Berkongsi warna-warna bunga yang berkembang di laman rumah pada suatu pagi hujung minggu. Asyik-asyik bunga sama. Bilalah agaknya punya rezeki masa dan ruang nak mencari atau menyemai bunga yang baru.
Memaparkan catatan dengan label telang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label telang. Papar semua catatan
Ahad, 18 Oktober 2015
Isnin, 17 Ogos 2015
Teh Bunga Telang - Blue Chai
Sebenarnya saya bercadang hendak memotong baki rumput di lama belakang. Laman depan dah selamat dipotong. Separuh laman belakang juga dah selamat dipotong. Tapi dek kerana gunting rumput dah semakin tumpul walaupun dah berkali-kali diasah, kerja memotong rumput jadi makin menjerihkan. Dalam meninggi rumput terselit serumpun dua pokok daun semalu yang dah berbatang keras. Batang keras itulah yang buat pemotong rumput saya makin tumpul. Sudahnya terpaksa minta pekerja Bangladesh potongkan. Biasanya kerja memotong rumput keseluruhan laman belakang termasuk laman depan dapat diselesaikan dengan bayaran RM15 manakala keseluruhan laman belakang diselesaikan dengan bayaran RM10. Oleh sebab saya dah tak larat nak melayan gunting rumput maka kerja separuh jalan saya diselesaikan dengan kos RM10. Nak buek camno, kalu tidak, somak la rumah den. Kang rumput sama tinggi dengan pokok serai pulak.
Alang-alang dah kurang kerja, maka adalah sedikit masa nak mencantas pokok bunga telang yang dah serabut. Pokok bunga telang ini saya memang semai di pangkal pokok bunga kantan supaya ada tempat sulur kacang telah berpaut. Bunganya memang lebat tapi tak pernah sekali saya kutip bunganya. Bila dah habis cantas semua barulah kemas sikit rimbunya. Yang bagusnya bila dicantas adalah, lebih banyak bunga akan keluar.
Inilah yang dapat dari cantasan. Banyak bunganya yang kalau tak dikutip membazir pula rasanya. Saya ambil keputusan untuk kutip semua bunganya. Bunga telang hanya kembang sehari sahaja. Jadi bunganya elok dikutip setiap hari kalau inginkan jumlah bunga yang banyak terutamanya jika berhajat untuk buat ramuan pewarna nasi kerabu.
Bunga yang saya kutip Sabtu lepas saya jemur seharian kemudian sambung keringkan di dalam rumah sebab hari mula mendung tengah hari itu. Kami pula hendak keluar menghadiri jemputan beberapa majlis rumah terbuka di hari Syawal yang terakhir.
Pagi Ahad esoknya, bunga telang telah kering sepenuhnya. Dapatlah saya menghirup teh biru buat pertama kali. Saya rendam lima kuntum bunganya dalam air panas sehingga air sedikit suam. Tanpa tambahan apa-apa saya rasa tehnya tidak mempunyai rasa yang ketara. Mungkin kalau direndam dengan air renehan pandan, serai atau kulit kayu manis dapat menambahkan rasanya. Kalau ditambah perahan lemon atau madu juga pasti sedap. Mungkin akan datang saya akan cuba mempelbagaikan rasanya atau mencuba masukkan bunganya sebagai ramuan salad.
Berdasarkan pembacaan saya, teh bunga telang baik untuk kesihatan rambut, mata, kesihatan sistem reproduktif wanita dan pelbagai lagi khasiat. Telang juga dikatakan dapat menghilangkan jerawat dan mampu membantu mengatasi masalah insomnia. Banyak bahan bacaan dapat Internet yang membincangkan khasiat telang cuma sejauh mana betulnya tidak dapat dipastikan.
Isnin, 1 April 2013
Eh! Terkejut Saya! – Telang 8 minggu
Sebelum bertolak ke tempat kerja pagi tadi, sempat saya
kerling sepasang telang saya yang berkongsi pasu. Sejak saya tambahkan peatgrow
dalam pasu tersebut minggu lalu, kelihatannya semakin galak telang berkembang. Minggu
lalu pokoknya telah bertaut walaupun tinggi belum mencapai sekaki. Apa yang
membuat saya terkejut adalah kerana kelihatan sekuntum bunganya telah layu. Sekuntum
lagi kelihatannya baru mula berkembang. Tinggi pokoknya juga sudah hampir mencapai
dua kaki. Setelah melihatnya mula bertaut minggu lalu, saya sudah berkira-kira
untuk membuat pancang untuknya tegak cantik merimbun. Kalau dipanggkas kerap
tentunya rimbunannya cantik bersama pancang. Nampaknya telang saya lebih ke
hadapan berbanding saya. Pagi ini telang telah mula bertaut pada dedaun harum
sundal malam. Mungkin juga kerana setiap hari hujan turun pada setiap lewat
petang. Nampaknya petang ini kena cepat-cepat dirikan pancang untuk telang
saya. Gembira hati tak terkata!
posted from Bloggeroid
Jumaat, 22 Februari 2013
Sepasang Telang... - Minggu 3
Lepas beberapa telang pertama tumbuh, muncul pula telang kedua. Walaupun tempoh semaiannya agak lama iaitu kira-kira dua minggu, pertumbuhannya agak cepat. Ini kerana dalam tempoh beberapa hari sahaja selepas tumbuh, beberapa pasang daun sebenar mula muncul. Saya perhatikan cambahan telang ini juga tahan lasak. Dalam pokok lain cepat layu tatkala hari panas, anak telang masih bertahan. Medium semaian yang saya kira kurang subur juga tidak memberi kesan kepada semaian ini. Anak telang ini terus berkembang. Saya akan pindahkannya ke pasu besar siap dengan sangkar untuk pokok-pokok telang ini terus membesar dengan sihat dan kuat. Saya bercadang untuk kerap cantas pokok telang ini agar merimbun cantik. Cantik untuk dipandang sebagai tanaman hiasan yang dapat mengeluarkan banyak bunga biru violet dengan dahan yang banyak. Hajat dihati hendak buat nasi kerabu. Kalau boleh hendak juga buat sebagai pewarna kek selain kuih tradisi dan sirap biru.
Published with Blogger-droid v2.0.10
Khamis, 14 Februari 2013
Tiada Jawapan Buatmu.. Telang - Minggu 2
Sudah agak lama tidak menulis apa-apa dalam blog kebun sejemput ini. Tidak ada apa-apa yang menarik berlaku dalam tempoh sepuluh hari ini (macamla ada yang menarik sebelum ini heheh). Saya sudah berhenti menyemai sebarang jenis sayuran buat masa ini memandangkan saya akan bersalin dalam tempoh dua bulan dari sekarang. Bimbang tidak dapat menuai bila tiba masanya. Apa yang saya lakukan sekarang cuma menyelenggara kebun sejemput dengan apa yang ada. Sejak ditinggalkan selama empat hari sepanjang hujung minggu lalu, kebun sejemput didapati kekeringan. Nampaknya bumi Putrajaya tidak dibasahi hujan salama tempoh itu. Selepas disiram oleh suami tersayang lewat petang Selasa lalu, barulah nampar segar sedikit. Hampir kesemua tanaman nampak kekuningan akibat kekeringan.
Ada penemuan menarik saya telah temui petang Selasa itu. Dalam sebuah pasu kecil yang saya telah semai benih telang kira-kira dua minggu lalu terdapat anak benih yang saya percaya adalah benih bunga telang. Ia tumbuh dengan elok dan hari ini telah mempunyai empat helai daun. Agak lama saya menunggu hingga saya sangka benih itu telah musnah akibat reput. Saya semai tiga biji benih. Namun kehadiran benih yang satu ini cukup mengujakan. Kalau ditanya bagaimana kaedah yang berjaya menanam benih telang, tentulah saya tiada jawapannya...
posted from Bloggeroid
Langgan:
Catatan (Atom)