adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Isnin, 9 Mac 2015

Piramid di Giza Necropolis

Adoi! Bilalah nak habis cerita pergi Mesir ni?! Ok, catatan yang ni belum yang terakhir. Ada dua lagi cerita fasal Mesir dan satu lagi cerita perjalanan balik melalui Istanbul. Kemudian habis. Cerita hal lain pula selain pokok-pokok kat rumah.

Pemandangan penempatan di Giza dari Giza Necropolis

Selepas keluar dari Citadel of Salah Al Din, kami makan tengah hari di Giza pula. Giza adalah bandar ketiga terbesar di Mesir yang terletak di tebing barat Sungai Nil iaitu kira-kira 20 km daripada Cairo. Giza merupakan lokasi yang terkenal dengan Dataran Tinggi Giza yang merupakan lokasi kepada monumen-monumen bersejarah yang menakjubkan di dunia termasuklah makam-makan diraja Mesir, binaan-binaan suci iaitu The Great Sphinx, The Great Pyramid of Giza dan beberapa lagi piramid kecil dan kuil-kuil. Giza menjadi tempat tumpuan utama dalam sejarah Mesir.

Peta kawasan kompleks Giza Necropolis

Tiga piramid, dari kiri - Pyramid of Menkaure, Pyramid of Khafre dan Pyramid of Khufu

Dataran Tinggi Giza atau The Giza Plateau adalah sebuah dataran yang terkenal di mana ia merupakan lokasi kepada Giza Necropolis. Kawasan ini boleh dikenal pasti dengan sebagai sebuah kawasan yang berpasir, bersuhu padang pasir dengan rupa bumi yang hampir tiada tumbuhan.  The Giza Necropolis adalah sebuah tapak arkeologi yang mengandungi tiga kompleks piramid yang dikenali sebagai  The Great Pyramids, sebuah ukiran besar yang dikenali sebagai The Great Sphinx, beberapa kubur, penempatan buruh dan pusat perusahaan. Tiga kompleks piramid tersebut adalah Pyramid of Khufu, Pyramid of Khafre dan Pyramid of Menkaure. Di sisi Pyramid of Menkaure terdapat tiga piramid kecil yang dikenali sebagai Pyramid of Queens.
Di hadapan Pyramid of Khufu



The Great Sphinx of Giza ialah sebuah struktur batu kapur yang mempunyai rupa bentuk makhluk mistik dengan badan menyerupai singa yang berkepala manusia. Wajahnya dikatakan merupakan ukiran wajah Firaun Khafra. Struktur ini adalah merupakan patung ukiran daripada zaman pra-sejarah yang terbesar di mana pembinaannya dipercayai dibuat dalam tempoh pemerintahan Firaun Khafra.

Di hadapan The Great Sphinx

Kompleks Giza Necropolis merupakan sebuah kompleks bersejarah yang sangat besar sehinggakan untuk berjalan kaki untuk mengunjungi semua monumen memerlukan masa seharian. Itu pun kami hanya melawat Pyramid of Khufu dan The Great Sphinx sahaja. Piramid of Khufu tersangatlah besar sehingga sebiji batunya lebih besar daripada saya. Bagaimanalah agaknya orang-orang zaman silam mendapat kekuatan dan kebijaksanaan untuk membina binaan sebesar ini. Piramid ini bukan sahaja besar malah penuh dengan pelbagai misteri. Misteri yang pengkaji mahir sahaja dapat memahaminya melalui lukisan-lukisan dan pelbagai penemuan yang ditemui di dalam piramid.

Menongkat siku di piramid sikit hehehe

Saya agak teruja dapat ke sini namun untuk masuk ke dalam piramid itu sendiri memerlukan bayaran tambahan kira-kira 200 EP untuk setiap piramid. Bayaran masuk ke kompleks ini adalah kira-kira 80 EP (kira-kira RM40). Di dalam kawasan kompleks ini ada disediakan perkhidmatan kereta kuda dengan bayaran tambahan lagi. Dek kerana hujan mulai turun, maka sekejap sahaja masa dihabiskan di sini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...