adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label delima. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label delima. Papar semua catatan

Rabu, 24 Februari 2016

Delima Kembali Berbunga di Laman Baru

Awal bulan lalu saya dah pindahkan pokok delima saya ke belakang rumah. Dari hari dipindahkan sehingga hujung minggu lalu, hati saya berdebar-debar kerana bimbang kalau-kalau pokok delima saya mati. Daunnya semakin hari semakin berkurangan. Daunnya banyak yang kuning dan akhirnya gugur. Putik-putik bunga yang banyak waktu dipindahkan juga gugur kesemuanya. 


Kegusaran saya akhirnya bertemu pengakhiran bila saya ternampak sekuntum bunga telah kembang lewat petang Ahad lalu. Daun-daunnya juga kelihatan hijau dan berkilat. Nampaknya cuaca yang panas berdenting dengan hujan yang tak turun berhari-hari tidak menjejaskan pokok delima saya.


Alhamdulillah, ada lagi sekuntum dua kudup bunga juga sudah kelihatan. Harapnya ada buah yang melekat menjadi hasil tuaian. Dengan ruang yang lebih besar, pokok delima saya dapat membesar lebih baik. InsyaAllah.



Selasa, 2 Februari 2016

Alif Teman Ibu Alih Pokok Delima

Bulan Oktober tahun lalu, pokok delima saya akhirnya berbuah sulung. Pada waktu itu saya berhajat untuk alihkan pokok delima saya ke laman belakang. Dek kerana buah sulung itu, saya batalkan hajat saya dan biarkan buahnya terus membesar pada pokok yang tumbuh baik di dalam pasu. Dalam tempoh itu, banyak betul bunga delima yang keluar dan pokok juga semakin besar. Saya syak akar pokok sudah keluar menjalar masuk ke tanah di bawah simen.


Lama saya menunggu masa delima masak merekah. Namun sudah ditakdirkan bukan rezeki saya. Hampir dua bulan lepas buahnya yang agak besar semakin mengecut. Terfikir juga mungkin sudah terlewat untuk saya petik. Tetapi saya tunggu juga. Akhirnya suatu hari saya ternampak delima sudah berada di lantai tanah terkopak. Mungkin sudah menjadi habuan si tupai. Apa yang buat saya gembira adalah apabila melihat butiran delima merah menyala dari dalam kulitnya. Nampaknya buah sudah ranum masa dipetik tupai. Saya pula balik ke kampung halaman agak lama menghabiskan cuti tahunan. Mungkin masa itulah delima dipetik.

Setelah lama tertangguh, akhirnya Ahad lepas saya luangkan sedikit masa untuk alihkan pokok delima saya.


Besar betul. Semput nak mengangkat pasu dengan pokok meninggi tambah pula rantingnya berduri tajam. Walaupun ditanam di dalam pasu, pokoknya lebih tinggi dari anak saya Alif. Alif memang seronok kalau dapat keluar menemani saya di kebun sejemput.



Bunganya memang banyak dan putik-putik bunga baru juga banyak juga baru muncul. Harapnya bila dipindahkan ke laman belakang, dapatlah ia tumbuh dengan lebih besar dan menghasilkan buah yang lebih banyak. Laman depan juga nampak lapang sedikit bila pokok delima dialihkan.



Cuaca panas memang terik sejak akhir-akhir ini dan akan berlanjutan sehingga penghujung Mac. Kadang-kadang hujan turun selepas maghrib di Putrajaya. Cuaca yang panas memang sangat terik sehingga daun-daun pokok banyak yang melecur dek kepanasan tapi masih hidup kerana disiram setiap hari.



Tiap kali ke kebun Alif memang akan merayau-rayau dalam kebun tapi kalau tidak diawasi memang lebih jauh langkahnya sehingga tak terkejar. Selepas berlari-lari, Alif rehat sebentar dan sambung semula berlari. Ahad lepas, Alif memang sengaja minta ibu ambil gambarnya di kebun.



Jumaat, 30 Oktober 2015

Perkembangan Delima di Kebun Sejemput

Buah delima tunggal yang ada kukuh di pokok delima saya kelihatannya semakin bulat dan besar. InsyaAllah menjadi buahnya kali ini. Minggu ini saya rancang nak letakkan baja kopi pula setelah semua tanaman disiram dengan baja roti yang dah diperam pada minggu lepas. Minggu lepas juga saya ada peram baja roti sebanyak dua bekas. Kalau terlalu kerap disiram baja roti terasa rugi pula baja kopi yang masih banyak di dalam simpanan.



Minggu lepas juga, dua kuntum bunga delima sudah gugur. Nampaknya minggu ada lagi kuntuman bunga yang keluar. 

Jumaat, 23 Oktober 2015

My Fallen Heroes - Gugurnya Bunga Delima dan Matinya Pokok Tomato

Baru semalam gembira sebab salah satu bunga delima saya sudah mula menunjukkan tanda-tanda menjadi buah manakala tiga lagi masih kekal di pokok. Itu cerita pagi semalam. Lewat petang semalam saya lihat dua putik bunga dari tangkai yang sama dah gugur. Nampaknya tak ada rezeki lebih untuk saya kali ini. Mungkin pokok baru nak belajar berbuah. Dapat sebiji pun saya sudah bersyukur. Bila dibelek-belek, nampaknya ada kudup bunga baru akan keluar dari ranting yang sama. Belum habis-habis lagi berbunga pokok delima yang satu ni.


Buah tomato yang ada dua biji juga semakin merah. Tak tahulah bagaimana rasanya sebab pokoknya sudah mati sejak dua minggu lepas. Sejak itu, tomato tidak membesar lagi. Cuma warnanya sahaja berubah warna dari hijau ke merah dari hari ke hari. Pokoknya mati mungkin kerana terlebih siram setelah hampir kekeringan bila ditinggalkan masa Aidiladha lalu.


Hari ini saya dedikasikan untuk my fallen heroes.

Khamis, 22 Oktober 2015

Delima Hari Ini

Hari ini saya cuma nak kongsi rasa teruja dan tak percaya sebab setelah seminggu diperhatikan, saya rasa pokok delima saya akhirnya akan menghasilkan buah. Ini kerana selepas hampir seminggu kelopak bunganya gugur kesemuanya, putik buahnya masih kekal dibatangnya. Buahnya pun semakin membesar. Mungkinkah pokok delima saya akan menghasilkan buah pertamanya? Saya akan menunggu dengan sabar dan berdoa agar rezeki memihak kepada saya.


Sementara putik buah yang satu sedang membesar, ada lagi dua kuntum baru keguguran kelopak bunga dan satu lagi masih menunggu untuk gugur. Harapnya putik buahnya tak gugur sama.



Jumaat, 16 Oktober 2015

Dalam Delima Dek Kerana Delima

Pokok delima yang tumbuh dari biji di rumah saya akan mencapai umur dua tahun dalam tahun depan. Sejak ia berbunga buat kali ketiga bulan Ogos lalu, pokoknya tak habis-habis berbunga membuatkan saya dalam delima dan tertangguh untuk mengalihkannya ke laman belakang. Saya berharap pokoknya punya lebih ruang untuk membesar dan lebih selamat untuk anak-anak jika ia ditanam di belakang rumah. Jika masih terus di laman depan, bimbang ada yang menjadi masa tertusuk duri di batangnya. Pokok delima saya kini dah hampir setinggi saya walaupun ditanam di dalam pasu bersaiz lebih kurang sekaki.


Bunganya yang berwarna oren terang bersilih ganti tumbuh pada pokoknya tapi sebiji buah pun masih belum lekat. Katanya bunga delima perlu agen pendebungaan untuk berbuah. Saya ada juga lakukan pendebungaan manual dengan menggunakan berus tapi nampaknya belum berjaya. Barangkali tekniknya tidak betul. Setakat hari ini ada enam kuntum bunga delima sedang kembang mekar.



Kalau dialihkan ke laman belakang, ada banyak serangga yang terbang dek kerana kehadiran bunga-bunga rumpai yang pelbagai. Bunga-bunga rumpai yang tumbuh kalau diamati cantik sangat rupa kejadiannya. Halus sungguh perinciannya atas kejadian kekuasaan Allah yang manusia sering kali lupa untuk menghargai.





Jumaat, 21 Ogos 2015

Pokok Delima Berbunga .. Buat Kali Ke-3

Seperti mana yang telah saya khabarkan dahulu, saya ada sepohon pokok delima yang tumbuh dari sisa kompos saya. Pokok delima tunggal saya itu kini sudah berumur hampir setahun setengah. Muda setahun dari Alif. Pokoknya asalnya datang dari tin susu sekarang sudah membesar dalam pasu. Pokoknya sihat sekarang dengan daun yang cukup hijau. Sejak dicantas beberapa bulan lau, tidak dicantas lagi dan dibiarkan besar. Jarang sekali tidak bersiram dan dibaja setiap dua minggu.


Hajat di hati hendak memindahkan pokok delima tunggal saya ini ke laman belakang hujung minggu ini supaya ia dapat hidup lebih besar. Tanpa diduga, pokok delima saya sedang mengeluarkan putik bunganya buat kali ketiga sepanjang umurnya yang setahun jagung. Setakat ini ada kelihatan tiga putik bunga. Nampak gayanya akan ada lagi beberapa kudup akan muncul dari dahan yang lain. Gembiranya hati saya bukan kepalang.


Dalam hati ada juga rasa berdebar. Bimbang bunganya akan gugur lagi seperti mana sebelum ini. Harus kah saya buang beberapa kudup bunga supaya yang tinggal dapat hasilkan buah? Atau perlu kah saya mendebungakan bunga delima saya supaya buah dapat dibentuk? Tak sabar tunggu bunganya kembang. Saya suka sangat warna merah jingga terangnya dengan daun yang menghijau. Harap-harap dapatlah merasa buah delima dari kebun sendiri walaupun sebiji. 


Kalau menjadi buahnya, nampak gayanya niat nak memindahkan pokok delima ini ke laman belakang terpaksalah ditangguhkan sehingga buah ranum.

Khamis, 19 Mac 2015

Tentang Delima

Dalam catatan yang lepas, saya ada tunjukkan pokok delima yang saya tanam dalam tin susu. Setelah beberapa lama akhirnya saya pindahkan pokok delima saya ke pasu yang lebih besar sedikit. Nampak gayanya akar pokok di dalam tin susu sudah agak padat. Memang sudah patut dipindahkan ke pasu yang lebih besar. Setelah dipindahkan ke pasu besar, pokok delima ada berbunga sekali dengan dua bunga sekali gus. Walaupun tidak menghasilkan buah, nampaknya pokok sudah selesa dengan pasu barunya. Daunnya juga banyak yang tumbuh tapi bentuk pokoknya tidak berapa cantik. Walau bagaimanapun, sejak ditinggalkan beberapa hari tanpa bersiram kerana kami balik kampung seminggu, daunnya luruh dek cuaca yang panas.

Hari dipindahkan ke pasu baru pada November 2014

Awal bulan ini saya ada membaja pokok-pokok di dalam pasu. Cuaca pula elok dengan hujan setiap petang pada masa itu. Cuma sekarang sudah kurang hari hujan dalam seminggu. Cuma sesekali disiram bila berkesempatan. Pokok delima yang habis luruh daunnya dicantas ranting-rantingnya. Seminggu kemudian daun-daun hijau berputik kemerahan sudah memenuhi ranting pokok. Kalau kerap dicantas pasti merimbun pokok delima. Tapi kalau kerap dicantas pula hanya daun yang keluar, bunga belum tentu dapat dihasilkan. Mungkin cantas sesekali selepas berbunga baik untuk pokok terus berkembang. Harapnya pokok delima dapat berbunga lagi. Mungkin pokok masih muda untuk berbuah maklumkan ia tumbuh dai biji yang melata dalam pasu. Umurnya pun baru nak menjengah setahun.

Empat bulan kemudian selepas seminggu dicantas



Jumaat, 26 September 2014

Delima Dalam Tin Susu

Lima bulan lalu saya telah mendapati ada anak pokok delima tumbuh di celah-celah pokok bunga berpasu saya. Mungkin benihnya tumbuh dari sisa kompos saya. Saya alihkannya ke pasu yang saya buat dari tin susu anak saya yang telah ditebuk beberapa lubang pengairan di bawahnya. Sejak dari itu, taka banyak perhatian diberikan kepadanya. Sesekali ada juga saya jenguk keadaan. Saya siram setiap hari saya seperti mana pokok lain. Ada juga hari tidak disiram. Kadangkala saya alihkan kedudukan pasunya.



Hari ini satu kejutan yang telah diberikannya kepada saya. Ada dua kuntum bunga sedang berkembang. Mungkin baru belajar berbunga. Sayang pula jika gugur begitu saja. Harap-harap menjadi buah. Tak pasti pula dari mana asal buahnya. Adakah akan merah isinya? Nampaknya saya kenalah bagi perhatian kepada delima ini.



Suami saya agak gemar makan buah delima. Ini rezeki daripada Allah. Kalau dijaga dengan baik, dapatlah kami merasa delima merah manis berjus dari laman kami sendiri. Mungkin saya perlu dapatkan pasu lebih besar untuk pokok delima ini terus membesar bagai juara.

posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...