adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label mulberi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mulberi. Papar semua catatan

Ahad, 17 Januari 2016

Dah Lama Tak Memetik Mulberi

Dah lama tak memetik mulberi. Dulu asalnya saya ada lima pasu pokok mulberi. Kerap juga berbuah dalam jumlah sedikit tapi pokoknya kecil sahaja sebab pasunya kecil. Kemudian saya semai sepokok dua untuk diberi kepada kawan. Dalam tempoh itu, ada beberapa pokok yang sama ada sebab akan berkulat atau pun kulit batang pokok dimamah siput.
Mulberi - 5 Jan. 2016

Mulberi - 5 Jan. 2016

Tinggallah hanya sepokok mulberi yang saya tanam di belakang rumah September tahun lalu. Sehingga kini sudah dua kali pokok ini berbuah dan semakin besar. Buahnya pun walaupun tak sampai secawan tapi lebih banyak daripada sebelum ini. Lepas ini saya berhajat untuk semai lagi sepokok dua apabila ranting tua sedikit. Lebih banyak pokok lebih meriah tuaian mulberi selepas ini. Insya Allah.

Mulberi - 15 Jan. 2016

Isnin, 19 Oktober 2015

Khabar Dari Mulberi Di Belakang Rumah

Kira-kira enam minggu lalu, saya telah pindahkan semaian mulberi saya ke laman belakang. Saya siram sehari sekali sahaja selepas dialihkan supaya akar tak terkejut. Baja pun tidak. Akhirnya selepas tiga minggu dialihkan baru saya perasan sudah ada beberapa helaian daun baru sudah tumbuh cantik. Mungkin dalam awal minggu kedua sudah mula berpucuk baru. Waktu itu saya belum berani letakkan baja tapi saya siram dua kali sehari beberapa hari dalam seminggu. Sungkupan pun sentiasa ditambah di sekeliling pangkalnya supaya rumpai susah naik dan tanah tidak cepat kering. Sungkupan juga tidak terlalu tebal supaya pangkal batangnya tidak terlalu lembap.

Mulberi pada 27 Sept. 2015

Mulberi pada 4 Okt. 2015

Seminggu kemudian, pokoknya juga dah sekali ganda tinggi dan tegak berbanding dari hari pertama dialihkan. Saya membuat keputusan untuk cantas pokoknya supaya tumbuh cabang baru. Mulanya berkira-kira juga sama ada nak cantas atau pegging pokoknya. Tapi bimbang pula kalau dibuang daun-daunnya nanti pokok stress pula. Jadi saya cantas sahaja dulu. Daunnya sihat dan ada yang bersaiz tapak tangan saya. Selepas dicantas, saya siram dan letakkan baja.

Mulberi pada 4 Okt. 2015 - selepas dicantas

Alhamdulillah, Sabtu lepas saya tengok beberapa pucuk baru dah banyak yang tumbuh bersama-sama putik buah yang banyak juga. Kali ini saya tak baja pokoknya, saya cuma siram dengan bancuhan baja roti sahaja. Baja roti saya peram dari minggu lepas selama seminggu. Menurut Mak Su saya, baja roti yang dia buat memang serasi dengan pokok-pokok di rumahnya. Harap-harapnya beri kesan yang baik kepada semua tanaman saya termasuk mulberi saya ini. 
  
Mulberi pada 17 Okt. 2015


Putik-putik mulberi pada 17 Okt. 2015
Pucuk-pucuk baru yang tumbuh ini akan saya lenturkan kelak bila semua buah-buah dah dituai nanti. Semoga lebih banyak mulberi datang dari pokok ini. Mungkin saya akan semai lagi sepokok dua mulberi di belakang rumah nanti.

Pucuk-pucuk baru mulberi yang cantik hijau berkilat

Selasa, 8 September 2015

Plot 2 - Tambahan Ahli Baru

Dua minggu lepas, semaian saya di Plot 2 masih kecil. Pada masa itu ada labu manis, selasih Thai dan cili. Ada dua pokok cili di mana satu daripadanya sedang berbunga. Pada minggu ini, pokok cili yang berbunga itu dahpun berbuah dan jelaslah pokoknya adalah cili padi Thai dek kerana cilinya yang panjang sedikit dari cili padi kampong. Warna hijaunya juga lebih gelap. Sehingga semalam saya masih belum tuai cilinya.


Pokok cili yang satu lagi masih terus membesar dan tingginya sekarang hamper satu kaki. Warna daunnya lebih gelap dari pokok cili padi Thai. Saya agak ini mungkin jenis pokok cili merah. Waktu saya pindahkan anak-anak pokok cili ini, saya tak pasti jenisnya kerana semua tumbuh sendiri dalam sebiji pasu yang saya buang macam-macam jenis cili yang dah reput dalam peti sejuk.


Kalau masih ingat lagi, saya ada bari tahu yang dalam plot ini ada dua pokok labu. Sebenarnya bila diamati, rupa-rupanya satu sahaja pokok labu dan ianya adalah yang panjang sekali. Daunnya besar, tepi daunnya tidak bergigi dan tumbesarannya lebih cepat. Pokok yang tumbuh di pangkal pokok cili merah saya rupanya timun. Saya yakin ianya timun kuning sebab saya memang kerap beli timun kuning yang dah tua. Daunnya lebih berkedut dan tidak rata di bahagian tepi. Ada bunga-bunga kecil warna kuning tumbuh bersama dan tumbesarannya agak lambat. 

Sebenarnya ada dua anak pokok timun tapi satu ditanam di plot jagung dan dah mati pun. Anak timun di Plot 2 ini pula elok pula tumbuh. Daunnya juga elok. Saya agak kesan ditanam bersama pokok selasih Thai yang buat kumbang tak lalu nak makan daunnya. Anak timun di plot jagung tu mati sebab daunnya habis gondol dimakan kumbang. Ini pelajaran berguna buat saya.


Petang ahad lalu, dengan kelapangan masa yang ada, saya pindahkan lagi tiga pokok anak cili yang masih belum pasti jenisnya, anak tomato dan juga anak mulberi. Kebetulan saya baru potong rumput, maka sisa rumput jadi sungkupan di pangkal anak-anak pokok. Biasanya lepas dipindahkan, saya akan siram sekali sehari sahaja untuk elakkan akar pokok tertekan. Jadi, untuk elakkan tanah cepat kering, saya letakkan sungkupan agak tebal. Lama kelamaan sungkupan akan menipis bila rumput kering. Sungkupan juga dapat elakkan rumpai tumbuh. Gambar di bawah ini kurang jelas pula sehingga tak nampak anak-anak pokok yang dah dipindahkan. Mungkin bila sungkupan dah kering nampak jelas sedikit dan saya akan kongsikan perkembangannya. 


Tomato ini saya semai bukan dari biji benih tapi dari potongan “sucker”. “Sucker” adalah bahagian yang tumbuh di celah daun dan perlu dibuang untuk pastikan makanan tumbuhan tertumpu kepada bunga untuk menjadi buah. Saya dah agak lama tak tanam tomato dari biji benih. Tanam tomato dari “sucker” sangat mudah. Potong dengan cermat dengan pisau yang tajam dan cucuk pada tanah. Jaga seperti biasa dengan siraman dan sesekali dibaja. Bila pokok sudah cukup kuat, boleh dipindahkan dengan kedalaman lebih seinci ke atas dari pangkal pokok untuk galakkan pertumbuhan akan baru. Pokok yang ditanam dengan cara ini lebih cepat berbuah. 


Anak pokok tomato saya ini sangat sihat dengan sistem akar yang sihat. Tengok saja jalinan akarnya yang berwarna putih. Sebenarnya anak pokok ini dah ada tanda nak berbunga. Sebab tu saya cepat-cepat pindahkan ke plot belakang untuk ruang lebih besar. Sepatutnya saya pindahkan lebih awal tapi tak ada masa.


Anak pokok mulberi pula saya tanam di belakang sedikit sebab di tanam di “spot” kekalnya. Asalnya saya semai untuk kawan. Tapi kawan saya mengandung dan tak larat nak berkebun buat masa sekarang. Jadi, bila dah melahirkan, saya akan semai yang lain. Semaian mulberi yang satu lagi dah selamat bagi kawan yang lain. Gambar yang ini juga kurang jelas anak pokoknya sebab dahannya ada sebatang sahaja dan nampaknya hampir “blend” dengan latar belakang dan sungkupan sisa rumput. Harap dapat membesar dengan baik mulberi saya ini.

Semalam lewat petang, anak-anak pokok yang dipindahkan kelmarin nampak sihat. Tidak ada tanda-tanda layu. Saya pindahkan waktu lewat petang supaya anak-anak pokok tak tertekan dengan cuaca panas. Kalau dipindahkan waktu pagi, nanti anak-anak pokok terpaksa hadapi cuaca panas terik waktu sedang menyesuaikan diri dengan plot baru.

Selasa, 12 Mei 2015

Mulberi Berbuah Tak Seberapa

Bulan lepas saya ada mengaplikasikan teknik melenturkan dahan-dahan mulberi yang dah dibuang daun untuk membolehkan lebih banyak dahan tumbuh. Dengan itu, buah akan dapat dihasilkan dengan lebih banyak bersama-sama dahan baru yang tumbuh. Setelah beberapa lama, memang banyak dahan baru yang tumbuh.

Hasil buah mulberi hari ini

Walau bagaimanapun, hanya beberapa dahan sahaja yang menghasilkan buah. Dahan baru yang tumbuh memang lebih banyak dari dahan yang dilenturkan berbanding dari dahan yang dicantas. Manakala dahan yang dibuang daun dan tidak dicantas atau tidak dilenturkan tidak menghasilkan langsung dahan baru. Jadi kesimpulan yang dapat dibuat di sini adalah dahan yang dibuang daun dan dilenturkan atau dicantas memang menghasilkan dahan baru. Cuma dahan yang baru tumbuh tidak semestinya menghasilkan buah.

Mulberi dari dahan yang lain sedang meranum

Pokok-pokok mulberi saya semuanya ditanam di dalam pasu. Sudah lebih setahun saya tanam mulberi berkenaan. Ada empat pasu kesemuanya. Pasu kelima telah saya hadiahkan kepada ayah saya. Pokoknya sudah lebih tinggi dari saya dan batang pangkalnya lebih hampir sama saiz dengan betis anak saya. Dahannya banyak dan berbuah besar. Ayah saya tanam di dalam pasu yang diletakkan di atas tanah. Saya yakin akarnya sudah sampai menembusi tanah sebab itu pokoknya besar. Tapi saya tidak ada pula gambarnya.

Saya rasa pokok mulberi saya mungkin tidak menghasilkan buah yang banyak kerana akarnya sudah penuh memenuhi ruang pasu. Mungkin saya patut memindahkan pokok mulberi saya ke ruang yang lebih besar. Saya sebolehnya nak pindahkan ke laman belakang rumah kerana ruangnya sangat luas. Namun tanahnya sangat tidak subur kerana setiap tanaman yang saya tanam di kawasan tersebut agak susah untuk hidup. Lalang di kawasan belakang juga tumbuh tidak melata menunjukkan ada kawasan memang kurang subur. 

Tapi sejak akhir-akhir ini saya ada perhatikan ada satu bahagian laman belakang yang agak subur dengan lalang dan rumpai. Di bahagian itu ada saya tanam serai dan ubi kayu. Serai dan ubi kayu di bahagian ini lebih besar sedikit berbanding bahagian laman belakang yang lain. Mungkin saya akan alihkan salah satu mulberi saya ke kawasan itu. Nanti saya akan kongsi apa yang ada di laman belakang sekarang dalam catatan yang akan datang.

Jumaat, 10 April 2015

Bila Dahan Mulberi Dilenturkan

Sejak kali terakhir mulberi saya berbuah dengan lebat, tiada lagi putik buah yang muncul walaupun telah hampir togel pokok dipangkas berulang kali. Dahan tumbuh bersilih ganti dengan daun yang lebat umpama pokok sudah naik mabuk daun. Baja juga sudah diletakkan namun masih belum berputik. Setelah dikaji, saya cuba-cuba cara yang saya jumpa di Internet berdasarkan pengalaman orang.




Tiga minggu lalu, saya pun mula membuang daun-daun mulberi pada salah satu pokok yang mempunyai dahan yang sudah agak meninggi. Setelah dibuang daun, saya melenturkan dahan itu dan ikat hujung dahan dengan menggunakan dawai lembut ke pangkal pokok. Dua minggu kemudian saya letakkan baja dan siram setiap hari. Pokok diletakkan di kawasan yang terkena cahaya matahari penuh sepanjang hari.




Awal minggu ini sudah kelihatan putik daun mulai keluar. Akhirnya semalam jelaslah memang ada beberapa putik buah turut kelihatan. Dari beberapa mata tunas yang berpotensi, hanya ada tiga mata tunas yang mengeluarkan dahan. Nampaknya dengan cara ini pokok tak perlu dicantas untuk mendapatkan dahan baru. Apa yang perlu dibuat hanyalah buang daunnya dan lenturkan dahannya. Dalam percubaan akan datang, saya akan cuba buang daunnya sahaja tanpa melenturkan dahan. Jika berjaya, maka salah satu faktor pengeluaran dahan baru adalah mungkin disebabkan daunnya dibuang.




Sekarang ini tumpuan saya adalah untuk memastikan pokok disiram setiap hari dan dibaja pada setiap dua minggu. Minggu ini nampaknya pokok perlu dibaja untuk memberi makanan tambahan kepada pokok dalam menghasilkan buah yang baik. Petang semalam juga saya mengambil kesempatan membuat kaedah yang sama pada pokok-pokok mulberi saya yang lain. Harapnya dapatlah hasil buah mulberi yang lebih kali ini dengan usaha saya ini.
posted from Bloggeroid

Isnin, 26 Januari 2015

Mulberi, Penutup 2014

Bulan Januari 2015 dah hampir tiba ke penghujung. Baru hari ni ada perasaan nak menulis itu pun sebab nak catatkan fasal mulberi yang berbuah lebat bulan lepas. Tapi buahnya tu tak sempat dipetik bila ranum sebab si Alif akan petik buah yang merah setiap hari sebelum ke taska. Sudahnya sepanjang Januari ni pokok-pokok mulberi hanya berbuah seulas dua sahaja. Saya kerap juga cantas pucuknya untuk dibuat sayur. Tak ada pula putik buah yang muncul bila pucuk baru tumbuh. Garu kepala saya di buatnya. Malas betul nak membaja sejak masuk tahun baharu ni. Sejak akhir-akhir ini hujan jarang pula turun, disebabkan “kerajinan” menyiram pokok-pokok sekali sahaja sehari, pokok pun hidup seadanya ajalah. Bilalah nak rajin agaknya...

 



Ahad, 23 November 2014

Mulberi Berbuah Lebat

Dua minggu lalu saya mengemas laman saya sambil memangkas pokok-pokok mulberi saya. Ada lima pasu kesemuanya. Setelah dipangkas, banyak dahan-dahan baru keluar dan kebanyakkannya mengeluarkan putik. Mingu ini ada juga dua tiga biji yang dah kehitaman. Ini kali pertama pokok-pokok mulberi saya berbuah dengan banyak.



Saya belum jumpa cara untuk gemukkan buah mulberi saya. Ada orang kata letakkan baja sewaktu pokok berbuah. Namun saya tidak berkesempatan minggu lalu. Minggu ini ada kesempatan nak membaja. Harapnya pokok yang baru berputik ini dapat menghasilkan buah yang besar.



Pokok yang ini ada bena putih pula. Memandangkan pokok dan buah kelihatan sihat sejahtera, malas pula saya nak buang benda putih tu.



Pokok ini pula pasunya terletak sebelah dengan pasu bunga telang saya. Kontras warna merah buah mulberi dan warna ungu bunga telang menarik pandangan mata.


posted from Bloggeroid

Khamis, 10 Oktober 2013

Buah Mulberi Mulai Meranum - Minggu 7



Minggu ini masuk minggu ketujuh umur pokok mulberi saya sejak disemai. Sekarang cuma tinggal lapan anak pokok sahaja. Tiga anak pokok lagi telah mati kekeringan di peringkat awal semaian kerana kekeringan. Alhamdulillah perkembangan anak-anak pokok yang tinggal agak baik. Cuma keadaan di dalam pasu agak sesak sedikit. Sebanarnya saya berhasart untuk memberikan lima dari anak pokok ini kepada rakan-rakan sepejabat. Namun dek kerana kekangan masa, saya masih belum berpeluang untuk mengalihkan anak-anak pokok ini. Bimbang pula anak pokok mati setelah dialihkan. Tambahan pula hujung minggu ini kami sekeluarga akan pulang ke kampung. Mungkin minggu depan akan diusahakan juga kerja mengalih anak pokok ini.


Sungguh mudah menjaga pokok mulberi ini. Hanya perlu disiram sekali sehari sejak disemai. Pokoknya memerlukan cahaya matarahi penuh sepanjang hari dan tahan cuaca panas. Setelah dialihkan pokok-pokok mulberi pasti pertumbuhannya menjadi lebih galak kerana kurang persaingan ruang untuk akar terus tumbuh. Lepas itu bolehlah kerap dipangkas agar rimbun dan menggalakkan pokok untuk menghasilkan lebih banyak buah.


Sudah agak lama anak pokok mulberi saya berputik buah. Dalam minggu ini kelihatan putik-putik buah sudah kelihatan mula berubah kemerahan. Saya sabarkan diri supaya tidak segera petik sehinggalah buahnya berubah warna hitam. Mujurlah putik-putik buahnya tidak dibaham semut-semut hitam. Setakat ini ada empat biji buah yang sedang ranum.

Khamis, 12 September 2013

Mulberi Berdaun Dan ….. ?! – Minggu 3


Selepas mula bertunas minggu lalu, saya agak jarang beri perhatian kepada tanaman saya. Ini kerana hujan yang turun pada setiap petang menghalang saya menjenguk tanaman. Kebetulan hujan turun agak awal kelmarin dan tibanya saya di rumah, hujan telahpun reda. Di kesempatan itu, sempat saya membelek semaian mulberi saya. Apabila dibelek-belek, kelihatan ada benda berbulu yang turut keluar bersama tunas daunnya. Rupa-rupanya ada di antara semaian mulberi saya telah turut mengeluarkan putik buahnya. Setakat ini, sudah tiga putik buah mulberi kelihatan. Teruja saya melihatnya. Tidak sabar rasanya untuk merasa tuaian mulberi pertama saya. Harapnya buah mulberi saya tidak dikerjakan oleh semut-semut yang riang gembira berkeliaran di bibir pasu.


Rabu, 4 September 2013

Mulberi Bertunas – Minggu 2

Sebelas keratan mulberi yang saya semai minggu lepas telah mula bertunas sejaka beberapa hari yanglalu setelah menunggu dengan penuh debaran. Saya beli keratan mulberi ini sebanyak dua set dari Encik Iskandar. Sangka saya dua set itu dua keratan sahaja. Rupanya setiap set ada lima keratan. Jadi saya ada sepuluh keratan dengan tambahan satu keratan kecil percuma dari dari Encik Iskandar.

Ini kali kedua saya beli keratan semaian mulberi dari Encik Iskandar. Kali pertama semaiannya tidak menjadi kerana disemai ditempat teduh dan dibiar tiga hari selepas disiram kerana pulang ke kampung. Setelah dibuat sedikit kajian, rupa-rupanya semaian mulberi melalui keratan perlu didedahkan dengan cahaya matahari penuh barulah bertunas. Setelah dimaklumkan oleh Encik Iskandar bahawa pembelian saya telah diposkan pada hari Selasa 20 Ogos, saya tertunggu-tunggu kiriman sampai ke tangan saya keesokan harinya. Hari berganti hari, kiriman belum tiba sedangkan rekod penghantaran telah diterima. Saya bimbang keratan mulberi rosak dalam kiriman. Akhirnya saya terima kiriman itu pada 28 Ogos. Kelewatan penerimaan di pihak saya adalah kerana banyak tempat persinggah dari pusat mel ibu pejabat ini hinggalah ke ‘pigeon box’ peribadi saya.

Subuh 29 Ogos esoknya, saya pun mengalihkan dua pasu yang penuh dengan medium kompos ke halaman depan. Kawasan ini terima sinaran matahari pada kebanyakan masa dalam sehari. Saya cucuk semua keratan ke dalam dua pasu ini dengan penuh tawakal. Disiram secukupnya dan ditinggalkan. Setiap hari saya berdoa agar semaian kali ini tidak rosak dan menjadi.

Alhamdulillah kelmarin tunas-tunas mula keluar dari sebahagian besar keratan yang disemai. Apabila semaian sudah mula kukuh, saya akan alihkan setiap semaian ke pasu lebih besar. Sayang kalau nak dibuang. Mungkin ada juga saya akan alihkan ke pasu kecil dan semai di rumah ayah di kampung. Tak sabar rasanya nak menunggu masa pokok mulberi saya berbuah sulung. Saya belum pernah merasa buah mulberi.


ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...