adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label kunyit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kunyit. Papar semua catatan

Sabtu, 17 Oktober 2015

Cara Menyemai Halia & Kunyit

Selalu juga saya dengar orang bertanya macam nak semai kunyit atau halia. Ada juga yang beli di pasar seketul besar kemudian dikambus semuanya sekali. Memang betul-betul membazir kerana yang perlu ditanam hanya bahagian ‘mata’nya sahaja. Bahagian matanya adalah bahagian yang terbonjol-bonjol di bahagian tepi umbi kunyit seperti dalam gambar lama saya ini. Bila dah beli dari pasar tu, kutil siap-siap bahagian tepinya. Cara yang sama juga kalau nak semai halia. 


Benihnya biasanya saya ambil tidak terlalu kecil saiznya. Lebih kurang sebesar kuku ibu jari tangan pun sudah memadai. Sebesar hujung jari kelingking pun insyaAllah boleh bertunas. Kalau dilihat dalam gambar benih yang saya semai bulan lepas ini, benih halia yang di sebelah kanan gambar tu baru dikutil dari halia yang saya beli dari pasar. Kunyit pula dah hampir sebulan disemai cuma nak dialihkan ke pasu lain yang lebih lebar. 



Sebulan berlalu dan kunyit yang dialihkan ke pasu baru makin segar. Halia pun dah bertunas. Saya semai dalam tanah bercampur kompos dan tak pernah disiramkan sejak disemai. Tanahnya sentiasa lembap sebab tanah berkompos menyimpan lembapan. Ada juga hujan turun sehari dua lalu tapi semaian saya ini di bawah teduhan. Hujan mungkin sedikit tempias. 



Halia dan kunyit ambil masa dalam 6 hingga 8 bulan sebelum boleh dituai dan boleh dituai setelah daunnya mulai kering. Daun kunyit pula boleh diambil bila-bila masa untuk dibuat ramuan masakan. Saya elakkan menyiram banyak air untuk elakkan akarnya jadi busuk dan lembik. Siram bila tanahnya sudah kering sahaja dan saya memang tidak gemburkan untuk elakkan akar rosak. Sesekali buang rumpai bila perlu.

Saya lebih suka tanam halia dan kunyit dalam pasu sebab mudah untuk digali bila daunnya mulai kering. Terbalikkan sahaja pasunya dan bersihkan tanah dari akarnya untuk menuai. Saya dah serik gali tanah untuk dapatkan kunyit bila ditanam terus ke tanah. Ibarat tak habis-habis menggali. Itu pun masih ada akar yang tertinggal di medium pasuan. Tapi tak mengapa, akar yang tinggal akan tumbuh tunas yang baru. Sebaiknya, tanam kunyit atau halia dalam pasu yang terlalu dalam tapi bermulut lebar sebab akarnya tidak pergi jauh ke dalam tapi perlu ruang lebih untuk membesarkan akarnya. Kalau ditanam di dalam pasu dalam, maka rugilah ruang dan tanah di dasar pasu.

Harap dapat membantu sesiapa yang mencari cara menyemai halia dan kunyit.

Selasa, 22 September 2015

Tuaian Minggu Lepas

Tak ada apa yang menarik nak dikongsi minggu ini sebab terlalu sibuk yang teramat dengan kerja di pejabat. Tambahan pula minggu ni hanya dua hari sahaja bekerja. Rabu dan Jumaat cuti sempena sambutan Aidiladha pada Khamisnya. Hari ini Cuma nak kongsi gambar hasil tuaian minggu lepas sahaja.


Saya tuai tongkol jagung saya yang kedua beberapa hari lalu. Tongkol sedikit kecil tapi isinya hampir penuh. Tanda pendebungaan hampir berjaya tapi isinya sedikit pucat berbanding tuaian yang pertama. Saya tak dapat nak ceritakan bagaimana rasanya sebab sejurus selepas dituai, saya gril jagung tersebut. Saya persembahkan kat suami saya (chewah...persembahkan kunun). Sekali di pi makan semua sekali. Kita ni tengokla terkebil-kebil. Tak apalah. Saya makan yang pertama dulu pun tak tinggal kat dia pun.


Sabtu lepas pula saya teringin sangat nak makan ulam cicah budu. Jadi saya pun tuailah pucuk ubi kayu, pucuk selasih Thai dan cili padi Thai untuk buat ramuan cicah budu dan ulamnya sekali. Alang-alang petik daun selasih Thai tu dapatlah merimbunkannya nanti. Saya juga gali sikit kunyit yang ada dan ambil sebatang dua serai buat masak lemak cili padi labu sama ikan talang kering. Masak labu dari pasar saja sebab yang sendiri tanam belum berbuah lagi. Ikan selar kuning digoreng garing berbumbukan kunyit hidup. Memang naik selera lah makan tengah hari tu selari dengan kenaikan badan.


Bila dah banyak tuaian dapat makan ni makin teruja lagi nak menanam macam-macam.

Rabu, 19 Ogos 2015

Menuai Kunyit

Isnin lepas suami saya ada membawa pulang sebungkus pucuk ubi kayu dan sebungkus kecil cili padi putih hasil pemberian rakan sepejabatnya. Rakannya bercucuk tanam di rumah. Suami saya minta supaya saya masak Pucuk Ubi Kayu Masak Lemak Cili Padi. Memandangkan daun kunyit di rumah saya sudah mulai menguning, jadi saya memutuskan untuk menggali kunyit saya sebelum kesemua daunnya kering.

Daun kunyit yang mula menunjukkan tanda-tanda adalah tanda umbinya sudah sedia untuk dituai. Kalau dibiarkan kekeringan terus, umbinya akan mulai lembik dan mula menjadi dorman sehinggalah ia sedia untuk mengeluarkan daun baharu. Apabila daun baharu keluar, umbi yang ada masih muda iaitu berwarna kuning pucat dan sangat kecil.


Setelah digali kesemua kunyit dalam pasu in, saya dapat menuai hampir 800 gram kunyit segar. Sedikit saya telah ambil dan ditumbuk halus untuk menggoreng ikan dan sebahagian kecil lagi digunakan sebagai bahan masakan Pucuk Ubi Kayu Masak Lemak Cili Padi. Macam tak luak langsung kunyit yang. 


Hajatnya ingin dibawa ke pejabat untuk diberi kepada sesiapa yang sudi. Tapi saya tidak ke pejabat semalam kerana menghadiri seminar sementara suami agak sibuk. Mungkin hujung minggu ini saya akan hiris kesemuanya dan dikeringkan untuk dijadikan serbuk kunyit. Buat sementara ini kesemuanya dianginkan di dapur agar kering. Jika kunyit segar disimpan dalam keadaan lembap, kunyit akan menjadi lembik dan busuk. 

Sumber  http://www.mindbodyinspired.net/the-many-benefits-of-curcumin-turmeric/

Pagi tadi saya mencuba buat pertama kali Jamu Kunyit Asam yang menggunakan kunyit segar sebagai ramuan. Rasanya sedap juga dan boleh dijadikan minuman kegemaran selepas ini. Jamu ini diamalkan oleh kaum wanita Indonesia terutamanya di Bali. Cuma mungkin perlu ambil dalam jumlah yang tidak keterlaluan agar tidak mendatangkan kesan sampingan pula.  Rupa-rupanya kunyit ini mempunyai pelbagai khasiat terutama kepada kesihatan kesuburan wanita, pengawalan berat badan dan juga awet muda. Lepas ini bolehlah jadikan kunyit segar sebagai ramuan dalam smoothie buah-buahan. 

Rabu, 12 Ogos 2015

Menuai Kacang Botor Buat Pertama Kali

Semalam hujan turun dengan lebatnya. Asalnya merancang nak ke pasar tani tapi dek kerana hujan maka suami sahaja ke pasar. Kelmarin suami saya ada tegur yang kacang botor sedap dimakan masa kecil sebab masih rangup dan manis. Kebetulan mak dan ayah ada datang ke rumah semalam sebab hari ini perlu ke lapangan terbang untuk jemput adik lelaki saya yang akan tiba dari Mesir pagi ini. Dia bercuti selama sebulan dan akan kembali semula selepas Aidiladha.

Sebelum mak datang saya dah kirim belikan dua ekor ikan patin untuk dibuat asam pedas tempoyak. Saya memang kurang berkenan beli ikan patin dari pasar raya sebab rasa lumpur masih terasa pada isi ikan. Kebetulan sudah agak lama tak makan ikan patin masak asam pedas tempoyak. Sampai di rumah kira-kira jam 6.30 petang hujan masih turun dengan lebat. Suami sajalah yang ke pasar mencari bahan-bahan mentah untuk dapur.

Sementara suami ke pasar, sempatlah saya berpayung meredah hujan ke belakang dapur mengorek kunyit, memetik daun kesum dan kacang botor serta memangkas batang kantan. Pokok kantan tak pernah berbunga walaupun ditanam dah hampir tiga tahun. Tak tahulah apa masalahnya. Jadi batang kantan sahajalah buat pengganti bunganya. Daun kesum memang elok dicantas untuk galakkan pertumbuhan pucuk baru. Kunyit pula dituai sebab rasa kunyit segar lebih sedap untuk dibuat rencah asam pedas tempoyak berbanding serbuk kunyit. Kacang botor pun dituai buat ulam.


Semua bahan ini sudah selamat lebur dalam asam pedas tempoyak ikan patin. Menu tambahan adalah sambal tempoyak untuk digandingkan dengan kacang botor serta potongan timun. Sedap betul kacang botor. Rasanya manis dan rangup. Habis kacang yang ada di pokok dituai dalam hujan lebat semalam. Yang tinggal sekarang bunganya sahaja. Esok lusa mungkin ada kacang baru akan keluar. Mewah ulam lah lepas ni.

Isnin, 21 Januari 2013

Serbuk Kunyit Buatan Sendiri


Dua tiga hari ini cuaca agak panas walaupun hujan pada lewat petang. Kunyit yang digali tempoh hari masih belum terusik. Saya fikir eloklah dibuat serbuk sebelum buruk mereput dalam peti. Saya bersihkan sedikit bahagian luarnya dan hiris nipis. Saya gunakan talam besi supaya dapat mempercepatkan proses pengeringan. Proses pengeringan bermula pada jam 9 pagi.


Inilah hasilnya pada jam 3 petang. Kering tapi belum cukup kering. Maksudnya kering pada zahirnya tapi seeloknya lebih garing. Hari sudah menunjukkan bibit hujan. Jadi perlu dialihkan dari jemuran. Seeloknya dijemur lagi. Tapi, hari ini saya perlu ke Kota Bharu lagi atas urusan kerja selama dua hari. Jadi, tiada masa untuk mengeringkannya lagi. Malas nak tunggu lagi sebab dah tak sabar nak kisar.


Inilah hasilnya. Saya kisar dengan sedikit beras. Warna kurang terang berbanding serbuk yang dihasillan secara komersil. Antara sebabnya adalah kunyit yang saya tuai tiada ibu kunyit yang benar-benar pekat warnanya. Saya juga rasa saya dah terlebih letak beras. Hasil kisaran juga agak kasar sebab pisau pengisar tumpul.

Malam tadi saya goreng ikan pelaling dengan serbuk kunyit ini. Harum baunya dan ada sedikit kelainan dari segi rasanya. Lebih sedap. Mungkin juga rasa sedap itu datang dari kepuasan diri. Saya agak jangka hayat serbuk kunyit tidak lama kerana tidak betul-betul kering. Lain kali saya akan keringkan lebih lama.
posted from Bloggeroid

Isnin, 14 Januari 2013

Apa dah jadi?! - Kunyit


Apa dah jadi?! Ini pokok kunyit saya yang dah kekeringan sejak dua minggu yang lalu. Tiada apa-apa yang perlu dirisaukan. Sekarang sudah tiba masa untuk menuai umbi kunyit tersebut. Sejak ia mati kekeringan, saya telah terputus bekalan daun kunyit sebagai bahan masakan. Menyampah betul bila terpaksa beli daun kunyit dipasar dengan harga 70 sen untuk tiga helai. Waktu itu, barulah terasa berbaloi tanam sendiri. Selama ini saya hanya ada sepasu sahaja pokok kunyit. Selepas ini saya akan pastikan saya ada sekurang-kurangnya tiga pasu pokok kunyit untuk pastikan bekalan umbi kunyit dan daun kunyit tidak terputus untuk bekalan dapur. Kenapa tiga pasu? Sekejap lagi saya akan jawab.


Selepas dituai dan dibersihkan, inilah hasil galian saya. Agak banyak saya kira. Cukuplah untuk bekalan masakan bagi tempoh dua bulan (atau mungkin lebih). Kunyit boleh dituai umbinya kira-kira dalam tempoh enam bulan. Kalau tuaian sebanyak ini cukup untuk tempoh dua bulan, maka sebab inilah saya akan tanam sepasu bagi jarak dua bulan setiap satu. Kenapa tidak ditanam tiga pasu serentak? Nanti pokoknya kekeringan serentak pula. Dengan cara ini, setiap dua bulan saya akan dapat tuai umbi baru dan ia akan berterusan. Insya Allah tidak terputus bekalan umbi kunyit dan daunnya. Kalau ada lebihan umbi kunyit, bolehlah dikeringkan dan kisar halus bersama sedikit beras untuk dijadikan serbuk kunyit. Jimat lagi belanja dapur. Agak-agak betul tak perkiraan saya. Belum cuba belum tahu kan?
Kemudian, saya tanam semula sedikit umbi kecil sedikit dari satu sudu teh. Kita lihat betapa banyak hasil yang dapat saya tuai dalam masa enam bulan nanti. Turut dituai hari semalam adalah dua batang serai. Semalam, Percik Ikan Pelaling menjadi menu makan tengahari kami sekeluarga.


posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...