adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label lobak putih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lobak putih. Papar semua catatan

Isnin, 13 April 2015

Menyemai Di Hujung Minggu

Minggu lepas tak banyak perkembangan berlaku pada kebun dan laman saya selain merumput sedikit sebanyak, membersihkan laman dan cantas beberapa pokok yang dah kemas bentuknya. Alhamdulillah hujan turun dengan lebat hampir setiap hari yang mana turut meringankan sedikit tugasan menyiram pokok walaupun tengah hari panas berdenting sampai pening kepala. Kerja-kerja di pejabat pun banyak dengan mesyuarat yang bertali arus. Semenjak kerusi bos kosong sejak tahun lalu, sayalah yang jadi ‘bos’ untuk diri sendiri dan rakan sekerja. Walaupun agak terbeban dengan tanggungjawab yang lebih besar, tapi nampaknya saya lebih banyak belajar perkara baru yang sesungguhnya memang banyak membantu meringankan kerja. Bila tak ada bos ni, kepala lebih ligat berputar sebab pencapaian seksyen dah menjadi tanggungjawab saya sebagai pelaksana dan pengurus. 

Petang-petang bila tengok pokok-pokok dalam pasu segar bugar, barulah terang sikit mata yang kelabu menghadap komputer sepanjang hari. Banyak sangat kerja sampai tak tau nak mula dari mana. Nak masukkan catatan baru dalam blog pun dah siap-siap draf tengah malam kemudian buat auto-publish. Kalau tak letak nanti basi pula cerita.

Hujung minggu ni agak lapang sedikit sebab hari Sabtu dah all-out kemas rumah. Nak buat bekal untuk Projek Lunchbox pula tak ada idea. Lagipun minggu ni mesyuarat kebanyakan hari waktu tengah hari dah kena keluar dari pejabat, jadi tak sempat nak makan (sebenarnya lebih kepada malas nak masak hehehe). Masa yang lapang tu digunakan untuk menyemai beberapa benih yang ada di rumah. Saya semai kacang botor, zinnia campuran, selasih Thai, bok choy  dan lobak putih. Benih kacang botor tu sebenarnya dah disemai hari Rabu tapi dimakan semut pula, jadi perlu disemai semula. Zinnia dan selasih Thai tu pula saya ambil benih dari rumah ayah manakala lobak putih dan bok choi  adalah baki dari tanaman dahulu. Saya mulakan dengan benih-benih yang mudah dijaga sebagai kick-start untuk bulan ini.

Semaian zinnia, lobak putih, kacang botor dan selasih Thai. Semaian bok choy tidak kelihatan.

Nampaknya benih zinnia yang saya dapat dari ayah memang bernas kerana hari kedua sudah tumbuh tunasnya. Pagi ini nampak tunasnya sudah hampir keluar dari kelongsong benih. Mungkin dalam minggu ini pastinya daun pertama sudah keluar. Selain disemai di dalam pasu kecil ini, saya juga ada semai zinnia terus di atas batas di belakang rumah. Harapnya benih-benihnya selamat sebab semalam hujan turun dengan lebat disertai guruh. Benih selasih Thai, bok choy, lobak putih dan kacang botor mungkin mengambil sedikit masa. Saya rasa benih kacang botor mengambil masa lebih sedikit dan mungkin bok choy serta lobak putih akan mula bertunas dalam sehari dua lagi. 

Semaian benih zinnia telah bertunas pada hari kedua selepas disemai.

Rabu, 28 Ogos 2013

Lobak Putih Pertama – Minggu 10



Ini kali pertama saya menanam lobak putih. Sejak disemai, tidak banyak perhatian diberikan kepada semaian lobak putih saya. Penjagaannya cumalah disiram dua kali sehari dan dibaja setiap dua minggu. Kalau ikut apa yang dinyatakan pada pek benih, tuaian boleh dilakukan dalam minggu keenam hingga minggu kelapan. Namun, pada minggu ketujuh, ubinya hanya sebesar jari kelingking. Saya biarkan saja dan teruskan rutin pembajaan dan penyiraman. Alhamdulillah pada minggu kelapan, ubinya telah kelihatan. Saya biarkan lagi dua minggu sehinggalah dituai pada hari Isnin lalu sekitar minggu kesepuluh. Walau bagaimanapun, ubi lobak putih yang kedua masih perlu diberi masa kerana ubinya masih belum kelihatan. Bimbang juga kalau ubi yang terbentuk sudah mula berserat atau bergabus akibat terlalu lewat dituai. 

Sangkaan saya meleset.



Baunya manis waktu kulit luarnya dikupas sebelus dipotong untuk digoreng bersama daunnya. Saya tumiskan sedikit hirisan bawang kecil, cili merah dan bawang putih. Renihkan air dan masukkan ubinya dahulu. Kemudian perasakan dengan lada sulah, garam dan sos tiram. Masukkan daunnya dan tutup api. Masukkan sedikit minyak bijan dan hidangkan. Isinya manis dan dan elok rapuh walaupun rupanya pecah. Cuma daunnya sedikit berserat. Pusingan kedua nanti saya akan semai lebih. Barulah puas hati dapat makan lobak putih tanam sendiri. Kepuasan makan sayuran dari kebun sendiri tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. 




Selasa, 2 Julai 2013

Lobak Putih - Minggu 2


Ini merupakan kali pertama saya tanam lobak putih sejak mula pandai makan lobak putih ketika berpantang kali ini. Saya dapati melalui pengalaman rakan-rakan blogger yang berkebun, lobak putih mudah ditanam dan dijaga. Mengikut pek benih yang saya beli dari pasaraya, katanya ubinya boleh dituai dalam tempoh 50 hari selepas semaian. Kira-kira sebulan lagi dapatlah saya tuai ubinya. Saya semai 3 biji benih dalam medium semaian berkompos. Hanya satu benih benih tidak bertunas. Pada umur 2 minggu, pasangan daun sebenar telah kelihatan. Benihnya mula bertunas pada hari ke 4-5 seeepas disemai sedalam kira-kira 1 cm dari permukaan tanah.
posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...