Selasa lepas saya tuai bendi emas sulung saya. Itupun ada
satu sahaja. Saya juga tuai satu pelepah daun kari, dua biji tomato ceri dan
sedikit bayam hijau. Asalnya bayam ini hidup tanpa dirancang. Saya ingatkan
benih bayam organik yang saya beli di MAHA baru-baru sudah tidak bernas. Saya
pun campaklah ia ke dalam pasu kompos saya. Tanpa disangka ia tumbuh dengan
elok dan subur. Tapi kuantiti yang hidup agak sedikit. Saya goreng bayam
tersebut dan dicampur dengan sedikit bayam merah yang dibeli. Bayam berkenaan
elok tumbuh segar di tepmat teduh. Ada juga benih yang tersesat dalam pasu di
tengah panas tapi pertumbuhannya kurang cantik dan daunnya kelihatan berserat. Tomato
bulat yang ada dituai pada hari Isnin.
Melihat kepada tuaian yang ada, eloklah saya masak kari ikan
pelaling mengikut resepi Kari Ikan Tenggiri Tanpa Santan Berhalba dengan memasukkan
tomato dan bendi sebagai bahan tambahan. Tomato dan bendi memang sesuai untuk
dimasak dalam kari ikan. Sepatutnya tomato menambahkan kemasaman kari tapi
tomato saya manis. Asalkan tak merosakkan rasa sudahlah.
Sedapnya sampai lebihan karinya dipanaskan dan dimakan untuk
sarapan di pejabat. Nasib baik rakan sebilik saya bercuti semalam. Jadi tak
adalah yang menegur bau kari ikan yang semerbak itu. Tak malu betul saya ni.
Sendiri tuai, sendiri, masak, sendiri makan, sendiri puji. Hehehe.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan