adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Isnin, 30 September 2013

Menikmati Panorama Bandar Melaka – Udara, Darat dan Laut


Melaka memang menjadi seolah percutian wajib bagi kami sekeluarga. Boleh dikatakan setiap tahun kami ke Melaka untuk bercuti. Ini kerana Melaka terletak hanya kira-kira kurang dari 2 jam perjalanan dari Putrajaya. Jadi kami boleh menghabiskan hujung minggu di Melaka dengan perancangan yang ringkas sahaja.

Kami bertolak meninggalkan Putrajaya pada petang Jumaat selepas waktu kerja terus ke A Famosa Resort. Kami hanya ke sana untuk menyaksikan Cowboy Town Carnival dan usai persembahan kami makan malam di sekitar kawasan bandar.

Kami bermalam di Syaz Meridien Hotel. Terlupa pula hendak mengmabil gambar biliknya. Saya amat berpuas hati dengan keadaan bilik. Walapun agak sederhana keluasannya, namun bilik bersih dan kemas. Baunya juga menyegarkan. Bilik yang kami inap adalah bilik besar dengan satu katil bersaiz Queen dan satu katil kecil. Bilik dilengkappi dengan televisyen, peti sejuk dan kelengkapan membuat kopi termasuk cerek elektrik. Seterika hanya dihantar ke bilik jika diperlukan. Bilik air dilengkapi dengan mandian air panas dan syampu serta sabun. Selesa sungguh dan mungkin jadi pilihan kami lagi untuk inapan akan datang. Hotel ini berhampiran dengan bandar dan terletak kira-kira hampir 5 minit perjalanan kaki ke Menara Taming Sari. Lokasinya juga berdekatan dengan pelbagai restoran khususnya restoran yang meneydiakan asam pedas.

Hari pertama kami dimulakan dengan menikmati panorama Bandar Melaka dari angkasa. Ini merupakan kali kedua kami menaiki Menara Taming Sari pada waktu siang. Mungkin akan datang kami cuba pula menikmati panorama Bandar Melaka pada waktu malam. Anak-anak teruja melihat panorama dari atas terutamanya Ahmad. Menjerit-jerit dia apabila ternampak kolam renang dan kapat terbang dari udara.






Turun dari menara, kami mengikuti Ducktour pula. Bayarannya agak mahal dan saya rasa tidak sepadan dengan pengalaman yang dirasainya. Ducktour hanya mengelilingi kawasan bandar baru melintasi kawasan kedai dan kemudian melalui kawasan Pulau Melaka tempat suatu masa dulu lokasi Eye On Melaka. Kini, pulau buatan manusia itu hanya menempatakna beberapa projek bangunan komersil yang terbengkalai. Bangunan yang menarik yang dapat dilihat hanyalah sebuah masjid. Apabila kenderaan dua alam yang dinamakan Quakcker One memasuki kawasan perairan Melaka, maka dapatlah kami melihat kawasan Bandar Melaka dari kejauhan.






Selasa, 24 September 2013

Hasil Kebun Ayah Saya

Harapnya mak saya tidak kisah saya ambil gambar-gambar ini dari lama fb-nya. Sejak dua tiga minggu lalu ayah saya telah mula menuai hasil dari kebun di tepi rumah. Antara tanaman yang telah dituai adalah kangkung, kobis , daun selasih Thai dan cili padi thai. Tanaman lain seperti sawi, pegaga, pudina dan kesum masih belum cukup matang untuk di tuai. Segar sungguh tanamannya. Cemburu saya. Untunglaha ayah saya kerana tanah di kawasan di sekitar rumah kami memang subur. Ini kerana kawasan ini dulunya padang ragut lembu suatu masa dahulu. Ketika masih bersekolah dahulu, saya hampir tidak menggunakan baja langsung untuk menyuburkan tanaman kerana tanahnya yang subur.


Lihatlah kobis ini. Gemuk-gemuk daunnya. Ayah saya tuai kobis ketika jantungnya masih kecil namun isinya manis dan segar. Masih banyak lagi belum dituai. Nampaknya jimatlah belanja dapur ayah saya. Emak saya masak kobis ini dengan pelbagai cara. Kadangkala ditumis atau dimasak lemak putih dengan selasih Thai.


Rasanya selasih Thai yang ayah saya tanam ini mungkin sudah hampir sepuluh keturunan berada di laman rumah ayah saya. Biasanya saya buat rencah penyedap rasa sos spageti. Enak juga dibuat ulam mentah dicicah budu bersama tempoyak bercili. Benih selasih Thai ini asalnya dari Taman Herba Hospital Putrajaya. Ayah saya ambil sedikit ketika melawat saya di hospital pada tahun 2009 iaitu ketika saya melahirkan Ameer.

Ini pula cili padi Thai. Merimbun dengan buah cili. Gemuk pula tu. Jenuh memasak menggunakan cili padi Thai ini sampaikan ayam goreng kunyit biasa pun emak saya hiaskan dengan cili padi Thai yang digoreng layur. Sedap juga makan nasi panas dengan ayam goreng kunyit bertatahkan cili padi Thai digoreng layur. Turut digoreng layur adalah hirisan bawang Holland menambahkan kemanisan gorengan ayam.


Kangkung memang menjadi sayur pilihan utama ayah saya tatkala bercucuk tanam. Biasanya emak akan buat kangkung sebagai rencah nasi goreng ataupun digoreng tumis sahaja. Dua minggu lepas emak masak pecal sayur. Sedap sungguh meratah pecal dengan kerangupan kangkung celur yang segar diambil dari kebun ayah.

Isnin, 23 September 2013

Suatu Pagi Di Kafeteria..

Tidak seperti pagi yang biasa, hari ini suami saya mengajak saya bersarapan bersama Ameer dan Ahmad di kefeteria pejabat. Sementara menunggu suami membeli makanan sarapan untuknya dan anak-anak, saya melayan anak-anak sambil melihat sekeliling.

Tiba-tiba, mata saya tertancap kepada kelibat seorang lelaki muda yang melewati meja kami sambil ketiak mengepit tas merah yang lusuh.

Orang tinggi. Tubuhnya kurus. Badannya melengkung. Namun senyumannya manis. Seolah sentiasa bersedia untuk mengukir senyuman kepada sesiapa yang tersenyum kepadanya.

Di tangan kanannya ada sebungkus kuih. Dua ketul donut. Saya agak harganya empat puluh sen seketul. Di tangan kirinya pula ditatang segelas air suam. Air kosong. Dia duduk berseorang sambil mata memandang meja disebelah dan senyum. Dia terus makan.

Pada pandangan mata pertama saya, inilah apa yang saya fikir. 

Kasihan dia. Pastinya dia ini seorang yang susah sampai makan dicatu sampai melengkung badannya. Tapi hidupnya gembira. Sentiasa tersenyum. Apakah yang membuatnya kelihatan gembira sentiasa? Mungkin keperluannya dicatu untuk mengembirakan orang tuanya. Kegembiraan orang tuanya buat hidupnya sentiasa senang. Hidupnya dicatu mungkin kerana dia mengumpul duit untuk memenuhi keperluan hidupnya dan kehendak dipenuhi dengan bayaran tunai maka hidupnya bebas dari hutang.

Orang beginilah patut dibuat kawan. Baru kita sedar tinggi rendahnya langit dalam berbelanja. Biar kita sedar betapa banyak kita membazir sedang orang lain yang hidup serba sederhana hidup senang hati.

Usai makan, datang seorang sahabat menemaninya. Sahabatnya hanya minum segelas kopi. Mungkin berjimat atau mungkin juga sudah “kering” kerana sudah hujung bulan.

Khamis, 12 September 2013

Mulberi Berdaun Dan ….. ?! – Minggu 3


Selepas mula bertunas minggu lalu, saya agak jarang beri perhatian kepada tanaman saya. Ini kerana hujan yang turun pada setiap petang menghalang saya menjenguk tanaman. Kebetulan hujan turun agak awal kelmarin dan tibanya saya di rumah, hujan telahpun reda. Di kesempatan itu, sempat saya membelek semaian mulberi saya. Apabila dibelek-belek, kelihatan ada benda berbulu yang turut keluar bersama tunas daunnya. Rupa-rupanya ada di antara semaian mulberi saya telah turut mengeluarkan putik buahnya. Setakat ini, sudah tiga putik buah mulberi kelihatan. Teruja saya melihatnya. Tidak sabar rasanya untuk merasa tuaian mulberi pertama saya. Harapnya buah mulberi saya tidak dikerjakan oleh semut-semut yang riang gembira berkeliaran di bibir pasu.


Rabu, 11 September 2013

Jangan Direntap Perasan Ingin Tahunya


Seringkali anak-anak tak reti duduk diam waima di rumah orang sekalipun. Terkadang anak-anak dilihat mengusik tetamu yang hadir, berlari-lari tanpa arah tuju atau mundar-mandir  tidak keruan. Atau mungkin juga sering menganggu ibu yang sibuk dengan kerja rumah mendambakan perhatian. 

Menurut Dr, Rubiah, ini tanda-tanda anak yang kebosanan.

Bagi mengajar anak supaya duduk diam, Dr. Rubiah mencadangkan agar ibu belikan sesuatu yang menjadi minat anak contohnya pensel warna. Belikan pensel warna dan biarkan anak mengepresikan dirinya dengan penuh kreatif. Biarlah dinding diconteng, biarlah lukisan diwarnakan luar dari garisan. Atau belikan saja “jigsaw puzzle” atau blok binaan kecil. Biarkan anak menjadi kreatif dan meneroka dunianya. Jangan direntap perasan ingin tahunya. Anak yang dimatikan jiwa penerokaannya akan mematikan kreativitinya.

Karya abstrak di atas adalah hasil kreativiti Ameer. Katanya itu gambar lukisan permainan keretapi kegemarannya, Thomas and Friends sedang “parking”. Tersenyum simpul ibu. Mungkin itu gambaran keserabutan kepala sang keretapi dan rakan-rakanya mencari petak parkir yang masih kosong, atau mungkin juga gambaran laluan keretapi-keretapi mencari ruang parkir. Beribu kemungkinan boleh difikirkan. Anak menzahirkan kreativitinya mengikut realiti pada pandangan mata kecilnya.

Kalau diikutkan kreativiti anak-anak, seluruh lantai rumah penuh dengan lukisan abstrak. Mujurlah babahnya membelikan krayon yang mudah dicuci jenama Pelican. Mudah saja, lap sahaja dengan sehelai kain lembap, sental sedikit, hilanglah jejak karya. Walau diberi kertas besar, garis-garis naïf tetap terbabas keluar.

Begitulah luasnya kreativiti anak kecil. 

Selasa, 10 September 2013

Berlakon Dalam Filem Arahan Diri Sendiri


Masing-masing terkejut tengok tajuknya. Ingat saya pengarah filem ke? Dalam catatan ini saya ingin kongsikan sedikit sedutan dari sesi ceramah bersama Prof. Dr. Muhaya dalam slot “Celik Mata & Jiwa” pada Konvensyen Bidadari 2013 yang lalu.

Sebelum bermula, minta seseorang untuk untuk baca pernyataan di bawah. 

Pejamkan mata anda dan tenangkan fikiran.
Di depan anda, ada sekeping papan pemotong.
Di tangan kanan anda ada sebilah pisau.
Di tangan kiri anda sebiji buah lemon.
Ambil pisau dan potong lemon itu kepada dua belah.

Sekarang buka mata anda.

Apakah warna papan pemotong anda?

Ada berapa segmen buah lemon anda?

Tidak ada satu perkataan pun di atas yang menyebut tentang warna papan pemotong waima bilangan segmen buah lemon itu. Imaginasi anda yang menentukannya. Setiap apa yang berlaku dalam kehidupan kita adalah di atas pilihan kita sendiri. 

Apa kata sebelum tidur, kita sediakan “storyboard” lakonan kita pada hari esok.

Mulakan dengan bagun pagi sebelum Subuh dan solat Subuh. Seterusnya lakarkan perjalanan cerita dalam imaginasi kita sendiri keseluruhan perjalanan hidup kita untuk hari esok. Pastikan setiap apa yang berlaku yang indah-indah dan baik-baik sahaja. Jika adalah masalah yang timbul, anggaplah ia sebagai cabaran, bukan masalah. Sudah tentu ada masa perkara yang tidak dijangka namun pastinya kita dapat tangani dengan tenang. 

“When life gives you a lemon, make lemonade”. Maksudnya, kita lihatlah setiap cabaran yang datang sebagai satu peluang untuk mengubahnya menjadi perkara yang mendatangkan kebaikan. 

Isnin, 9 September 2013

Kenali Gaya Penampilan Anda

Pada Konvensyen Bidadari 2013 yang lalu, antara slot yang menarik adalah slot ceramah oleh Puan Mary Anni M. dengan slot ceramahnya yang bertajuk “Bergaya Menurut Islam”. Slotnya agak padat dengan pengisian. Apa yang saya ingin kongsikan adalah kuiz bagaimana hendak mengenali gaya penampilan anda. Bagi setiap gambar, catatkan setiap pilihan anda di atas sekeping kertas.
Beg Tangan

Jam Tangan

Kasut

Cincin

Selendang

Jika pilihan anda banyak “A”, anda bergaya "Natural".

Gaya yang ditonjolkan melalui item ditandakan “A” adalah gaya Natural. Orang yang bergaya natural ini sukakan keselesaan dan santai. Orang yang bergaya natural mudah dipengaruhi dalam gaya penampilannya namun akan kembali ke gaya asalnya. Bak kata Puan Mary Anni, orang yang bergaya natural ini mudah kelihatan selekeh jika tidak kena gaya. Ibarat kata kalau boleh mahu ber"kaftan" dan berselipar sahaja ke kedai seolah tiada siapa yang akan perasan kehadirannya. Orangnya suka ambil jalan mudah sehinggakan kalau boleh semua baju yang dipakainya tidak perlu rapi digosok.

Jika pilihan anda banyak “B”, anda bergaya "Romantis".

Gaya yang ditonjolkan melalui item ditandakan “B” adalah gaya Romantis. Orang yang bergaya Romatis ini suka kelihatan cantik dan berjiwa feminin. Pilihan utama mereka dalam bergaya adalah material dengan corak bunga-bungaan dan seringkali dilengkapi dengan riben penambah seri. Mereka suka mempengaruhi orang. Gaya ini sesuai untuk majlis tidak formal namun “fashionable” seperti majlis perkahwinan dan sebagainya. 

Jika pilihan anda banyak “C”, anda bergaya "Klasik".

Gaya yang ditonjolkan melalui item ditandakan “C’ adalah gaya Klasik. Orang yang bergaya Klasik ini tampak professional, sofistikated dan sentiasa nampak kemas. Gaya ini sesuai digayakan dalam majlis formal dan juga sebagai gaya ke pejabat. Mereka cenderung untuk memadankan pakaian agar kena pada gaya. Seringkali orang bergaya klasik merungut tidak punya baju atau tudung yang sepadan sedangkan baju yang ada sudah 13 almari! Orang dengan gaya ini setia pada gayanya.

Jika pilihan anda banyak “D”, anda bergaya "Dramatik".

Gaya yang ditonjolkan melalui item ditandakan “D”’ adalah gaya Dramatik. Orang yang bergaya Dramatik tidak ada panduan tertentu dalam bergaya dan suka menjadi tumpuan dengan bergaya lain dari yang lain. Selebriti yang bergaya Dramatik antaranya adalah Anita Sarawak, Aznil Hj Nawawi, Azwan Hj. Ali, Didie Alias dan banyak lagi. Untuk bergaya Dramatik, personaliti sebenar perlu juga Dramatik. Jadi jangan bergaya Dramatik jika anda bukan seorang yang Dramatik.

Jumaat, 6 September 2013

Kau dihatiku..



Jangan menangis bertenanglah 
Peganglah tanganku dan digenggam erat 
Ku melindungi dari apa yang datang 
Berhentilah menangis 

Tubuhmu kecil bertenaga 
Dalam dakapanku kau tenang dan lena 
Pertalian kita takkan terputus 
Berhentilah menangis 

Kau dihatiku 
Kau dihatiku 
Hari ini dan selamanya 

Kau di hatiku 
Walau apa katanya 
Oh... kau di hatiku 
Selamanya 

Mengertilah apa yang kami rasa 
Tak berkeyakinan apa yang dikatanya 
Kami berbeza tapi di hati kami 
Tiada apa yang berbeza 

Jangan kau dengar mereka tak tahu 
Saling memerlu dan membantu 
Di suatu masa kutahu 

Destinasi tiba kau harus tabah 
Ku 'kan bersamamu bersabarlah 
Di suatu masa kutahu 
Buktikan bersama kau 

Selamanya 
Bersamamu 
Ku selalu bersamamu 
Selama-lamanya 

Pandanglah ke bahumu (3X) 
Di sisimu selamanya

Tuaian Inovasi


Inovasi? Apa itu inovasi? Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, inovasi adalah sesuatu yg baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat, dan lain-lain yg baru. Kenapa saya gelarkan tuaian semalam sebagai tuaian inovasi? Kerana setelah dikumpul semua tuaian, saya buntu memikirkan resepi yang saya boleh buat dengan menggabungkan semua bahan ini. Semalam, suami saya ada jamuan makan di surau komuniti kami. Jadi kebiasaannya saya masak masakan ringkas sahaja memandangkan hanya saya, Ameer dan Ahmad sahaja yang akan makan. Memasak adalah satu perkara yang banyak meujudkan inovasi baru sama ada dari segi penggunaan bahan, langkah penyediaan makanan dan lain-lain.

Semalam saya telah tuai lobak putih, pucuk selasih Thai, beberapa biji tomato ceri yang belum ranum dan sawi Bok Choy. Lobak putih itu jika dibiarkan seminggu lagi mungkin jadi lebih berisi. Namun dek kerana lobak itu satu sahaja yang tinggal dipasu, saya tuai juga. Selasih Thai dituai agak banyak dek kerana pokok yang ada merimbun sungguh.  


Akhirnya saya longgokkan semua bahan itu dalam masakan ayam dengan asasnya masakan dirujuk dari resepi Ayam Masak Halia. Sedapnya sampai licin. Tulang ayam saja tinggal. Ameer makan sampai bertambah. Ahmad pula tak putus-putus minta disuap. Rasa selasih Thai menyerlah. Saya ada terbaca selasih Thai elok dimakan untuk menambahkan susu ibu. Saya pun perasan yang kuantiti susu bertambah keesokan pagi jika malamnya saya makan selasih Thai. Tak pasti memang benar atau kebetulan. 

Selesai makan, saya pun berbual dengan Ameer.
Ibu : Ameer, sedap tak ibu masak?
Ameer : Sedap ibu. Tapi, ada sup. Tapi, sup tu “yummy” – lah
Kembang kempis hidung ibu terima pujian si anak.

Kerja ibu mudah sekarang bila tiba waktu makan. Ameer akan ambil pinggan makan untuk semua orang waktu ibu menghidangkan makan malam. Usai makan, Ameer akan buang lebihan makanannya dengan elok dalam tong sampah dan letakkan pinggannya di dalam sinki. Walaupun kerjanya mudah, ini satu pencapaian buat anak sekecil itu. Tentu dia bangga apabila dipuji ibu.

Khamis, 5 September 2013

Selamat Dikari…


Selasa lepas saya tuai bendi emas sulung saya. Itupun ada satu sahaja. Saya juga tuai satu pelepah daun kari, dua biji tomato ceri dan sedikit bayam hijau. Asalnya bayam ini hidup tanpa dirancang. Saya ingatkan benih bayam organik yang saya beli di MAHA baru-baru sudah tidak bernas. Saya pun campaklah ia ke dalam pasu kompos saya. Tanpa disangka ia tumbuh dengan elok dan subur. Tapi kuantiti yang hidup agak sedikit. Saya goreng bayam tersebut dan dicampur dengan sedikit bayam merah yang dibeli. Bayam berkenaan elok tumbuh segar di tepmat teduh. Ada juga benih yang tersesat dalam pasu di tengah panas tapi pertumbuhannya kurang cantik dan daunnya kelihatan berserat. Tomato bulat yang ada dituai pada hari Isnin.

Melihat kepada tuaian yang ada, eloklah saya masak kari ikan pelaling mengikut resepi Kari Ikan Tenggiri Tanpa Santan Berhalba dengan memasukkan tomato dan bendi sebagai bahan tambahan. Tomato dan bendi memang sesuai untuk dimasak dalam kari ikan. Sepatutnya tomato menambahkan kemasaman kari tapi tomato saya manis. Asalkan tak merosakkan rasa sudahlah.

Sedapnya sampai lebihan karinya dipanaskan dan dimakan untuk sarapan di pejabat. Nasib baik rakan sebilik saya bercuti semalam. Jadi tak adalah yang menegur bau kari ikan yang semerbak itu. Tak malu betul saya ni. Sendiri tuai, sendiri, masak, sendiri makan, sendiri puji. Hehehe.

Bendi Emas Berbunga – Minggu 6


Bendi emas ini merupakan pembelian bendi pertama saya dari Encik Iskandar. Ia disemai pada 21 Julai iaitu kira-kira enam minggu lalu. Pokok yang kecil itu pula disemai dua minggu selepas pokok yang besar disemai. Yang kecil itu umurnya lebih kurang empat minggu.


Pada minggu lalu, pokok bendi emas saya telah mengeluarkan bunganya yang pertama. Tinggi pokok adalah sekitar satu kaki. Bunga yang pertama itu tidak menghasilkan buah. Buah yang ada itu hasil dari bunga yang kedua. Agak cepat buahnya membesra iaitu hampir seinci dalam sehari. Gamabr buah ini diambil pada 2 September. Besarnya lebih sedikit dari seinci. Esoknya saya tuai kerana bimbang buahnya tua di pokok jika lambat tuai. Waktu dituai saiznya lebih sedikit dari dua inci.


Jika diperhatikan, sudah agak banyak putik bunga akan keluar. Lepas ni boleh menuai bendi cukup untuk makan seorang. Suami saya kurang gemar makan bendi. Bendi enak direbus dicicah budu, dimasak kari atau asam pedas, ditumis kering dan lain-lain. Bolehlah mula mencari resepi bendi untuk kepelbagaian rasa.

Rabu, 4 September 2013

Mulberi Bertunas – Minggu 2

Sebelas keratan mulberi yang saya semai minggu lepas telah mula bertunas sejaka beberapa hari yanglalu setelah menunggu dengan penuh debaran. Saya beli keratan mulberi ini sebanyak dua set dari Encik Iskandar. Sangka saya dua set itu dua keratan sahaja. Rupanya setiap set ada lima keratan. Jadi saya ada sepuluh keratan dengan tambahan satu keratan kecil percuma dari dari Encik Iskandar.

Ini kali kedua saya beli keratan semaian mulberi dari Encik Iskandar. Kali pertama semaiannya tidak menjadi kerana disemai ditempat teduh dan dibiar tiga hari selepas disiram kerana pulang ke kampung. Setelah dibuat sedikit kajian, rupa-rupanya semaian mulberi melalui keratan perlu didedahkan dengan cahaya matahari penuh barulah bertunas. Setelah dimaklumkan oleh Encik Iskandar bahawa pembelian saya telah diposkan pada hari Selasa 20 Ogos, saya tertunggu-tunggu kiriman sampai ke tangan saya keesokan harinya. Hari berganti hari, kiriman belum tiba sedangkan rekod penghantaran telah diterima. Saya bimbang keratan mulberi rosak dalam kiriman. Akhirnya saya terima kiriman itu pada 28 Ogos. Kelewatan penerimaan di pihak saya adalah kerana banyak tempat persinggah dari pusat mel ibu pejabat ini hinggalah ke ‘pigeon box’ peribadi saya.

Subuh 29 Ogos esoknya, saya pun mengalihkan dua pasu yang penuh dengan medium kompos ke halaman depan. Kawasan ini terima sinaran matahari pada kebanyakan masa dalam sehari. Saya cucuk semua keratan ke dalam dua pasu ini dengan penuh tawakal. Disiram secukupnya dan ditinggalkan. Setiap hari saya berdoa agar semaian kali ini tidak rosak dan menjadi.

Alhamdulillah kelmarin tunas-tunas mula keluar dari sebahagian besar keratan yang disemai. Apabila semaian sudah mula kukuh, saya akan alihkan setiap semaian ke pasu lebih besar. Sayang kalau nak dibuang. Mungkin ada juga saya akan alihkan ke pasu kecil dan semai di rumah ayah di kampung. Tak sabar rasanya nak menunggu masa pokok mulberi saya berbuah sulung. Saya belum pernah merasa buah mulberi.


Tomato Bulat Pecah – Minggu 13

Hujung minggu lalu, seperti biasa saya menjenguk kebun di belakang rumah. Tomato ceri di atas batas masih berbunga dan empat biji tomato ceri yang dan hampir ranum dipetik. Buahnya dicuci dan dimakan terus. Manis mengatasi rasa masamnya.

Sebiji tomato bulat juga sudah ranum dan dipetik. Buahnya disimpan dulu di dalam peti untuk disimpan bagi dijadikan bahan masakan. Disebabkan hujan lebat melanda Putrajaya pada setiap petang bermula minggu lalu, penghasilan buah tomato bulat saya kurang cantik bentuknya. Nampaknya terlalu banyak air diterima pokok tomto bulat saya. Buahnya pecah-pecah.

Untuk mengatasi perkara ini, pokok tomato perlu dipastikan kerap disiram jika cuaca terlalu kering. Terlalu banyak nutrient yang diterima juga boleh menyebabkan buah tomato terpecah. Perubahan cuaca yang ketara juga boleh menyebabkan buah terpecah. Walaupun penghasilan buah yang pecah merosakkan rupa buah, namun rasanya tidak terjejas. Perkara ini biasa terjadi bagi tomato yang ditanam di rumah. Ianya boleh dielakkan namun sukar kerana kita tidak dapat mengawal perubahan suhu atau cuaca secara semulajadi yang mendadak. Buah hijau yang mula terpecah juga boleh dituai dan dinikmati dengan memasaknya mengikut resepi yang betul.


Bulat Kecil dan Bulat Besar

Saya kongsikan sebuah cerita daripada Dr. Rubiah.

Suatu pagi, kelihatan seorang anak kecil berumur 5 tahun sedang berusaha meneroka kaedah pemakaian kasut barunya ke sekolah. Ayahnya pula sedang tergesa-gesa bersiap kerana sudah terlewat ke tempat kerja. Melihatkan anaknya yang terlalu lambat berkasut, segera diangkat anaknya masuk ke kereta dan menghantarnya ke sekolah.

Di sekolah, semua anak-anak diminta melukis dengan tema bebas dalam kelas aktiviti seni pada hari itu. Si guru mendapati ada seorang pelajarnya melukis dua buah bulatan. Satu bulatan kecil dan satu bulatan kecil.
Guru : Anak, apa yang kamu lukis?
Anak : Yang bulat kecil ini kepala ayah saya. Yang bulat besar itu kepala saya.
Guru : Kenapa pula begitu?
Anak : Kerana pagi ini saya marah sangat pada ayah saya. Ayah saya angkat saya masuk ke dalam kereta sedang saya memakai kasut tanpa izin saya.
Mendengarkan itu, si guru pun memaklumkan perkara itu kepada si ayah. Ayah pun meminta maaf dari anaknya.

Moral dari cerita Dr. Rubiah ini adalah anak juga seperti ibu bapanya yang punya emosi dan perasaan. Dia juga punya rasa marah, sedih, kecewa dan sebagainya. Namun begitu, seorang anak kecil tidak punya perbendaharaan kata yang luas untuk menyatakan perasaannya. Jadi anak-anak kecil akan membuat pernyataan perasaannya melalui tindakannya. Apabila anak-anak menangis dan meragam, sudah tentu ada yang tidak kena dihatinya. Segeralah meminta maaf jika rasa marahnya itu jika ada perkara yang anda buat menyinggung perasaannya. 

Tatkala memohon maaf daripada anak, lakukanlah dengan cara yang betul. Janganlah sampai usaha kita menjadi sia-sia akibat cara memohon maaf yang tidak kena caranya atau tidak kena pada tempatnya. Inilah pendekatan yang boleh digunakan yang saya perolehi dari www.ayahbunda.co.id:
  1. Akui kesalahan yang telah dibuat. Mengaku salah adalah kunci kepada permohonan maaf.
  2. Katakan ‘maaf, ibu bersalah. Ibu minta maaf ya anak’. Katakan dengan menggunakan ayat yang mudah difahami dan tidak berbelit-belit. 
  3. Katakan dengan keadaan bertenang. Tenangkan diri jika masih ada rasa marah dan sebagainya.
  4. Jangan berlebihan. Minta maaf kerana anda memang bersalah dan bukan kerana ia satu hukuman atau berniat untuk mendisiplinkan anak.
  5. Jangan menyalahkan anak di atas kesalahan yang ibu telah lakukan.
  6. Ikhlas dan jangan cuba berbohong kerana anak dapat rasai keikhlasan ibu.
  7. Nilai semula keadaan dan terangkan kepada anak bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang timbul dan putuskan cara menyelesaikan masalah jika terjadi lagi pada masa hadapan.
  8. Ajarkan cara menjawab permintaan maaf dari orang lain. Anak perlu tahu dengan kalimat “Ya, Ibu maafkan kamu,” berguna untuk mengajarkan anak memaafkan kesalahan orang lain.


Selasa, 3 September 2013

Tomato Ceri Depan Rumah – Minggu 13

Selain ditanam di atas batas di kawasan belakang rumah, saya turut menamam tomato ceri dan tomato bulat di dalam pasu. Walau bagaimanapun hanya sepokok saja bagi setiap satu jenis ditanam dan diletakkan di bahagian hadapan rumah. Kawasan ini agak teduh pada sebelah pagi dan mula beransur menerima cahaya matahari sekitar tengahari hingga ke petang.

Pokok-pokok tomato ini ditanam dalam medium berkompos dan tanah dilitupi sepenuhnya dengan daun-daun kering. Ianya dipindahkan sepasu pada minggu ketujuh iaitu ketika pokok-pokok tomato di belakang rumah mulai berputik. Seminggu selepas di pindahkan, ianya mula berbunga namun tidak berputik. Pokok pula mula diserang bena putih sedangkan ini tidak berlaku bagi pokok-pokok di batas. Kebetulan pula saya terpaksa tinggalkan pokok tidak bersiram beberapa hari menyebabkan daun bergulung dan kekeringan di bahagian hujung.

Selepas mendapati bunga yang terhasil tidak berputik, saya tanam pokok selasih thai di dalam pasu letakkan betul-betul di bawah pokok tomato. Beberapa hari kemudian, kehdiran bena putih semakin berkurang. Apabila selasih mula berbunga, bunga-bunga tomato juga mula berputik. Nampaknya selasih memang teman terbaik untuk tomato. Saya hanya baja sekali sahaja pokok-pokok tomato di dalam pasu ini. Saya rasa saya patut bajanya setiap dua minggu namun tidak berkelapangan. Dengan adanya daun-daun kering yang menutupi permukaan medium tanaman, tiada rumpai tumbuh. Maka kuranglah persaingan untuk mendapatkan nutrient di dalam tanah. Cuma tanah perlu dipastikan tidak kering untuk elakkan kekeringan.

Sabtu lalu, saya mulakan pagi saya dengan bersarapan tomato ceri yang manis dari pokok yang ditanam dalam pasu ini. Tomato bulat masih belum berputik namun bunganya tidak gugur. Mungkin kali ini bunganya akan berputik setelah dibantu pendebungan dari serangga kecil yang terbang dari bunga selasih Thai.

Isnin, 2 September 2013

Kuasa Dakapan

Di Konvensyen Bidadari 2013 yang lalu, saya tertarik dengan pengisian sesi bersama Dr. Rubiah Kulop Hamzah yang bertajuk “Membentuk Keluarga Membangun Ummah”. Saya masuk agak lewat sesi ini namun baki masa yang saya dapat sertai sangat padat pengisiannya. Harap masa depan saya tidak ketinggalan mengikuti dari awal. Apa yang membuat saya tertarik adalah tentang kuasa dakapan atau pelukan.

Kata Dr. Rubiah, apabila kita memeluk seseorang, bukan sahaja jasad kita yang rapat malah hatinya juga rapat dengan kita. Peluklah anak kita terutamanya sekurang-kurang dua kali sehari supaya hatinya dekat dengan kita. Dr. Rubiah juga ada menceritakan kisah seorang anak yang janggal memeluk ibunya tatkala mahu menyuapkan ubat buat ibunya yang terlantar sakit. Akhirnya si ibu menyuap sendiri ubatnya. Ibu yang lembut hati dan jiwanya serta sering memeluk anaknya dengan penuh kasih sayang melahirkan anak yang dekat dihati dan jasad, melahirkan anak yang lembut pada pasangan dan pada anak-anaknya.

Sedikit masa dulu, Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah juga pernah berkata bahawa pelukan yang baik adalah dada bertemu dada. Ini kerana secara fizikalnya jantung kita hampir saling bertemu berkongsi getaran yang sama. Jadi, peluklah orang tersayang dari depan.

Prof. Dr. Muhaya juga pernah kongsikan cerita seorang anak yang jauh hati dengan ibunya. Agak lama dia hanya bersalam acuh tak acuh saja dengan ibunya. Setelah beberapa lama, dia pun mula bersalam dan peluk cium ibunya setiap pagi sebelum keluar berkerja. Awalnya dengan berat hati serta tanpa keikhlasan hadir. Lama-kelamaan dirasakan dirinya semakin dekat dengan ibunya.

Dalam sesi kelmarin juga, Dr. Rubiah juga telah menyatakan bahawa kuasa pelukan ini besar. Sebab itulah jangan sesekali biarkan anak khususnya anak gadis miskin pelukan. Dewasa ini ramai anak gadis yang tewas dalam pelukan teman lelaki. Anak gadis yang miskin pelukan runtun jiwanya apabila dipeluk maka tersentuhlah emosinya. Akhirnya jiwa dan raga menjadi korban.

Peluklah orang yang tersayang agar sentiasa dekat dihati.

Nota Konvensyen Bidadari 2013 Saya..

Saya bukanlah seorang yang kuat amalan agamanya. Namun sentiasa memburu ilmu bagi memperkukuhkan amalan dan menguatkan iman. Sementelah saya bukan seorang wanita biasa, saya adalah seorang isteri dan seorang ibu. Sehubungan itu, saya telah menghadiri Konvensyen Bidadari yang telah berlangsung pada 31 Ogos hingga 1 September 2013 yang lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Asalnya saya dan suami mendaftar sebagai pasangan di mana suami saya akan menghadiri Bengkel Suami MIthali. Namun di atas beberapa masalah teknikal, suami saya memutuskan untuk berada di rumah sahaja menjaga Ameer dan Ahmad sementara Alif akan bersama saya menghadiri konvensyen. Apa itu Konvensyen Bidadari? Maklumat lanjut boleh didapati di sini. Insya Allah, jika punya ruang masa dan tenaga, ada rezeki saya mahu hadiri lagi.

Saya ada membuat sedikit catatan ingin saya kongsikan. InsyaAllah semua akan dapat kebaikan darinya.

Semua catatan ini menggunakan ayat saya sendiri bukan dari personaliti yang disebutkan berdasarkan kepada pemahaman saya dari perkongsian ilmu dari personaliti terlibat. Harap perkongsian ini dapat memberi kebaikan kepada kita semua.

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...