja menghasilkan makanan sihat.
5. Pastikan buang air besar setiap hari : yang ini memang penting untuk saya. Saya sebenarnya dari muda remaja memang adalah masalah sembelit terutama ketika mengandung sehingga menyebabkan buasir. Maaf kalau terlebih maklumat pula. Siapa kata buang air besar tak penting? Biasanya perut kembung, buncit dan kerap buang angin adalah disebabkan bahan kumuh tidak dikeluarkan. Pastikan diet seharian padat dengan serat yang datang dari sayur-sayuran dan buah-buahan. Air yang cukup juga dapat membantu mengatasi sembelit. Saya katakan ini berdasarkan kepada pengalaman sendiri. Dulu memang susah nak membuang dalam sehari dan memang perut kembung. Tapi sejak saya pastikan saya buang air besar setiap hari, masalah kembung dan masalah perut buncit dapat diatasi. Saya akan pastikan saya makan sayur dan buah yang mencukupi setiap hari selain banyak minum air masak. Kalau lepas membuang tu perut rasa kosong maksudnya pembuangan telah berjaya sepenuhnya. Tapi kadangkala terpaksa juga ambil teh herba untuk legakan perut tapi tidak kerap untuk elakkan kebergantungan.

6. Bersenam : dalam sebulan dua ini saya sudah mengamalkan bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari dengan pembakaran 200 kalori. Biasanya orang melihat bersenam adalah cara untuk menurunkan berat badan. Saya suka bersenam sebab bila bersenam aliran darah dalam badan saya diperbaiki. Dengan itu saya dapat mengeluarkan toksin dalam badan melalui berpeluh. Sistem perkumuhan saya lebih baik termasuk membuang bahan buangan dari ususnya. Saya juga lebih bertenaga dan mendapat tidur yang lebih berkualiti. Saya bersenam dengan menggunakan basikal senaman hampir setiap hari. Bersenam juga menjadikan mod kita lebih baik dan fikiran lebih fokus. Perkara ini saya memang alami sendiri dan saya sukakannya.

Kebaikan air pada tubuh - kredit

7. Banyakkan minum air : saya memang kuat minum air. Bosan je minum air. Mengantuk atau lapar je minum air. Dulu saya ada kongsi satu aplikasi di telefon yang mencadangkan jumlah air yang perlu diminum dalam sehari mengikut berat badan dan merekodkan jumlah air yang diminum. Sebulan selepas menamatkan cabaran itu, berat badan saya turun 3kg! Biasanya berat badan yang turun pada bulan pertama adalah berat air. Apa yang penting di sini adalah minum air yang mencukupi dengan keperluan badan membantu menyihatkan tubuh badan. Kalau air kencing jernih tu maksudnya cukuplah air dalam badan. Katanya kalau minum air boleh mencantikkan kulit. Saya rasa ada betulnya sebab memang kulit terasa lebih bersih dan kedut tepi mata dah berkurang. Ke saya yang perasan? Hehehe.

Saya kira keadaan kesihatan saya secara zahirnya nampak baik. Inilah usaha saya dalam menjaga kesihatan diri dan tidak berlaku kejam ke atas diri sendiri dengan tidak menjaga kesihatan. Kita hanya berusaha dan bertawakal kepada Allah. Banyak lagi saya perlu perbaiki diri bagi menjalani hidup yang sihat.

posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...