adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label labu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label labu. Papar semua catatan

Khamis, 19 Mei 2016

Throwback : Tuaian Labu dan Jagung Manis



Kali terakhir catatan saya berkenaan labu di kebun sejemput saya adalah pada bulan Februari lepas. Masa tu yang cuma ada hanyalah sekuntum bunga betina yang sempat saya debungakan. Beberapa hari kemudian saya sekuntum bunga betina labu berkembang lagi dan sempat juga saya debungakan.



Seminggu kemudian, labu saya sudah membesar kira-kira tapak tangan saya. Bunga kedua juga membesar lebih kurang sama saiznya. Dalam tempoh itu, cuma beberapa kali saya baja dan disiram setiap hari. Ketiak itu, hujan sudah jarang turun dan cuaca panas sudah mula mengcengkam. Pokok-pokok lain juga sudah hamper mati.



Alhamdulillah, sebulan selepas bunga pertama kembang, saya sudah tuai dua biji labu manis dengan beberapa tongkol jagung. Sepatutnya saya tuai lebih awal tapi takut-takut pula bimbang labunya belum menjadi. Sebiji labu beratnya lebih kurang 800 hingga 900 gram. Saya dapat 1.7kg labu. Sebiji saya beri kepada mak mertua. Sebiji lagi saya ambil. Asalnya nak beri kepada emak saya tapi emak dan ayah mengerjakan umrah ketika itu. Jadi saya kira mungkin bukan rezeki emak saya kali ini. Insya Allah kemudian hari ada rezeki emak saya.


Pada ketika ini, pokok labu masih ada di laman namun tak serimbun dulu. Daun-daunnya kecil sahaja dek penangan cuaca panas. Sekarang sudah nampak sedikit segar daunnya kerana saya sudah kurang sibuk. Jadi saya kini punya masa untuk menyiram setiap hari. Bunga-bunga jantan juga sudah kembali namun belum sempat kembang. Gugur sahaja setakat ini. Walau apapun, tanda-tanda pemulihan semakin ada.

Isnin, 15 Februari 2016

Labu Manis Di Plot No. 3

Dah lama tak bercerita tentang plot no. 2 saya. Walaupun terasa macam tak ada apa yang menarik berlaku di kebun sejemput saya, tapi bila melihat catatan-catatan lama, banyak juga beza dari minggu-minggu lepas.


Pokok selasih saya dah semakin tua. Tunggu masa nak dicabut dan disemai baru. Daunnya banyak yang kuning dan keras. Walau pun dicantas, daun yang tumbuh tetap sudah keras dan tidak neka dibuat ulam lagi. Pokok cili pula habis daunnya dihinggapi bena putih. Saya cantas dan pucuk baru pun tumbuh. Nampaknya putih bunga yang tumbuh lekat buahnya. Dalam masa yang sama, saya juga semai anak-anak pokok cili yang baru.


Labu yang ada juga semakin galak menjalar. Daunnya juga besar hampir sebesar dua tapak tangan saya. Dalam beberapa minggu memang banyak bunga betina yang keluar. Tapi sayangnya semua gugur setelah beberapa muncul. Setelah dibelah, rupanya ada larva kumbang sudah masuk ke dalam putik-putik bunga labu sama ada jantan atau betina. Sebab itulah banyak bunga yang gugur tanpa sempat berkembang walaupun banyak yang muncul.


Selepas cuti Tahun Baru Cina minggu lepas, bunga-bunga jantan sudah kembali berkembang di kebun sejemput saya. Putik bunga juga sudah semakin banyak yang muncul. Sudah tidak ada tanda-tanda akan gugur lagi.


Setelah dibelek-belek di balik daun rupanya ada dua kuntum kudup bunga betina sedang tunggu masa untuk kembang. Saya ambil gambar putik-putik labu ni kira-kira lewat petang Selasa lepas. Petang Rabu esoknya saya lihat kelopaknya dah layu. Cepat-cepat saya ambil bunga jantan dan debungakan kedua-dua bunga secara manual. Dahla ada sekuntum aja bunga jantan. Cepat-cepat saya panjatkan doa supaya menjadilah pendebungaan manual saya. Dah lama benar saya menunggu saat ini.


Alhamdulillah setakat pagi hari ini putik-putik labu masih utuh walaupun kelopaknya dah luruh. InsyaAllah dapatlah menuai labu manis pertama saya. Sabtu lepas sempatlah saya menuai pucuk labu dibuat masak lemak bersama-sama daun selasih Thai dari kebun juga dengan labu manis yang dibeli dari pasar.


Khamis, 10 Disember 2015

Rezeki Di Plot. No. 2

Kali terakhir bercerita tentang Plot No. 2 saya ini adalah pada awal Oktober lalu. Nampaknya sudah lebih dua bulan tiada cerita yang dikongsi oleh saya tentang plot ini. Plot ini sebagaimana biasa membekalkan pucuk selasih Thai buat ulaman bersama nasi. Tak putus memberikan hasil sampai sungguh merimbun jadinya. 


Pokok-pokok cili juga tak jemu berbuah walau tak sebanyak mana. Hasil yang diberi cukup untuk dibuat sambal atau kadang kala dibuat rencah masak lemak cili padi. Dalam lima pokok cili yang saya ada, cuma ada satu pokok yang paling tinggi masih belum berbuah sehingga ke hari ini. Bunganya mudah sungguh gugur setelah berputik. Adakah sebab pokok ini banyak semut? Kalau ada yang tahu sebabnya, harap dapatlah berkongsi pengalaman. Apa-apa pun, hasil dari pokok-pokok yang lain pun dah memadai.




Setelah berbulan lamanya labu saya asyik berbunga jantan, saya akhirnya mencuba petua dari situ tanamsendiri.com, Encik Iskandar. Katanya letakkan serbuk ikan bilis ke pangkal pokok untuk galakkan pokok mengeluarkan bunga betina. Saya cuba taburkan isi perut ikan bilis dengan beberapa ekor ikan bilis ke pangkal pokok. Alhamdulillah, lewat minggu itu saya perasan bunga betina telah pun muncul dengan labu sebesar ibu jari saya. Gembiranya saya. 



Kegembiraan saya tidak lama kerana setelah seminggu lebih ke luar daerah untuk urusan kerja dan kekangan masa, saya lihat bunga betina saya telah gugur. Melihatkan bunga yang gugur, saya rasa bunganya belum sempat kembang untuk didebungakan. Saya agak mungkin kurang nutrien yang diperlukan untuk bunga terus membesar.

Sabtu lepas, sekali lagi saya letakkan sisa ikan bilis yang dikisar dengan pisang di pangkal pokok labu. Alhamdulillah, tiga hari kemudian saya dapati dua bunga betina telah muncul. Mulai hujung minggu ini saya akan letakkan baja kopi setiap minggu untuk pastikan pokok cukup nutrien supaya bunga betina dapat kembang. 


Setelah kembang, saya juga kena pastikan ada bunga jantan yang kembang setiap hari untuk debungakan secara manual bunga betina. Ini untuk pastikan buah labu dapat dibentuk. Bunga jantan hanya kembang untuk sehari manakala bunga betina dapat bertahan beberapa hari sebelum gugur sepenuhnya jika tidak didebungakan. Kelopak bunga betina akan gugur dan buah membesar jika dapat didebungakan.

Doakanlah supaya rezeki saya berpanjangan dengan dua kuntum bunga betina yang dah muncul ini setelah sekian lama. InsyaAllah.


Jumaat, 2 Oktober 2015

Cerita Plot No. 2 Lagi

Tak ada apa yang menarik nak dikongsi minggu ini kerana masih belum ada tanaman baru yang disemai. Cuma hari ini nak kongsi perkembangan tanaman di plot no. 2 yang masih sihat tapi belum ada hasil yang dapat dituai. Bunga-bunga cili, labu dan timun bersilih ganti gugur tanpa ada tanda-tanda munculnya bunga betina dari pokok labu dan timun. Bunga cili pula asyik gugur. Rasa menyesal pula buang semua putik-putik bunga yang mahu tumbuh dari rumpun-rumpun selasih Thai. Patut dibiarkan sahaja selasih Thai berbunga buat penarik serangga untuk mendebungakan pokok-pokok cili saya. Dah dibuang baru tersedar.


Setakat ini lingkaran sulur labu makin memanjang dan hampir tiga suku plot dipusingnya. Mungkin saya patut cantas sedikit untuk galakkan tumbuhnya sulur baru. Di setiap balik daun labu ini ada kudup bunga jantan yang muncul. Entah bila mahu keluar bunga betinanya saya pun tak tahu.



Bila dibelek-belek, adalah sebiji cili padi yang menjadi. Pokok cili yang lima batang ini setiap waktu galak berbunga.


Pokok tomato saya pula hampir lompong batangnya dimakan sejenis serangga perosak dan akhirnya patah riuk semalam. Saya cantas bahagian atas pokok yang masih elok dan segera semai di atas plot yang sama. Tanah plot ini agak lembap jadi harapnya bertunaslah. Seminggu sebelum raya sebelum ini ada bunga yang keluar dan saya harap dapat menjadi buah. Pokoknya ketika itu sangat sihat. Tapi sayang, belum masih ada rezeki untuk berbuah. Mujur juga di pangkal pokok ini ada “sucker” yang tumbuh dan masih sihat setakat semalam.


Sambil membersihkan plot no. 2 ini, sempatlah ambil gambar kumbang oren yang sedang berehat-rehat di daun selasih Thai. Kalau tak ada selasih di tanam bersama, pasti habis daun pokok labu dan timun saya dikerjakan.


Isnin, 14 September 2015

Perkembangan Plot No. 2

Hujung minggu baru-baru ni kami dok diam-diam dalam rumah je. Jerebu makin lama makin teruk sampai dalam rumah pun Nampak kelabu asap je. Walaupun jerebu, encik suami masih kena keluar rumah ke padang untuk bersukan sempena sukan jabatan. Saya pula memang tak betah nak duduk dalam rumah seharian. Jadi petang Sabtu kelmarin saya kemaskan ruang laman depan rumah. Pokok pandan yang besar tu dah dicabut. Saya semai dua anak pokok untuk ditanam di belakang rumah. Nanti saya tunjuk besar mana rumpun pandan tu. Nampak kemas dan terang sikit laman depan tu.

Petang Ahad pula saya jenguk sikit laman belakang rumah. Nampaknya anak-anak pokok yang disemai minggu lepas sihat sejahtera. Pucuk-pucuk baru elok nampaknya termasuk pokok mulberi. Kalau ada pucuk baru tu maksudnya akar yang di dalam tanah tu pun dah muncul yang baru. Oleh itu, saya baja semua tanaman di laman belakang.


Inilah rupanya Plot No. 2 saya sekarang. Sisa rumput dah kering jadi jelas sikit Nampak anak-anak pokoknya. Pokok labu manis semakin panjang menjalar dan pokok timun juga sama tapi sedikit perlahan. Selasih Thai makin rimbun lepas saya buang pucuknya. Tomato dan cili juga sihat tanpa ada serangan kulat atau bena.

Anak-anak pokok di plot ini sekarang semua sedang berbunga kecuali selasih Thai. Selasih Thai hanya berbunga bila pokoknya kurang air jadi berbunga adalah salah satu caranya nak keluarkan benih. Ini adalah cara selasih dan herba-herba lain teruskan survival benihnya. Oleh kerana disiram setiap hari, maka masih belum ada bunga keluar. Mungkin bila dan tua sikit akan keluar bunganya.

Pokok tomato juga dah berbunga walaupun baru sekaki tingginya. Pokok yang ditanam dari “sucker” ini dah matang sebab itu berbunga cepat. Kalau ditanam dari benih, saya pasti belum masa untuk bunganya keluar. Pokok cili merah saya pun dah berbunga. Anak-anak cili padi ada sepokok dah berbunga manakala yang dua lagi sudah ada tanda nak berbunga.



Timun ini pula memang sejak dari mula tanam dah keluar bunganya tapi sehingga hari ini hanya bunga jantan yang keluar. Masih belum ada bunga betina yang keluar. Saya tak berhasrat nak letakkan pancang untuk timun saya ini sebab katanya kalau tak diletakkan pancang, hasil akan lebih sedikit. Pokok labu pun dah mula keluarkan tanda berbunga. Kalau diteliti, mungkin bunga jantan sahaja yang akan keluar dalam seminggu. Bunga betina macam belum nak muncul. Dulu saya pernah buang pokok labu saya sebab jemu menunggu bunga betina tak keluar-keluar. Kali ini saya nak tunggu lebih lama sedikit.



Selasa, 8 September 2015

Plot 2 - Tambahan Ahli Baru

Dua minggu lepas, semaian saya di Plot 2 masih kecil. Pada masa itu ada labu manis, selasih Thai dan cili. Ada dua pokok cili di mana satu daripadanya sedang berbunga. Pada minggu ini, pokok cili yang berbunga itu dahpun berbuah dan jelaslah pokoknya adalah cili padi Thai dek kerana cilinya yang panjang sedikit dari cili padi kampong. Warna hijaunya juga lebih gelap. Sehingga semalam saya masih belum tuai cilinya.


Pokok cili yang satu lagi masih terus membesar dan tingginya sekarang hamper satu kaki. Warna daunnya lebih gelap dari pokok cili padi Thai. Saya agak ini mungkin jenis pokok cili merah. Waktu saya pindahkan anak-anak pokok cili ini, saya tak pasti jenisnya kerana semua tumbuh sendiri dalam sebiji pasu yang saya buang macam-macam jenis cili yang dah reput dalam peti sejuk.


Kalau masih ingat lagi, saya ada bari tahu yang dalam plot ini ada dua pokok labu. Sebenarnya bila diamati, rupa-rupanya satu sahaja pokok labu dan ianya adalah yang panjang sekali. Daunnya besar, tepi daunnya tidak bergigi dan tumbesarannya lebih cepat. Pokok yang tumbuh di pangkal pokok cili merah saya rupanya timun. Saya yakin ianya timun kuning sebab saya memang kerap beli timun kuning yang dah tua. Daunnya lebih berkedut dan tidak rata di bahagian tepi. Ada bunga-bunga kecil warna kuning tumbuh bersama dan tumbesarannya agak lambat. 

Sebenarnya ada dua anak pokok timun tapi satu ditanam di plot jagung dan dah mati pun. Anak timun di Plot 2 ini pula elok pula tumbuh. Daunnya juga elok. Saya agak kesan ditanam bersama pokok selasih Thai yang buat kumbang tak lalu nak makan daunnya. Anak timun di plot jagung tu mati sebab daunnya habis gondol dimakan kumbang. Ini pelajaran berguna buat saya.


Petang ahad lalu, dengan kelapangan masa yang ada, saya pindahkan lagi tiga pokok anak cili yang masih belum pasti jenisnya, anak tomato dan juga anak mulberi. Kebetulan saya baru potong rumput, maka sisa rumput jadi sungkupan di pangkal anak-anak pokok. Biasanya lepas dipindahkan, saya akan siram sekali sehari sahaja untuk elakkan akar pokok tertekan. Jadi, untuk elakkan tanah cepat kering, saya letakkan sungkupan agak tebal. Lama kelamaan sungkupan akan menipis bila rumput kering. Sungkupan juga dapat elakkan rumpai tumbuh. Gambar di bawah ini kurang jelas pula sehingga tak nampak anak-anak pokok yang dah dipindahkan. Mungkin bila sungkupan dah kering nampak jelas sedikit dan saya akan kongsikan perkembangannya. 


Tomato ini saya semai bukan dari biji benih tapi dari potongan “sucker”. “Sucker” adalah bahagian yang tumbuh di celah daun dan perlu dibuang untuk pastikan makanan tumbuhan tertumpu kepada bunga untuk menjadi buah. Saya dah agak lama tak tanam tomato dari biji benih. Tanam tomato dari “sucker” sangat mudah. Potong dengan cermat dengan pisau yang tajam dan cucuk pada tanah. Jaga seperti biasa dengan siraman dan sesekali dibaja. Bila pokok sudah cukup kuat, boleh dipindahkan dengan kedalaman lebih seinci ke atas dari pangkal pokok untuk galakkan pertumbuhan akan baru. Pokok yang ditanam dengan cara ini lebih cepat berbuah. 


Anak pokok tomato saya ini sangat sihat dengan sistem akar yang sihat. Tengok saja jalinan akarnya yang berwarna putih. Sebenarnya anak pokok ini dah ada tanda nak berbunga. Sebab tu saya cepat-cepat pindahkan ke plot belakang untuk ruang lebih besar. Sepatutnya saya pindahkan lebih awal tapi tak ada masa.


Anak pokok mulberi pula saya tanam di belakang sedikit sebab di tanam di “spot” kekalnya. Asalnya saya semai untuk kawan. Tapi kawan saya mengandung dan tak larat nak berkebun buat masa sekarang. Jadi, bila dah melahirkan, saya akan semai yang lain. Semaian mulberi yang satu lagi dah selamat bagi kawan yang lain. Gambar yang ini juga kurang jelas anak pokoknya sebab dahannya ada sebatang sahaja dan nampaknya hampir “blend” dengan latar belakang dan sungkupan sisa rumput. Harap dapat membesar dengan baik mulberi saya ini.

Semalam lewat petang, anak-anak pokok yang dipindahkan kelmarin nampak sihat. Tidak ada tanda-tanda layu. Saya pindahkan waktu lewat petang supaya anak-anak pokok tak tertekan dengan cuaca panas. Kalau dipindahkan waktu pagi, nanti anak-anak pokok terpaksa hadapi cuaca panas terik waktu sedang menyesuaikan diri dengan plot baru.

Selasa, 25 Ogos 2015

Plot 2 - Perkembangan Semaian Labu, Selasih Thai dan Cili Padi

Setakat ini saya ada tiga plot tanaman. Plot pertama adalah di hadapan rumah yang ada pokok pandan, pokok kari, kantan, betik, kacang botor dan telah. Nanti bila plot ini dah kemas sedikit saya akan kongsi bagaimana rupanya sekarang. Plot bahagian depan ini saya sedang kemaskan supaya tidak semak sangat kerana jika terlalu semak nampak tidak kemas bahagian depan rumah selain menyukarkan pekerja utiliti yang datang ke rumah untuk semak meter elektrik dan meter bekalan air. Lagipun di kawasan yang kecil ini ada juga paip-paip utiliti masuk ke rumah jadi kerja mencangkul agak terbatas.

Di bahagian belakang rumah agak luas. Sangat luas sebenarnya. Ada jiran-jiran yang menanam mangga, pisang dan pelbagai tanaman. Setakat ini, saya cuma tanam serai dua rumpun (asalnya empat), tiga pokok ubi kayu, nanas serumpun, jagung yang saya tunjukkan semalam, kantan yang baru disemai, beberapa selasih Thai, cili padi, timun tua dan juga labu.


Hari ini saya nak tunjukkan plot yang ada labu, cili padi dan selasih Thai. Asalnya saya cuma tanam tiga pokok selasih Thai dan dua pokok anak benih cili padi yang dipindahkan dari pasu semaian. Tak sangka pula kompos yang medium semaian ada benih labu di dalamnya. Jadi, beberapa hari selepas cili padi dialihkan, muncullah anak benih labu yang sihat sangat rupanya. Batangnya kukuh dan daunnya pula cantik. Ada dua anak benih yang muncul tapi yang kedua sedikit kecil. Saya putuskan untuk biarkan saja benih itu tumbuh. Memang rezeki saya.


Plot ini masih ada ruang kosong dan saya bercadang untuk alihkan benih tomato yang sedang disemai dan akan semai terus zinnia. Plot ini akan jadi plot untuk tanaman yang menghasilkan buah. Selasih ditanam sebagai menghalau serangga perosak dan bunganya diharapkan dapat menarik serangga yang menggalakkan pendebungaan seperti mana zinnia. Cuma kalau dapat bunga tahi ayam atau marigold lagi bagus untuk elakkan serangga perosak.


Hujung minggu lepas saya telah letakkan baja dan nampaknya dalam sehari dua ini cuaca agak elok dengan matahari terang dan hujan turun lewat petang. Kelmarin juga saya ada meletakkan sungkupan daun serai dan tanah kelihatan dapat menampung kelembapan walaupun panas terik. Sebelum ini tanah memang sangat kering menjelang tengah hari kerana tidak ada sungkupan. Sekarang masih berkira-kira mencari ruang masa untuk mengalih semaian tomato dan menyemai zinnia ke plot ini.


Buat masa sekarang cili padi yang dua pokok ini telah berbunga dan nampaknya putik buah juga dah kelihatan walaupun saya rasa agak awal. Mungkin pada peringkat awal ia dipindahkan kurang air siraman dan pokok sudah tertekan. Saya akan pindahkan beberapa lagi pokok cili padi dalam semaian dalam tempoh terdekat. Harap-harap pokok yang dah berbuah panjang jangka hayatnya.

  

Jumaat, 21 November 2014

Anak Benih Labu Saya


Dalam minggu yang sama saya campak biji benih timun tua ke dalam tong kompos saya, saya ada juga campak biji labu ke dalamnya. Seperti biasa, selepas seminggu ada anak benih labu akan keluar. Biasanya saya akan buang sahaja anak benihnya kerana malas hendak menjaganya. Tapi kali ini saya pindahkan empat anak benih paling sihat ke dalam pasu besar. Siap pancang saya sediakan. Hajat di hati hendak cuba ajar labu memancang pancang. Entah teguh atau tidak pancang saya nanti menahan berat pokok dan buahnya.
Pasu labu dan timun tua
Minggu kedua

Minggu ini, anak labu saya sudah berumur empat minggu. Berdasarkan pengalaman lalu, labu saya mula mengeluarkan bunga jantan pada umur lapan minggu. Pada waktu itu, saya tanam labu terus di atas tanah. Sepanjang hayatnya, hanya sekali sahaja ia mengeluarkan bunga betina. Setelah beberapa bulan menunggu bunga betina, akhirnya saya putus asa dan musnahkan saja pokok labu saya. Sedih betul rasanya. Tapi, inilah namanya dugaan berkebun. 
Minggu keempat
Minggu keempat
Setelah empat minggu, anak pokok labu saya ini sudah setinggi hampir satu kaki dan tinggal hanya tiga sahaja dalam satu pasu. Seperti pokok timun tua saya, saya berhajat hendak simpan dua anak pokok saja. Setiap hari disiram waktu pagi sementara petang hujan akan turun. Seluruh dasar pokok disungkup dengan daun-daun kering yang tebal supaya air dalam tanah tidak cepat tersejat. Hujung minggu ini akan dibaja. Kalau berjaya berbuah, untunglah saya. Benih datang dari labu dibeli dari pasar tumbuh menjadi pokok dan berbuah. Modal yang digunakan hanya untuk baja sahaja. Medium tanaman pula adalah tanah-tanah dari pasu lama yang di baik pulih dengan campuran kompos dan baja tinja ayam. Pasu pula guna pasu sedia ada di rumah. Harapnya kuatlah semangat nak menjaga pokok labu saya ini.



posted from Bloggeroid

Isnin, 19 Ogos 2013

Jagung Manis dan Labu di Batas 5 x 5


Kawasan batas 5 ft x 5ft sekarang dah nampak agak semak memandangkan tanaman di atasnya semakin besar berbanding 3 minggu lalu. Bebawang bawang kecil dan bawang putih juga semakin berkembang. Tomato ceri dan tomato bulat yang berkongsi batas sudah meninggi. Di tengah-tengah batas ada sepokok kacang panjang namun tidak kelihatan kerana masih kecil.
Jagung manis di batas ini ada lima pokok. Namun begitu yang lagi dua pokok masih kecil. Mungkin ada masalah pertumbuhan kerana tingginya masih belum sampai sekaki sedangkan umurnya sama dengan tiga pokok yang lain. Labu fajar manis galak menjalar. Bunga jantan juga galak berkembang. Masih menunggu masa bunga betina keluar untuk didebungakan secara manual.
posted from Bloggeroid

Khamis, 15 Ogos 2013

Labu Berbunga Jantan - Minggu 8


Selepas dua minggu ditinggalkan, pokok labu fajar manis ini sudah galak menjalar dengan panjang menghampiri kira-kira 4 kaki. Semalam sekuntum bunga jantan dah mekar. Hari ini, dua lagi mekar. Namun bunga betina masih belum muuncul untuk didebungakan. Agak-agak, wajar atau tidak saya simpan bunga jantan ini di dalam peti sehingga bunga betina muncul atau tunggu dulu dan simpan yang kemudian. Saya bimbang kalau simpan terlalu lama tak menjadi pula apabila didebungakan. Saya bercadang untuk debungakan maksimum  empat sahaja bunga betina. Tujuannya supaya semua nutrient tertumpu kepada 4 biji buah labu sahaja. Lagipun kalau terlalu banyak tidak termakan pula. Jika diagihkan pun takut tak teragih banyaknya. Walau bagaimanapun, rezeki Allah saya tidak menolak sama sekali.
posted from Bloggeroid

Selasa, 23 Julai 2013

Labu dan Jagung Manis - 5 Minggu


Labu dan jagung manis ini sama usia kerana disemai pada hari yang sama. 6 pokok jagung manis ini seusia namun kadar pertumbuhannya berbeza. Tak pasti apa penyebabnya. Labu yang ditanam ini adalah dari jenis labu fajar manis. Pertumbuhan agak lambat pada awalnya namun sejak seminggu lalu semakin baik. Mungkin pokok sedang menyesuaikan diri dengan keadaan panas sejak dipindahkan ke batas ini. Alhamdulillah labu fajar manis ini sihat dan kuat namun sesekali kelihatan kehadiran kumbang menyantap daunnya. Saya tak ada masalah dengan kumbang, cuma kalau daun mengalami masalah kulat agak risau juga dibuatnya. Mungkin dalam dua atau tiga minggu muncullah bunga pertamanya. Nampaknya saya kena mula mengkaji kaedah mendebungakan bunganya nanti. Hari ini saya telah letakkan baja tinja ayam pada tanaman jagung dan labu saya. Semoga tanaman saya hidup subur.


posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...