adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label plot 3. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label plot 3. Papar semua catatan

Isnin, 15 Februari 2016

Labu Manis Di Plot No. 3

Dah lama tak bercerita tentang plot no. 2 saya. Walaupun terasa macam tak ada apa yang menarik berlaku di kebun sejemput saya, tapi bila melihat catatan-catatan lama, banyak juga beza dari minggu-minggu lepas.


Pokok selasih saya dah semakin tua. Tunggu masa nak dicabut dan disemai baru. Daunnya banyak yang kuning dan keras. Walau pun dicantas, daun yang tumbuh tetap sudah keras dan tidak neka dibuat ulam lagi. Pokok cili pula habis daunnya dihinggapi bena putih. Saya cantas dan pucuk baru pun tumbuh. Nampaknya putih bunga yang tumbuh lekat buahnya. Dalam masa yang sama, saya juga semai anak-anak pokok cili yang baru.


Labu yang ada juga semakin galak menjalar. Daunnya juga besar hampir sebesar dua tapak tangan saya. Dalam beberapa minggu memang banyak bunga betina yang keluar. Tapi sayangnya semua gugur setelah beberapa muncul. Setelah dibelah, rupanya ada larva kumbang sudah masuk ke dalam putik-putik bunga labu sama ada jantan atau betina. Sebab itulah banyak bunga yang gugur tanpa sempat berkembang walaupun banyak yang muncul.


Selepas cuti Tahun Baru Cina minggu lepas, bunga-bunga jantan sudah kembali berkembang di kebun sejemput saya. Putik bunga juga sudah semakin banyak yang muncul. Sudah tidak ada tanda-tanda akan gugur lagi.


Setelah dibelek-belek di balik daun rupanya ada dua kuntum kudup bunga betina sedang tunggu masa untuk kembang. Saya ambil gambar putik-putik labu ni kira-kira lewat petang Selasa lepas. Petang Rabu esoknya saya lihat kelopaknya dah layu. Cepat-cepat saya ambil bunga jantan dan debungakan kedua-dua bunga secara manual. Dahla ada sekuntum aja bunga jantan. Cepat-cepat saya panjatkan doa supaya menjadilah pendebungaan manual saya. Dah lama benar saya menunggu saat ini.


Alhamdulillah setakat pagi hari ini putik-putik labu masih utuh walaupun kelopaknya dah luruh. InsyaAllah dapatlah menuai labu manis pertama saya. Sabtu lepas sempatlah saya menuai pucuk labu dibuat masak lemak bersama-sama daun selasih Thai dari kebun juga dengan labu manis yang dibeli dari pasar.


Rabu, 3 Februari 2016

Memetik Bendi

Dalam dua minggu lepas, putik bendi pertama dah keluar. Tapi nampaknya sekali lagi hasil pertama ditakdirkan bukan rezeki saya sama seperti delima. Dua tiga hari selepas berputik, saya lihat bendinya sudah separuh diragut. Tak pasti sama ada tupai atau binatang lain yang makan kerana belum pernah lagi saya terserempak tupai di laman belakang. Saya petik juga bendi itu supaya tak masak tua di atas pokok. Jika tidak pokok akan berhenti kurang berbunga pula. Sudah menjadi resmi pokok berbuah untuk kesinambungan benih. Jika ada buah sudah tua,maka pokok akan terima sebagai benih sudah pun dihasilkan dan tidak perlu lagi keluarkan bunga untuk hasilkan buah.


Selang dua tiga hari, bunga baru akan kembang dan bunganya akan bertahan sehari sahaja. Kelopak akan kuncup sebelah petang dan gugur meninggalkan putik buah. Sepokok memang tak cukup untuk bekalkan bendi untuk sekali masak. Tapi kalau berpokok-pokok banyak pula. Dalam plot ini saya ada semai lagi tiga pokok yang sedang membesar. Rasanya dalam minggu ini mungkin akan berbunga pokok-pokok yang lain.


Macam mana nak tau bila buah bendi boleh dipetik? Petua yang saya pegang adalah seperti digambarkan dalam lukisan saya yang seberapa.


Minggu lepas dapatlah petik dua biji bendi tapi yang berlingkar itu rasanya sudah kurang lembut tapi masih belum berserat untuk makan. Jadi masih boleh dimakan. Setakat hari ini masih belum dimasak. Mungkin dicelur cicah budu sahaja malam ini.


Jumaat, 15 Januari 2016

Plot No. 3 Semakin Meriah

Minggu ini masuklah sebulan umur anak-anak pokok jagung saya di plot no. 3. Tingginya sekarang mencecah sekaki dengan daun hijau yang berkilat tanda pokok yang sihat. Hujung minggu lepas baru dibaja dengan baja kopi. Nampak cepat membesar. Minggu depan baru saya baja sekali lagi. Plot no. 3 sekarang nampak sudah penuh dengan daun-daun jagung yang makin besar.


Bendi juga rupanya sudah berbunga. Terlepas pula saya. Sedar-sedar tengah hari sudah muncul putik buah sulungnya. Rasanya pagi tadi baru terkilas nampak kelopak kuning pucat bunganya. Beberapa hari ni saya tidak menjenguk kebun sejemput kerana hujan turun setiap petang walaupun panas terik sepanjang hari. Mungkin bunganya kembang bila saya tak menjenguk. Nampaknya akan ada beberapa bunga menyusul.


Kangkung dan ulam raja pula bersedia untuk dipetik lagi dalam sehari dua lagi. Muak pula makan kangkung dan ulam raja setiap minggu. Tengah hari tadi saya ada petik secekak ulam raja untuk diberi kepada seorang rakan sepejabat. Katanya ulam raja kegemaran suaminya. Tapi terlupa pula hendak bawa ke pejabat. Nampaknya rezeki di lain hari pula. Biasanya kangkung akan digoreng dengan belacan. Mungkin kali ini saya akan cuba celur sahaja untuk di cicah sambal budu atau belacan untuk kelainan.


Rabu, 6 Januari 2016

Khabar Dari Plot No. 3 Kebun Sejemput

Salam Tahun Baru 2016. Semoga tahun ini dipenuhi dengan perkara-perkara bermanfaat dan menjadi tahun yang produktif buat semua. Seperti biasa, azam yang setiap tahun ulang tayang adalah untuk turunkan berat badan. Hahahaha. Macam makin naik adalah. Yang penting pemakanan sihat perlu jadi keutamaan seisi keluarga.

Hampir sebulan tiada catatan baru dalam blog ini. Agak sibuk lewat hujung tahun lalu dengan anak pertama menginjak tahun satu. Kami juga cuti agak lama di kampung dengan pelbagai urusan. Macam saya dah maklumkan dulu, saya ada buka plot ketiga di kebun sejemput saya. 

Plot No. 3 - 21 Nov. 2015

Plot No. 3 - 7 Dis. 2015

Plot No. 3 - 28 Dis. 2015
Dalam plot itu sebelum ini ada kangkung, ulam raja dan juga bendi. Kangkung yang saya semai adalah dari beberapa paket benih kangkung yang saya sakan beli dan simpan. Buat masa sekarang memang tidak berhasrat nak membeli benih baru sebab nak menghabiskan benih lama. Kangkung sudah dua kali dituai. Kali pertama sudah selamat digoreng dengan belacan. Tuaian kali kedua diberi kepada cikgu taska Ahmad bersama-sama kacang botor dan cili padi pada hari terakhir Ahmad ke taska. Tahun ini Ahmad dah ke tadika. Tak termakan tuaian yang sedikit kali ini sebab kami pulang ke kampung. Tanaman mesti dituai untuk elakkan pembaziran. Kalau tak dituai nanti tua di pokok sahaja. Bila dikongsi dapat juga sama merasa. 

Anak kangkung selepas seminggu disemai - 16 Nov. 2015

Tuaian kali kedua kangkung selepas dua bulan disemai bersama tuaian kacang botor dan cili padi - 28 Dis. 2015

Kangkung sedia dituai lagi - 5 Jan. 2015

Terbaharu saya semai jagung manis dan usianya dalam minggu ini sudah menghampiri tiga minggu. Alhamdulillah, rasanya hampir semua benih jagung manis jenama Baba bercambah. Hujan yang masih turun setiap hari juga sangat membantu pertumbuhan anak-anak jagung. Pengalaman kali pertama menanam jagung sangat membantu kali ini. Insya-Allah, dalam  dua tiga bulan lagi dapatlah merasa jagung manis tanam sendiri.

Plot No. 3 - 27 Dis. 2015, selepas jagung manis disemai pada 19 Dis. 2015.


Plot No. 3 - 5 Jan 2016, selepas 18 hari jagung manis disemai.

Semaian jagung manis berumur hampir tiga minggu.

Bendi juga nampaknya tumbuh dengan baik. Asalnya saya semai tiga pokok pada November lalu. Sepokok dah habis mati dimakan siput. Sepokok lagi terbantut pula pertumbuhannya. Sepokok yang satu ini nampaknya dah mula keluarkan putik bunga walaupun agak perlahan pertumbuhannya pada peringkat awal. Selepas dibaja dua kali dengan kisaran perut ikan bilis, nampak lebih sihat dan segar. Tak lama lagi dapatlah merasa bendi pertama saya. Benihnya saya dapat dari kebun ayah saya. Ada lagi dua pokok yang saya baru semai tiga minggu lepas dalam pasu kecil tapi belum sempat pindahkan ke batas.

Anak bendi selepas 3 hari disemai - 21 Nov. 2015
Bendi hampir berusia tujuh minggu.

Putik-putik bunga bendi.


Pokok ulam raja tunggal yang berbunga dua minggu lepas juga dah mengeluarkan benih. Sengaja saya tak kutip untuk biarkan benihnya jatuh ke tanah dan biarkan tumbuh. Dah liar esok baru fikir macam mana nak buat.

Benih ulam raja.

Rabu, 16 Disember 2015

Ulam Raja Dari Semaian Pucuk

Saya memang dah lama teringin nak tanam pokok ulam raja tapi tak ada benih. Di rumah ayah saya memang banyak pokok ulam raja. Tapi setiap kali saya balik, tak ada pokok pun yang berbunga. Ayah saya suruh bawa balik sahaja anak ulam raja yang dah disemai. Dah menjadi sifat saya kalau boleh nak lihat pokok membesar hasil tangan saya, saya tak bawa balik pun. Itulah sombong sangat nak tanam sendiri konon hahaha. Kali terakhir balik kampung, saya cuma bawa balik benih bendi untuk di tanam di rumah. 

Saya fikir kalau susah sangat nak cari benih, kita tanam aja dari pucuk ulam raja macam yang saya buat dengan pokok-pokok selasih Thai saya. Tapi, pucuk ulam raja kalau dibeli dari pasar biasanya sudah layu dan sangat banyak pula beli dibeli seikat. Tak habis makan jadi membazir pula. Akhirnya, bagai bulan jatuh ke riba, kawan saya membawa beberapa beg plastik pucuk ulam raja segar ke pejabat. Saya pun ambil secekak untuk dibawa balik ke rumah dijadikan ulam makan malam. Ada satu yang batangnya agak keras saya cucukan ke batas belakang rumah yang kebetulannya baru disediakan untuk tanaman baru.

Pucuk ulam raja matang yang disemai terus berusia dua minggu selepas semaian mula keluarkan pucuk baru.
Menjelang minggu kedua, pucuk yang saya tanam sudah mula mengeluarkan pucuk baru. Alhamdulillah. Nampaknya sudah keluarkan hasil. 

Ulam raja selepas sebulan disemai menggunakan pucuk

Seminggu kemudian, pucuknya dah naik sekali ganda. Kelihatan juga putik bunga sudah keluar. Agaknya pokok induknya memang dah cukup matang, jadi tidak hairanlah pokok ulam raja sudah berbunga. 

Putik bunga ulam raja

Di kiri kanan batangnya juga kelihatan banyak pucuk-pucuk baru sudah muncul. Saya kira dalam seminggu dari waktu ini, mungkin saya dapat menuai beberapa pucuk ulam raja untuk dijadikan ulaman. 

Hasil tuaian semalam - kangkung, pucuk selasih Thai, pucuk ulam raja, serai, cili padi dan pucuk ubi kayu.
Semalam nampaknya pucuk-pucuk ulam raja yang ada cukup makan untuk kami berdua. Jadi, petang semalam kami jadi kambing untuk makan malam. Dapatlah menuai pucuk ubi kayu, selasih Thai, ulam raja, serai, cili padi hijau dan kangkung. Meriah juga sebab hari-hari hujan turun jadi tak perlu menyiram. Cuma kenalah rajin membaja sebab kena ganti balik hasil yang kita dah tuai kepada tanah. 

Pokok ulam raja berusia lima minggu selepas disemai dan telah dituai pucuk-pucuk yang tumbuh di sekitar batangnya.

Pokok ulam raja pun dah lebih sekaki tingginya. Bunganya pun sudah kembang dan nanti dapatlah saya mengutip benih setelah bunganya matang. Ulam dipetik petang semalam lupa pula keluarkan dari peti ais. Rugi betul. Pagi-pagi hari ini saya cucukan pucuk-pucuk ulam raja ke batas yang dah tersedia untuk tanaman baru supaya tak membazir layu dalam peti ais. Kalau dah banyak-banyak nanti mesti meriah kebun sejemput saya dengan bunga merah jambu dari pokok ulam raja. Dapat tengok sekuntum berbunga hari ini pun sudah cukup teruja saya dibuatnya. Alhamdulillah.

Bunga ulam raja warna merah jambu menawan hati.


ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...