adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Memaparkan catatan dengan label timun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label timun. Papar semua catatan

Isnin, 14 September 2015

Perkembangan Plot No. 2

Hujung minggu baru-baru ni kami dok diam-diam dalam rumah je. Jerebu makin lama makin teruk sampai dalam rumah pun Nampak kelabu asap je. Walaupun jerebu, encik suami masih kena keluar rumah ke padang untuk bersukan sempena sukan jabatan. Saya pula memang tak betah nak duduk dalam rumah seharian. Jadi petang Sabtu kelmarin saya kemaskan ruang laman depan rumah. Pokok pandan yang besar tu dah dicabut. Saya semai dua anak pokok untuk ditanam di belakang rumah. Nanti saya tunjuk besar mana rumpun pandan tu. Nampak kemas dan terang sikit laman depan tu.

Petang Ahad pula saya jenguk sikit laman belakang rumah. Nampaknya anak-anak pokok yang disemai minggu lepas sihat sejahtera. Pucuk-pucuk baru elok nampaknya termasuk pokok mulberi. Kalau ada pucuk baru tu maksudnya akar yang di dalam tanah tu pun dah muncul yang baru. Oleh itu, saya baja semua tanaman di laman belakang.


Inilah rupanya Plot No. 2 saya sekarang. Sisa rumput dah kering jadi jelas sikit Nampak anak-anak pokoknya. Pokok labu manis semakin panjang menjalar dan pokok timun juga sama tapi sedikit perlahan. Selasih Thai makin rimbun lepas saya buang pucuknya. Tomato dan cili juga sihat tanpa ada serangan kulat atau bena.

Anak-anak pokok di plot ini sekarang semua sedang berbunga kecuali selasih Thai. Selasih Thai hanya berbunga bila pokoknya kurang air jadi berbunga adalah salah satu caranya nak keluarkan benih. Ini adalah cara selasih dan herba-herba lain teruskan survival benihnya. Oleh kerana disiram setiap hari, maka masih belum ada bunga keluar. Mungkin bila dan tua sikit akan keluar bunganya.

Pokok tomato juga dah berbunga walaupun baru sekaki tingginya. Pokok yang ditanam dari “sucker” ini dah matang sebab itu berbunga cepat. Kalau ditanam dari benih, saya pasti belum masa untuk bunganya keluar. Pokok cili merah saya pun dah berbunga. Anak-anak cili padi ada sepokok dah berbunga manakala yang dua lagi sudah ada tanda nak berbunga.



Timun ini pula memang sejak dari mula tanam dah keluar bunganya tapi sehingga hari ini hanya bunga jantan yang keluar. Masih belum ada bunga betina yang keluar. Saya tak berhasrat nak letakkan pancang untuk timun saya ini sebab katanya kalau tak diletakkan pancang, hasil akan lebih sedikit. Pokok labu pun dah mula keluarkan tanda berbunga. Kalau diteliti, mungkin bunga jantan sahaja yang akan keluar dalam seminggu. Bunga betina macam belum nak muncul. Dulu saya pernah buang pokok labu saya sebab jemu menunggu bunga betina tak keluar-keluar. Kali ini saya nak tunggu lebih lama sedikit.



Selasa, 8 September 2015

Plot 2 - Tambahan Ahli Baru

Dua minggu lepas, semaian saya di Plot 2 masih kecil. Pada masa itu ada labu manis, selasih Thai dan cili. Ada dua pokok cili di mana satu daripadanya sedang berbunga. Pada minggu ini, pokok cili yang berbunga itu dahpun berbuah dan jelaslah pokoknya adalah cili padi Thai dek kerana cilinya yang panjang sedikit dari cili padi kampong. Warna hijaunya juga lebih gelap. Sehingga semalam saya masih belum tuai cilinya.


Pokok cili yang satu lagi masih terus membesar dan tingginya sekarang hamper satu kaki. Warna daunnya lebih gelap dari pokok cili padi Thai. Saya agak ini mungkin jenis pokok cili merah. Waktu saya pindahkan anak-anak pokok cili ini, saya tak pasti jenisnya kerana semua tumbuh sendiri dalam sebiji pasu yang saya buang macam-macam jenis cili yang dah reput dalam peti sejuk.


Kalau masih ingat lagi, saya ada bari tahu yang dalam plot ini ada dua pokok labu. Sebenarnya bila diamati, rupa-rupanya satu sahaja pokok labu dan ianya adalah yang panjang sekali. Daunnya besar, tepi daunnya tidak bergigi dan tumbesarannya lebih cepat. Pokok yang tumbuh di pangkal pokok cili merah saya rupanya timun. Saya yakin ianya timun kuning sebab saya memang kerap beli timun kuning yang dah tua. Daunnya lebih berkedut dan tidak rata di bahagian tepi. Ada bunga-bunga kecil warna kuning tumbuh bersama dan tumbesarannya agak lambat. 

Sebenarnya ada dua anak pokok timun tapi satu ditanam di plot jagung dan dah mati pun. Anak timun di Plot 2 ini pula elok pula tumbuh. Daunnya juga elok. Saya agak kesan ditanam bersama pokok selasih Thai yang buat kumbang tak lalu nak makan daunnya. Anak timun di plot jagung tu mati sebab daunnya habis gondol dimakan kumbang. Ini pelajaran berguna buat saya.


Petang ahad lalu, dengan kelapangan masa yang ada, saya pindahkan lagi tiga pokok anak cili yang masih belum pasti jenisnya, anak tomato dan juga anak mulberi. Kebetulan saya baru potong rumput, maka sisa rumput jadi sungkupan di pangkal anak-anak pokok. Biasanya lepas dipindahkan, saya akan siram sekali sehari sahaja untuk elakkan akar pokok tertekan. Jadi, untuk elakkan tanah cepat kering, saya letakkan sungkupan agak tebal. Lama kelamaan sungkupan akan menipis bila rumput kering. Sungkupan juga dapat elakkan rumpai tumbuh. Gambar di bawah ini kurang jelas pula sehingga tak nampak anak-anak pokok yang dah dipindahkan. Mungkin bila sungkupan dah kering nampak jelas sedikit dan saya akan kongsikan perkembangannya. 


Tomato ini saya semai bukan dari biji benih tapi dari potongan “sucker”. “Sucker” adalah bahagian yang tumbuh di celah daun dan perlu dibuang untuk pastikan makanan tumbuhan tertumpu kepada bunga untuk menjadi buah. Saya dah agak lama tak tanam tomato dari biji benih. Tanam tomato dari “sucker” sangat mudah. Potong dengan cermat dengan pisau yang tajam dan cucuk pada tanah. Jaga seperti biasa dengan siraman dan sesekali dibaja. Bila pokok sudah cukup kuat, boleh dipindahkan dengan kedalaman lebih seinci ke atas dari pangkal pokok untuk galakkan pertumbuhan akan baru. Pokok yang ditanam dengan cara ini lebih cepat berbuah. 


Anak pokok tomato saya ini sangat sihat dengan sistem akar yang sihat. Tengok saja jalinan akarnya yang berwarna putih. Sebenarnya anak pokok ini dah ada tanda nak berbunga. Sebab tu saya cepat-cepat pindahkan ke plot belakang untuk ruang lebih besar. Sepatutnya saya pindahkan lebih awal tapi tak ada masa.


Anak pokok mulberi pula saya tanam di belakang sedikit sebab di tanam di “spot” kekalnya. Asalnya saya semai untuk kawan. Tapi kawan saya mengandung dan tak larat nak berkebun buat masa sekarang. Jadi, bila dah melahirkan, saya akan semai yang lain. Semaian mulberi yang satu lagi dah selamat bagi kawan yang lain. Gambar yang ini juga kurang jelas anak pokoknya sebab dahannya ada sebatang sahaja dan nampaknya hampir “blend” dengan latar belakang dan sungkupan sisa rumput. Harap dapat membesar dengan baik mulberi saya ini.

Semalam lewat petang, anak-anak pokok yang dipindahkan kelmarin nampak sihat. Tidak ada tanda-tanda layu. Saya pindahkan waktu lewat petang supaya anak-anak pokok tak tertekan dengan cuaca panas. Kalau dipindahkan waktu pagi, nanti anak-anak pokok terpaksa hadapi cuaca panas terik waktu sedang menyesuaikan diri dengan plot baru.

Rabu, 19 November 2014

Benih Timun Tua

Masa saya kecil dulu, seingat saya mak saya agak jarang menghidangkan timun tua dalam menu seharian kami. Saya hanya mula kerap menggunakan timun tua sejak saya berkahwin dengan suami saya kerana mak mertua saya sering masak asam timun tua. Resipinya mudah sahaja. Tumbuk bawang merah bersama ikan bilis dan cili padi. Rebus bahan yang ditumbuk dengan timun tua yang dah dibuang bijinya dan kulitnya. Masukkan juga asam keping. Suami saya gemar makan asam timun tua ini dengan ikan pelaling goreng. Kadang kala saya masak lemak tempoyak dengan ikan sungai atau asam pedas tumis.

Minggu Pertama
Dulu-dulu saya ingat timun tua ini adalah timun yang dibiarkan masak sehingga kuning. Rupanya tidak sama sekali. Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil Yellow Chinese Cucumber. Ia sekeluarga dengan timun sama seperti tembikai dan labu. Bulan lalu, saya ada taburkan biji timun tua ke dalam tong kompos saya. Doa saya kalau menjadi biji benih yang saya taburkan ini, saya akan pindahkan ke pasu dan harapnya ada semangat jaga sampai berbuah. Harapan saya bijinya bertunas tidak tinggi kerana kadangkala buah dituai petani sebelum matang jadi mungkin benihnya juga agak kurang matang. akhirnya selepas seminggu keluarlah tunas benih timun tua.

Minggu Pertama
Agak banyak juga tunas yang keluar. Saya alihkan lima anak benih yang paling sihat ke dalam satu pasu lain. Pancang juga saya sediakan. Harapnya pancang itu teguh. Di dasar pasu saya racik dengan daun-daun pokok kantan segar dan teduhkan dengan sungkupan jarang-jarang daun kantan. Bimbang anak benih kepanasan dek terik mentari dan tak teguh menahan rintisan air hujan. Alhamdulillah bertahan ke minggu kedua.

Mingggu Kedua
Dari minggu kedua membawa minggu ketiga. Hujung minggu ini sudah masuk minggu keempat. Nampak semakin teguh anak pokok timun saya. Asalnya ada lima anak benih, sekarang tinggal tiga. Setiap minggu saya akan buang satu anak benih yang paling kecil dan lambat pertumbuhannya supaya kurang persaingan anak benih yang sihat. Dalam tiga yang tinggal, ada satu nampak gayanya akan kecil sedikit. Saya akan alihkan dia ke pasu lain sebagai back-up. Perancangannya nak biarkan dua sahaja hidup berjaya sehingga berbuah. 

Minggu Keempat
Pokok timun ini perlukan baja dan air yang banyak sepanjang hayatnya. Setiap minggu saya siram dengan baja enzim dapur. Semasa dipindahkan ke pasu pada awalnya memang tanah dah digaul kompos dan baja tinja ayam. Setiap hari di siram pagi dan petang. Hujung minggu ini perlu ditambah lagi baja tinja ayam. Tak sabar rasanya menunggu bunga pertama keluar.


posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...