adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label kesum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kesum. Papar semua catatan

Rabu, 12 Ogos 2015

Menuai Kacang Botor Buat Pertama Kali

Semalam hujan turun dengan lebatnya. Asalnya merancang nak ke pasar tani tapi dek kerana hujan maka suami sahaja ke pasar. Kelmarin suami saya ada tegur yang kacang botor sedap dimakan masa kecil sebab masih rangup dan manis. Kebetulan mak dan ayah ada datang ke rumah semalam sebab hari ini perlu ke lapangan terbang untuk jemput adik lelaki saya yang akan tiba dari Mesir pagi ini. Dia bercuti selama sebulan dan akan kembali semula selepas Aidiladha.

Sebelum mak datang saya dah kirim belikan dua ekor ikan patin untuk dibuat asam pedas tempoyak. Saya memang kurang berkenan beli ikan patin dari pasar raya sebab rasa lumpur masih terasa pada isi ikan. Kebetulan sudah agak lama tak makan ikan patin masak asam pedas tempoyak. Sampai di rumah kira-kira jam 6.30 petang hujan masih turun dengan lebat. Suami sajalah yang ke pasar mencari bahan-bahan mentah untuk dapur.

Sementara suami ke pasar, sempatlah saya berpayung meredah hujan ke belakang dapur mengorek kunyit, memetik daun kesum dan kacang botor serta memangkas batang kantan. Pokok kantan tak pernah berbunga walaupun ditanam dah hampir tiga tahun. Tak tahulah apa masalahnya. Jadi batang kantan sahajalah buat pengganti bunganya. Daun kesum memang elok dicantas untuk galakkan pertumbuhan pucuk baru. Kunyit pula dituai sebab rasa kunyit segar lebih sedap untuk dibuat rencah asam pedas tempoyak berbanding serbuk kunyit. Kacang botor pun dituai buat ulam.


Semua bahan ini sudah selamat lebur dalam asam pedas tempoyak ikan patin. Menu tambahan adalah sambal tempoyak untuk digandingkan dengan kacang botor serta potongan timun. Sedap betul kacang botor. Rasanya manis dan rangup. Habis kacang yang ada di pokok dituai dalam hujan lebat semalam. Yang tinggal sekarang bunganya sahaja. Esok lusa mungkin ada kacang baru akan keluar. Mewah ulam lah lepas ni.

Rabu, 22 Julai 2015

Tanam Kesum Dalam Self Watering Container

Saya dah banyak kali mencuba menyemai daun kesum. Pernah juga saya tanam setangkai dua sejurus sampai dari pasar supaya benih yang ditanam segar dapat hidup. Namun mati akhirnya walaupun disiram selalu. Pernah juga saya cuba petua rendam dulu batang kesum dengan air gula untuk dapatkan akar yang kukuh. Memang menjadi tapi mati  kering bila dipindahkan ke dalam pasu. Ada juga menjadi ditanam tapi daunnya kecil dan kuning memanjangkan. Akhirnya mati mungkin kerana penuh semut berumah tangga dalam tanahnya. Saya juga pernah menanam kesum dalam pasu tak berlubang dengan harapan hidup suburlah kesum dalam air bertakung. Tapi hampa. Mati jua kesum saya.

Entah macam mana “terajin” pula satu hari nak potong bekas minyak masak untuk dijadikan self watering container. Asalnya dibuat untuk menanam bayam. Tapi mungkin kerana benih bayam sudah lama dan tidak lagi bernas. Saya cocok sebatang daun kesum lebihan belian dari pasar. Yang ada dua tiga urat daun kecil. Seminggu kemudian tumbuh lagi seurat dua daun. Saya pangkas dan cucuk di ruang yang kosong dalam bekas yang sama. Belum sampai seminggu dan bertunas. Saya pangkas lagi yang asal dan cocok di ruang yang kosong. Saya letakkan baja sedikit dalam setengah sudu teh baja kopi. Masa ini air tak bertakung tapi bahagian bawah bekas ada lebih sedikit dari separuh airnya. Saya kemudiannya pulang ke kampung sempena hari raya sejak 11 Julai.

Sekembalinya dari kampung iaitu selepas 10 hari meninggalkan rumah, saya lihat pokok-pokok di rumah agak layu. Saya kira ada hari-hari yang hujan turun dalam tempoh ini sebab pokok-pokok tidak mati terus. Saya tiba di rumah betul-betul waktu azan Zuhur berkumandang dari surau berhampiran rumah. Lewat petang baru saya siram pokok-pokok di laman dan saya perasan kelainan dalam bekas saya tanam pokok kesum saya.


Selepas kira-kira tiga minggu menyemai, inilah hasilnya. Mungkin tak seberapa pada orang yang dah jauh berpengalaman menanam kesum. Pada saya yang asyik gagal sahaja, inilah hari paling gembira saya. Daun kesum saya besar dan sihat. Kalau nak tuai pun tak risau mati sebab lebat sungguh walaupun hanya tiga batang sebesar 2 inci sahaja disemai. Saya kira warna-warna hitam pada daunnya itu menunjukkan daun kesum saya sihat.


Bila diangkat bekas tanahnya, saya lihat airnya sudah mengering tapi sedikit lembap. Jika hujan tidak turun dalam sehari dua ini dan saya belum pulang, pasti mati kering pokok kesum saya. Akarnya juga sihat apabila melihatkan akarnya putih dan bersih berselirat. 


Sepanjang petang tak puas membelek pokok kesum saya. Lepas ni boleh cuba lagi dengan herba atau sayur berdaun lain. Saya ada melihat ramai dan cuba menanam dengan self watering container dan hasilnya menakjubkan. Saya suka berkebun dan masa menyiram memang menjadi masalah besar kepada saya. Walaupun tanaman di rumah tak banyak, sedikit sebanyak memang terasa banyak jimatnya. Contohnya segenggam daun kunyit atau kesum dah hampir seringgit sedangkan nak guna seurat dua sahaja. Yang lain terpaksa dibazirkan. Kalau menanam sendiri banyak untungnya. Paling utama sentiasa ada dan segar selalu.


Jumaat, 28 Disember 2012

Kesum - Antara Dua Darjat


Nampak tak apa yang saya cuba tunjuk ni? Ini bukan semak samun walaupun belakang tu memang agak semak sikit. Ini adalah sepasu besar daun kesum yang ayah saya tanam. Subur betul pokoknya. Batang dan daunnya besar-besar. Ayah saya biasa baja tanamannya dengan baja organik berbentuk bintil-bintil kecil berwarna hitam. Ayah saya gelarkannya baja biji kopi. Baja jenis ini biasa dijual di nurseri. Tetapi saya tak pernah membelinya. Habis saja stok baja di rumah nanti, saya akan dapatkan satu pek.
Pokok daun kesum ni memerlukan kawasan yang lembab dan teduh untuk tumbuh subur. Ayah saya letakkan pasunya di bawah teduhan dan rajin juga disiram. Tetapi sekarang kurang menyiram sebab musim hujan. Kalau diletakkan dikawasan panas, pokoknya kurang subur menghasilkan daun yang kecil dan lecur lantas mati.

Kalau dibandingkan pokok daun kesum ini dengan yang saya baru tanam minggu lepas, ibarat enggang dengan pipit. Betul-betul jauh panggang dari api. Umpama antara dua darjat. Dulu, pokok kesum yang saya tanam pernah agak subur tapi tak sesubur pokok kesum ayah saya. Gara-gara balik kampung agak lama, pokok itu mati kekeringan. Pokok kesum juga perlu rajin dibaja. Saya biasanya buang serdak teh ke dalam pasu pokok kesum untuk bantu kekalkan kelembapan tanahnya. Kali ni saya nak tanam beberapa pasu lagi. Untuk dibuat stok supaya senang nak masak asam pedas dan laksa atau rencah nasi kerabu!


posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...