Inovasi? Apa itu inovasi? Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, inovasi adalah sesuatu yg baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat, dan lain-lain yg baru. Kenapa saya gelarkan tuaian semalam sebagai tuaian inovasi? Kerana setelah dikumpul semua tuaian, saya buntu memikirkan resepi yang saya boleh buat dengan menggabungkan semua bahan ini. Semalam, suami saya ada jamuan makan di surau komuniti kami. Jadi kebiasaannya saya masak masakan ringkas sahaja memandangkan hanya saya, Ameer dan Ahmad sahaja yang akan makan. Memasak adalah satu perkara yang banyak meujudkan inovasi baru sama ada dari segi penggunaan bahan, langkah penyediaan makanan dan lain-lain.
Semalam saya telah tuai lobak putih, pucuk selasih Thai, beberapa biji tomato ceri yang belum ranum dan sawi Bok Choy. Lobak putih itu jika dibiarkan seminggu lagi mungkin jadi lebih berisi. Namun dek kerana lobak itu satu sahaja yang tinggal dipasu, saya tuai juga. Selasih Thai dituai agak banyak dek kerana pokok yang ada merimbun sungguh.
Akhirnya saya longgokkan semua bahan itu dalam masakan ayam dengan asasnya masakan dirujuk dari resepi Ayam Masak Halia. Sedapnya sampai licin. Tulang ayam saja tinggal. Ameer makan sampai bertambah. Ahmad pula tak putus-putus minta disuap. Rasa selasih Thai menyerlah. Saya ada terbaca selasih Thai elok dimakan untuk menambahkan susu ibu. Saya pun perasan yang kuantiti susu bertambah keesokan pagi jika malamnya saya makan selasih Thai. Tak pasti memang benar atau kebetulan.
Selesai makan, saya pun berbual dengan Ameer.
Ibu : Ameer, sedap tak ibu masak?
Ameer : Sedap ibu. Tapi, ada sup. Tapi, sup tu “yummy” – lah
Kembang kempis hidung ibu terima pujian si anak.
Kerja ibu mudah sekarang bila tiba waktu makan. Ameer akan ambil pinggan makan untuk semua orang waktu ibu menghidangkan makan malam. Usai makan, Ameer akan buang lebihan makanannya dengan elok dalam tong sampah dan letakkan pinggannya di dalam sinki. Walaupun kerjanya mudah, ini satu pencapaian buat anak sekecil itu. Tentu dia bangga apabila dipuji ibu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan