adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Khamis, 31 Januari 2013

Bunga Raya Merah Jambu Mini


Sejak bersama saya hampir setahun yang lalu, ini kali kedua pokok bunga raya ini berbunga. Sedikit masa dulu, saya ada sepasu pokok bunga raya yang merah menyala warnanya. Tapi pokok itu telah mati. Sedih. Pokok bunga raya mini ini dibeli sebagai ganti. Tapi tak dapat mengganti tempat pokok lama di hati saya. Pokok ini agak terabai seketika sehingga saya rajin semula menjaga tanaman saya sejak akhir-akhir ini. Bunga raya tidak wangi tetapi warnanya yang pelbagai menarik hati. Bunga raya juga datang dalam pelbagai bentuk lapisan. Ada yang selapis dan ada juga yang berlapis-lapis. Saya akan tambah lagi koleksi bunga raya saya.
posted from Bloggeroid

Selasa, 29 Januari 2013

Keindahan Pulau Tuba

Jam 6.30 pagi, sebuah teksi sudah sedia menunggu saya. Saya ada penerbangan ke Pulau Langkawi pagi ini. Teruja kan?. Kalau pergi dengan keluarga tentulah teruja. Tetapi kalau berseorangan atas urusan kerja, kuranglah keterujaan itu. Keluar dari rumah tadi pun anak-anak masih lelap. Suami sahaja yang melambai dari pintu rumah. Saya ada lawatan tapak pusat penyelidikan marin untuk sebuah universiti di sebuah pulau yang masih "dara".
Pulau indah yang akan saya lawati adalah Pulau Tuba. Menurut seorang pegawai, keadaan Pulau Tuba sekarang tak ubah macam Pulau Langkawi dalam tahun 70an. Kawasannya berbukit bukau dikelilingi pantai yang putih pasirnya. Feri disediakan bagi sesiapa yang ingin melawat pulau ini. Tapi saya tak pasti aktiviti apa yang sesuai untuk pelancong. Tak semua tempat di sekitar pantai pulau ini bot persendirian dibenarkan mendarat. Ini kerana saya dimaklumkan oleh seorang professor bahawa terdapat terumbu karang mula terbentuk.
Air di pulau ini biru dan jernih. Suasana penempatan kampungnya sangatlah tenang. Kenederaan persendirian yang ada hanya motor dan van lusuh. Saya pasti penduduk pulau ini mendapat keperluan hariannya di Pekan Kuah dengan jarak perjalanan hampir sejam dengan feri. Berikut adalah beberapa gambar di Pulau Tuba yang saya ingin kongsikan. Subhanallah..cantik sungguh ciptaan Allah.





posted from Bloggeroid

Awan Pagi Langkawi


posted from Bloggeroid

Isnin, 28 Januari 2013

Mengagumi Kecantikanmu...


"Pokok ros ni you jual berapa ringgit? Warna ape bunganya?". Tanya saya pada seorang pekerja nurseri di Bangi. "RM 15 kak. Saya tak tahu warnanya. Nanti kalau saya kata kuning, keluar warna lain kakak marah sama saya pula". "Bagi murahlah...pokok ni tak ada daun pun". Pekerja itu pun bersetuju menjual pokok bunga ros ini dengan harga RM12. Harga ini siap dengan pasunya. Saya kira agak murah kerana kebiasaannya saya beli pokok sahaja sudah RM9. Inilah yang berlaku dua minggu lalu.

Inilah rupa pokok ros itu hari ini. Pokok ros itu telahpun mengeluarkan bunga merah jambunya. Saiznya agak besar berbanding ros saya yang sedia ada. Baunya tidak kuat. Saya sebenarnya baru tiba dari kampung. Perjalananan selama dua jam terus hilang melihat bunga ros ini. Ada enam kudup kesemuanya termasuk yang telah kembang. Cantik sungguh.



Setelah luruh kesemua bunga ini, saya akan cantas pokok ini bagi memberi bentuk yang menarik serta rimbun. Mencantas dan menggetu pokok juga dapat menggalakkan pembentukkan cabang-cabang baru dan seterusnya menggalakkan pembungaan. Harapnya berjaya.
posted from Bloggeroid

Ahad, 27 Januari 2013

Bendi bantut - 8 minggu


Bantut bendi saya ini. Bendi ini bukan dari spesies bantut tapi pembesarannya terbantut. Umurnya telah lapan minggu tetapi saiznya tidak berubah sejak enam minggu lalu. Dua minggu lalu saya telah pindahkannya ke dalam kawasan kebun sejemput saya. Minggu lalu saya bajainya dengan baja tahi ayam. Tiap hari sejak dipindahkan saya siramkannya kecuali kalau hari hujan. Pemkembangannya agak positif dengan pertumbuhan daun-daun baru. Kawasan kebun sejemput ini terima cahaya matahari penuh dari awal pagi sehingga lewat petang.

Cuba perhatikan gambar ini. Saya rasa ini kudup bunganya. Menurut ayah saya, pokok bendi ini dah sampai masanya untuk berbuah. Jadi ia tetap akan berbunga walaupun terbantut tumbesarannya. Saya tidak ada masalah sekiranya pokok ini benar-benar akan berbuah. Dapatlah saya merasa bendi tanam sendiri. Sedap dicicah sambal belacan atau budu. Dimasak asam pedas pun enak juga. Tak sabar menunggu saat itu.
posted from Bloggeroid

Semaian kailan - 2 minggu


Semaian kailan ini telahpun berusia 14 hari atau 2 minggu. Semaian ini telahpun mengeluarkan daun sebenar pertamanya. Agak lewat. Seharusnya pada usia seminggu saya telah alihkannya ke kawasan yang terima cahaya matahari penuh. Memandangkan minggu lalu saya terpaksa bertugas ke luar daerah, maka perpindahan agak lewat mengakibatkan semaian ini menjadi agak "leggy". Semaian ini cuba mencari cahaya matahari dari kawasan semaian yang agak teduh. Hanya beberapa hari lepas saya alihkannya dan semaian ini telahpun mengeluarkan daun sebenarnya. Jika perkembangan ini terus positif, saya akan memindahkannya ke batas atau menjarakkannya setelah daun sebenar ketiga tumbuh.

posted from Bloggeroid

Rabu, 23 Januari 2013

"Extreme Makeover" Pokok Ros


Memandangkan musim hujan telah menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, maka akan muncullah hari-hari mendatang yang panas. Musim panas adalah waktu yang sesuai untuk melaksanakan kerja-kerja pemangkasan pokok. Ini kerana bekas pangkasan tidak terdedah kepada kelembapan dan keadaan basah yang boleh menyebabkan bekas pangkasan tersebut rosak.



Pada Ahad yang lepas, saya dengan sepenuh hati tanpa belas kasihan telah memangkas pokok-pokok ros saya secara “extreme”. Inilah hasilnya. Saya harap dalam masa dua atau tiga minggu ini muncullah pucuk-pucuk muda yang baru.
Disebabkan musim panas akan bermula, maka saya terpaksalah merajinkan diri menyiram semua tanaman yang ada dua kali sehari. Pagi tadi saya telah membaja kesemua tanaman saya. Saya berazam agar saya akan terus membaja tanaman saya setiap dua minggu dan diselang selikan dengan semburan racun organik untuk menghalang kehadiran serangga dan kulat. Selain baja tahi ayam, saya akan turut selang selikan dengan semburan baja cecair. Harapan saya, catatan harian tentang tanaman saya di blog ini menaikkan semangat saya untuk terus berkebun dan rasa malu sendiri akan timbul kalau tidak bersungguh-sungguh sebab catatannya sentiasa ada. Hehehe…
posted from Bloggeroid

Isnin, 21 Januari 2013

Serbuk Kunyit Buatan Sendiri


Dua tiga hari ini cuaca agak panas walaupun hujan pada lewat petang. Kunyit yang digali tempoh hari masih belum terusik. Saya fikir eloklah dibuat serbuk sebelum buruk mereput dalam peti. Saya bersihkan sedikit bahagian luarnya dan hiris nipis. Saya gunakan talam besi supaya dapat mempercepatkan proses pengeringan. Proses pengeringan bermula pada jam 9 pagi.


Inilah hasilnya pada jam 3 petang. Kering tapi belum cukup kering. Maksudnya kering pada zahirnya tapi seeloknya lebih garing. Hari sudah menunjukkan bibit hujan. Jadi perlu dialihkan dari jemuran. Seeloknya dijemur lagi. Tapi, hari ini saya perlu ke Kota Bharu lagi atas urusan kerja selama dua hari. Jadi, tiada masa untuk mengeringkannya lagi. Malas nak tunggu lagi sebab dah tak sabar nak kisar.


Inilah hasilnya. Saya kisar dengan sedikit beras. Warna kurang terang berbanding serbuk yang dihasillan secara komersil. Antara sebabnya adalah kunyit yang saya tuai tiada ibu kunyit yang benar-benar pekat warnanya. Saya juga rasa saya dah terlebih letak beras. Hasil kisaran juga agak kasar sebab pisau pengisar tumpul.

Malam tadi saya goreng ikan pelaling dengan serbuk kunyit ini. Harum baunya dan ada sedikit kelainan dari segi rasanya. Lebih sedap. Mungkin juga rasa sedap itu datang dari kepuasan diri. Saya agak jangka hayat serbuk kunyit tidak lama kerana tidak betul-betul kering. Lain kali saya akan keringkan lebih lama.
posted from Bloggeroid

Jumaat, 18 Januari 2013

Cambahan Sawiku.. - Minggu 6


Ha! Sampai tiga “update” tanaman hari ini. Maklumlah, hampir dua minggu tidak menulis sebarang catatan tentang tanaman saya. Inilah rupanya cambahan sawi yang dah berumur enam minggu. Kalau dilihat perbezaan antara catatan terakhir pada minggu keempat, ada sedikit perkembangannya. Cuma perkembangannya agak perlahan. Saya perlu kerapkan aktiviti membaja cambahan sawi ini sekurang-kurangnya setiap dua minggu. Ini untuk memastikan cambahan ini menerima nutrien yang secukupnya untuk terus berkembang. Sejak dipindahkan ke luar laman, cambahan ini nampak tidak teruk terjejas berbanding banih-benih tomato yang semakin merudum perkembangannya. Sekarang ini saya perlu kerapkan penyiraman serta penjagaan agar tidak diserang serangga yang dikhuatiri akan menyerang daun-daunya.
posted from Bloggeroid

Anak baru.. Kailan - 5 hari



Belum..saya belum bersalin. Anak baru yang saya nak tunjukkan hari ini adalah anak benih kalian yang saya semai Isnin lalu. Dalam tempoh masa tiga hari saja benih yang saya beli dari blog tanamsendiri.com telahpun mula bertunas. Bernas sungguh benihnya. Secara jujurnya, ini kali ketiga saya semai benih kalian. Semuanya menjadi. Tetapi akibat kealpaan saya, kalian saya tua begitu sahaja. Tidak pernah dituai. Rugi betul. Kali ini saya akan pastikan saya dapat tuai dan makan hasilnya.
Saya telah gemburkan medium semaian yang saya dakwa tidak subur itu dengan peatgrow dan juga sedikit baja tahi ayam. Setelah digembur, saya taburkan biji benih kalian dengan agak sekata. Kemudian, saya taburkan lapisan nipis peatgrow dan siram agar medium semaian lembap. Saya dapati benih telah mula muncul pada hari ketiga selepas menyemai. Namun tak sempat membelek-belek lanjut. Sempat dijeling sahaja. Pagi tadi kelihatn terdapat sebilangan kecil telah mati kekeringan. Cepat-cepat saya siramkan mediumnya. Keadaan cuaca yang tidak hujan beberapa  hari ini telah meninggalkan kesan pada kebanyakan tanaman saya. Harapnya saya tidak terleka untuk menyiram tanaman saya.



posted from Bloggeroid

Misi Menyelamatkan Tomato - Minggu 9


Pukul 5.30 pagi tadi Ameer yang suam-suam badannya terbangun. Dia beritahu dia nak bawa bekal air “nasi” ke “sekolah”. Air “nasi” tu air barli lah maksudnya. Nasib baik di rumah ada dua tin “pearl barley” cap ayam. Air barli memang sedap diminum untuk menyejukkan badan. Ia merupakan makanan sunah Rasulullah dan baik untuk meredakan demam. Maka, bangunlah si ibu menyediakan air barli permintaan si abang. Biasanya saya akan rebus barli selama setengah jam dan biarkan barli itu berendam dalam air rebusannya semalaman supaya betul kembang. Kemudiannya rebus kembali dalam setengah jam keesokan paginya. Setelah itu, masukkan gula untuk menambahkan keenakkannya. Disebabkan kesuntukan masa hari ini, saya rebus sejam sahaja. Maka kuranglah kembang biji-biji barli. Namun, rasanya tetap boleh tahan. Jadi, hari ini Ameer bawa bekal air barli dan Cucur Ikan Bilis Bancuhan Air Panas untuk ke "sekolah". Biasanya bawa roti dan susu kotak sahaja. Sempat jugala ibu mengoreng cucur pagi tadi.

Sementara menunggu barli direbus, saya jenguk tanaman dalam gelap subuh. Pagi tadi saya nekad nak menjalankan misi menyelamatkan benih-benih tomato saya. Sudah dua hari bumi Putrajaya tidak dibasahi hujan. Oleh kerana tanaman hanya disiram sekali sahaja sehari, maka sudah terbit bibit-bibit kelayuan pada kebanyakan tanaman saya. Ada yang hampir kekuningan warnanya. 
Tomato yang ditanam di tanah dan di dalam pasu merah jambu telahpun tumpas mati kekeringan. Dalam pasu hijau pula, masih ada empat benih yang masih hidup. Namun, keadaannya agak menyadihkan kerana diserang kulat daunnya. Saya ambil dua benih yang paling sihat dan pindahkan ke dalam pasu yang lebih besar. Kalau dilihat, saya tanam agak dalam untuk membolehkan benih-benih ini mengeluarkan akar-akar baru. Saya campurkan tanah berkenaan dengan sesudu kecil baja tahi ayam untuk memberi sumber nutrisi kepada benih-benih yang akan dipulihkan ini. Usai dialihkan, saya siram tanahnya dengan air dan mandikan benih-benih tersebut dengan semburan baja organik.
Saya harap usaha saya ini berhasil. Pengajaran yang saya dapat hari ini adalah, kalau rasa benih sudah patut dipindahkan ke pasu yang lebih besar, cepat-cepatlah buat sebelum terbantut pembesarannya. Kalau tidak siapa yang rugi? Saya juga. Saya rasa sepatutnya benih-benih ini dipindahkan ke pasu yang besar pada minggu ke 4 atau minggu ke 5 sewaktu pokok galak mengeluarkan akar baru iaitu selepas dipindahkan kali pertama.

Selesai kerja-kerja pemindahan, azan subuh pun berkumandang. Maaflah kalau gambar-gambarnya gak gelap. Maklumlah waktu subuh hening.

posted from Bloggeroid

Khamis, 17 Januari 2013

Ahmad Zharif - 1 tahun 4 bulan



Hari esok, umur Ahmad genap setahun empat bulan. Pada umur ini, Ahmad sudah pandai beritahu dia mahu turun. Sama turun dari dari kerusi meja makan atau turun ke tingkat bawah. Ahmad juga dah pandai seret beg “sekolah” ke depan pintu rumah dan melambai ibu dengan “Bye”. Pagi tadi, Ahmad seret “luggage” ke depan pintu rumah, siap sedia nak ke “sekolah”. Anak-anak merujuk taska tu sebagai “sekolah”
Ahmad paling muda dalam keluarga kami. Jadi, dia dipanggil adik. Tak lama lagi, Ahmad dah jadi abang. Tapi, abang Ameer kata dia seorang saja yang boleh dipanggil “abang”.
Sejak dari lahir Ahmad murah senyuman. Ibu rindu senyuman Ahmad walaupun lapan jam berjauhan dari Ahmad. Sekejap lagi ibu jemput Ahmad dan abang Ameer ye..


posted from Bloggeroid

Rabu, 16 Januari 2013

Sambal Sardin Berdaun Kunyit


Aik?! Gambar tin sardin pun nak “upload” ke? Eh, kalau orang minta saya letak, saya akan  letak hehehe. Perasan tak perbezaannya? Satu tin adalah ikan sardin dalam sos tomato. Manakala satu tin lagi ikan mackerel dalam sos tomato. Ikan sardin dikenali sebagai ikan selayang di sini manakala ikan mackerel adalah ikan kembung. Memang ada perbezaan dari segi rasanya. Kebiasaannya memang dapur kami jarang keputusan bekalan sardine. Bukan sebab “kuat” makan sardin, tapi kalau tetiba teringin tak ada pula bekalan, haru pula. Suami yang tersayang tu kalau dipesan untuk beli sardin dia sambar aje ape yang ada cap gambar ayam jantan tu. Bila saya perasan dia dah terbeli ikan mackerel, maka saya pun beritahu perbezaannya. Tapi saya rasa insiden tersilap beli ni akan berlaku  lagi pada masa hadapan.

Sekarang saya nak kongsi resepi Sambal Sardin Berdaun Kunyit. Alang-alang dah terbeli daun kunyit yang mahal di pasar, baik saya gunakannya sepenuhnya sebelum kering terus daunnya. Resepi ini saya belajar semasa berada dalam darjah 6. Macam biasa, kalau berkhemah, mesti sardin jadi menu utama. Cikgu yang bertugas menyelia aktiviti memasak menggunakan daun kunyit sebagai ganti asam keping. Saya lebih suka versi ini untuk mencicah sebab lebih tekstur dalam kuahnya. Kalau nak rasa bolehla cuba ya.

Bahan-bahan:
1 tin kecil sardin dalam sos tomato
6 ulas bawang kecil - dimayang
2 ulas bawang putih
Sehiris halia
5 tangkai cili kering – boleh kurangkan atau tambah
1 sudu sos cili
1 sudu sos tomato
Sehelai daun kunyit – dihiris halus
Cili padi hijau – dihiris
Sdikit minyak untuk menumis
1 tin air
Garam dan gula

Cara-cara :
  1. Kisar separuh bawang kecil, bawang putih, halia dan cili kering.
  2. Panaskan minyak dan tumis bahan yang telah dikisar sehingga naik bau.
  3. Curahkan isi sardin dan kuahnya. Tambahkan separuh tin air untuk cairkan kuah sedikit. Semasa merenih, hancurkan isi sardin kepada ketulan besar supaya senang nak mencicah. Kalau tidak mahu hancurkan pun tidak menjadi masalah.
  4. Masukkan sos tomato dan sos cili. Masukkan lebihan air jika mahu kuah yang lebih cair.
  5. Setelah merenih, masukkan cili padi hijau, lebihan bawang kecil dan daun kunyit. Perasakan dengan garam dan gula.
  6. Hidangkan dan enak juga dicicah roti kosong.
Resepi ini cukup untuk dua orang. Kadang-kadang saya makan dengan nasi panas dengan kicap aje. Hai, tengahari ni lapar pula rasanya.

Minta maaflah kalau sekarang kurang catatan pasal tanaman. Sekarang agak sibuk jadi kurang masa membelek tanaman. Tiap minggu saya keluar daerah bertugas. Sebelum bersalin ni, saya akan pulun habis-habisan selesaikan kerja di pejabat agar tidak membebankan rakan sekerja nanti. Alhamdulillah kesihatan mengizinkan saya untuk terus melaksanakan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Tak lupa juga kepada keluarga tersayang.



posted from Bloggeroid

Roti Puree untuk sarapan


Pernah dengar atau makan tak Roti Puree? Roti ini bukanlah seperti roti biasa yang gebu. Kebiasaannya ianya dimasak garing dan dimakan bersama kari. Emak saya biasa menyediakan roti puree untuk hidangan hujung minggu. Saya juga kerap menghidangkannya untuk sarapan. Ia agak ringkas tetapi mengenyangkan kami sekeluarga. Kebiasaannya saya akan memasak Sambal Sardin Berdaun Kunyit sebagai gandingannya.
Sewaktu saya masih bekerja dengan sebuah syarikat kontraktor, saya sering memesan rakan berbangsa India untuk belikan roti puree ini untuk sarapan. Uniknya, dia membelinya dari sebuah kedai yang mana tukang masak yang juga tuan kedai adalah seorang lelaki Melayu. Rakan saya itu agak terkejut bila saya maklumkan yang emak saya selalu menyediakan roti ini.
Terdapat pelbagai versi resepi roti ini yang rakan-rakan boleh dapati. Inilah resepi roti puree versi saya.

Bahan-bahan:

1 cawan tepung gandum
1 sudu besar gula
1 sudu besar marjerin
1 sudu teh garam
¼ cawan air – anggaran
Minyak untuk menggoreng tohor.

Cara-cara :
  1. Gaulkan semua bahan kecuali air sehingga sebati dan hampir menyerupai serbuk roti.
  2. Adun dengan air sedikit demi sedikt sehinnga membentuk doh. Ketepikan untuk 10 hingga 15 minit.
  3. Bahagikan adunan kepada lapan bahagian dan bulatkan.
  4. Leperkan adunan sehinnga anggaran setebal kulit karipap atau roti canai.
  5. Panaskan minyak dengan api yang sederhana. Apabila minyak sudah betul-betul panas, goreng satu persatu sehingga keemasan dan toskan.
  6. Pastikan minyak betul-betul panas agar roti yang digoreng tidak menyerap terlalu banyak minyak. Kerap balikkan agar roti masak sekata dan tidak hangus sebahagian.
  7. Hidangkan dan enak dimakan bersama kari, sambal sardin, susu pekat atau begitu sahaja.

Resepi ini menghasilkan lapan keeping roti cukup untuk hidangan dua orang. Kalau nak lebih, bolehlah gandakan bahan-bahannya ya. Teringin pula nak makan roti puree ni waktu begini….


posted from Bloggeroid

Selasa, 15 Januari 2013

Ros berbunga sedozen...


Inilah saat yang saya tunggu-tunggu sejak beberapa hari lepas. Hujung minggu lalu saya perasan pokok bunga ros dalam pasu kecil telah mula mengeluarkan sekurang-kurangnya lapan kuntum bunga. Manakala pasu besar ada empat kudup bunga. Hari ini sebahagian besar kudup-kudup bunga telah berkembang. Hasilnya menjadilah 13 kuntum bunga ros! Ini termasuk dua kudup yang belum berkembang. Pada usia hampir dua bulan bersama saya, pokok-pokok bunga ros ini benar-benar menceriakan hidup saya.

Ini betul-betul menaikkan semangat saya untuk menambah koleksi pokok ros saya.

Ini pula gambar jarak dekat bunga ros yang sempat saya ambil dalam keadaan tergesa-gesa pagi ini. Saya masih belum berpeluang membelek sepuas hati bunga-bunga ros yang lebih dari sedozen ini.
posted from Bloggeroid

Isnin, 14 Januari 2013

Apa dah jadi?! - Kunyit


Apa dah jadi?! Ini pokok kunyit saya yang dah kekeringan sejak dua minggu yang lalu. Tiada apa-apa yang perlu dirisaukan. Sekarang sudah tiba masa untuk menuai umbi kunyit tersebut. Sejak ia mati kekeringan, saya telah terputus bekalan daun kunyit sebagai bahan masakan. Menyampah betul bila terpaksa beli daun kunyit dipasar dengan harga 70 sen untuk tiga helai. Waktu itu, barulah terasa berbaloi tanam sendiri. Selama ini saya hanya ada sepasu sahaja pokok kunyit. Selepas ini saya akan pastikan saya ada sekurang-kurangnya tiga pasu pokok kunyit untuk pastikan bekalan umbi kunyit dan daun kunyit tidak terputus untuk bekalan dapur. Kenapa tiga pasu? Sekejap lagi saya akan jawab.


Selepas dituai dan dibersihkan, inilah hasil galian saya. Agak banyak saya kira. Cukuplah untuk bekalan masakan bagi tempoh dua bulan (atau mungkin lebih). Kunyit boleh dituai umbinya kira-kira dalam tempoh enam bulan. Kalau tuaian sebanyak ini cukup untuk tempoh dua bulan, maka sebab inilah saya akan tanam sepasu bagi jarak dua bulan setiap satu. Kenapa tidak ditanam tiga pasu serentak? Nanti pokoknya kekeringan serentak pula. Dengan cara ini, setiap dua bulan saya akan dapat tuai umbi baru dan ia akan berterusan. Insya Allah tidak terputus bekalan umbi kunyit dan daunnya. Kalau ada lebihan umbi kunyit, bolehlah dikeringkan dan kisar halus bersama sedikit beras untuk dijadikan serbuk kunyit. Jimat lagi belanja dapur. Agak-agak betul tak perkiraan saya. Belum cuba belum tahu kan?
Kemudian, saya tanam semula sedikit umbi kecil sedikit dari satu sudu teh. Kita lihat betapa banyak hasil yang dapat saya tuai dalam masa enam bulan nanti. Turut dituai hari semalam adalah dua batang serai. Semalam, Percik Ikan Pelaling menjadi menu makan tengahari kami sekeluarga.


posted from Bloggeroid

Jumaat, 11 Januari 2013

Tomato ke saya yang merajuk? - Minggu 8



Sudah hampir dua minggu saya tidak “update” apa-apa mengenai tanaman tomato saya. Dua minggu lalu, saya telah tanam sepasu benih saya ke atas tanah. Manakala yang lain saya pindahkan ke tempat yang terkena cahaya matahari penuh. Selepas seminggu, saya lihat daun mula kekuningan dan perkembangannya agak terbantut. Saya kira mungkin kurang bekalan makanan walaupun disiram setiap hari. Saya pun letakkan baja untuk setiap pasu. 
Eloklah daunnya sedikit bagi yang masih di dalam pasu. Yang sudah ditanam di atas tanah, tidaklah gugur satu-satunya daunnya. Namun begitu, pertumbuhannya masih perlahan. Dalam penafian, saya akui, mungkin cuaca yang agak panas sebelah pagi sedikit sebanyak menganggu pertumbuhannya. 
Saya rasa pokok-pokok tomato saya merajuk. Tapi saya juga merajuk manja. Enggan alihkannya. Tapi kasihan pula. Kalau mati kesemuanya kemudian hari, sia-sia sahajalah usaha saya selama ini. Hujung minggu ini saya akan dapatkan pasu yang besar dan alihkan benih-benih ini ke kawasan yang redup tapi terima cahaya matahari pagi. Harapnya usaha saya ini untuk menjaganya sehingga boleh dituai hasilnya berkesudahan dengan baik. Insya Allah.

posted from Bloggeroid

Khamis, 10 Januari 2013

Ayam Masak Oren


Sewaktu tengah membelek gambar dalam telefon, terjumpalah gambar masakan ini yang dah berbulan-bulan terperap. Hasrat di hati nak kongsikan resepi ini tetapi tertangguh agak lama. Sekarang barulah berkesempatan. Resepi ini saya dapat dari Weelicious. Thank you Weelicious for this superb recipe! Tiada sedikit perubahan yang saya buat terhadap resepi asal. Masakan ini sedap dimakan dengan nasi panas. Ianya masakan Cina yang agak digemari. Jika rakan-rakan tidak dapat mengakses resepi asal, di sini saya sertakan resepinya dalam Bahasa Melayu. Cubalah!

Bahan - bahan :
1 cawan jus oren
2 sudu teh halia, disagat
1 susdu teh madu
1 ulas bawang putih, dicincang
2 sudu besar kicap manis
1 sudu besar minyak masak
1 keping dada ayam, dibuang kulit dan didadu
1 cawan kacang pis, dikerat dua
1 cili capsicum merah, dipotong jejari

Cara-cara :
  1. Gabungkan jus oren, halia sagat, madu, bawang putih dan kicap manis dalam satu mangkuk dan adun sehingga sebati;
  2. Panaskan minyak dengan suhu sederhana dan masak ayam sehingga separuh masak, kerapkan kacau supaya tidak hangus; 
  3. Masukkan sayur-sayuran dan gaul seketika sehingga separuh masak dan keluarkan dari kuali ke mangkuk yang bersih;
  4. Masukkan campuran sos ke dalam kuali dan biarkan merenih sehingga sos telah berkurang separuh;
  5. Masukkan ayam dan sayuran yang telah dimasak ke dalam sos dan biarakn seketika; dan
  6. Siap untuk dihidangkan.



posted from Bloggeroid

Tergoda...


Tergoda saya dengan santapan ummuaidan tempoh hari. Budu dengan ulaman segar dari kebunnya. Saya sering teringin nak menghidangkan budu yang dicicah dengan ulaman. Tapi, suami saya tak makan budu. Jadi, kurang seronok sedikit kalau makan seorang. Kebetulan adik saya datang ke rumah malam tadi melawat anak-anak saudaranya yang dua orang itu. Dia agak gemar makan budu. Kami bukan orang Kelantan tapi gemarkan kepelbagaian makanan Malaysia.
Jadi, apa yang yang dipadankan dengan budu? Di rumah saya hanya ada sedikit sahaja budu dari botol kecil. Itupun lebihan dari budu yang sebahagiannya saya telah gunakan untuk bahan sambal budu nasi kerabu. Saya tuai kangkung saya yang halus batang dan daunnya walau usianya telah sebulan. Saya memang telah rancang untuk tuainya walau tak banyak. Kalau dibiarkan lebih lama, bimbang batang kangkung menjadi terlalu berserat hingga tidak enak lagi dimakan. Saya celur kangkung tanaman saya bersama-sama terung kecil yang saya beli dari pasar.

Selain kangkung, saya juga tuai dua pelepah daun sup untuk dibuat penyedap rasa dalam masakan ayam masak kicap saya dan cili padi untuk dimasukkan dalam budu saya. Tapi sayang, tiada perahan limau untuk menambahkan "umph" dalam budu. Walau apapun, puas hati saya dapat makan budu dicicah kangkung celur yang segar dari kebun sejemput.
posted from Bloggeroid

Selasa, 8 Januari 2013

Belalang...belalang... - Pokok Limau Purut


Sudah hampir tiga tahun pokok limau purut ini bersama saya. Entah kenapa, pokok ini lambat benar membesar. Dulu, saya letakkannya di dalam pasu kecil di bawah teduhan yang hanya menerima pancaran matahari pagi. Jarang pula dibaja. Bila dipindahkan ke pasu besar, galak juga ia berdaun. Saya pula galak menggunakan daunnya sebagai bahan masakan. Lama-kelamaan pokok merajuk agaknya bila kerap diambil daunnya. Kemudian saya pindahkan pula pasunya ke tempat yang terima pancaran matahari penuh. Galak juga ia berdaun. Malah daunnya lebih cantik berbanding di bawah teduhan. Daunnya juga lebih besar serta harum. Mungkin cahaya matahari yang lebih memberi sumber yang lebih untuk daun hasilkan makanan melalui fotosintesis. Daunnya juga gelap warnanya.

Namun, masalah lain pula timbul. Apabila muncul sahaja pucuk baharu, berbondong-bondonglah belalang kecil menyantap daun-daun muda itu. Maka, membesarlah daun yang carik tidak indah dipandang. Saya tak buang daun yang berlubang-lubang itu. Bimbang pokok tertekan kalau dibuang daun-daunnya.

Pucuk baru pun sudah muncul baru-baru ini. Risau belalang datang lagi. Apa saya harus buat ya?
posted from Bloggeroid

Sementara Menunggu...


Sekarang saya tengah menunggu penerbangan ke Kota Bharu, Kelantan untuk satu mesyuarat penting petang ini. Lewat petang nanti ada penerbangan kembali ke KLIA. Kebiasaannya saya akan membawa sebuah buku untuk dibaca di waktu-waktu menunggu seperti ini. Tapi, disebabkan kekalutan pagi, saya terlupa mencapai buku di rak. Saya pernah berbual dengan seorang professor matematik dari sebuah universiti tempatan. Katanya, untuk kita lebih banyak membaca, sentiasalah pastikan sebuah buku yang kecil dan ringan dalam beg. Buku yang besar dan tebal, baca saja di rumah.
Pagi ini, saya telah dapatkan buku tulisan Sir Arthur Conan Doyle yang terkenal iaitu "Sherlock Holmes". Hasil tulisan beliau yang ini telah meninggalkan memori indah kepada saya dan kawan-kawan sewaktu dalam tempoh kursus selama 6 bulan hampir 3 tahun yang lalu. Kami telah menghasilkan satu produksi drama Inggeris dalam Modul Bahasa Inggeris. Produksi itu telah menjadi kebanggaan kami sehingga menjadi sebutan pensyarah dan juga rakan-rakan kursus dari kumpulan lain. Tapi malangnya tiada rakaman dibuat kerana tiada siapa di antara kami yang teringat untuk merakamkannya.
Walau apapun, produksi itu sentiasa menjadi memori indah kami...
posted from Bloggeroid

Khamis, 3 Januari 2013

Sawi Sudah Sebulan - Minggu 4



Sudah empat minggu umur benih-benih sawi ini. Kalau diikutkan pembacaan saya, dalam tempoh 8 hingga 12 minggu semaian sudah boleh tuai. Jadi, mengikut perkiraan saya, kira-kira 4 hingga 8 minggu lagi dapatlah saya merasa tuaian pertama sawi saya.
Kalau diperhatikan, batang benih-benih sawi saya ini agak panjang. Saya pasti ini disebabkan kurang penerimaan cahaya matahari sedangkan benih-benih ini telahpun bersedia untuk dipindahkan ke tempat yang lebih menerima cahaya matahari. Pagi tadi saya telah pindahkannya ke tempat yang menerima pancaran matahari sekurang-kurangnya panas sehingga tengahari. Jika saya pindahkannya ke kawasan kebun sejemput, saya risau benih-benih ini tidak dapat bertahan kerana terkejut sebab kawasan tersebut agak terik. Saya yakin perpindahan ini dapat membantu menggalakkan pertumbuhan benih-benih sawi saya ini. Kita tunggu dan lihat.



posted from Bloggeroid

Kebun Sejemput..



"The future ain't what it used to be."
Yogi Berra
Agak-agaknya, ada tak yang tertanya-tanya besar mana agaknya laman rumah saya sampai banyak betul jenis tanaman yang saya semai. Tempahan benih baru sahaja dah mencecah 15 jenis! Inilah laman belakang rumah saya. Saya tak pasti nak gelarkannya laman belakang atau laman depan. Rumah saya ada “double frontage”. Laman ini mengadap ruang tamu dan ruang makan rumah kami. Kalau dibuka dua “sliding door” tiga pintu seluas-luasnya, maka terpampanglah seluruh isi rumah menghadap rumah jiran. Kalau diperhatikan, tidak ada apa-apa ditanam di atas lama ini melainkan tiga rumpun serai, sebatang pokok rambutan dan sebatang pokok manga. Gambar ini diambil dari tingkap bilik utama. Sebenarnya, ada pokok keladi gajah besar di hadapan pintu untuk melindungi ruang makan dari pandangan rumah jiran. Dalam gambar ini, pokok keladi itu agak terlindung.

Dalam tahun 2010, saya ada menanam kacang panjang, kangkung, tomato, kobis, brokoli, jagung, bawang, lobak merah, ketumbar, roselle dan timun di atas laman ini. Namun, setelah disahkan mengandungkan Ahmad, saya sudah tidak mampu menjaga tanaman saya. Tuaian yang sempat saya kutip hanyalah kacang panjang, kangkung, roselle dan lobak merah sahaja. Tanaman yang lain semuanya mati. Tanah di laman ini kurang subur. Sudahlah banyak batu perlu dibuang, banyak pula kos ditabur untuk membaja bagi memastikan tanahnya subur. Adatlah bertanam di atas tanah tambun di taman perumahan. Lagipun, kawasan ini agak gelap pada waktu malam. Jadi, agak sukar saya nak jenguk tanaman pada waktu malam jika tidak berkesempatan pada waktu siang.
Inilah sebenarnya ruang saya bertanam sekarang. Kawasan ini agak subur. Selain daun pandan dan pokok kantan, saya juga tanam serai dan roselle di sini sedikit masa dulu. Tanamannya subur walaupun kurang pembajaan. Cuma perlu kerap siram supaya tanahnya kekal lembap. Kawasan ini di hadapan rumah. Sebelum dan selepas balik kerja, bolehlah menjenguk tanaman sekejap. Malam-malam pun sempat menjenguk sekejap sebab belakang dapur sahaja.

Pokok serai telah saya pindahkan ke laman belakang manakala pokok roselle telah habis musimnya. Jadi apa yang di atas tanah ini hanyalah daun pandan, pokok kantan dan kangkung. Semalam, saya telah pindahkan sepohon benih tomato. Kawasan ini terima cahaya matahari penuh. Jadi saya akan tengok keadaan pokok tomato itu dalam seminggu ini. Kalau hasilnya baik, saya akan pindahkan beberapa lagi bersama-sama benih bendi saya. Inilah kebun sejemput saya…



posted from Bloggeroid

Selasa, 1 Januari 2013

Kejutan dari Ros!


Hari ini tak keluar rumah langsung dari pagi. Dari pagi sibuk mengemas rumah yang ditinggalkan hampir seminggu. Lepas tengahari baru keluar rumah nak bawa Ameer pergi gunting rambutnya yang dah panjang. Sejak sampai di rumah malam tadi, masih belum sempat membelek bunga di laman. Tengahari tadi, sempat membelek pokok-pokok bunga. Terkejut saya apabila mendapati pokok ros dalam pasu kecil berbunga lagi. Dalam tempoh empat hari ditinggalkan masih sempat berbunga. Pokok ros dalam pasu besar dah menunjukkan kemunculan kudup-kudup bunga baru. Rajin betul pokok-pokok ros ni. Nampaknya selagi saya masih belun jemu, selagi itulah rakan-rakan terpaksa menatap pokok ros saya ini. Minta maaf ye, hehehe. Pokok-pokok ini juga pun makin galak mengeluarkan pucuk-pucuk baru. Sayang pula nak cantas. Tapi kalau tak cantas, tak merimbun pula. Tunggu dulula sebulan dua lagi baru cantas.


posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...