adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label travelog. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label travelog. Papar semua catatan

Khamis, 6 Julai 2017

Jagalchi Market, Busan

Hampir setahun dah saya ke Korea. Tapi cerita di Korea masih belum habis-habis sebab malas yang amat. Dalam tempoh setahun ni dah beberapa negara dijejaki atas rezeki yang Allah bagi disebabkan tuntutan kerja. Hari ni saya nak ceria sedikit tentang pasar makanan laut yang telah saya lawati di Busan iaitu Jagalchi Market.


Pasar Jagalchi, yang terletak di jalan pinggir bandar di Jung-gu, Busan, merupakan pasar makanan laut terbesar Korea, menjual ikan hidup dan kering. Kebanyakan orang yang menjual ikan adalah wanita, jadi penjual di sini dipanggil Jagalchi Ajumma, "ajumma" yang bermaksud wanita pertengahan umur atau wanita yang sudah berkahwin di Korea.



Terdapat pelbagai jenis ikan, ketam, kerang-kerangan, sotong dan udang dijual di sini. Landak laut juga ada dijual segar. Kesemua makanan laut ini dijual masih hidup dan dipamerkan kepada pembeli dalam akuarium kecil. Kalau sanggup, ikan mentah juga boleh dimakan terus di pasar ini.





Belakang pasar ini, kami boleh lihat kawasan pelabuhan Busan dan jambatan merah, Busan Gwangandaegyo Bridge.



Tak banyak yang saya boleh cerikan tentang pasar ini kerana kami berada di sini sekejap sahaja untuk melihat-lihat kawasan. Tapi memang terja melihat pelbagai jenis makanan laut segar terutama yang agak asing di negara kita.

Selasa, 9 Mei 2017

Cafe Dandelion Yang Rustic Chic

Berhabuk blog ni. Cerita di Korea Selatan pun belum habis. Berkoyan yang nak diceritakan. Tapi hari ini, my writing mojo is back. Saya malas nak cerita pasal hal kerja dalam blog ni. Lawatan ke Korea Selatan pun untuk latihan berkaitan kerja. Jadi saya cuma nak sambung cerita tempat menarik saya singgah sepanjang latihan sahaja. 

Dalam minggu kedua di sana, kami di bawa untuk lawatan teknikal ke beberapa empangan dan lawatan berakhir di Busan. Lawatan pertama kami adalah ke Empangan Chungju. Salah sebuah empangan terbesar di negara ini.

Perjalanan mengambil masa kira-kira 4 jam dari Daejeon. Chungju adalah sebuah kawasan pergunungan yang cantik, penuh dengan kehijauan. Menurut kawan saya, kawasan ini akan lebih cantik pada musim bunga dan akan berwarna keemasan pada musim luruh.

Kami sampai di Chungju kira-kira waktu tengah hari. Pihak urus setia latihan telah menempah meja untuk makan tengah hari di Café Dandelion (카페민들레). Macam biasa, kami bertiga yang muslim makan sup sayur-sayuran dan tauhu serta telur dadar. Sedap. Sampai sekarang tak boleh lupa rasa masakan Korea asli. 




Paling menarik di restoran ini adalah suasana dengan hiasan gaya rustic chic. Sangat insta worthy giteww. Sayang betul tak ambil gambar banyak-banyak. Tapi boleh je copy tulisan Korea tu dan search. Boleh juga search 1055 Jideung-ro, Dongnyang-myeon dalam google maps dan tekan butang imagery di bahagian bawah kanan. Cantik kan?





Restoran ini juga ada sebuah kebun sayur kecil di belakangnya. Sebahagian sayur-sayuran yang dihidangkan datang dari kebun ini. Konsep ini dikenali sebagai konsep farm to table.


Jauh di sudut hati saya, saya teringin untuk memiliki sebidang tanah kecil dengan pondok sederhana siap dengan kebun kecil. Pondok kecil lengkap dengan dapur terbuka untuk memasak hidangan hasil dari kebun. Pelanggan hanya makan hasil masakan tuaian dari kebun pondok kecil atau dari kebun-kecil sekitar. Menarik kan angan-angan saya? Percuma saja untuk bermimpi.

Khamis, 5 Januari 2017

Sipi-sipi dari K-Water Academy di Daejeon

Sambung semula cerita di Korea. Esoknya kami semua berbondong-bondanglah naik bas ke destinasi kami seterusnya iaitu K-Water Academy yang terletak di Daejeon. Daejeon ini merupakan salah satu wilayah pentadbiran utama bagi Republik Korea dan juga turut menempatkan pelbagai institusi pendidikan. Kalau di Malaysia tu bolehlah kita bayangkan macam Putrajaya yang digabungkan dengan Bangi. Akademi ini menjadi tempat tinggal kami selama lebih dari dua mingggu. Dalam tempoh itu juga akan ada pergerakan di wilayah-wilayah yang lain. Nanti saya akan kongsikan.



Di akademi ini, kami dapat seorang sbeilik walaupun dua katil bujang disediakan. Memang selesa siap dengan tv dan kemudahan wifi. Oleh kerana telah menjadi polisi kerajaan, maka semua bangunan akademi tiada kemudahan wifi kecuali di dalam bilik penginapan. 


Di sini juga ada menyediakan kemudahan mesin basuh baju, pantry dan gym. Setiap hari saya dan kawan saya akan ke gym untuk membuang masa dengan bersenam. Kawan-kawan dari negara ASEAN lain kebiasaannya akan keluar ke bandar untuk minum-minum atau membeli belah. Kami berdua memang tak ada minat nak membeli belah dan kalau nak keluar makan minum pun tak ada pilihan makanan musli di bandar ini. Ada juga sesekali penyelia bawa kami makan di luar tapi dengan bantuan dia dapatlah kami makan hidangan vegetarian.



Pihak akademi memang menyediakan makanan halal sepanjang di sini. Makanannya boleh tahan cuma kadangkala memang teringin nak makan kari atau sambal. Biasanya yang ada adalah salad, makanan jenis stir fry atau sup. Memang selepas tiga minggu agak kurus juga saya. Ada sekali tu bila tengok menu makan malam adalah mee goring. Adoi terujanya la saya walaupun tak minat sangat mee. Alih-alih bila sampai kafe ini yang nan hado. Sentap mak.

Selama di akademi memang nyaman dan tenang saja rasa. Pemandangan cantik. Di bahagian belakang akademi ada bukit yang catik tapi tak berpeluan dan panjat (atau malas lebih tepat). Sayang pula rasanya.


Nanti saya sambung pula cerita saya ke wilayah yang lain pula.

Rabu, 28 Disember 2016

Cerita Basi : Dua Hari Pertama - Tiga Minggu di Korea Selatan

Lama sangat dah tak menulis apa-apa dalam blog ni. Nak cerita hal-hal berkebun pun sekarang suam-suam kuku je sebab sibuk sangat. Bila dah tak sibuk macam hujung-hujung tahun sekarang barulah nak korek cerita lama. Jadi, walaupun cerita ni dah basi, saya masih nak kongsikan kenangan berkursus di Korea Selatan selama tiga minggu. Saya ke sana dari 17 Julai sehingga 6 Ogos 2016. Ngam-ngam seminggu lepas 1 Syawal. Balik pun ngam-ngam Syawal habis. Melepas nak beraya sakan.

Selama tiga minggu saya di sana, saya berpeluang ke pelbagai wilayah dalam negara tersebut tapi hanya untuk tujuan latihan sahaja. Perbelanjaan di sana ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Korea Selatan sebagai sumbangan kepada negara-negara sedang membangun. Saya dan seorang rakan mewakili Malaysia bersama-sama beberapa rakan dari negara-negara ASEAN menghadiri latihan tersebut.

Dua hari pertama kami di Korea, kami menetap di asrama Korea International Cooperation Agency (KOICA). KOICA merupakan agensi kerajaan yang memberikan latihan kepada pegawai-pegawai kerajaan pelbagai negara-negara sebagai sumbangan negara Korea Selatan kepada dunia. Korea Selatan telah bangkit dari sebuah negara yang sangat miskin pada era tahun 50an dan kini merupakan sebuah negara yang maju. KOICA ini terletak di Seongnam iaitu kira-kira 1 jam dari Seoul. 



Kami tiba di Incheon dan terus dibawa ke asrama ini. Biliknya selesa sangat. ada juga disediakan kemudahan dapur pantry dan juga mesin basuh dan pengering pakaian. Kiranya kalau dapat tawaran latihan di sini boleh bawa tiga empat pasang baju saja pun boleh hidup. Di sini juga ada bank, klinik dan kemudahan riadah. Nak keluar ke bandar pun sangat senang. Sesiapa yang menjalani latihan di sini mendapat layanan tetamu kepada Kerajaan Korea dan jika pas pelatih ditunjukkan kepada orang awam, mereka akan segera bantu kalau kita dalam kesusahan.







Di sini memang disediakan makanan halal dan kebetulan sewaktu ketibaan kami, memang ramai warga Asia Barat sedang menjalani latihan juga. Inilah sarapan dan makan tengah hari saya pada hari pertama di sini. Lepas tu dah malas nak ambil gambar makan sebab hampir sama sahaja menunya tapi sedap juga.



Lepas makan tengah hari, saya dan rakan saya ke bandar Seongnam. Saja jalan-jalan cuci mata. Yang dibeli cuma susu dan kudapan sahaja. Memang tak berniat nak membeli apa-apa lagi sebab lama lagi nak tinggal di negara K-Pop ni. Lagipun elaun belum dapat hahaha.




Syokla jalan-jalan kat bandar Seongnam ni. Sungai ini namanya Tancheon River. Kalau memang menetap kat sini memang hari-hari tak kisah jalan kaki menyusur sungai. Lagipun orang-orang di sini memang biasa berjalan kaki. Tapi saya di sini pada musim panas. Ya ampun panasnya haba. Angin memang tak bertiup. Best lagi  panas kat Malaysia ada angin tiup (eh?) hahahaha



Esoknya, kelas dah mula. Tapi masih belum belajar hal-hal teknikal. Di KOICA, kami cuma belajar sedikit berkenaan sejarah Korea Selatan, sistem politik dan budaya setempat. Seronok juga belajar benda baru. Saya bukan peminat drama Korea jadi kadang-kadang blur juga tapi yang ini memang menarik perhatian saya. Orang Korea memang kebiasaannya menangis setiap kali nak menunjukkan perasaan, baik sedih, gembira, marah atau bersyukur. Orang Korea juga sentiasa mengamalkan sikap kebersamaan contohnya: Mak saya akan disebut mak kita, keluarga saya jadi keluarga kita. Tapi akan jadi pelik bila : isteri saya jadinya isteri kami hehehehe.


Waktu ni masing-masing senyap je sebab belum mesra. Mungkin juga masing-masing masih berat mulut nak speaking hihihi. Oklah. Nanti bila rajin saya sambung cerita bila kami semua dah berpindah ke wilayah lain esoknya.




Jumaat, 4 Disember 2015

Ke Pulau Payar, Langkawi, Kedah

Dah lebih sebulan tiada catatan dalam blog tak seberapa ini. Terlalu sibuk dengan pejabat. Sekarang barulah lapang sedikit kerja di pejabat. Jadi untuk hilangkan habuk, saya belanja beberapa gambar perjalanan saya dari Jeti Kilim ke Pulau Payar dua minggu lalu. Saya ke sana atas urusan kerja. Kalau bercuti, belum tentu dapat pergi. Jangan tanya berapa kosnya sebab saya ke sana dengan bot jabatan. Kalau rajin, boleh tanya Encik Google atau boleh juga ke website Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) untuk lebih maklumat berkaitan Pulau Payar. 


Ini kali kedua saya di atas urusan kerja menyusur muara Sungai Kilim hingga ke Kilim Geopark tapi kail pertama terus ke Pulau Payar. Pemandangan indah sepanjang perjalanan memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata serta tidak setara apa yang digambarkan dengan gambar-gambar yang. Perjalanan kami dari Jeti Kilim ke Pulau Payar mengambil masa kira-kira sejam. Walau bagaimanapun, perjalanan akan mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja daripada Jeti Pelancongan Pekan Kuah. Ada juga Pegawai Taman Laut tunjukkan kami beberapa ekor ikan lumba-lumba yang melintas bot kami, tapi sayangnya saya dan kawan tidak dapat mengesan dek kerana bot terlalu laju.


  

Saya kagum melihat jajaran hutan bakau sepanjang pesisir Sungai Kilim. Cuaca yang elok dengan langit yang biru menambahkan keindahan landskap awan bak gula-gula kapas.




Sampai sahaja di Pulau Payar, tergamam saya melihat kejernihan air pantainya. Ikan-ikan nampak jelas berenang-renang di dasar air. Kalau tak kerana urusan kerja, pastinya saya dah terjun bersama kawan saya untuk bermain ikan. Kami pula hanya berdua bersama bos sahaja perempuan dalam kumpulan itu, tentulah malu nak berlebih-lebih.








Setelah hampir dua jam di sana, kami kembali semula ke Pulau Langkawi. Suatu hari nanti saya akan kembali semula bersama keluarga untuk menikmati keindahan alam di Pulau Payar.

Akhir sekali, terimalah gambar muara Sungai Chenang yang saya suka sangat. Terasa macam tengok gambar poskad (perasan pandai ambil gambar hehehe)



Khamis, 12 Mac 2015

Catatan Perjalanan Kembali Ke Malaysia

Akhirnya catatan perjalanan di Mesir dan Turki sampai ke penghujung. Pada hari terakhir kami di Mesir, tak banyak perkara dibuat sementara menunggu penerbangan ke Istanbul lewat petang itu. Mak dan ayah hanya berehat-rehat sahaja melepaskan lelah dan Cuma keluar sekali sahaja pada hari itu untuk makan tengah hari di KFC belakang rumah homestay. Setelah makan tengah hari, saya dibawa adik saya membeli jus segar di sebuah kedai jus. Orang Arab Mesir gemar minum jus segar dan kedainya agak besar. Semasa kami di sana saya dapati ada beberapa orang yang datang membeli jus dalam jumlah yang banyak. Ada pelbagai jenis jus yang dijual di kedai ini. Ada jus oren, pisang, mangga, tebu, delima dan pelbagai lagi. Kami hanya membeli jus tebu,mangga dan jambu batu. Kami juga beli potongan buah strawberi, pisang dan lain-lain yang berkuah jus mangga segar. Manis sangat buah-buahannya seolah-olah diletakkan gula sedangkan tidak.




Kemudian adik saya bawa pula ke sebuah kedai manisan yang menjual pelbagai manisan. Kami membeli kunafa dan sejenis lagi manisan yang berkacang. Kunafa adalah sejenis manisan daripada zaman Empayar Othmaniyah dan banyak didapati Turki. Ia adalah manisan berasaskan keju dan disira dengan air gula. Kedua-dua manisan ini manis macam Baklava. Kemanisannya diibaratkan adik saya boleh potong kaki sampai ke paha.



Setelah menaiki pesawat dari Cairo lewat petang itu, kami tiba di Istanbul kira-kira jam 12 malam. Kami menaiki airport shuttle selama 5 minit dan tiba di hotel pada jam 2 pagi untuk bermalam pada satu malam. Malam itu salji sungguh lebat sehinggakan pesawat berlegar-legar di ruang angkasa Istanbul kira-kira hampir 20 minit bagi membolehkan landasan dibersihkan untuk pendaratan.

Sementara menunggu penerbangan kembali ke Malaysia petang itu, kami bersiar-siar di kawasan sekitar hotel untuk bersarapan pagi merangkap makan tengah hari. Salji sangat tebal pagi itu dan masih lagi turun. Ketebalan salji adalah hampir setengah kaki dan menenggelamkan kaki. Mujurlah ada beberapa kedai yang telah dibuka awal dan dapatlah kami menjamu rice pilaf dan Turkish Grilled Chicken buat kali terakhir di Istanbul. Dengan kesempatan itu juga, kami menghabiskan baki Lira dengan membeli beberapa makanan tempatan di kedai bakeri berdekatan.





Setibanya di lapangan terbang, didapati banyak juga penerbangan ditunda sementara ada juga sebahagian kecil yang dibatalkan akibat salji terlalu lebat. Penerbangan kami ditunda selama 2 jam walaupun kami telah pun masuk ke dalam perut pesawat. Setelah landasan dibersihkan dan pesawat melalui proses anti icing, maka bermulalah perjalanan pulang kami selama 10 jam.

  

Alhamdulillah kami tiba di Malaysia jam 9.07 pagi.

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...