adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label plot 1. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label plot 1. Papar semua catatan

Selasa, 20 Oktober 2015

Semaian Kacang Panjang dan Tunas Tumbuh Semula Sawi

Setelah dua minggu saya semai kacang panjang di plot no. 2, kini anak-anak kacang panjang sudah semakin membesar. Saya juga dah sediakan pancang yang agak baik untuk kacang panjang membesar. Dalam tempoh dua minggu sahaja sudah banyak daun yang tumbuh dan pembesarannya agak laju. Saya memang tak ada niat nak buang mana-mana anak pokok yang tumbuh buat masa sekarang sebab sayang pula rasanya. Ada juga saya lihat anak pokok yang agak lambat dari yang lain. Mungkin saya patut biarkan tiga sahaja tumbuh supaya kurang persaingan. Minggu lepas saya agak kurang menyiram tanaman saya sebab hampir setiap hari pulang dari pejabat hampir gelap jadi tak ada masa nak ke laman belakang. Saya masih belum baja pokok-pokok kacang saya cuma hujung minggu lalu saya ada siram dengan baja roti. Harap tidak menjejaskan anak-anak pokok yang masih muda.

Semaian kacang panjang berumur 4 hari, disemai pada 4 Okt. 2015

Semaian kacang panjang berumur 4 hari, perkembangan pada 8 Okt. 2015

Semaian kacang panjang berumur 14 hari, gambar pada 17 Okt. 2015

Sawi di plot 1 juga makin besar sejak dicantas juga saban hari. Mungkin seminggu dua lagi bolehlah menuai sawi yang tumbuh dari pangkal sawi hasil tuaian pertama. Ada juga sawi yang dah dimakan siput tapi hanya sehelai dua sahaja tidak menjejaskan tanaman sepenuhnya. Sabtu lalu saya goreng sawi tuaian pertama untuk makan tengah hari, rasanya manis dan rangup. Saya segera masukkan sawi yang dituai dulu di dalam bekas kedap udara sebelum disimpan dalam peti sejuk untuk kekalkan kesegaran sayur. Walaupun sudah lebih seminggu berada di dalam peti sejuk, sawinya masih segar lagi.

Plot No. 1 yang agak kosong

Tunas-tunas sawi yang membesar dari cantasan sawi tuaian pertama
Sekarang ini saya sedang gemburkan batas baru yang akan dijadikan plot no. 3. Saya merancang untuk tanam jagung manis sekali lagi dan beberapa jenis sayur berdaun di plot ini.

Khamis, 8 Oktober 2015

Tunas Baru Di Plot No. 1

Setelah tiga hari tak menjenguk kebun di belakang rumah, semalam saya berpeluang menjenguk seketika. Selama tiga hari tu hujan turun setiap hari jadi tak perlu risau tanaman mati kekeringan. Yang saya risau takut-takut akar terlalu basah sebab terlalu lembap. Di plot no. 2 tiada perkembangan menarik selain pokok-pokok cili tengah galak berbuah tapi lupa pula ambil gambar. Jadi hari ini nak tunjuk cerita-cerita rezeki di plot no.1 sahaja.


Hujung minggu lepas saya memang sengaja tinggalkan sebahagian pangkal sawi saya untuk tengok sama ada pucuk baru akan tumbuh atau tidak. Bila dibelek-belek sawi memang ada pucuk baru tumbuh sehingga tiga pucuk yang keluar untuk sepokok sawi. Sawi yang belum dituai minggu lepas sebab terlalu kecil juga membesar. Selepas dituai sawi minggu lepas memang saya ada letakkan baja. Syukur Alhamdulillah. Dalam seminggu dua lagi dapat lagi tuai sawi.


  

Ahad lepas juga saya ada semai enam biji kacang panjang hasil pemberian mak mertua saya. Tak sangka masih bernas benihnya dan semuanya tumbuh dengan baik sehingga semalam. Saya sekarang tengah berkira-kira sama ada nak redah semak untuk cari dahan-dahan kecil untuk dibuat pancang atau beli sahaja dari kedai sebab kedua-duanya malas nak diusahakan (hehehe). Jadi buat masa ni saya letak saja sebatang kayu buat jadi pancang sementara.




Sebenarnya saya juga semai bayam merah dan bendi di plot ini dari benih lama yang saya jumpa tapi nampaknya belum keluar tanda-tandanya lagi. Mungkin sudah tidak bernas atau belum masanya. Biasanya benih akan ambil masa sekitar 3 hingga 5 hari sahaja untuk tumbuh. Di rumah saya memang banyak stok benih yang saya beli lama dahulu. Sekarang saya dalam proses habiskan semua benih lama sebelum melayan nafsu tamak haloba beli benih yang baru.

Isnin, 28 September 2015

Cerita Plot No. 1

Minggu ni saya nak mulakan dengan cerita tentang plot no. 1 saya. Plot ni sebelum ini ditanam dengan jagung manis. Sekarang jagung manis ini dah di penghujung hayat. Salah satu pokoknya dah kuning bersama setongkol jagung. Tongkol jagung yang ada adalah yang kedua. Ada setongkol jagung lagi yang masih ada tapi penuh dengan hama. Hujung minggu ini semua pokok jagung ini akan dicabut untuk memberi laluan kepada tanaman baru. Asalnya plot ini penuh dengan sungkupan. Tapi saya alihkan semua sungkupan dan buang semua rumpai yang tumbuh termasuk pokok semalu yang bermaharajalela sampai hampir dua kaki menjalar. Nampak terang sikit plot ini.


Dalam plot ini asalnya ada pokok timun juga tapi habis dimakan kumbang. Saya semai selasih Thai untuk elakkan kumbang tapi sayang terlambat. Timun akhirnya mati.


Hampir dua bulan lepas, ada belajar tentang tumbuhan di sekolah tadikanya. Jadi, anak-anak telah belajar menyemai sawi dan jaga sampai tumbuh. Penuh sepasu kecil anak-anak sawi bila dia bawa pulang seminggu kemudian. Setelah seminggu di rumah, barulah saya pindahkan ke plot ini.


Asalnya pertumbuhan sawi ini sangatlah perlahan walaupun dibaja setiap minggu. Mungkin sebab bersaing dengan rumpai-rumpai yang ada sama-sama tumbuh dalam plot ini. Daunnya juga banyak yang rompong dimakan siput. Bila dialihkan sungkupan, banyak betul siput yang bersembunyi. Itulah ragamnya bila ada sungkupan daun kering, siput suka menyorok di bawah sungkupan sebab sejuk.


Semalam petang sempatlah saya jenguk kebun sejemput belakang rumah. Terkejut saya. Cepat juga sawi ini membesar walaupun tanpa jagaan dalam tempoh enam hari ditinggalkan. Risau juga takut mati kekeringan sebab tak ada sungkupan dan tidak disiram. Mungkin ada hari yang hujan. Minggu lepas juga ada saya siram dengan air basuhan beras dan ikan. Berbaloi-baloi rasanya walaupun tak semua dapat hidup ke tahap ini. Kalau tuai hujung minggu ni mungkin dapat dalam semangkuk sawi goreng. Tak sabarnya!!


ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...