adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label catatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label catatan. Papar semua catatan

Rabu, 4 Januari 2017

Azam 2017

Okay. Sebelum sambung cerita lepas. Rasanya belum terlambat nak bercerita tentang azam tahun baru. Tiap tahun mesti ada azam baru yang nak dilaksanakan. Sebaik-baik azam adalah azam yang menjadikan kita insan yang lebih baik. Azam yang baik juga sebaiknya boleh dinilai pencapaiannya. Terpulang kepada diri kita macam mana nak menetapkannya dan macam mana nak menilainya. Walaupun saya kurang gemar kongsikan secara terperinci apa yang saya nak dalam hidup tapi kali ini saya nak kongsikan azam saya tahun ini dan strategi saya macam mana nak capai. Tapi ini cuma sebahagian sahaja sebab azam-azam lain itu terlalu peribadi untuk saya kongsikan. Inilah azam saya bagi tahun 2017.

1. SAYA NAK KURANGKAN BERAT BADAN. Berat badan saya sekarang adalah 68.7 kg dengan BMI 29.74 yang menunjukkan saya ni dah terlebih berat badan. Berat badan yang ideal bagi saya adalah sekitar 42.7 kg - 57.8 kg. Saya nak letakkan tiga sasaran; pertama: 60 kg, kedua : 55 kg dan ketiga : 50 kg. Untuk permulaan ini, sudilah menatap wajah saya dengan berat 65kg di hujung tahun 2016.


2. SAYA NAK MAKAN SECARA SIHAT. Makan secara sihat adalah kunci kepada kesihatan yang baik. Semakin meningkat umur, semakin saya kawal apa yang saya makan. Sebelum ini saya biasakan diri untuk berhenti makan sebelum kenyang, elakkan makanan berproses dan akan elakkan makanan manis. Untuk tahun baru ini, saya berazam untuk kuatkan semangat untuk meneruskan kebiasaan saya dan konsisten menjaga pemakanan saya terutamanya makanan bergoreng dan berlemak. Untuk capai azam pertama juga saya sudah mula kira kalori makanan yang saya ambil. Sebagai bukti kesungguhan saya, sudilah menatap menu eat-clean saya buat hari kedua.



3. SAYA NAK HABISKAN BACA EMPAT BUAH BUKU. Dalam tahun-tahun sebelum ini, saya memang suka membeli buku. Tapi bacanya selalu sekerat jalan. Jadi, untuk tahun ini saya nak habiskan empat buat buku yang dah lama terperap di rak buku. Buku yang ini dibeli pada tahun 2010 tapi pembacaannya saya terhenti sehingga bab 7 sahaja. Saya mesti habiskan tahun ini.


4. SAYA NAK BELAJAR BERENANG. Anak-anak saya suka main air walaupun yang pandai berenang cuma anak yang sulung sahaja. Saya suka tengok anak-anak seronok berenang. Jadi, saya belajar berenang supaya dapat lebih enjoy bersama anak-anak. Selain itu, berenang boleh jadi workout sampingan saya.

Itu sahajalah azam saya tahun ini. Kalau banyak-banyak tak tercapai pula. Yang disenaraikan adalah yang dapat diukur dan kalau menunjukkan perkembangan positif, kita tambah lagi bila suku pertama tahun 2017 berakhir. Harap saya istiqamah dalam perjalanan melaksanakan azam saya. InsyaAllah.

Harap tak gelojoh macam ni nak selesaikan azam 2017

Khamis, 7 Januari 2016

Because we see things so often...

Gambar yang saya tampilkan ini adalah gambar bunga ulam raja di kebun tepi rumah ayah saya dan dibelakangnya adalah pokok rambutan jiran ayah saya. Langit biru dibelakang cerah selepas hujan turun. Kebun rumah ayah saya ini penuh dengan ulam raja. Rasanya lebih sedozen sampai tak termakan sebab mak dan ayah hanya tinggal berdua sahaja. Terkilan pula tak ambil gambar seluruh batas tepi rumah untuk tunjukkan betapa banyak ulam raja ayah saya.


The more often we see the things around us - even the beautiful and wonderful things - the more they become invisible to us. That is why we often take for granted the beauty of this world: the flowers, the trees, the birds, the clouds - even those we love.

Because we see things so often, we see them less and less.

- Joseph B. Wirthlin

Ahad, 1 November 2015

Love. It felt like a falling raindrop....

“Love. It felt like a falling raindrop scatter on a trembling leaf then roll of its tip in a cascade of pearls” 
Prabhukrishna M


Khamis, 26 Mac 2015

Usaha Ke Arah Gaya Hidup Sihat


Saya sekarang sedang dalam usaha untuk mengurangkan berat badan kepada berat badan ideal. Di samping itu juga, saya cuba mengurangkan risiko yang disebabkan pemakanan yang tidak sihat melalui amalan pemakanan yang sihat. Ini adalah penting kerana keluarga saya mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan sebagainya yang disebabkan amalan pemakanan yang tidak sihat. Walaupun setiap kali mengandung saya akan diminta untuk menjalani ujian air gula, saya bersyukur saya tidak menghidapi penyakit kencing manis sepanjang kehamilan. Doktor sentiasa mengingatkan saya supaya menjaga pemakanan untuk mengurangkan risiko penyakit terutamanya kencing manis. 

Ayah saya menjadi idola saya dalam amalan pemakanan yang sihat. Ayah masih cergas walaupun sudah mencapai umur 62 tahun pada tahun ini. Ayah masih mampu berjoging pada usia ini. Semasa bercuti bersama bulan lepas, lelah juga saya mengikut rentak ayah berjalan laju. Laju betul ayah berjalan. Ayah saya tak merokok, suka minum jus, makan sayuran dan ulaman, suka berkebun dan beriadah. Ayah saya juga sangat menjaga kesihatan mulutnya sehinggakan pada umur sebegini pun kesemua giginya adalah gigi kekal. Tiada satu pun gigi palsu yang ada.

Pernah tak kadang-kadang kita tertanya kenapa badan kita lemau semacam. Ataupun terfikir kenapa dah banyak bersenam tapi tak kurus-kurus juga. Ada juga terjadi perut rasa tak selesa dan kembung menyebabkan perut kerap berbunyi dan buncit selain kerap buang angin. Ini semua berkaitan dengan gaya hidup dan amalan pemakanan yang sihat.

Inilah inisiatif-inisiatif yang saya ambil dalam mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat.

1. Makan makanan segar dan semula jadi : amalkan memakan makanan yang segar iaitu makan makanan yang datang terus datang dari ladang bukan makanan yang telah terubahsuai dari makmal atau kilang. Pilihan makanan adalah terdiri daripada buah-buahan dan sayuran segar, bijirin penuh, daging ternakan segar, produk tenusu serta kekacang. Paling mudah beli barang-barang yang dijual di pasar tani. Pembelian di pasar tani bukan sahaja menguntungkan dengan pilihan segar yang banyak, malah dapat membantu usahawan-usahawan tani menjana pendapat. Saya sejak dulu memang suka membeli barang-barang segar dari pasar tani.

Mee telur buatan sendiri dalam sup sayur-sayuran segar dengan udang



2. Hadkan makanan terproses
 : makanan terproses adalah secara asanya makanan yang berlabel. Secara mudahnya makanan yang telah diproses menggunakan lebih dari satu bahan untuk menghasilkan makanan tersebut. Jenis makanan ini termasuklah makanan sejuk beku. Walaupun anak-anak ada juga makan nuget ayam contohnya, kami memang jarang membeli makanan sejuk beku. Boleh dikatakan hanya sekali dua setahun. Ada juga makanan terproses lain dibeli tapi saya biasanya beli dengan mengamalkan prinsip “If you can’t pronounce an ingredient on a label, don’t put that food in your shopping basket”. 

3. Kurangkan gula, maniskan senyuman : mujurlah saya bukan orang yang suka sangat makanan manis. Minum air manis pun dalam seminggu belum tentu minum. Saya biasanya suka minum teh tanpa gula. Lebih enak kalau teh berperisa seperti teh hijau, teh lemon, teh laici dan sebagainya. Biasanya ada pelbagai jenama teh uncang berperisa antaranya jenama BOH. Kadangkala minum air jus tanpa gula. Saya kini sedang usahakan kurangkan gula dalam masakan. Kalau kurangkan gula dalam minuman dan kudapan memang tak ada masalah terutama kuih-muih memang tak berapa selera dah sekarang.

4. Masak makanan sendiri : ini memang bahagian saya suka sebab saya suka memasak dan cuba resipi baru. Cuma masalahnya kekangan masa dan bahan. Bila ada masa lapang saya akan teroka alam maya mencari resipi-resipi yang boleh diolah dengan bahan yang mudah dicari serta menyihatkan. Siapa kata makanan sihat tak sedap dan membosankan? Lagipun masak sendiri lebih kena dengan cita rasa dan boleh disesuaikan dengan bajet sendiri. Tak semestinya bahan yang mahal sahaja menghasilkan makanan sihat.
5. Pastikan buang air besar setiap hari : yang ini memang penting untuk saya. Saya sebenarnya dari muda remaja memang adalah masalah sembelit terutama ketika mengandung sehingga menyebabkan buasir. Maaf kalau terlebih maklumat pula. Siapa kata buang air besar tak penting? Biasanya perut kembung, buncit dan kerap buang angin adalah disebabkan bahan kumuh tidak dikeluarkan. Pastikan diet seharian padat dengan serat yang datang dari sayur-sayuran dan buah-buahan. Air yang cukup juga dapat membantu mengatasi sembelit. Saya katakan ini berdasarkan kepada pengalaman sendiri. Dulu memang susah nak membuang dalam sehari dan memang perut kembung. Tapi sejak saya pastikan saya buang air besar setiap hari, masalah kembung dan masalah perut buncit dapat diatasi. Saya akan pastikan saya makan sayur dan buah yang mencukupi setiap hari selain banyak minum air masak. Kalau lepas membuang tu perut rasa kosong maksudnya pembuangan telah berjaya sepenuhnya. Tapi kadangkala terpaksa juga ambil teh herba untuk legakan perut tapi tidak kerap untuk elakkan kebergantungan.

6. Bersenam : dalam sebulan dua ini saya sudah mengamalkan bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari dengan pembakaran 200 kalori. Biasanya orang melihat bersenam adalah cara untuk menurunkan berat badan. Saya suka bersenam sebab bila bersenam aliran darah dalam badan saya diperbaiki. Dengan itu saya dapat mengeluarkan toksin dalam badan melalui berpeluh. Sistem perkumuhan saya lebih baik termasuk membuang bahan buangan dari ususnya. Saya juga lebih bertenaga dan mendapat tidur yang lebih berkualiti. Saya bersenam dengan menggunakan basikal senaman hampir setiap hari. Bersenam juga menjadikan mod kita lebih baik dan fikiran lebih fokus. Perkara ini saya memang alami sendiri dan saya sukakannya.

Kebaikan air pada tubuh - kredit

7. Banyakkan minum air : saya memang kuat minum air. Bosan je minum air. Mengantuk atau lapar je minum air. Dulu saya ada kongsi satu aplikasi di telefon yang mencadangkan jumlah air yang perlu diminum dalam sehari mengikut berat badan dan merekodkan jumlah air yang diminum. Sebulan selepas menamatkan cabaran itu, berat badan saya turun 3kg! Biasanya berat badan yang turun pada bulan pertama adalah berat air. Apa yang penting di sini adalah minum air yang mencukupi dengan keperluan badan membantu menyihatkan tubuh badan. Kalau air kencing jernih tu maksudnya cukuplah air dalam badan. Katanya kalau minum air boleh mencantikkan kulit. Saya rasa ada betulnya sebab memang kulit terasa lebih bersih dan kedut tepi mata dah berkurang. Ke saya yang perasan? Hehehe.

Saya kira keadaan kesihatan saya secara zahirnya nampak baik. Inilah usaha saya dalam menjaga kesihatan diri dan tidak berlaku kejam ke atas diri sendiri dengan tidak menjaga kesihatan. Kita hanya berusaha dan bertawakal kepada Allah. Banyak lagi saya perlu perbaiki diri bagi menjalani hidup yang sihat.

posted from Bloggeroid

Jumaat, 30 Januari 2015

Januari Tanpa Facebook


Saya telah bersama Facebook (FB) sejak tahun 2009. Itu pun setelah ramai ahli keluarga memujuk untuk membuka satu akaun agar dapat bersama-sama berkongsi gambar dan pelbagai cerita. Jumlah rakan-rakan semakin bertambah saban hari. Ada juga rakan yang saya kurang pasti sama ada saya betul-betul mengenali mereka. Lama-kelamaan saya mula memilih untuk tidak menerima orang saya tidak kenali sebagai rakan dalam talian dan mulai mengeluarkan orang saya kurang kenal dari senarai rakan saya.

Bersama FB, hidup saya ibarat budak-budak dengan peti ais. Setiap minit pasti ingin melihat apa di dalamnya sedangkan tidak ada apa yang baharu pun. Kematangan setiap status yang dimuat naik oleh rakan-rakan seiring dengan kematangan usia mereka. Dari yang bergambar seorang diri sudah ramai yang memuat naik gambar bersama anak dan pasangan. Tak kurang juga yang masih bergambar sendirian. Pelbagai telahan dibuat tatkala melihat rakan-rakan memberitahu seisi pelosok alam kegembiraan, kesedihan, kemewahan, kemarahan dan pelbagai emosi yang bercampur baur yang sedang dialaminya. Status yang marah-marah kadangkala dicurahkan lagi minyak. Status yang kecewa ditambah lagi luka yang ada. Tak kurang juga dipersoalkan niat menunjukkan beg tangan mewah yang baharu, rumah besar siap diubahsuai bak istana dan keenakan bersantap di restoran mewah.

Bisikan syaitan sentiasa hadir membisikkan kata-kata nista dan dipujuk rayu supaya diluahkan agar dapat persahabatan yang dijalinkan bertemu pengakhiran. Syaitan juga tidak lupa membisikkan supaya berkongsi apa yang kita ada tetapi orang lain tidak ada dengan niat untuk berkongsi kegembiraan. Hakikatnya, setiap saat FB diperiksa sama adakah “LIKE” terbaru diterima tanda hati mendambakan pujian.

Dengan FB juga, masa untuk insan tersayang terpaksa dicatu. Sampai bila saya harus hidup begini. Akhirnya, pada satu malam tahun baru 2015, saya menyahaktifkan akaun FB saya dan “uninstall” aplikasi FB dari telefon saya. Hari ini genaplah 30 hari hidup saya tanpa FB dan inilah yang saya alami.
  1. Saya punya masa untuk bersenam : sebelum ini masa saya banyak dihabiskan dengan duduk-duduk sahaja atau berbaring sambil mengadap FB. Niat untuk bersenam sentiasa menjadi niat tanpa usaha untuk merealisasikannya dengan alasan tak ada masa. Tanpa saya sedar saya punya masa untuk bersenam sekurang-kurangnya dalam masa 15 minit setiap pagi dan mampu membakar kalori sebanyak 150 kalori! Sebelum ini pun saya akan bangun sekitar jam 5.30 pagi dan kini pagi saya dimulakan dengan senaman. Dalam tempoh seminggu bersenam dengan basikal senaman saya, saya rasa lebih bertenaga dan badan semakin ringan. Badan sihat (dan jadi kurus) dah menjadi bonus kepada saya.Saya masih belum timbang berat terkini saya tapi kerani saya bagitau saya nampak kurus sikit (hahaha - lepas tu bedal nasi lemak tiga hari berturut).
  2. Saya lebih banyak mendengar : dengan FB, segala berita sama ada yang benar atau spekulasi hanya saya dapat melalui perkara-perkara yang dikongsi oleh kawan-kawan FB. Tanpa FB, saya kini banyak mendengar untuk mendapatkan maklumat. Saya lebih tekun mendengar setiap butir perkataan yang orang khabarkan kepada saya terutamanya suami saya. Saya lebih cakna terhadap apa yang orang-orang tersayang saya iaitu suami dan anak-anak ceritakan kepada saya. Fikiran saya sudah tidak terisi dengan hal-hal remeh tentang kehidupan orang lain. Saya sudah tidak peduli apa orang makan hari ini, pakai baju warna hari ini, bergaduh dengan siapa hari ini atau apa yang dibeli hari ini. Ruang kosong dalam kotak pemikiran saya hanya di isi perkara yang saya mahu dengar. Kalau saya mahukan cerita saya dengar dari suami dan anak-anak. Kalau saya mahukan informasi hal ehwal semasa saya akan dengar berita.
  3. Saya punya masa untuk membaca : Rupa-rupanya banyak juga masa lapang saya. Masa yang diluang untuk FB dulu kini saya isi dengan membaca. Dalam tempoh satu bulan ini belum habis lagi mana-mana buku. Saya banyak membaca akhbar atau blog-blog pilihan saya. Dulu, tanpa disedari saya banyak membaca status daripada "wartawan tak bertauliah" dan "pengulas tak bertauliah" yang mengulas berita-berita yang belum pasti atau berita/maklumat yang diterima separuh masak. Sekarang kepala saya kurang semak dengan spekulasi cuma kadang-kadang kala agak ketinggalan dengan perkara yang dihebohkan.
Terlalu awal lagi untuk saya simpulkan apa yang dapat dengan meninggalkan FB. Cuma apa yang saya pasti, terlalu banyak benda menarik dalam hidup kita untuk kita raikan.

Below are my favorite articles on life without facebook which generally sums up what I experience these last 30 days :

  1. 21 Reasons Why Life without Facebook is Totally Awesome
  2. How 30 Days Without Social Media Changed My Life
  3. Walled-in: Life Without Facebook
  4. The anti-social network: Life without Facebook
  5. My Life Without Facebook: A Social Experiment
...and a few more.

Selasa, 25 November 2014

Pendidikan VS Propaganda

Minggu lalu saya berkesempatan mengikuti satu sesi bengkel yang mana pengisian satu slot bengkel tersebut begitu menarik perhatian saya. Antara pengisiannya adalah bagaimana untuk mendidik bukannya mengarah atau dalam kata lain membezakan pendidikan dan propaganda. Pendidikan adalah satu proses memberi pemahaman terhadap sesuatu perkara dengan memberikan pengetahuan seterusnya membentuk sikap dan kemahiran dalam membuat keputusan. Ia merupakan satu proses pembelajaran yang membolehkan penemuan baru dan memerlukan pemahaman yang mendalam. Propaganda atau kempen pula adalah cara atau tindakan utk menghebahkan penerangan melalui dorongan untuk satu perkara dilaksanakan atau hebahan untuk sesuatu doktrin atau fahaman. 

Saya bagi contoh-contoh bagaimana membeza poster pendidikan dan poster kempen. 

Contoh 1: Poster pendidikan. Poster pendidikan memberikan maklumat dan penerangan tentang akibat dan sebab perkara itu dilakukan. Contohnya poster mengenai kebaikan merancang menu harian keluarga ini. Ia menerangkan kebaikan merancang menu harian keluarga bagi menggalakkan keluarga makan makanan yang disediakan di rumah. Poster ini sama sekali tidak mengandungi unsur-unsur arahan di mana setiap individu sendiri memilih untuk mengikuti atau tidak saranan untuk makan makanan yang disediakan di rumah. Ia memberikan informasi namun terpulang kepada penerima informasi untuk menerima saranan tersebut atau tidak.

Googled

Contoh poster pendidikan.

Googled

Contoh 2: Poster kempen. Poster kempen biasanya tidak mengandungi informasi atau mengandungi informasi yang sedikit. Ia lebih berbentuk mendorong seseorang individu untuk melakukan sesuatu. Contohnya seperti poster kempen penggunaan beg plastik ini. Poster ini tidak memaparkan informasi sebab dan akibat kepada perbuatan mengurangkan penggunaan beg plastik dan menggunakan beg plastik kitar semula. 

Googled

Contoh poster kempen.

Googled
Kedua-dua medium ini tidak salah untuk digunakan tetapi kadangkala disalahgunakan untuk menyampaikan informasi yang mengelirukan atau menanam fahaman yang salah. Pendidikan adalah satu proses yang mengambil masa yang lama untuk mendapatkan kesannya namun ia murah untuk dilaksanakan. Propaganda pula memberi kesan yang cepat kerana manusia terus menerima saranan manakala pendidikan memerlukan kefahaman yang mendalam.

Akhir kata, sukacita saya maklumkan bahawa catatan saya ini bukanlah catatan akademik yang boleh digunakan sebagai rujukan ilmiah. Saya cuma ingin menyampaikan informasi dan bukannya berhasrat untuk menyampaikan doktrin. Semoga perkongsian ilmu yang saya dapat dari bengkel tersebut dapat membuka minda kita bersama.

Jumaat, 7 November 2014

Buat Header Blog Dengan PowerPoint

Kadang-kadang bila bosan teringin nak tukar header blog. Tapi masalahnya komputer yang ada tidaklah secanggih mana. Perisian yang ada pun asas sahaja. Kita ni bukanlah pandai sangat nak faham jargon Internet sehinggalah pada suatu hari ‘terjadi’ bijak pandailah pula. Timbul idea nak buat header blog menggunakan perisian Microsoft PowerPoint.

Langkah 1, 2 dan 3 :


Buka fail baru dalam PowerPoint. Setkan saiz yang bersesuaian dengan saiz header. Klik tab ‘Design’. Pilih ‘Page Setup’ dan tentukan saiz header. Saiz header bergantung pada saiz skrin komputer anda. Untuk komputer saya, saiz yang sepadan adalah 32 cm x 5 cm.

Setelah disetkan, ada boleh menghias header anda dengan memasukkan gambar, bentuk tulisan yang cantik dan pelbagai lagi mengikut daya kreativiti anda.

Langkah 4:


Simpan fail anda dalam bentuk JPEG.

Langkah 5 dan 6:


Dalam dashboard blog, klik ‘Layout’ dan kemudian klik ‘Edit’ pada bahagian pengatas/header.

Langkah 7 dan 8:


Klik ‘Choose File’ dan pilih fail JPEG yang anda simpan sebentar tadi. Pilih pilihan kedua untuk memastikan fail JPEG anda sahaja yang menjadi header.

Langkah 9 dan 10:


Klik ‘Save’ dan ‘Preview’. Jangan bimbang sekiranya header terlalu pendek atau terlalu panjang. Ulang semula langkah pertama untuk setkan saiz header. Mungkin perlu beberapa kali percubaan. Tapi inilah cara paling mudah dan murah tanpa perlu install perisian baru yang lebih kompleks penggunaannya.


Setelah berpuas hati, hayatilah hasil kerja anda pagi, petang, siang dan malam. Selamat mencuba!

Rabu, 29 Oktober 2014

Erti Kepentingan


Minggu lalu saya berpeluang menjadi sebahagian daripada penggerak satu mesyuarat penting yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri. Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh wakil-wakil Persekutuan dan wakil-waktu iaitu termasuklah beberapa YB Menteri-Menteri dan juga semua YAB Menteri Besar/Ketua Menteri. Bukan perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut yang saya hendak ceritakan tapi ada satu perkara lain yang buat saya berfikir.

Usai mesyuarat tersebut, seseorang daripada pejabat sekitar bertanya kepada saya apa output daripada mesyuarat tersebut. Oleh kerana saya tidak berada dalam bilik mesyuarat, saya maklumkan bahawa mungkin beberapa perkara mungkin memerlukan pertimbangan lanjut memandangkan setiap ahli mempunyai kepentingan masing-masing. Bagi yang belum jelas, kepentingan yang maksudkan di sini adalah kepentingan Persekutuan dan kepentingan Negeri. Untuk pengetahuan, tanggungjawab serta hak-hak Persekutuan dan Negeri ada dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Konflik kadangkala timbul apabila kedua-dua pihak mempunyai perspektif berbeza dalam menangani satu isu. 

Berbalik kepada perbualan ringkas saya tadi. Respons yang diberikan oleh pegawai tersebut membuatkan saya tersentap.

“Sebenarnya kita semua salah. Tidak wujud kepentingan Persekutuan atau kepentingan Negeri. Yang wujud hanyalah kepentingan negara. Betul tak?

Saya tersenyum. Banyak lagi yang perlu saya belajar dalam menentukan kepentingan dalam hidup. Kepentingan saya buat masa sekarang adalah keluarga walaupun kadangkala tingkah laku saya tidak mencerminkan begitu. Dalam hidup, kita perlu tahu membezakan kehendak dan keperluan. Sudah tentu, keperluan mempunyai kepentingan lebih berbanding kehendak. Ada masanya memenuhi keperluan orang lain lebih penting berbanding memenuhi keperluan diri sendiri. Kepentingan sesuatu perkara bagi setiap individu adalah berbeza. Bagaimana untuk mengatur setiap kepentingan adalah bergantung pada kebijaksanaan masing-masing.


Isnin, 27 Oktober 2014

Tips Peperiksaan PTD


Saya sebenarnya tidak berhasrat untuk membincangkan hal-hal kerjaya saya dalam blog ini. Namun, mutakhir ini saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya yang setahun jagung ini. Pada saya tidak ada salahnya saya berkongsi pengalaman sendiri. Lagipun, semakin lama semakin pudar memori di kotak fikiran saya seiring dengan pertambahan usia. Dengan pertambahan usia, tanggungjawab juga bertambah baik sebagai isteri, ibu dan juga pekerja. Zaman juga sudah berubah. Pengalaman saya mungkin tidak sama dengan keperluan semasa namun dapat dijadikan asas panduan.

Saya mendaftarkan diri untuk memasuki skim perkhidmatan tadbir dan diplomatik (PTD) sekitar tahun 2007. Sebelum saya berada di dalam kedudukan sekarang, saya telah menduduki peperiksaan PTD sebanyak dua kali, menghadiri PTD Asssesment Center (PAC) sebanyak dua kali dan temu duga sebanyak tiga kali. Kenapa tapisan dua kali tetapi temu duga tiga kali? Sebab selepas temu duga kali pertama saya dipanggil sekali lagi untuk temu duga tanpa perlu menduduki peperiksaan dan menghadiri PAC. Agaknya markah peperiksaan dan PAC saya agak memberangsangkan jadi dipanggil untuk temu duga sekali lai. Agaknyalah. Saya pun tak tahu. Kemudian saya dilantik secara kontrak selama dua tahun dan ketika itu saya nekad untuk menyelesaikan apa yang saya dah mulakan. Saya isi borang semula dan menduduki peperiksaan semula. Menghadiri PAC sekali lagi dan bersedia untuk temu duga sekali lagi. Pada masa ini suami saya telah berjaya dilantik ke dalam perkhidmatan setelah dipanggil temu duga buat kali kedua seperti mana saya. Alhamdulillahlah saya dilantik setelah berkhidmat secara kontrak kurang daripada setahun. Tidak semua orang melalui pengalaman yang sama. Ada juga orang telah mengharungi setiap peringkat berkali-kali saban tahun, namun rezekinya Allah telah tentukan. Ada rezeki juga yang perlu melalui setiap peringkat sekali sahaja seumur hidup.

Saya kurang pasti bagaimana format peperiksaan yang akan dilalui pada 1 November ini, yang pastinya ia dilakukan secara atas talian. Saya pasti, peperiksaan yang diadakan mempunyai objektif yang sama seperti mana dulu. Bagi mencari individu yang peka dengan isu semasa, tangkas dalam menyelesaikan masalah, pandai mengolah pendapat dan mempunyai personaliti yang baik. Objektif tu saya agak begitulah melihatkan kepada jenis-jenis soalan yang tanya.

Untuk catatan kali ini saya nak kongsi tip peperiksaan sahaja. Saya cuba bagi yang terbaik, ringkas dan padat. Peperiksaan PTD mempunyai empat seksyen iaitu Pengetahuan Am, Daya Menyelesaikan Masalah, Esei Bahasa Melayu dan Esei Bahasa Inggeris. Bagi yang mencari soalan-soalan ramalan, sukacita dimaklumkan bahawa di sini bukanlah tempatnya. Soalan-soalan yang boleh didapati secara meluas di Internet bukanlah soalan ramalan, tetapi hanya contoh soalan sahaja. Pandangan saya, soalan peperiksaan PTD bukan seperti mana soalan peperiksaan lain yang boleh di kompilasi atau diramal seperti mana soalan peperiksaan lain. Banyakkan membaca pelbagai sumber khususnya hal ehwal dalam negara. Membaca kan jambatan ilmu?

Untuk seksyen pengetahuan am, soalan-soalan yang ditanya dapat dijawab dengan mudah sekiranya anda seorang yang peka kepada isu-isu semasa dari pelbagai bidang. Seingat saya soalan yang pernah ditanya kepada saya adalah siapa pengarah filem Puteri Gunung Ledang. Soalan pasukan mana yang memenangi liga-liga bola sepak utama Malaysia juga pernah ditanya. Saya juga termenung agak panjang apabila ditanya nama beregu Malaysia yang memenangi pingat dalam sukan ping pong di peringkat antarabangsa. Ada juga soalan yang menyebut tentang karya sastera negara dan jawapannya adalah siapa penulis karya tersebut. Jawapan yang saya dapat akhirnya adalah Krishen Jit. Macam mana saya boleh ingat soalan-soalan ini? Sebab saya bengang tak dapat jawab. Jadi kesimpulannya, jangan hadkan pengetahuan kepada bidang yang anda minati sahaja. Banyakkan membaca atau menonton program-program isu-isu semasa dan tidak semestinya bahan ilmiah. Sebaiknya mulakan amalan cakna isu semasa setahun lebih awal.

Pernah dengar penaakulan mantik? Pernah cuba soalan menguji IQ? Untuk seksyen kedua ini banyak menggunakan logik akal. Ya, memang sebahagian besarnya adalah soalan matematik. Tapi tidaklah sehingga memerlukan anda tahu matematik tambahan. Cukup sekadar tahu asas tambah, tolak, darab dan bahagi. Soalannya menjurus kepada permasalahan harian. Seingat saya soalan yang saya pernah jawab adalah pengiraan cukai, tempoh perjalanan serta jarak. Saya tidak ada tip khusus untuk seksyen ini. Jujur saya katakan saya hanya dapat menjawab sebahagian sahaja soalan kerana tempoh masa yang ditetapkan adalah singkat berbanding jumlah soalan. Tambahan pula pengiraan melibatkan nombor 5 hingga 7 digit tanpa penggunaan kalkulator. Bagi yang biasa dengan kerja kira-kira seperti akauntan mungkin agak mudah. Mungkin boleh cuba asah-asah ketajaman fikiran dengan kerap bermain sudoku.

Untuk seksyen penulisan esei agak umum tapi memerlukan seseorang yang cakna isu-isu semasa khususnya melibatkan dasar-dasar negara. Seingat saya isu yang ditampilkan sewaktu saya menduduki peperiksaan dahulu adalah isu Pulau Batu Putih yang melibatkan isu kedaulatan negara, isu ekonomi juga pernah ditanya. Cuba bayangkan orang tuli ekonomi macam saya cuba mengarang esei  yang memerlukan olahan pendapat yang bernas dan jitu. Dalam seksyen ini, cuba sampaikan pendapat anda dengan tulisan yang kemas, lontaran idea yang mudah difahami namun ‘nampak’ kecerdikan anda melalui gaya bahasa yang baik, perbendaharaan kata yang luas menunjukkan anda seorang yang matang.

Seingat saya dulu, ada satu lagi ujian personaliti yang perlu diambil. Soalannya tidak ada jawapan yang betul. Bentuk soalannya memerlukan anda menjawab dengan jujur dan konsisten. Contohnya adakah anda pernah menipu? Adakah anda pernah dipanggil oleh guru besar? Adakah anda kerap marah? Saya percaya soalan-soalan ini diperlukan bagi mengenali tahap kesihatan mental seseorang. Anda tentu tidak mahu berurusan dengan seorang pegawai kerajaan yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Begitulah seadanya perkongsian saya. Saya doakan calon-calon yang akan menduduki peperiksaan ini sentiasa berlapang dada. Gagal tidak menjadikan anda seorang yang tewas dan yang berjaya tidak menjadikan anda lebih bagus dari orang lain. Percaya dengan rezeki yang Allah berikan. InsyaAllah.


Selasa, 23 September 2014

Cabaran Turunkan Berat Badan Dengan Segelen Air


Sejak bulan Syawal tamat, makin menjadi-jadi selera makan. Sudahnya suami pun dah tanya dah berapa bulan mengandung. Perli lah tu. Seluar pun dah makin mengecil (salahkan seluar yang mengecil pula). Agak-agak, macam manalah nak turunkan berat badan. Nak berdiet memang tak lalu. Apatah lagi nak bersukan. Yang pertama malas, yang kedua tak ada masa (sedangkan kalau rajin tentu masa diadakan).

Suatu hari saya terbaca satu artikel mengenai perubahan-perubahan yang tubuh kita akan alami setelah mengamalkan amalan meminum satu gelen air setiap hari selama sebulan. Satu gelen?! Banyaknya!! Berapa banyak segelen tu?! Segelen adalah bersamaan dengan 3.8 liter. Saya suka minum air kosong. Selama ini tak pernah pun ambil kisah manfaat air kepada tubuh badan. Artikel tersebut adalah sebahagian daripada testimoni 30-day No Excuse Water Challenge oleh Mary Kang. Challenge Accepted!!

17 September 2014 

Saya mulakan cabaran ini dengan berat sebanyak 65 kg. Mengikut kiraan BMI, saya kini lebih berat badan. Berat badan yang ideal mengikut ketinggian saya adalah 45 hingga 61 kg. Ukur lilit pinggang adalah sekitar 38 inci. Perkara pertama saya untuk mulakan cabaran ini adalah memuat turun aplikasi Water Your Body daripada PlayStore. Aplikasi ini membolehkan saya merekodkan kuantiti air yang saya minum setiap hari. Ia juga mencatatkan log berat badan saya. Aplikasi ini mudah digunakan. 

Contoh statistik kuantiti air yang diminum setiap hari.
Ini log air diminum pada hari bekerja.
Ini log air yang diminum pada hari Ahad. Ada air manis kerana menghadiri majlis perkahwinan seorang sahabat.
Melalui aplikasi ini, saya perlu memasukkan berat badan semasa saya. Aplikasi ini akan menentukan jumlah air minimum yang perlu diminum sesuai dengan berat badan saya. Jumlah minimum air yang diperlukan oleh tubuh saya adalah 2145 ml. Saya buat tambahan sebanyak 1655 ml menjadikannya 3800 ml.

23 September 2014

Hari ini merupakan hari ketujuh saya meneruskan cabaran segelen air. Sejak bermula, ada beberapa perkara yang saya ingin kongsi. Bagi yang kurang minum air masak sebelum ini akan mula mengalami kekeringan bibir pada dua tiga hari pertama. Saya ada terbaca di dalam sebuah artikel bahawa simptom ini menunjukkan badan sedang membuang toksin di dalam badan. Walau bagaimanapun, tidak terjumpa pula artikelnya untuk dikongsi bersama. Apabila memulakan cabaran ini, kita perlu ambil maklum yang kita akan lebih kerap ke bilik kecil. 

Saya dapati pinggang saya telah hilang beberapa inci pada tiga hari pertama permulaan cabaran ini. Perut juga rasa lega dan lebih selesa dengan sistem perkumuhan yang baik. Badan juga terasa ringan. Suka saya maklumkan bahawa saya tidak mengubah pemakanan saya. Setiap pagi mesti belasah nasi lemak. Namun setelah beberapa hari memulakan cabaran ini, saya sudah hilang nafsu serakah makan. Selera saya lebih terkawal.

Ada lagi 23 hari untuk melengkapkan cabaran ini. Saya harap saya akan kuatkan semangat untuk teruskan. Mujurlah saya bukanlah penggemar minuman manis. Jadi agak mudah untuk saya ikuti cabaran ini cuma perlu tingkatkan pengambilan air sahaja. Setakat ini belum mampu capai 3.8 liter air tetapi sekurang-kurangnya mampu melebihi tahap minimum pengambilan air yang disarankan. Semoga berjaya kepada diri sendiri.

posted from Bloggeroid

Rabu, 4 Jun 2014

Perkongsian Dua Persona Hebat

Perkara yang saya ingin kongsi sudah agak lama kejadiannya. Namun, tiada ruginya kalau berkongsi ilmu kerana ilmu tak pernah lapuk. Minggu lalu saya telah berpeluang menghadiri satu sesi bual bicara anjuran organisasi saya. Tetamu yang hadir adalah YBhg. Datuk Marina Chin dan YBhg. Tan Sri Dr Jegathesan Manikavasagam. Kedua-duanya merupakan ikon sukan olahraga yang ulung negara. Dalam sesi bual bicara tersebut, pelbagai input menarik dan saya sangat teruja dengan perkongsian ilmu dan pengalaman daripada dua ikon ini.
YBhg. Datuk Marina Chin yang merupakan olahragawan negara kini bertugas sebagai Pengetua di Sekolah Sukan Bukit Jalil telah berkongsi pengalaman sewaktu beliau mula-mula membina kerjaya sebagai atlet olahraga. Katanya pada masa itu, kesusahan yang dialami bagi menghadiri sesi latihan dengan menaiki bas tidak dilihatnya sebagai cabaran. Beliau melihatnya sebagai satu perkara yang perlu dilakukan untuk berjaya. Jika dia enggan atau bersikap tidak acuh, tidak mungkin baginya untuk mencapai kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa. Pada masa itu juga, beliau bersama tiga orang olahragawati negara sangat cemerlang dalam acara masing-masing lantas turut cemerlang dalam acara berpasukan. Ini disebabkan setiap ahli pasukan sentiasa menyokong antara satu sama lain. Sifat saling tolong-menolong sentiasa hadir dalam setiap situasi. In the yesteryears, people do good deeds because they wanted to do so. However, people do good deeds in the recent years because they wanted to be rewarded. Inilah yang berlaku sekarang. Elemen pemberian imbuhan sedikit sebanyak telah menggugat semangat dalam mencapai impian seseorang.
Perkongsian daripada YBhg. Tan Sri Dr Jegathesan Manikavasagam juga tidak kurang hebatnya. Beliau yang turut diberi gelaran The Flying Doctor dek kerana kepantasannya memecut di trek olahraga Asia. Katanya kunci kepada kejayaan seseorang adalah pengurusan masa yang berkesan dengan keberanian untuk berkata “TIDAK”. “TIDAK” kepada aktiviti menonton wayang. “TIDAK” kepada aktiviti berbual kosong dengan kawan-kawan. “TIDAK” kepada tidur lewat malam. Semasa beliau masih menuntut di dalam jurusan perubatan, beliau mendisiplinkan dirinya untuk tidur selewat-lewatnya pada jam 10 malam untuk bangun seawal pagi bagi menghadiri latihan olahraga seterusnya menghadiri kuliah.
Katanya lagi, untuk mencapai kejayaan, seseorang perlu menetapkan 4D dalam kehidupannya. 4D itu ialah Direction, Dream, Determination dan Dicpline. Direction adalah hala tuju yang menjadi fokus kepada kejayaan. Dream bukanlah angan-angan Mat Jenin tetapi diri kita membayangkan dengan jelas pelan tindakan yang kita akan ambil dalam mencapai kejayaan. Determination adalah kesungguhan dan dedikasi manakala Dicipline adalah apa yang membuatkan kita melompat bangun dari katil seawal 6 pagi tatkala orang lain masih lena diulit mimpi indah.
Dewasa ini ramai yang memandang tinggi pada persona yang mempunyai 5C ; Cash, Car, Condo, Credit Card dan Club Membership. Hakikatnya, sebelum hadir 5C ini perlu ada ABCDE dahulu dalam peribadi seseorang. ABCDE tersebut adalah Attitude (Sikap), Behaviour (Tingkah laku), Caring (Penyayang), Dicipline (Disiplin) dan Excellence (Kecemerlangan).
Satu pedoman yang dikongsi oleh beliau bagi menonjolkan diri ke arena antarabangsa adalah penguasaan Bahasa Inggeris yang baik dan kemahiran komunikasi yang baik. Apabila kita berada di arena antarabangsa tidak kira dalam apa bidang sekalipun, nama yang kita akan bawa adalah nama negara. Kedua-dua kemahiran ini membolehkan kita menonjolkan potensi diri dan mengutarakan pendapat dengan baik.
Banyak perkara yang telah saya belajar dalam sesi tersebut walaupun separuh jalan sahaja saya sertai kerana perlu berkejar menguruskan Alif yang dijangkiti chicken pox pula. Saya percaya pengalaman kedua-dua ikon ini yang menjadikan mereka pesona yang begitu berkarisma dan hebat kerana pengalaman adalah guru yang terbaik.

Khamis, 10 April 2014

Tertekan?!

“Stress is when you wake up screaming and you realize you haven't fallen asleep yet”

Dari google
Semalam saya berkesempatan menonton siaran ulangan Brain Games di saluran National Geographic. Rancangan ini memaparkan pelbagai ujian ke atas manusia bagi menunjukkan keupayaan otak manusia dan juga mengenal potensi sebenar otak manusia. Ujian yang dijalankan boleh disertai oleh penonton di rumah. Penyampaian pengisian dalam rancangan ini juga santai. Rancangan ini boleh ditonton setiap jam 10 malam hari Rabu.
Dalam siri yang saya tonton itu, seorang peserta telah diminta untuk menyelesaikan satu set mainan teka-teki dengan seorang lelaki akan berdiri di sebelahnya sepanjang ujian tersebut. Lelaki tersebut akan mengucapkan kata-kata semangat atau sebaliknya sepanjang usaha peserta menyelesaikan mainan teka-teki tersebut dalam masa yang sangat singkat.
Hasil daripada ujian tersebut, didapati bahawa peserta yang diiringi dengan kata-kata semangat menunjukkan hasil ujian yang lebih manakala sebaliknya bagi peserta yang dikecam sepanjang ujian tersebut. Tujuan utama ujian tersebut adalah untuk menunjukkan bagaimana reaksi seseorang dalam menangani tekanan.
Pagi ini pula, saya telah dihidangkan dengan satu poster mengenai faktor tekanan perasaan yang dialami oleh wanita di Malaysia. Kajian menunjukkan wanita di Malaysia menduduki tempat  ke 16 dalam senarai paling tertekan di dunia! Antara faktor-faktor penyebab tekanan adalah bekerja kuat untuk mendapat pengiktirafan majikan, terlalu serius untuk pelajaran anak,  menggalas tanggungjawab menjaga keluarga, terlalu dikongkong keluarga, berhenti kerja untuk menjadi suri rumah, terlalu berusaha menjaga hubungan dengan pasangan dan mengambil serius terhadap pandangan orang lain.
Saya melihat ada benarnya faktor-faktor yang dinyatakan dalam kajian tersebut. Namun begitu, pada pandangan saya pilihan untuk melihat perkara tersebut daripada sudut positif atau negatif adalah pilihan kita sendiri. Contohnya pagi tadi saya terlewat satu minit ke pejabat mengakibatkan kad perakam waktu saya mencatatkan catatan merah. Saya akui saya sedikit bimbang akan dileteri oleh ketua hujung bulan nanti walaupun kelewatan itu tidak disengajakan akibat kemalangan. Saya memilih untuk terus positif pada hari ini kerana tidak perlu saya bekerja bukan sekadar untuk dipandang sempurna oleh ketua dan seterusnya diberi penghargaan. Saya percaya penghargaan itu datang seiring dengan kualiti kerja yang kita laksanakan yang hanya dapat dicapai dengan iltizam dan komitmen.
Pulang ke rumah nanti, kerja-kerja rumah juga perlu diberi perhatian. Anak-anak lebihlah perlukan perhatian. Jika saya meletakkan standard terlalu tinggi dalam menguruskan hal rumah tangga, kelak diri sendiri yang kecewa kerana rumah tangga tetap bersepah walaupun telah dikemas berulang kali. Biarlah anak-anak gembira bermain. Sampai masa anak dewasa rumah pasti tersusun kemas.
Jadi, kesimpulannya, pedulikanlah kata-kata negatif orang lain terhadap kita. Jadikan itu sebagai cabaran kerana Allah berikan kita sedikit tekanan supaya kita “upgrade” kematangan kita dan kerana Allah tahu kita berupaya menanganinya.

Jumaat, 20 Disember 2013

Simptom Isteri Kedua

2011 - Padang PULAPOL

Sebahagian besar orang disekeliling saya adalah isteri orang. Seringkali  perkara yang menjadi bahan bualan adalah tabiat suami masing-masing numn tidaklah sampai perkongsian cerita-cerita peribadi ataupun perkara yang mengaibkan. Secara amnya ada dua perkara yang membuat isteri naik geram. Saya gelarkannya simptom isteri kedua. Catatan ini hanyalah sebagai bacaan ringan bukan untuk menyakitkan hati sesiapa. jika difikirkan ada betulnya juga. 

ISTERI PERTAMA

Isteri pertama yang saya maksudkan adalah hobi suami. Hobi adalah kesukaan suami yang telah sebati dalam dirinya sejak bujang lagi. Kadangkala si isteri yang menjadi peneman setia menyuburkan rasa ciinta suami pada hobinya. Ada suami hobinya bersukan, biasanya bola sepak atau golf. Ada juga suami yang sukakan aktiviti permotoran.  Walau seringkali timbul rasa tidak puas hati dalam hati kecil isteri, isteri tetap redha kerana hobi itu telah bersama suami sebelum mengenali isteri lagi asalkan hobinya membawa banyak kebaikan. Bagi saya, saya lebih rela melihat suami habiskan masa bersukan atau lebih tepat bermain bola sepak daripada melihat dia menghabiskan masa tidur atau menonton tv sepanjang hari. Suami saya orangnya memang jaguh dalam bersukan walaupun tidaklah sampai menjadi atlit negara dan sebagai isteri saya tidak mahu menjadi batu penghalang dan sentiasa berusaha menjadi penyokong setianya. Sejak dari mula berkawan rapat sehinggalah anak kedua lahir. Saya sering ikut suami ke padang atau menjadi penonton tiap kali suami ada acara balapan. Tappi sekarang agak susah hendak menguruskan anak-anak selain keadaannya agak panas di tepi padang. Mungkin bila anak-anak sudah besar, kami semua akan jadi penyokong bintang sukan kami.

ISTERI KEDUA 

Isteri kedua adalah isteri yang dinikahi. Isteri kedua adalah seorang manusia yang punya hati dan perasaan. Seringkali alpa dan rasa tidak pernah cukup walaupun hakikatnya dia perlu mensyukuri apa yang ada. Isteri kedua ini mestilah punya cita-cita untuk menjadi isteri terbaik di waktu susah dan senang. Isteri kedua itu adalah kita. Namun ada masanya tumpuan saya terlalu fokus kepada urusan rumahtangga dan anak-anak walhal keperluan dan kehendak suami yang patut jadi keutamaan. Saya harap suami saya maafkan saya kerana niat saya supaya hati suami saya tenang apabila anak-anaknya terurus dan rumah kemas dan bersih seadanya mengikut keupayaan saya. Saya sentiasa cuba jadi yang terbaik walaupun dilihat banyak yang masih kurang di sana sini.

ISTERI KETIGA
Isteri ketiga pula yang paling menyakitkan hati. Kalau diikutkan hati mahu saja direbus buat makan malam suami. Isteri ketiga ini adalah telefon pintar!. Patutlah ia dinamakan telefon pintar, pintar sungguh ia ‘mengambil hati’ suami. Pantang suami lapang sedikit, mulalah dipaut hati suami suami dibelek-belek dirinya. Suami pun mulalah tersenyum simpul membaca pesanan ringkas kawan-kawannya dan status manusia-manusia di muka buku. Hati-hati, isteri ketiga kalau disalahguna boleh membuatkan suami punya niat tambah isteri keempat pula. 

Habislah teori simptom isteri kedua saya. Jangan marah-marah nanti cepat tua. Yang buruk jadikan sempadan yang baik jadikan sempadan.

Isnin, 23 September 2013

Suatu Pagi Di Kafeteria..

Tidak seperti pagi yang biasa, hari ini suami saya mengajak saya bersarapan bersama Ameer dan Ahmad di kefeteria pejabat. Sementara menunggu suami membeli makanan sarapan untuknya dan anak-anak, saya melayan anak-anak sambil melihat sekeliling.

Tiba-tiba, mata saya tertancap kepada kelibat seorang lelaki muda yang melewati meja kami sambil ketiak mengepit tas merah yang lusuh.

Orang tinggi. Tubuhnya kurus. Badannya melengkung. Namun senyumannya manis. Seolah sentiasa bersedia untuk mengukir senyuman kepada sesiapa yang tersenyum kepadanya.

Di tangan kanannya ada sebungkus kuih. Dua ketul donut. Saya agak harganya empat puluh sen seketul. Di tangan kirinya pula ditatang segelas air suam. Air kosong. Dia duduk berseorang sambil mata memandang meja disebelah dan senyum. Dia terus makan.

Pada pandangan mata pertama saya, inilah apa yang saya fikir. 

Kasihan dia. Pastinya dia ini seorang yang susah sampai makan dicatu sampai melengkung badannya. Tapi hidupnya gembira. Sentiasa tersenyum. Apakah yang membuatnya kelihatan gembira sentiasa? Mungkin keperluannya dicatu untuk mengembirakan orang tuanya. Kegembiraan orang tuanya buat hidupnya sentiasa senang. Hidupnya dicatu mungkin kerana dia mengumpul duit untuk memenuhi keperluan hidupnya dan kehendak dipenuhi dengan bayaran tunai maka hidupnya bebas dari hutang.

Orang beginilah patut dibuat kawan. Baru kita sedar tinggi rendahnya langit dalam berbelanja. Biar kita sedar betapa banyak kita membazir sedang orang lain yang hidup serba sederhana hidup senang hati.

Usai makan, datang seorang sahabat menemaninya. Sahabatnya hanya minum segelas kopi. Mungkin berjimat atau mungkin juga sudah “kering” kerana sudah hujung bulan.

Rabu, 11 September 2013

Jangan Direntap Perasan Ingin Tahunya


Seringkali anak-anak tak reti duduk diam waima di rumah orang sekalipun. Terkadang anak-anak dilihat mengusik tetamu yang hadir, berlari-lari tanpa arah tuju atau mundar-mandir  tidak keruan. Atau mungkin juga sering menganggu ibu yang sibuk dengan kerja rumah mendambakan perhatian. 

Menurut Dr, Rubiah, ini tanda-tanda anak yang kebosanan.

Bagi mengajar anak supaya duduk diam, Dr. Rubiah mencadangkan agar ibu belikan sesuatu yang menjadi minat anak contohnya pensel warna. Belikan pensel warna dan biarkan anak mengepresikan dirinya dengan penuh kreatif. Biarlah dinding diconteng, biarlah lukisan diwarnakan luar dari garisan. Atau belikan saja “jigsaw puzzle” atau blok binaan kecil. Biarkan anak menjadi kreatif dan meneroka dunianya. Jangan direntap perasan ingin tahunya. Anak yang dimatikan jiwa penerokaannya akan mematikan kreativitinya.

Karya abstrak di atas adalah hasil kreativiti Ameer. Katanya itu gambar lukisan permainan keretapi kegemarannya, Thomas and Friends sedang “parking”. Tersenyum simpul ibu. Mungkin itu gambaran keserabutan kepala sang keretapi dan rakan-rakanya mencari petak parkir yang masih kosong, atau mungkin juga gambaran laluan keretapi-keretapi mencari ruang parkir. Beribu kemungkinan boleh difikirkan. Anak menzahirkan kreativitinya mengikut realiti pada pandangan mata kecilnya.

Kalau diikutkan kreativiti anak-anak, seluruh lantai rumah penuh dengan lukisan abstrak. Mujurlah babahnya membelikan krayon yang mudah dicuci jenama Pelican. Mudah saja, lap sahaja dengan sehelai kain lembap, sental sedikit, hilanglah jejak karya. Walau diberi kertas besar, garis-garis naïf tetap terbabas keluar.

Begitulah luasnya kreativiti anak kecil. 

Selasa, 10 September 2013

Berlakon Dalam Filem Arahan Diri Sendiri


Masing-masing terkejut tengok tajuknya. Ingat saya pengarah filem ke? Dalam catatan ini saya ingin kongsikan sedikit sedutan dari sesi ceramah bersama Prof. Dr. Muhaya dalam slot “Celik Mata & Jiwa” pada Konvensyen Bidadari 2013 yang lalu.

Sebelum bermula, minta seseorang untuk untuk baca pernyataan di bawah. 

Pejamkan mata anda dan tenangkan fikiran.
Di depan anda, ada sekeping papan pemotong.
Di tangan kanan anda ada sebilah pisau.
Di tangan kiri anda sebiji buah lemon.
Ambil pisau dan potong lemon itu kepada dua belah.

Sekarang buka mata anda.

Apakah warna papan pemotong anda?

Ada berapa segmen buah lemon anda?

Tidak ada satu perkataan pun di atas yang menyebut tentang warna papan pemotong waima bilangan segmen buah lemon itu. Imaginasi anda yang menentukannya. Setiap apa yang berlaku dalam kehidupan kita adalah di atas pilihan kita sendiri. 

Apa kata sebelum tidur, kita sediakan “storyboard” lakonan kita pada hari esok.

Mulakan dengan bagun pagi sebelum Subuh dan solat Subuh. Seterusnya lakarkan perjalanan cerita dalam imaginasi kita sendiri keseluruhan perjalanan hidup kita untuk hari esok. Pastikan setiap apa yang berlaku yang indah-indah dan baik-baik sahaja. Jika adalah masalah yang timbul, anggaplah ia sebagai cabaran, bukan masalah. Sudah tentu ada masa perkara yang tidak dijangka namun pastinya kita dapat tangani dengan tenang. 

“When life gives you a lemon, make lemonade”. Maksudnya, kita lihatlah setiap cabaran yang datang sebagai satu peluang untuk mengubahnya menjadi perkara yang mendatangkan kebaikan. 

Isnin, 9 September 2013

Kenali Gaya Penampilan Anda

Pada Konvensyen Bidadari 2013 yang lalu, antara slot yang menarik adalah slot ceramah oleh Puan Mary Anni M. dengan slot ceramahnya yang bertajuk “Bergaya Menurut Islam”. Slotnya agak padat dengan pengisian. Apa yang saya ingin kongsikan adalah kuiz bagaimana hendak mengenali gaya penampilan anda. Bagi setiap gambar, catatkan setiap pilihan anda di atas sekeping kertas.
Beg Tangan

Jam Tangan

Kasut

Cincin

Selendang

Jika pilihan anda banyak “A”, anda bergaya "Natural".

Gaya yang ditonjolkan melalui item ditandakan “A” adalah gaya Natural. Orang yang bergaya natural ini sukakan keselesaan dan santai. Orang yang bergaya natural mudah dipengaruhi dalam gaya penampilannya namun akan kembali ke gaya asalnya. Bak kata Puan Mary Anni, orang yang bergaya natural ini mudah kelihatan selekeh jika tidak kena gaya. Ibarat kata kalau boleh mahu ber"kaftan" dan berselipar sahaja ke kedai seolah tiada siapa yang akan perasan kehadirannya. Orangnya suka ambil jalan mudah sehinggakan kalau boleh semua baju yang dipakainya tidak perlu rapi digosok.

Jika pilihan anda banyak “B”, anda bergaya "Romantis".

Gaya yang ditonjolkan melalui item ditandakan “B” adalah gaya Romantis. Orang yang bergaya Romatis ini suka kelihatan cantik dan berjiwa feminin. Pilihan utama mereka dalam bergaya adalah material dengan corak bunga-bungaan dan seringkali dilengkapi dengan riben penambah seri. Mereka suka mempengaruhi orang. Gaya ini sesuai untuk majlis tidak formal namun “fashionable” seperti majlis perkahwinan dan sebagainya. 

Jika pilihan anda banyak “C”, anda bergaya "Klasik".

Gaya yang ditonjolkan melalui item ditandakan “C’ adalah gaya Klasik. Orang yang bergaya Klasik ini tampak professional, sofistikated dan sentiasa nampak kemas. Gaya ini sesuai digayakan dalam majlis formal dan juga sebagai gaya ke pejabat. Mereka cenderung untuk memadankan pakaian agar kena pada gaya. Seringkali orang bergaya klasik merungut tidak punya baju atau tudung yang sepadan sedangkan baju yang ada sudah 13 almari! Orang dengan gaya ini setia pada gayanya.

Jika pilihan anda banyak “D”, anda bergaya "Dramatik".

Gaya yang ditonjolkan melalui item ditandakan “D”’ adalah gaya Dramatik. Orang yang bergaya Dramatik tidak ada panduan tertentu dalam bergaya dan suka menjadi tumpuan dengan bergaya lain dari yang lain. Selebriti yang bergaya Dramatik antaranya adalah Anita Sarawak, Aznil Hj Nawawi, Azwan Hj. Ali, Didie Alias dan banyak lagi. Untuk bergaya Dramatik, personaliti sebenar perlu juga Dramatik. Jadi jangan bergaya Dramatik jika anda bukan seorang yang Dramatik.

Jumaat, 6 September 2013

Kau dihatiku..



Jangan menangis bertenanglah 
Peganglah tanganku dan digenggam erat 
Ku melindungi dari apa yang datang 
Berhentilah menangis 

Tubuhmu kecil bertenaga 
Dalam dakapanku kau tenang dan lena 
Pertalian kita takkan terputus 
Berhentilah menangis 

Kau dihatiku 
Kau dihatiku 
Hari ini dan selamanya 

Kau di hatiku 
Walau apa katanya 
Oh... kau di hatiku 
Selamanya 

Mengertilah apa yang kami rasa 
Tak berkeyakinan apa yang dikatanya 
Kami berbeza tapi di hati kami 
Tiada apa yang berbeza 

Jangan kau dengar mereka tak tahu 
Saling memerlu dan membantu 
Di suatu masa kutahu 

Destinasi tiba kau harus tabah 
Ku 'kan bersamamu bersabarlah 
Di suatu masa kutahu 
Buktikan bersama kau 

Selamanya 
Bersamamu 
Ku selalu bersamamu 
Selama-lamanya 

Pandanglah ke bahumu (3X) 
Di sisimu selamanya

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...