adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label jagung. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jagung. Papar semua catatan

Jumaat, 15 Januari 2016

Plot No. 3 Semakin Meriah

Minggu ini masuklah sebulan umur anak-anak pokok jagung saya di plot no. 3. Tingginya sekarang mencecah sekaki dengan daun hijau yang berkilat tanda pokok yang sihat. Hujung minggu lepas baru dibaja dengan baja kopi. Nampak cepat membesar. Minggu depan baru saya baja sekali lagi. Plot no. 3 sekarang nampak sudah penuh dengan daun-daun jagung yang makin besar.


Bendi juga rupanya sudah berbunga. Terlepas pula saya. Sedar-sedar tengah hari sudah muncul putik buah sulungnya. Rasanya pagi tadi baru terkilas nampak kelopak kuning pucat bunganya. Beberapa hari ni saya tidak menjenguk kebun sejemput kerana hujan turun setiap petang walaupun panas terik sepanjang hari. Mungkin bunganya kembang bila saya tak menjenguk. Nampaknya akan ada beberapa bunga menyusul.


Kangkung dan ulam raja pula bersedia untuk dipetik lagi dalam sehari dua lagi. Muak pula makan kangkung dan ulam raja setiap minggu. Tengah hari tadi saya ada petik secekak ulam raja untuk diberi kepada seorang rakan sepejabat. Katanya ulam raja kegemaran suaminya. Tapi terlupa pula hendak bawa ke pejabat. Nampaknya rezeki di lain hari pula. Biasanya kangkung akan digoreng dengan belacan. Mungkin kali ini saya akan cuba celur sahaja untuk di cicah sambal budu atau belacan untuk kelainan.


Rabu, 6 Januari 2016

Khabar Dari Plot No. 3 Kebun Sejemput

Salam Tahun Baru 2016. Semoga tahun ini dipenuhi dengan perkara-perkara bermanfaat dan menjadi tahun yang produktif buat semua. Seperti biasa, azam yang setiap tahun ulang tayang adalah untuk turunkan berat badan. Hahahaha. Macam makin naik adalah. Yang penting pemakanan sihat perlu jadi keutamaan seisi keluarga.

Hampir sebulan tiada catatan baru dalam blog ini. Agak sibuk lewat hujung tahun lalu dengan anak pertama menginjak tahun satu. Kami juga cuti agak lama di kampung dengan pelbagai urusan. Macam saya dah maklumkan dulu, saya ada buka plot ketiga di kebun sejemput saya. 

Plot No. 3 - 21 Nov. 2015

Plot No. 3 - 7 Dis. 2015

Plot No. 3 - 28 Dis. 2015
Dalam plot itu sebelum ini ada kangkung, ulam raja dan juga bendi. Kangkung yang saya semai adalah dari beberapa paket benih kangkung yang saya sakan beli dan simpan. Buat masa sekarang memang tidak berhasrat nak membeli benih baru sebab nak menghabiskan benih lama. Kangkung sudah dua kali dituai. Kali pertama sudah selamat digoreng dengan belacan. Tuaian kali kedua diberi kepada cikgu taska Ahmad bersama-sama kacang botor dan cili padi pada hari terakhir Ahmad ke taska. Tahun ini Ahmad dah ke tadika. Tak termakan tuaian yang sedikit kali ini sebab kami pulang ke kampung. Tanaman mesti dituai untuk elakkan pembaziran. Kalau tak dituai nanti tua di pokok sahaja. Bila dikongsi dapat juga sama merasa. 

Anak kangkung selepas seminggu disemai - 16 Nov. 2015

Tuaian kali kedua kangkung selepas dua bulan disemai bersama tuaian kacang botor dan cili padi - 28 Dis. 2015

Kangkung sedia dituai lagi - 5 Jan. 2015

Terbaharu saya semai jagung manis dan usianya dalam minggu ini sudah menghampiri tiga minggu. Alhamdulillah, rasanya hampir semua benih jagung manis jenama Baba bercambah. Hujan yang masih turun setiap hari juga sangat membantu pertumbuhan anak-anak jagung. Pengalaman kali pertama menanam jagung sangat membantu kali ini. Insya-Allah, dalam  dua tiga bulan lagi dapatlah merasa jagung manis tanam sendiri.

Plot No. 3 - 27 Dis. 2015, selepas jagung manis disemai pada 19 Dis. 2015.


Plot No. 3 - 5 Jan 2016, selepas 18 hari jagung manis disemai.

Semaian jagung manis berumur hampir tiga minggu.

Bendi juga nampaknya tumbuh dengan baik. Asalnya saya semai tiga pokok pada November lalu. Sepokok dah habis mati dimakan siput. Sepokok lagi terbantut pula pertumbuhannya. Sepokok yang satu ini nampaknya dah mula keluarkan putik bunga walaupun agak perlahan pertumbuhannya pada peringkat awal. Selepas dibaja dua kali dengan kisaran perut ikan bilis, nampak lebih sihat dan segar. Tak lama lagi dapatlah merasa bendi pertama saya. Benihnya saya dapat dari kebun ayah saya. Ada lagi dua pokok yang saya baru semai tiga minggu lepas dalam pasu kecil tapi belum sempat pindahkan ke batas.

Anak bendi selepas 3 hari disemai - 21 Nov. 2015
Bendi hampir berusia tujuh minggu.

Putik-putik bunga bendi.


Pokok ulam raja tunggal yang berbunga dua minggu lepas juga dah mengeluarkan benih. Sengaja saya tak kutip untuk biarkan benihnya jatuh ke tanah dan biarkan tumbuh. Dah liar esok baru fikir macam mana nak buat.

Benih ulam raja.

Selasa, 22 September 2015

Tuaian Minggu Lepas

Tak ada apa yang menarik nak dikongsi minggu ini sebab terlalu sibuk yang teramat dengan kerja di pejabat. Tambahan pula minggu ni hanya dua hari sahaja bekerja. Rabu dan Jumaat cuti sempena sambutan Aidiladha pada Khamisnya. Hari ini Cuma nak kongsi gambar hasil tuaian minggu lepas sahaja.


Saya tuai tongkol jagung saya yang kedua beberapa hari lalu. Tongkol sedikit kecil tapi isinya hampir penuh. Tanda pendebungaan hampir berjaya tapi isinya sedikit pucat berbanding tuaian yang pertama. Saya tak dapat nak ceritakan bagaimana rasanya sebab sejurus selepas dituai, saya gril jagung tersebut. Saya persembahkan kat suami saya (chewah...persembahkan kunun). Sekali di pi makan semua sekali. Kita ni tengokla terkebil-kebil. Tak apalah. Saya makan yang pertama dulu pun tak tinggal kat dia pun.


Sabtu lepas pula saya teringin sangat nak makan ulam cicah budu. Jadi saya pun tuailah pucuk ubi kayu, pucuk selasih Thai dan cili padi Thai untuk buat ramuan cicah budu dan ulamnya sekali. Alang-alang petik daun selasih Thai tu dapatlah merimbunkannya nanti. Saya juga gali sikit kunyit yang ada dan ambil sebatang dua serai buat masak lemak cili padi labu sama ikan talang kering. Masak labu dari pasar saja sebab yang sendiri tanam belum berbuah lagi. Ikan selar kuning digoreng garing berbumbukan kunyit hidup. Memang naik selera lah makan tengah hari tu selari dengan kenaikan badan.


Bila dah banyak tuaian dapat makan ni makin teruja lagi nak menanam macam-macam.

Isnin, 7 September 2015

Jagung Manis Dah Dituai

Penantian saya untuk menuai jagung pertama akhirnya berakhir. Setelah mendapati jus yang keluar dari jagung kelihatan putih, saya pun tuai jagung tunggal saya. Rambutnya juga dah gelap sepenuhnya. Kelihatan beberapa ekor semut keluar masuk dari bahagian yang saya dah selak beberapa hari lalu.


Apabila dikupas sahaja kulitnya, terserlahlah biji-biji jagung yang gebu. Baunya manis. Walaupun rongak di sana sini, saya sudah cukup puas hati. Bilangan biji jagung yang menjadi lebih banyak dari bahagian yang rongak. Rongak terjadi disebabkan kurang pendebungan kerana hanya sepokok sahaja yang berbuah dan berbunga jantan. Itupun saya debungakan secara manual hampir setiap hari. Batasnya disiram setiap hari dan dibaja setiap minggu sejak putik jagung keluar.


Sekarang ada tiga putik jagung keluar tapi tempoh matangnya mungkin tak sama. Satu tongkol dari pokok yang sama manakala lagi dua tongol dari dua pokok yang berlainan. Sepokok lagi baru keluarkan bunga jantan dan mungkin putik jagungnya keluar lewat minggu ini sebab bunga jantannya masih hijau.


Saya hanya grilkan sahaja jagung saya yang setongkol itu tanpa sebarang perasa. Ini supaya saya dapat merasai rasa sebenarnya jagung segar. Hasilnya sangat memuaskan hati. Rasanya manis dan lemak. Tambah puas hati sebab ianya dating dari kebun sendiri. 


Siap digril, Ahmad minta makan bersama. Digigitnya sekali dua kemudian ibu habiskan sebab katanya tak mahu lagi. Tapi bila ibu habiskan marah ibu pula. Lain kali ibu tanam jagung lagi dengan lebih banyak


Khamis, 3 September 2015

Perkembangan Jagung - Minggu 11

Hujung minggu baru ini tak ada apa yang dilakukan di  kebun yang sejemput sebab kami semua pulang ke kampung mengambil kesempatan cuti hujung minggu yang lama. Hari Isnin baru-baru ini barulah dapat menjenguk kebun dan semuanya kelihatan baik dengan tanda-tanda ada hujan sehari dua sementara peninggalan kami. Nampaknya tongkol jagung tunggal yang ada sudah kelihatan semakin gelap rerambutnya. Semalam bila saya kopek sedikit kulitnya untuk tengok isinya, air yang keluar jernih. Mungkin sehari dua lagi bila rerambut dah bertukar gelap dan isinya mengeluarkan jus seumpama susu, jagung dah sesuai untuk dituai. Hati masih berdebar untuk lihat sama ada isi jagungnya elok tersusun atau rongak di sana sini.


Dalam pada itu, pokok jagung sama juga menunjukkan tanda akan mengeluarkan ketiak jagung yang kedua. Biasanya sepokok jagung akan keluar satu atau dua ketiak jagung. Nampaknya subur benar pokok yang satu ini sampai dapat mengeluarkan jagung sampai dua tongkol.


Satu lagi pokok jagung yang keluarkan bunga jantan minggu lepas juga dah keluarkan ketiak jagungnya. Dua lagi pokok jagung juga telah keluarkan bunga jantannya dalam hujung minggu lalu dan kelmarin. Mungkin minggu depan akan keluar lagi sekurang-kurangnya lagi dua tongkol jagung. Nampak gayanya jagung akan dituai setiap minggu. 


Teruja betul saya dengan hasil tanaman jagung saya buat pertama kalinya dapat merasa tuaian. Mungkin selepas ini akan cuba tanam lagi sampai puas hati. Semalam saya ada membaja plot jagung ini. Biasanya saya akan baja setiap dua minggu. Bila pokok-pokok dan mula keluarkan buah, saya akan kerapkan membaja seminggu sekali dan akan pastikan batas disiram dua kali sehari untuk elakkan pokok stress dalam cuaca panas. Ini juga untuk pastikan hasil tuaian berkualiti.


Agaknya macam mana saya nak masak tuaian jagung sulung saya ini ya?

Isnin, 24 Ogos 2015

Jagung Berbunga Jantan dan Berketiak - Minggu 10

Dua  minggu sebelum Ramadhan menjelma, saya telah menyemai 16 ulas biji jagung. Seminggu kemudian, kesemua tidak bercambah kerana dimakan semut belaka. Saya semai di ruang jemuran di belakang dapur. Biji benih dimakan semut memang dah dijangka sejak awal lagi sebab memang dah biasa berlaku jika saya menyemai di kawasan jemuran. Akhirnya saya yang rugi kerana masih berdegil untuk menyemai di situ.

Beberapa hari kemudian saya semai lagi sebanyak 32 biji di laman belakang rumah di atas batas yang telah digemburkan beberapa kali. Alhamdulillah, akhirnya 80% semaian menjadi. Dalam tempoh ia membesar ke hari ini, banyak juga yang telah tumpas. Kebanyakannya mati dek kerana cuaca panas tambahan pula ditinggalkan hampir dua minggu ketika kami pulang ke kampung. Sekarang yang ada cumalah 6 batang pokok jagung yang tak sama besar. Saya pun hairan dengan perbezaan saiznya.


Dua minggu lepas, pokok-pokok jagung ini memang tegak. Namun pada minggu lalu, hujan turun dengan lebat disertai angin yang kuat mengakibatkan pokok-pokok jagung ini senget hampir menyembah bumi. Saya tak berani nak tegakkan, takut mengganggu akarnya. Minggu lepas nampak sedikit tegak pokoknya.


Minggu lepas juga bunga jantan jagung dah keluar dari pokok yang paling sihat. Dalam penghujung minggunya pula, ketiak jagung dengan helaian rambutnya pun dah muncul. Hujung minggu ini pula, satu lagi bunga jagung jantan dah keluar dari pokok yang lain. Mungkin minggu ini akan keluar ketiak jagungnya pula. Teruja betul saya sekarang.


Oleh sebab bilangan pokok jagung saya sedikit, saya mula mencari maklumat untuk mendebungakan putik-putik jagung saya secara manual. Antara saranannya  adalah supaya bunga jagung jantan diambil sedikit dan digosok-gosok pada rerambut putik jagung sebaiknya setiap hari. Untuk mudahnya kerja saya, selepas digosok, saya terus ikatkan dengan lembut bunga jantan ke rerambut jagung dengan harapan semut-semut akan menyebarkan lagi debunganya. Pendebungaan manual dibuat untuk mengurangkan rongak-rongak isi pada tongkol jagungnya.


Inilah kali pertama saya menanam jagung sejauh ini. Ahad lepas juga saya ada membaja batas jagung dan menyiram seperti biasa. Bila jagung dan mula berbuah, aktiviti menyiram sebaiknya dibuat setiap hari dan sebolehnya saya tak mahu batasnya kering terus. Buat masa ini daun-daun serai yang dipangkas menjadi sungkupan batas.

Tak sabarnya tak tuai jagung walaupun yang menjadi satu tongkol sahaja

Isnin, 19 Ogos 2013

Jagung Manis dan Labu di Batas 5 x 5


Kawasan batas 5 ft x 5ft sekarang dah nampak agak semak memandangkan tanaman di atasnya semakin besar berbanding 3 minggu lalu. Bebawang bawang kecil dan bawang putih juga semakin berkembang. Tomato ceri dan tomato bulat yang berkongsi batas sudah meninggi. Di tengah-tengah batas ada sepokok kacang panjang namun tidak kelihatan kerana masih kecil.
Jagung manis di batas ini ada lima pokok. Namun begitu yang lagi dua pokok masih kecil. Mungkin ada masalah pertumbuhan kerana tingginya masih belum sampai sekaki sedangkan umurnya sama dengan tiga pokok yang lain. Labu fajar manis galak menjalar. Bunga jantan juga galak berkembang. Masih menunggu masa bunga betina keluar untuk didebungakan secara manual.
posted from Bloggeroid

Selasa, 23 Julai 2013

Labu dan Jagung Manis - 5 Minggu


Labu dan jagung manis ini sama usia kerana disemai pada hari yang sama. 6 pokok jagung manis ini seusia namun kadar pertumbuhannya berbeza. Tak pasti apa penyebabnya. Labu yang ditanam ini adalah dari jenis labu fajar manis. Pertumbuhan agak lambat pada awalnya namun sejak seminggu lalu semakin baik. Mungkin pokok sedang menyesuaikan diri dengan keadaan panas sejak dipindahkan ke batas ini. Alhamdulillah labu fajar manis ini sihat dan kuat namun sesekali kelihatan kehadiran kumbang menyantap daunnya. Saya tak ada masalah dengan kumbang, cuma kalau daun mengalami masalah kulat agak risau juga dibuatnya. Mungkin dalam dua atau tiga minggu muncullah bunga pertamanya. Nampaknya saya kena mula mengkaji kaedah mendebungakan bunganya nanti. Hari ini saya telah letakkan baja tinja ayam pada tanaman jagung dan labu saya. Semoga tanaman saya hidup subur.


posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...