adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label isu domestik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label isu domestik. Papar semua catatan

Isnin, 22 April 2013

Apa Saya Buat Bila Anak Dijangkiti "HFMD"...


Pagi tadi ada seseorang dari pejabat saya bertanya bagaimana saya uruskan anak yang terkena jangkitan penyakit kaki, tangan dan mulut. Saya agak anaknya yang terkena jangkitan tetapi jangkaan saya meleset kerana rupa-rupanya suaminya terkena jangkitan. Kedua-dua anak saya pernah dijangkiti dan kemungkinan untuk dijangkiti lagi tetap ada.

Melalui pembacaan saya, penyakit HFMD ini seringkali menjangkiti kanak-kanak berumur di bawah 10 tahun. Setelah dijangkit, virus akan mengambil masa sehingga dua minggu untuk berada dalam fasa pengeraman. Kemudian barulah bintik-bintik bercecair akan keluar di tangan, mulut dan kaki. Ameer terkena jangkitan tahun lalu. Kami kesan bintik-bintik merah di kawasan tangan beberapa jam selepas kami sekeluarga ‘touchdown’ dari Kota Kinbalu, Sabah. Ahmad pula terkena jangkitan selepas seminggu sembuh dari ‘chickenpox’. Jangkitan ini agak biasa terkena bagi kanak-kanak yang tinggal di taska. Antara faktornya adalah kebersihan khususnya selepas ke tandas. Kadangkala pihak taska telah mengambil langkah-langkah penjagaan kebersihan yang optimum, namun disebabkan sikap pentingkan diri sendiri ibubapa yang tetap menghantar anak yang sakit ke taska mengakibatkan anak-anak lain turut menerima akibatnya.

Jadi apa yang saya buat bila anak dijangkiti HFMD?

Apabila terdapat bintik-bintik bercecair jernih muncul di tangan anak-anak, periksa kaki dan tangan anak. Kadangkala ia juga muncul di celah-celah pelipat lulut, ketiak dan siku. Bagi anak yang masih memakai lampin, bintik-bintik banyak timbul di kawasan punggung, peha dan kemaluan. Bagi kedua-dua anak saya, tanda ‘chickenpox’ mereka mula muncul di belakang badan. Memandangkan keduanya pernah dijangkiti ‘chickenpox’, maka saya yakin anak saya telah dijangkiti HFMD.

Kemudian, bawa anak ke klinik untuk pemeriksaan lanjut. Doktor akan bekalkan ‘calamine lotion’, ubat demam dan ubat ulser. Kebiasaannya jangkitan teruk akan menyebabkan anak tidak dapat makan kerana bahagian dalam mulutnya turut terluka akibat ulser. Ubat ulser yang dibekalkan akan memberi rasa kebas bahagian dalam mulut dan membolehkan anak makan.

Sama seperti penjagaan anak saya sewaktu dijangkiti ‘chickenpox’, saya kerap mandikan anak saya dengan sabun berubat dan sapukan ‘calamine lotion’ yang baru setiap kali. Ini membantu bintik-bintik tersebut kering dengan cepat. Dalam tempoh 3 hari ia kering. 

Saya tukarkan tuala baru setiap kali mandikan anak dan semua alas tidur dan selimut ahli keluarga dicuci. Sofa dan karpet disembur dengan semburan anti bakteria. Sepatutnya semua mainan anak-anak juga disembur dengan semburan anti bakteria.

Dalam lawatan ke klinik juga, doktor akan berikan surat supaya anak dikuarantinkan. Dalam kes sebegini, anak-anak lain tidak dibenarkan dihantar ke sekolah atau pusat jagaan.  Jika terlalu ramai anak-anak dari pusat jagaan yang sama dilaporkan dijangkiti, Jabatan Kesihatan akan datang membuat pemeriksaan dan mungkin pusat jagaan diarahkan ditutup untuk pembersihan. Kadangkala, wakil dari Jabatan Kesihatan akan datang ke rumah untuk melakukan penyemburan anti bakteria di rumah kita.

Anak-anak rakan-rakan lain pernah dijangkiti? Bagaimana pengalamannya? Walau apapun, yang penting dapatkan nasihat pakar perubatan.

Ahad, 7 April 2013

Apa yang saya buat bila anak dijangkiti ‘chickenpox’


Sudah lama saya berhajat untuk menulis catatan ini. Ada dua sebab. Pertama, sebagai rujukan saya akan datang dan kedua sebagai rujukan ibu-ibu yang lain yang mengalami situasi yang sama. Kedua-dua anak saya sudah dijangkiti ‘chickenpox’ dan pertama kali menghadapinya agak sukar untuk saya mencari rujukan. Pada bulan Februari yang lalu, Ahmad telah dijangkiti manakala abangnya Ameer telahpun dijangkiti ketika umurnya dua tahun. Kedua-dua kejadian berlaku ketika saya sedang hamil. Sukacita diingatkan, ibu dan kandungan boleh dijangkiti khususnya diperingkat akhir kehamilan. Alhamdulillah doktor mengesahkan sekiranya saya pernah dijangkiti maka 99.99% peluang untuk diangkiti tidak ada. Maka dapatlah saya menjaga anak saya yang sakit. Malang bagi suami saya yang belum dijangkiti, maka ‘berkawanlah’ dia dengan si Ameer.

Jadi, apa yang saya buat? Sukacita diingatkan bahawa catatan ini adalah berdasarkan pengalaman dan pengetahuan cetek saya sahaja dan boleh dijadikan panduan jika mahu. Adalah lebih baik mendapatkan nasihat doktor kerana setiap orang situasinya berbeza.

‘Chickenpox’ dapat dikenalpasti apabila muncul gelembung cecair pada badan anak. Sesetengah anak akan mula demam dan hidungya berair. Sewaktu Ameer dijangkiti saya cepat-cepat bawanya ke klinik. Doktor akan berikan ubat demam, ubat tahan kegatalan dan juga ‘calamine lotion’. Sewaktu Ahmad dijangkiti saya tidak ke klinik kerana stok ubat demam yang terkini telahpun tersedia dan suami hanya membelikan ‘calamine lotion’. Kami kurang berkenan dengan ‘calamaine lotion’ klinik kerana sukar dibersihkan. Setengah klinik akan berikan surat kuarantin untuk memudahkan ibu bapa memohon cuti. Saya tak dapatkan surat ini kerana sudah pasti anak saya tidak dibenarkan ke taska dan cuti rehat saya tetap akan ditolak. Maka saya membuat keputusan untuk tidak menghantar anak ke taska dan mengambil cuti rehat berselang seli hari dengan suami sehingga anak sembuh. Abangnya tetap ke tadika seperti biasa.

Anak saya dimandikan sekurang-kurang tiga kali sehari dengan air suam dengan menggunakan sabun berubat. Sabun berubat pilihan kami adalah dari jenama ‘Sebamed’. Ia bersifat mengeringkan sama seperti ‘calamine lotion’. Mandi dengan air suam boleh membantu gelembung menjadi kecut dan ‘calamine lotion’ yang bersifat mengeringkan juga membantu gelembung mengecut dengan cepat. Mandi dengan kerap membolehkan kita mengenakan ‘calamine lotion’ yang baru setiap kali. Saya dapati gelembung cecair anak saya kering dalam tepoh tiga hari. Seperti kebiasaan parutnya akan mengambil masa sedikit untuk luruh.

Kuku anak hendaklah dipastikan sentiasa pendek kerana anak akan kerap menggaru akibat kegatalan. Saya juga pakaikan anak dengan baju tiada lengan dan seluar pendek atau lebih baik pakaikan dengan lampin sahaja. Ini bagi membolehkan kulit bernafas kerana peluh boleh mengakibatkan keadaan menjadi lebih teruk.

Kalau tanya saya apa yang anak boleh dan tak boleh makan, saya tidak dapat bantu kerana anak saya tidak mahu makan kecuali bubur nasi dan susu sahaja. Itupun dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Ini mungkin kerana anak saya sukar menelan dan gatal-gatal di tekak kerana tekaknya turut dijangkiti dan anak saya turut selsema. Jadi ibu-ibu kena bersedia dengan keadaan anak yang akan kerap muntah. Perhatikan juga suhu badannya. Jika anak tidak minum atau makan langsung, cepat bawanya ke hospital untuk elakkan keadaan menjadi lebih teruk. Yang penting pastikan anak makan atau minum untuk memastikannya mempunyai tenaga lebih-lebih lagi jika anak demam.

Kalau ditanya saya mengenai pantang larang orang tua dan amalan minum air kelapa dan sebagainya, saya tak pasti kerana saya tidak amalkan mana-mana petua atau amalan tersebut. Itu adalah hak masing-masing.

Ibu-ibu jangan susah hati jika anak terkena jangkitan ‘chickenpox’ pada usia muda. You are doing your kids a big favor. Parut yang ditinggalkan tidak lama kerana kulit anak-anak meregang seiring dengan pembesarannya dan anak tidak lagi dijangkiti bila sudah dewasa.

Harapnya catatan ini dapat memberi rujukan dan panduan. Walau bagaimanapun, situasi setiap orang berbeza dan dinasihatkan berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat professional. Bagaimana pula cara rakan-rakan lain?

Jumaat, 15 Mac 2013

Kenapa Saya Tak Perlukan Pembantu Rumah (Buat Masa Ini...) - Bahagian 2


Inilah yang terjadi bila si abang sudah pandai buka tin biskut dan si adik yang belum pandai ambil biskut tonggengkan tinnya. Habislah berterabur serdak-serdak biskut yang rangup itu di atas lantai. Yang lebih pening bila berterabur juga di atas karpet. Terpaksalah si ibu sapu berkali-kali dan “vacuum” karpet supaya bersih semula. Itu semua dah menjadi tugas ibu. Kalau babah ada, bolehlah babah bantu. Ibu buat dengan seikhlas hati walaupun geram sedikit tapi kalau sabar dan ikhlas, kerja yang susah pasti rasa ringan. Bila cakap pasal keikhlasan, membuatkan saya ragu-ragu nak ambil pembantu rumah. Inilah antara sebab-sebabnya yang saya sambungkan dari catatan yang lalu.
Ketiga: Saya ragu-ragu dengan keikhlasan pembantu rumah dalam menguruskan hal domestik saya dari bab menjaga kebajikan ahli keluarga saya sehingga penyelenggaraan rumah saya. Kalau pembantu rumah saya tidak ikhlas, bagaimana penerimaan dia terhadap perangai dan tabiat ahli keluarga saya yang saya sayang. Saya bimbang aura negatif pembantu yang tidak ikhlas menusuk ke jiwa anak-anak saya terutamanya yang sedang membesar. Silap haribulan, rasa tidak ikhlasnya menjadi tekanan yang boleh mendatangkan bahaya kepada anak-anak saya.
Keempat: Dalam bab menyediakan makan minum pula, kasih sayang dan rasa ikhlas adalah rencah utama dalam menyediakan makanan kepada ahli keluarga. Mengamalkan pesanan nenek saya, setiap kali menyediakan makanan untuk ahli keluarga saya, saya akan iringi dengan selawat. Persoalannya, adalah pembantu akan menambah rencah istimewa tersebut? Takkanlah saya nak benarkan anak-anak dan suami saya makan masakan hasil air tangan orang lain. Saya tahu masakan saya kurang sedap, tapi sekurang-kurangnnya ikhals dari hasil tangan saya. Yang kurang sedap itulah yang menjadi ingatan insan tersayang saya.
Kelima : Lelaki yang saya kahwini itu suami saya dan anak-anak yang saya lahirkan itu darah daging kami. Biarlah saya bersusah payah menjaga mereka selagi upaya. Dengan itu dapatlah saya merasai dan menghargai penat lelah kedua ibu bapa saya dan suami menjaga kami masa kecil. Suatu hari nanti bila anak dah besar dan berjaya, InsyaAllah Allah akan sediakan masa dan hati yang lapang buat kami berdua.
Setakat ini sebab-sebab saya tak perlukan pembantu rumah (buat masa sekarang). Biar masa dan keadaan yang menetukan samada saya perlu atau tidak pembantu rumah. Alhamdulillah..buat masa sekarang, semua masih dalam kawalan.
Published with Blogger-droid v2.0.10

Selasa, 19 Februari 2013

Misi Jam 6 Yang Tergendala..

Memandangkan saya tidak mempunyai pembantu rumah, maka kerja-kerja rumah yang kompleks akan dilakukan pada hujung minggu. Pada minggu lalu, saya sudah selesaikan kerja mengemop aras bawah pada malam Jumaat. Kebiasaannya saya akan berlibur dengan anak-anak dan suami pada hari Sabtu. Hari Ahad pula hari berkebun dan mengemas rumah kerana hari tersebut suami saya akan ada perlawanan bola sepak selepas makan tengahari. Jadi, saya yang tinggal dengan anak-anak akan buat kerja rumah. Bukanlah bermaksud suami saya serahkan bulat-bulat kerja rumah kepada saya. Tugas suami saya dalah basuh baju setaip hari, lipat kain sekali-sekala, memvakum seluruh rumah, basuh pinggan, mencuci tandas dan lain-lain. Macam satu pasukanlah kami ni.
Jadual perlawanan bola sepak suami saya ditukar ke hari Sabtu. Maka saya pun tukarlah jadual pembersihan saya pada hari Sabtu. Misi pada hari Sabtu lalu adalah untuk mengemas rak buku yang serabut “ayam” ni. Nampak macam sedikit bukunya. Tapi sebenarnya buku-buku lain banyak terselit di celah bantal bilik tidur, atas meja mekap, celah sofa, atas meja kopi dan macam-macamlah tempatnya termasuk atas oven. Dalam kotak mainan anak-anak ada buku anak-anak pula. Itu belum dikira yang orang pinjam tidak dipulangkan lagi dan tertinggal di pejabat.

Saya teringin nak kemaskan rak buku saya seperti ini. Tapi bukanlah hasrat saya nak kumpul buku untuk jadikan cantik sebegini saja. Buku-buku ni perlu dibaca barulah berbaloi. Sudah menjadi tabiat saya kalau membaca tak pernah habis. Pembacaan saya akan mengambil masa yang lama disebabkan saya baca ikut bab yang saya suka. Kalau dah baca satu buku dan bosan, beralih ke buku yang lain. Jadi agak lama masa diambil
Hajat dihati nak mulakan kerja mengemas jam 5 petang dan habiskan jam 6 petang. Tapi dek kerana sibuk menguruskan anak-anak yang bergaduh kemudian melayan anak makan petang, kerja mengemas tertunda sehingga selesai semalam. Itupun dibuat secara runcit. Maknanya, cuit sikit-sikit sampai selesai. Itupun belum lap debu di bahagian atas sebab malas memanjat kerusi. Lagipun belum banyak debunya sebab baru dilap minggu lalu. Jadi inilah hasil misi jam 6 yang tergendala.

Sabtu, 16 Februari 2013

Kenapa Saya Tak Perlukan Pembantu Rumah (Buat Masa Ini...) - Bahagian I


Gambar di atas menunjukkan cebisan dari keadaan rumah saya. Saya malu nak tunjuk keadan rumah saya. Tidaklah kemas tapi bolehlah tahan. Yang penting bersih. Catatan saya ini jauh menyimpang dari aktiviti kebun tapi masih berkisar hal domestik. Ketika waktu menghampiri jam 10 malam, saya maklumkan rakan saya yang saya hendak selesaikan kerja melipat kain baju yang tiga bakul tu dan mengemop lantai sebelum jam 12.00 tengahmalam. Kawan saya cadangkan upah sahaja pembantu rumah harian untuk selesaikan kerja-kerja rumah. Saya diamkan saja sebab ada banyak perkara saya hendak huraikan kenapa saya rasa saya tidak perlukan pembantu rumah (buat masa sekarang..). Oleh kerana terlalu banyak yang hendak dihuraikan, maka pada malam yang indah ini saya huraikan sebahagian saja dulu.

Pertama : Saya kurang gemar orang lain buat kerja rumah bagi pihak saya. Saya juga kurang gemar beri arahan kepada orang lain untuk selesaikan kerja rumah saya. Jika hasil kerja yang dilaksanakan tidak kena dengan hati saya, silap hari bulan saya buat semula kerja itu mengikut kehendak saya. Daripada saya buang masa beri arahan, tunjuk ajar atau buat semula, baik saya buat sendiri.

Kedua : Kalau bab melipat kain pula, takkanlah si pembantu nak lipatkan seluar kecik saya anak beranak. Kalau nak diasingkan siap-siap, baik saya selesaikan sendiri kerja melipat tu. Lagipun kain baju perlu dilipat setiap hari. Takkanlah nak tunggu pembantu datang hujung minggu semata-mata nak melipat kain baju sahaja. Dibayar pula tu. Kerja melipat baju ni boleh dibuat sambil menonton tv. Tambahan pula, dapatlah kita membelek serba sedikit baju suami dan anak-anak kalau terkoyak ke terhilang butang ke atau diasingkan siap-siap sebab tidak lagi muat untuk anak pakai.
Nanti saya sambung lagi...

posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...