adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Isnin, 30 Mac 2015

Project Lunchbox #2

Saya suka kepada idea bawa bekal ke tempat kerja. Saya memang kerap bawa bekal untuk makan tengah hari dan minggu ini memang bercadang nak meneruskan amalan makan tengah hari dengan bekal yang dibawa dari rumah. Minggu ini ada kelainan sedikit. Saya telah memasak dua menu untuk minggu ini untuk empat hari bekerja. Memang sengaja buta empat hidangan saja sebab bercuti sehari. Lagipun, satu hari tu mungkin dalam minggu yang lain nak makan bersama suami atau kawan-kawan. Saya nak namakan projek bekal makanan tengah hari saya dengan nama “Project Lunchbox”.


Semalam berkobar-kobar nak cuba masakkan yang menggunakan pes harissa yang telah dibuat lebih awal Sabtu lalu. Jadi antara menu yang dalam kepada adalah ikan yang diperap dengan hari dan dimasak secara goreng dengan minyak yang sedikit sehingga ada kerak rempah pada ikan. Kerak itu akan menghasilkan rasa yang lebih sedap pada ikan. 


Asalnya nak guna ikan tilapia, tapi hujan turun dengan lebat di pasar tani. Ikan di pasar raya pula tak cukup segar. Dalam tengah membelek-belek ikan di pasar raya, saya ternampak kiub ikan dori sejuk beku di dalam peti beku. Dengan harga RM8.50, saya dapat kira-kira 1kg ketulan kiub ikan dori. Banyak juga tu. Balik saja di rumah, saya ambil beberapa ketul ikan untuk di nyah beku. Perap dengan sesudu kecil harissan dalam 10 hingga 15 minit. Panaskan sedikit minyak dan goreng ketulan ikan. Setelah diketepikan, saya sediakan pula Spaghetti Aglio e Oliopasta dengan menggunakan minyak yang sama untuk menumis bawang putih dan cili kering. Rasa harissa yang dah diseduh dalam minyak gorengan ikan pastinya menambah dimensi rasa spageti.


Untuk menu yang kedua saya sediakan Bergedil Ikan Salmon dan Keledek digandingkan dengan Asparagus Bermentega Kari. Resipinya akan kongsi kemudian. Sedap dan senang sangat.
posted from Bloggeroid

Ahad, 29 Mac 2015

Resepi Pes Harrisa

Harissa adalah pes berasaskan cili yang berasal dari Tunisi yang mana bahan-bahan untuk menyediakannya adalah termasuk bawang putih, biji ketumbar, jintan manis, jintan putih. Minyak zaitun turut digunakan sebagai bahan pengawet. Pes ini banyak digunakan dalam masakan Tunisia, Libya dan Algeri serta Morocco (Maghribi).

Ada banyak versi resepi bagi harissa yang mana turut menggunakan pelbagai jenis cuka dan juga jus lemon. Kebanyakan resepi yang saya jumpa menggunakan cuka alkohol. Harissa yang dijual di pasar raya seperti yang dijual di Cold Storage Alamanda turut menggunakan wain. Saya mula mencari resepi yang mudah dan menggantikan cuka alkohol dengan cuka epal. Saya menggunakan pes cili kering yang memang saya dah kisar cili kering dengan banyak sebelum ini. Resepi yang saya sertakan ini menghasilkan pes harissa yang sangat sedap. Rasanya perlu buat lebih banyak lain kali.



Bahan-bahan:
3 sudu besar biji ketumbar
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
6 ulas bawang putih
2 sudu besar garam
60 gm cili kering, direndam dan dikisar menjadi pes ATAU 2 sudu besar pes cili boh
1 sudu besar cuka epal
2 sudu besar minyak zaitun

Cara Penyediaan:
Sangai (goreng tanpa minyak) biji ketumbar, jintan manis dan jintan putih. Ketepikan setelah naik bau. Hati-hati menggoreng jangan sampai rempah hangit. Tumbuk bawang putih beserta garam. Masukkan rempah yang telah disangai dan tumbuk sehingga lumat. Gabungkan pes bawang putih dan rempah dengan pes cili, cuka epal dan minyak zaitun sehingga sebati. Simpan dalam bekas dan lapiskan bahagian atas dengan minyak zaitun. Simpan dalam peti ais.



Harissa juga dikenali sebagai penambah rasa rasmi negara Tunisia dan banyak digunakan dalam masakan berasaskan ikan.dan daging. Ia juga digunakan dalam sup atau sapuan kepada roti Arab. Saya ada beberapa resepi dalam perancangan yang menggunakan pes harissa ini. Pes ini dikatakan boleh disimpan dalam tempoh yang lama. Tapi rasanya pes ini tak boleh disimpan lama sebab mesti cepat habis digunakan untuk memasak sebab sedap sangat.


posted from Bloggeroid

Jumaat, 27 Mac 2015

Jambangan Jumaat

Beberapa minggu lepas dalam tempoh sebulan, saya ada membaja pokok-pokok di laman. Ada juga pokok yang dicantas dahan. Kebetulan setiap lewat petang hujan akan turun lebat di Putrajaya selepas seharian panas. Minggu ini nampaknya pokok-pokok bunga sudah mula mengeluarkan bunga pertama. Rumah saya tak banyak pokok bunga. Yang kerap berbunga cuma ros, YTT dan bunga raya mini. Yang lain-lain sama ada berbunga sesekali atau ada juga yang tidak pernah berbunga. Kalau berbunga pun tidak semeriah mana.





Hari ini, ada bunga ros, bunga raya mini dan YTT berbunga. Bolehlah tu.





Bunga-bunga yang mekar di laman rumah mengindahkan laman dan menambah seri rumah.
posted from Bloggeroid

Khamis, 26 Mac 2015

Usaha Ke Arah Gaya Hidup Sihat


Saya sekarang sedang dalam usaha untuk mengurangkan berat badan kepada berat badan ideal. Di samping itu juga, saya cuba mengurangkan risiko yang disebabkan pemakanan yang tidak sihat melalui amalan pemakanan yang sihat. Ini adalah penting kerana keluarga saya mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan sebagainya yang disebabkan amalan pemakanan yang tidak sihat. Walaupun setiap kali mengandung saya akan diminta untuk menjalani ujian air gula, saya bersyukur saya tidak menghidapi penyakit kencing manis sepanjang kehamilan. Doktor sentiasa mengingatkan saya supaya menjaga pemakanan untuk mengurangkan risiko penyakit terutamanya kencing manis. 

Ayah saya menjadi idola saya dalam amalan pemakanan yang sihat. Ayah masih cergas walaupun sudah mencapai umur 62 tahun pada tahun ini. Ayah masih mampu berjoging pada usia ini. Semasa bercuti bersama bulan lepas, lelah juga saya mengikut rentak ayah berjalan laju. Laju betul ayah berjalan. Ayah saya tak merokok, suka minum jus, makan sayuran dan ulaman, suka berkebun dan beriadah. Ayah saya juga sangat menjaga kesihatan mulutnya sehinggakan pada umur sebegini pun kesemua giginya adalah gigi kekal. Tiada satu pun gigi palsu yang ada.

Pernah tak kadang-kadang kita tertanya kenapa badan kita lemau semacam. Ataupun terfikir kenapa dah banyak bersenam tapi tak kurus-kurus juga. Ada juga terjadi perut rasa tak selesa dan kembung menyebabkan perut kerap berbunyi dan buncit selain kerap buang angin. Ini semua berkaitan dengan gaya hidup dan amalan pemakanan yang sihat.

Inilah inisiatif-inisiatif yang saya ambil dalam mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat.

1. Makan makanan segar dan semula jadi : amalkan memakan makanan yang segar iaitu makan makanan yang datang terus datang dari ladang bukan makanan yang telah terubahsuai dari makmal atau kilang. Pilihan makanan adalah terdiri daripada buah-buahan dan sayuran segar, bijirin penuh, daging ternakan segar, produk tenusu serta kekacang. Paling mudah beli barang-barang yang dijual di pasar tani. Pembelian di pasar tani bukan sahaja menguntungkan dengan pilihan segar yang banyak, malah dapat membantu usahawan-usahawan tani menjana pendapat. Saya sejak dulu memang suka membeli barang-barang segar dari pasar tani.

Mee telur buatan sendiri dalam sup sayur-sayuran segar dengan udang



2. Hadkan makanan terproses
 : makanan terproses adalah secara asanya makanan yang berlabel. Secara mudahnya makanan yang telah diproses menggunakan lebih dari satu bahan untuk menghasilkan makanan tersebut. Jenis makanan ini termasuklah makanan sejuk beku. Walaupun anak-anak ada juga makan nuget ayam contohnya, kami memang jarang membeli makanan sejuk beku. Boleh dikatakan hanya sekali dua setahun. Ada juga makanan terproses lain dibeli tapi saya biasanya beli dengan mengamalkan prinsip “If you can’t pronounce an ingredient on a label, don’t put that food in your shopping basket”. 

3. Kurangkan gula, maniskan senyuman : mujurlah saya bukan orang yang suka sangat makanan manis. Minum air manis pun dalam seminggu belum tentu minum. Saya biasanya suka minum teh tanpa gula. Lebih enak kalau teh berperisa seperti teh hijau, teh lemon, teh laici dan sebagainya. Biasanya ada pelbagai jenama teh uncang berperisa antaranya jenama BOH. Kadangkala minum air jus tanpa gula. Saya kini sedang usahakan kurangkan gula dalam masakan. Kalau kurangkan gula dalam minuman dan kudapan memang tak ada masalah terutama kuih-muih memang tak berapa selera dah sekarang.

4. Masak makanan sendiri : ini memang bahagian saya suka sebab saya suka memasak dan cuba resipi baru. Cuma masalahnya kekangan masa dan bahan. Bila ada masa lapang saya akan teroka alam maya mencari resipi-resipi yang boleh diolah dengan bahan yang mudah dicari serta menyihatkan. Siapa kata makanan sihat tak sedap dan membosankan? Lagipun masak sendiri lebih kena dengan cita rasa dan boleh disesuaikan dengan bajet sendiri. Tak semestinya bahan yang mahal sahaja menghasilkan makanan sihat.
5. Pastikan buang air besar setiap hari : yang ini memang penting untuk saya. Saya sebenarnya dari muda remaja memang adalah masalah sembelit terutama ketika mengandung sehingga menyebabkan buasir. Maaf kalau terlebih maklumat pula. Siapa kata buang air besar tak penting? Biasanya perut kembung, buncit dan kerap buang angin adalah disebabkan bahan kumuh tidak dikeluarkan. Pastikan diet seharian padat dengan serat yang datang dari sayur-sayuran dan buah-buahan. Air yang cukup juga dapat membantu mengatasi sembelit. Saya katakan ini berdasarkan kepada pengalaman sendiri. Dulu memang susah nak membuang dalam sehari dan memang perut kembung. Tapi sejak saya pastikan saya buang air besar setiap hari, masalah kembung dan masalah perut buncit dapat diatasi. Saya akan pastikan saya makan sayur dan buah yang mencukupi setiap hari selain banyak minum air masak. Kalau lepas membuang tu perut rasa kosong maksudnya pembuangan telah berjaya sepenuhnya. Tapi kadangkala terpaksa juga ambil teh herba untuk legakan perut tapi tidak kerap untuk elakkan kebergantungan.

6. Bersenam : dalam sebulan dua ini saya sudah mengamalkan bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari dengan pembakaran 200 kalori. Biasanya orang melihat bersenam adalah cara untuk menurunkan berat badan. Saya suka bersenam sebab bila bersenam aliran darah dalam badan saya diperbaiki. Dengan itu saya dapat mengeluarkan toksin dalam badan melalui berpeluh. Sistem perkumuhan saya lebih baik termasuk membuang bahan buangan dari ususnya. Saya juga lebih bertenaga dan mendapat tidur yang lebih berkualiti. Saya bersenam dengan menggunakan basikal senaman hampir setiap hari. Bersenam juga menjadikan mod kita lebih baik dan fikiran lebih fokus. Perkara ini saya memang alami sendiri dan saya sukakannya.

Kebaikan air pada tubuh - kredit

7. Banyakkan minum air : saya memang kuat minum air. Bosan je minum air. Mengantuk atau lapar je minum air. Dulu saya ada kongsi satu aplikasi di telefon yang mencadangkan jumlah air yang perlu diminum dalam sehari mengikut berat badan dan merekodkan jumlah air yang diminum. Sebulan selepas menamatkan cabaran itu, berat badan saya turun 3kg! Biasanya berat badan yang turun pada bulan pertama adalah berat air. Apa yang penting di sini adalah minum air yang mencukupi dengan keperluan badan membantu menyihatkan tubuh badan. Kalau air kencing jernih tu maksudnya cukuplah air dalam badan. Katanya kalau minum air boleh mencantikkan kulit. Saya rasa ada betulnya sebab memang kulit terasa lebih bersih dan kedut tepi mata dah berkurang. Ke saya yang perasan? Hehehe.

Saya kira keadaan kesihatan saya secara zahirnya nampak baik. Inilah usaha saya dalam menjaga kesihatan diri dan tidak berlaku kejam ke atas diri sendiri dengan tidak menjaga kesihatan. Kita hanya berusaha dan bertawakal kepada Allah. Banyak lagi saya perlu perbaiki diri bagi menjalani hidup yang sihat.

posted from Bloggeroid

Rabu, 25 Mac 2015

Project Lunchbox #1 - Salmon & Spaghetti Aglio e Olio

Dalam sebulan dua ni saya biasanya akan bawa sekurang-kurang bekalan makanan untuk sarapan. Kadangkala ada juga bawa bekalan makanan untuk makan tengah hari sekali. Biasanya saya akan bawa roti tinggi serat disapu Nutella atau mentega kacang dengan jem. Ada juga waktunya saya bawa overnight oats bersama buah-buahan segar atau kering dengan campuran lain. Dulu biasanya gagah pergi beratur di kafe pejabat untuk membeli nasi lemak. Memang sedari awal sudah maklum nasi lemak memang bukan pilihan yang bagus untuk sarapan pagi kerana agak tinggi kalori. Tambah pula kalau nasi lemak itu datang bersama telur goreng dan sambal berlinang minyak tumisan. Sekali dua dalam sebulan bolehlah.

Sejak akhir-akhir ini makin kerap saya bawa juga bekalan makan tengah hari ke pejabat. Untuk makan tengah hari pilihan yang sihat memang ada macam ikan rebus atau ikan bakar. Sup daging dan sup ayam juga ada. Sayur-sayuran dan ulaman pun ada. Tapi kalau dan turun 15 minit selepas pukul satu memang dah tak berapa nak ada lauk pauk untuk sayur campur. Saya memang tak berminat nak menunggu tempahan nasi goreng pula. Biasanya bekalan makan tengah hari yang saya bawa kalau tak makan di luar pejabat adalah lauk makan malam sebelumnya.

Kadang-kadang saya panggang ayam yang diperap pagi-pagi sebelum siap nak ke pejabat. Saya biasanya bangun sebelum pukul 6 pagi. Tapi sejak balik dari bercuti bulan lepas, belum boleh kembali ke waktu bangun seperti biasa tapi masih sebelum pukul 6.30 pagi. Bangun pagi awal-awal sebegini memberi ruang untuk saya mengemas pinggan mangkuk di dapur, mengemas ruang tamu yang tunggang langgang dengan permainan anak-anak, menyapu lantai serba sedikit, bersenaman ringan  kalau sempat dan sediakan bekalan makanan. Kalau bangun awal pagi pun bagus sebab sampai di pejabat semangat dah warm-up sedikit. Tak adalah lemau je pagi-pagi.

Semalam ada kepingan salmon di jual di pasar. Tawarannya agak menarik dengan harga RM14 untuk tiga ketul. Saya tak pernah membeli salmon. Jadi inilah kali pertama saya beli. Minggu lalu saya ada beli spageti untuk stok makan tengah hari minggu ini. Hari Isnin tiada bekalan makanan tengah hari sebab dah berjanji dengan kawan-kawan untuk makan tengah hari bersama. Hari Selasa pula saya bawa ayam panggang dengan ubi keledek bakar. Hari ini saya bawa pula salmon dengan spageti aglio olio. 

Resipi spageti saya adaptasi dari Azie’s Kitchen.

Bahan-bahan :
100 gm spageti (untuk seorang makan)
Sebiji cili kering, dibuang biji, dibasuh dan dipotong
¼ cawan stok daging/ayam
Dua ulas bawang putih, dihiris
Sekeping salmon
1 sudu besar tepung gorengan ayam
Lada sulah dan garam
Minyak zaitun
Sedikit oregano kering - boleh juga tidak letak
Hirisan daun ketumbar untuk menghias


Cara penyediaan.
Spageti direbus dengan air bergaram sehingga masak dan tos. Pada masa yang sama, salut salmon dengan tepung dan goreng sehingga masak tetapi tidak terlalu masak. Ketepikan setelah sedia. Dalam minyak yang sama, tumis bawang putih dan cili kering sehingga kekuningan  dan masukkan stok. Kacau seketika dan masukkan spageti yang telah ditos. Kacau seketika dan masukkan oregano, lada sulah dan garam secukup rasa. Kacau seketika sehingga agak kering dan angkat. Hidangkan dengan salmon dan hirisan daun ketumbar.


Makan tengah hari dah sedia. Pagi ini sarapan hanyalah oat dengan selasih dan hirisan buah pala kering. Tiada buah-buahan segar kali ini kerana stok buah dan habis dan terlupa pula nak beli buah di pasar semalam. Puas hati dan kenyang hari ni.


Jumaat, 20 Mac 2015

Dahan-Dahan Baru Pokok Kari

Gambar pada 14 Mac 2015, iaitu enam hari lalu
Minggu lepas pucuk baru daun kari baru muncul. Beberapa hari kemudian banyak betul daunnya keluar. Tak sia-sia cantas habis dahan pokok kari yang sakit teruk.

Seminggu selepas dicantas

Setelah beberapa hari tak menjenguk pokok kari kat dalam pasu belakang dapur hari ni ambil masa sedikit waktu tengah hari untuk jenguk pokok kari. Terkejut saya tengok subur betul daun-daun kari bari. Elok saja daunnya. Dahannya setakat ini ada tiga. Meriah jugalah kiranya sebab sebelum ini mulanya sebatang sahaja. Lepas dicantas sekali menjadi dua batang. Sekarang dahannya dan ada tiga. Lepas ni dah berani nak kerap cantas supaya dahannya lebih banyak. Meriahlah daun kari lepas ni.

Layu sikit sebab tengahari buta
posted from Bloggeroid

Khamis, 19 Mac 2015

Tentang Delima

Dalam catatan yang lepas, saya ada tunjukkan pokok delima yang saya tanam dalam tin susu. Setelah beberapa lama akhirnya saya pindahkan pokok delima saya ke pasu yang lebih besar sedikit. Nampak gayanya akar pokok di dalam tin susu sudah agak padat. Memang sudah patut dipindahkan ke pasu yang lebih besar. Setelah dipindahkan ke pasu besar, pokok delima ada berbunga sekali dengan dua bunga sekali gus. Walaupun tidak menghasilkan buah, nampaknya pokok sudah selesa dengan pasu barunya. Daunnya juga banyak yang tumbuh tapi bentuk pokoknya tidak berapa cantik. Walau bagaimanapun, sejak ditinggalkan beberapa hari tanpa bersiram kerana kami balik kampung seminggu, daunnya luruh dek cuaca yang panas.

Hari dipindahkan ke pasu baru pada November 2014

Awal bulan ini saya ada membaja pokok-pokok di dalam pasu. Cuaca pula elok dengan hujan setiap petang pada masa itu. Cuma sekarang sudah kurang hari hujan dalam seminggu. Cuma sesekali disiram bila berkesempatan. Pokok delima yang habis luruh daunnya dicantas ranting-rantingnya. Seminggu kemudian daun-daun hijau berputik kemerahan sudah memenuhi ranting pokok. Kalau kerap dicantas pasti merimbun pokok delima. Tapi kalau kerap dicantas pula hanya daun yang keluar, bunga belum tentu dapat dihasilkan. Mungkin cantas sesekali selepas berbunga baik untuk pokok terus berkembang. Harapnya pokok delima dapat berbunga lagi. Mungkin pokok masih muda untuk berbuah maklumkan ia tumbuh dai biji yang melata dalam pasu. Umurnya pun baru nak menjengah setahun.

Empat bulan kemudian selepas seminggu dicantas



Sabtu, 14 Mac 2015

Resepi Cakoi Mudah

Kadangkala hujung minggu malas nak masak sarapan beria-ia. Jemu pun ada makan nasi atau mee untuk sarapan. Kalau tak buat cucur atau penkek, saya akan buat cakoi sejak akhir-akhir ni. Dulu jadi tukang makan je setiap kali mak masak cakoi untuk sarapan. Tapi dek kerana Ameer suka yang amat sangat dengan maka menuntutlah ilmu resepi cakoi dari mak. Mudah sangat rupanya. Cuma masa kena ada lebih sikit sebab adunan perlu diperap sebelum disediakan untuk digoreng.



Bahan-bahan:
500 gram tepung gandum (lebih kurang 4 cawan)
1/2 peket yis kering (saya guna mauripan)
3 sudu besar gula
3 sudu besar susu pekat
3 sudu besar minyak masak (boleh juga guna minyak zaitun, asalkan bukan gamat hehehe)
1 sudu teh garam
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng



Cara penyediaan:
Adunkan semua bahan hingga sebati. Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit sambil memguli sehingga adunan melekat-lekat tetapi tidak lembik. Perap sekurang-kurangnya sejam. Setelah diperap, sediakan tempat penyediaan dengan sedikit tepung untuk menguli. Canai lebih kurang ketebalan 1cm dan potong memangjang kira-kira 6cm.



Panaskan minyak yang banyak pada suhu sederhana panas. Pastikan minyak cukup panas untuk menggoreng. Tarik kedua hujung adunan yang telah dipotong dan masukkan ke dalam minyak yang cukup panas. Balik-balikkan dan angkat setelah warna keemasan. Ulang proses sehingga selesai dan hidangkan.



Biasanya saya makan cakoi bercicahkan sambal bilis. Kerap kali juga cakoi dibelah ditengah dan disapu mentega serta madu. Ada orang makan cakoi denga sri kaya. Kali ini saya makan dengan sambal sardin. Anak-anak saya suka makan begitu saja. Kalau diletakkan inti kacang pun enak juga.


posted from Bloggeroid

Jumaat, 13 Mac 2015

Tuaian Tomato & Mee Telur

Semalam sampai saja di rumah terus belek tomato. Agaknya dah ranum sangat sebab buahnya terus luruh bila ditolak. Jadi semalam dapatlah tiga biji tomato merah ranum sebesar ibu jari. Kecil sangat. Oleh sebab suami saya keluar bertugas luar daerah selama tiga hari, makanya sangatlah malas nak masak nasi siap berlauk semua. Anak-anak memang tak berapa nak makan nasi berlauk melainkan kalau masak mee atau nasi goreng. Kelmarin dah makan nasi Arab, takkan hari-hari nak bungkus. Botaklah kepala ibu.


Jadi semalam gigih buat mee telur dari mula. Mudah saja. Cuma jenuh nak canai senipis boleh tepungnya dan potong halus-halus. Kalau ada mesin buat mee senang sikit kerjanya. Resepi mee telur adalah seperti berikut untuk dimakan 4 orang.

Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
2 biji telur
1 sudu teh garam
Sedikit air

Cara Penyediaan :
Adun tepung, telur dan garam sehingga sebati. Jika perlu masukkan air, masukkan sesudu besar setiap kali. Uli selama lebih kurang 10 minit sehingga adunan kenyal. Tinggalkan seketika selama 10 minit dalam bekas yang bertutup dengan tuala lembap untuk kekalkan kelembapan adunan. Kemudian, bahagikan adunan kepada empat bahagian dan canai setiap bahagian senipis yang boleh dan gulung. Potong mengikut ketebalan yang disukai. Jangan terlalu tebal kerana mee akan kembang apabila direbus. Pastikan potongan mee tidak melekat dan salut dengan taburan tepung. Jika mahu simpan untuk kegunaan sehari dua nanti, pastikan mee kering sebelum simpan di dalam bekas kering di dalam tempat sejuk. Apabila hendak guna, rebus dengan air yang telah mendidih. Air rebusan hendaklah diletakkan garam. Kemasinannya cukup masin macam air laut bak kata orang. Mee sudah masak setelah timbul.




Mee telur ini samalah seperti pasta segar. Jadi boleh dimasak dengan pelbagai cara. Saya pernah rebus dengan stok ayam, campur bebola ayam dan pecahkan telur macam mee segera perisa ayam. Pernah juga mee ini dicelur dan dimakan dengan gorengan sayur campur berkuah. Tapi kali ini saya rebus dan terus rendam dalam air ais. Mee ditos dan digoreng macam mee goreng. Bertambah anak-anak makan. Ameer kata sedap macam mee pasar malam. Hahaha. 



posted from Bloggeroid

Khamis, 12 Mac 2015

Catatan Perjalanan Kembali Ke Malaysia

Akhirnya catatan perjalanan di Mesir dan Turki sampai ke penghujung. Pada hari terakhir kami di Mesir, tak banyak perkara dibuat sementara menunggu penerbangan ke Istanbul lewat petang itu. Mak dan ayah hanya berehat-rehat sahaja melepaskan lelah dan Cuma keluar sekali sahaja pada hari itu untuk makan tengah hari di KFC belakang rumah homestay. Setelah makan tengah hari, saya dibawa adik saya membeli jus segar di sebuah kedai jus. Orang Arab Mesir gemar minum jus segar dan kedainya agak besar. Semasa kami di sana saya dapati ada beberapa orang yang datang membeli jus dalam jumlah yang banyak. Ada pelbagai jenis jus yang dijual di kedai ini. Ada jus oren, pisang, mangga, tebu, delima dan pelbagai lagi. Kami hanya membeli jus tebu,mangga dan jambu batu. Kami juga beli potongan buah strawberi, pisang dan lain-lain yang berkuah jus mangga segar. Manis sangat buah-buahannya seolah-olah diletakkan gula sedangkan tidak.




Kemudian adik saya bawa pula ke sebuah kedai manisan yang menjual pelbagai manisan. Kami membeli kunafa dan sejenis lagi manisan yang berkacang. Kunafa adalah sejenis manisan daripada zaman Empayar Othmaniyah dan banyak didapati Turki. Ia adalah manisan berasaskan keju dan disira dengan air gula. Kedua-dua manisan ini manis macam Baklava. Kemanisannya diibaratkan adik saya boleh potong kaki sampai ke paha.



Setelah menaiki pesawat dari Cairo lewat petang itu, kami tiba di Istanbul kira-kira jam 12 malam. Kami menaiki airport shuttle selama 5 minit dan tiba di hotel pada jam 2 pagi untuk bermalam pada satu malam. Malam itu salji sungguh lebat sehinggakan pesawat berlegar-legar di ruang angkasa Istanbul kira-kira hampir 20 minit bagi membolehkan landasan dibersihkan untuk pendaratan.

Sementara menunggu penerbangan kembali ke Malaysia petang itu, kami bersiar-siar di kawasan sekitar hotel untuk bersarapan pagi merangkap makan tengah hari. Salji sangat tebal pagi itu dan masih lagi turun. Ketebalan salji adalah hampir setengah kaki dan menenggelamkan kaki. Mujurlah ada beberapa kedai yang telah dibuka awal dan dapatlah kami menjamu rice pilaf dan Turkish Grilled Chicken buat kali terakhir di Istanbul. Dengan kesempatan itu juga, kami menghabiskan baki Lira dengan membeli beberapa makanan tempatan di kedai bakeri berdekatan.





Setibanya di lapangan terbang, didapati banyak juga penerbangan ditunda sementara ada juga sebahagian kecil yang dibatalkan akibat salji terlalu lebat. Penerbangan kami ditunda selama 2 jam walaupun kami telah pun masuk ke dalam perut pesawat. Setelah landasan dibersihkan dan pesawat melalui proses anti icing, maka bermulalah perjalanan pulang kami selama 10 jam.

  

Alhamdulillah kami tiba di Malaysia jam 9.07 pagi.

Rabu, 11 Mac 2015

Hidup Baru Pokok Kari

Beberapa minggu lepas seekor kucing telah melepaskan hajat di dalam pasu pokok kari saya. Sejak hari itu keadaan pokok kari semakin mendukacitakan. Daunnya berlubang-lubang dan semakin kecil. Saya kurang pasti kebetulan memang pokoknya diserang penyakit atau disebabkan najis kucing yang dikatakan ‘panas’. Minggu lepas saya dapati pucuk baru mulai keluar. Memandangkan pokok kari dah meninggi maka saya cantas dahannya supaya bentuk pokok lebih cantik dan lebih rendang. 

Dua hari lepas nampaknya pucuk baru telah mula keluar dari batang pokoknya. Nampaknya masih panjang umur pokok kari. Mungkin dalam tempoh seminggu dua ini tak ada menu kari sehingga pokok kari dah cukup baik untuk daunnya dituai. 

Walaupun pokok kari tak berdaun lagi, stok daun kari masih boleh didapati dari laman. Tak lama dulu ada sepohon anak pokok kari tumbuh dalam pasu Gardenia saya. Mungkin dari buah pokok kari yang jatuh akhirnya tumbuh segar sehingga hari ini. Niat di hati memang ada nak pindahkan tapi tak pasti nak pindahkan ke pasu atau terus ke tanah. Kalau ke tanah dapatlah nanti pokok kari yang besar. Cuma sekarang menanti masa yang sedikit lapang untuk mengerjakannya.

Pokok kari dalam pasu itu telah bersama saya sejak lima tahun lalu dan tidak bertukar pasu. Sesekali saya letakkan baja dan kerap kali juga ia berbunga seterusnya berbuah. Berjasa sungguh, tak sia-sia tanam, banyak juga duit dapat dijimatkan.
posted from Bloggeroid

Selasa, 10 Mac 2015

Majlis Konvokesyen Universiti Ain Shams

Pada hari Isnin, 16 Februari lalu merupakan kemuncak kepada lawatan kami yang merupakan penyebab utama perjalanan kami ke Mesir. Hari berkenaan adalah hari majlis konvokesyen satu-satunya adik perempuan saya. Adik perempuan saya telah merantau jauh ke Mesir sejak penghujung tahun 2008 untuk menuntut dalam bidang perubatan. Pemergiannya ke sana telah diwarnai dengan pelbagai peristiwa sehingga menyebabkan pengajiannya tertangguh lebih kurang 6 bulan disebabkan pergolakan politik di sana. Dalam tempoh itu juga, adik lelaki saya berkahwin di mana dia dan dua lagi adik kami tidak dapat bersama di atas tuntutan ilmu.

Adik saya menuntut di Universiti Ain Shams di Cairo, Mesir. Ain Shams University adalah sebuah institusi pengajian awam ketiga tertua di Mesir iaitu selepas Universiti Al Azhar dan American University. Universiti ini telah dibuka pada tahun 1950 di bawha nama Universiti Ibrahim Pasha. Ia menawarkan kursus pengajian di peringkat ijazah, sarjana dan doktor falsafah dalam pelbagai bidang antaranya pertanian, kesenian, perubatan, farmasi dan sebagainya. 


Pemandangan menghadap Ain Shams Specialized Hospital

Kampus-kampus bagi universiti ini terletak merata-rata di dalam bandar Cairo dan kami hanya berpeluang ke bangunan Fakulti Farmasi sahaja kerana majlis konvokesyen dibuat di dewan auditoriumnya. Kehijauan kawasan di sekitar fakulti ini menarik perhatian saya.






Majlis konvokesyen tersebut dijadualkan bermula pada jam 1.00 petang. Namun dijadualkan semula pada saat akhir pada jam 4.00 petang. Pada waktu itu ahli keluarga para pelajar telah pun bersedia di dalam dewan. Majlis ini adalah anjuran pelajar-pelajar Malaysia dan Nigeria dengan usaha sama Agreement Student Office (ASO), Ain Shams University. Ia diadakan khusus untuk meraikan pelajar-pelajar daripada Nigeria dan Malaysia yang menuntut di universiti berkenaan kerana pihak universiti tidak mengadakan majlis khusus tidak seperti di Malaysia. Pelajar-pelajar ini adalah pelajar-pelajar perubatan yang menuntut dalam jurusan perubatan bagi kelas yang diajar dalam Bahasa Inggeris manakala pelajar kelas Bahasa Arab hanya dua orang sahaja pelajar dari Malaysia. Jurusan perubatan di universiti ini diajar dalam dua kelas iaitu dengan medium pengajaran Bahasa Inggeris dan dan satu lagi dalam Bahasa Arab.


Majlisnya juga ringkas dengan persembahan video daripada pelajar, ucapan daripada duta Malaysia dan Nigeria, ucapan pengurusan-pengurusan universiti dan upacara angkat sumpah doktor. Tiada upacara perarakan alat-alat kebesaran dan bunyi gamelan. Walaupun rasa remeh menguruskan majlis konvokesyen di Malaysia, namun dek kerana majlis begitu gah berkenaan telah meletakkan majlis konvokesyen di Malaysia dalam kelas yang tersendiri.

Perarakan masuk pelajar-pelajar


Paling menarik ada sesi nyanyian lagu kebangsaan Mesir, Nigeria dan Malaysia. Pada waktu sesi lagu kebangsaan Mesir dan Nigeria dimainkan, hanya lagu sahaja kedengaran. Apabila tiba waktu lagu Negaraku dimainkan, seluruh dewan gamat dengan suara rakyat-rakyat Malaysia menyanyikan lagu kebangsaan. Warga asing turut berpaling melihat wajah-wajah rakyat Malaysia dan perasaan rasa sungguh patriotik. 



Majlis tamat kira-kira hampir jam 7 malam. Oleh sebab tiada gerai-gerai jualan seperti mana di Malaysia, saya telah belikan sejambak bunga lebih awal untuk adik saya. Akhir kata, tahniah Dr. ‘Atiqah!



ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...