adsense

Pengikut

leaderboard nuffnang

Sabtu, 29 Jun 2013

Dengan Tak Semena-Mena... - Cili 3 Minggu


Di rumah saya ni banyak juga semaian benih cili merah yang ada dan sihat-sihat belaka. Saya tidak semai benih-benih ini. Ianya mula muncul dalam bekas semaian benih lain. Yang paling awal muncul adalah dari dalam pasu selasih Thai. Pada mulanya saya fikir rumpai yang menumpang. Tapi, lama kelamaan-lamaan terserlahlah rupa benih cilinya. Jadi saya alihkan ke pasu lain agar ia dapat tumbuh dengan baik. Mungkin benihnya datang dari kompos yang saya jadikan medium pemasuan. Ini namanya rezeki bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang.
posted from Bloggeroid

Khamis, 27 Jun 2013

Selasih Thai - 4 Minggu


Selasih Thai 3 pokok ini sudah berumur 3 sejak dialihkan. Umur sejak disemai tidak dicatatkan pula. Terlupa. Minnggu lepas saya telah cantas pucuknya sebagai ramuan nasi ulam. Minggu kelihatan agak "bushy". Petanda yang baik. Tengahari ini mungkin dipetik lagi pucuknya yang banyak untuk dibuat ulam. Minggu depan saya merancang untuk menanamnya di batas. Comel pula pokok yang "bushy" ini di dalam pasu kecil atas pagar.
posted from Bloggeroid

Labu Fajar Manis - Hari Ke 7 dan 8


Gambar di atas adalah gambar semaian Labu Fajar Manis pada hari kelapan selepas di semai. Gambar di bawah pula adalah gambar pada hari semalam iaitu hari ketujuh selepas disemai. Perhatikan perkembangannya begiti cepat. Hajat di hati mahu mengalihkannya ke batas. Namun bimbang jika hari ribut lagi pada waktu petang. Alhamdulillah semalam hujan renyai sahaja. Udara pagi ini juga segar dan sejuk dengan bacaan IPU di Putrajaya pagi ini sekitar 86 sahaja berbanding 198 pada hari Selasa. Bagi mengelakkan perkembangan semaian ini terbantut, saya segera mengalihkan semaian ini ke batas pagi ini. Saya harap hari ini redup sepanjang hari seperti semalam sebagaimana ramalam kajicuaca. Sebaiknya kerja mengalih dibuat pada sebelah petang. Disebabkan saya ada sesi mengurut dengan mak bidan petang ini dan bimbang hari hujan, maka kerja mengalih dibuat pagi. Harapnya dapatlah semaian ini hidup aman sejahtera di batas.


posted from Bloggeroid

Rabu, 26 Jun 2013

Berapa Banyak SIP Disimpan Dalam Plastik...Cara Saya

Semalam sahabat saya, Ummuaidan bertanya berapa banyak SIP disimpan dalam plastik simpanan. Jawapan saya serta justifikasi saya agak panjang jadi jawab melalui tulisan inilah ye Ummuaidan.

Secara umumnya, plastik simpanan dapat menyimpan sebanyak 12 oz SIP. Pada pandangan saya, kuantiti yang ideal untuk SIP disimpan dalam plastik adalah sebanyak 8 hingga 10 oz. Ini adalah kerana kuantiti yang kurang dari 5 oz lebih baik disimpan dalam botol kecil. Berdasarkan kepada pemerhatian saya dengan anak terdahulu, kebiasaannya bayi akan minum.sebanyak 2 hingga 3 oz SIP bagi setiap sesi. Jadi setiap pek yang mengandungi 10 oz SIP dapat membekalkan SIP bagi 3 hingga 4 sesi. Ini bermakna 1 pek untuk bekalan sehari di taska dengan tambahan SIP segar untuk 1 - 2 sesi.

Untuk mendapatkan bekalan untuk 1 pek, kadangkala dapat diperolehi dalam satu sesi mengepam. Setiap hari saya akan pam 2 kali sehari pada waktu subuh dan lewat maghrib. Kadangkala hanya 1 oz sahaja dapat dipam bagi 1 sesi. Jika ini berlaku, saya akan berhenti seketika dan minum minuman bijirin seperti MILO, Nestum atau seumpamanya. InsyaAllah lepas sejam, saya akan dapat pam sekitar 8 hingga 10 oz iaitu cukup untuk satu pek. Dalam sehari dapat 2 pek cukup untuk 2 hari bekerja akan datang.

Harapnya perkongsian saya ini dapat membantu rakan-rakan yang buntu merancang stok SIP untuk hari mendatang. Kalau ada yang punya idea lain, sudilah berkongsi ya.
posted from Bloggeroid

Jiwa Yang Terselamat..



Setelah beberapa hari bumi Putrajaya dikelubungi jerebu yang diimport dari negara jiran, semalam akhirnya hujan turun dengan lebat disertai ribut. Tatkala hujan mula turun, saya segera keluar rumah menyelamatkan semaian di atas pagar. Agak takut melihat pokok-pokok disekeliling rumah bergoyang kuat seolah ribut besar melanda. Anak-anak dan suami belum sampai ke rumah. Segera saya telefon suami supaya jangan pulang lagi sehingga ribut reda. Alhamdulillah... belum panggilan dijawab telah kedengaran suami membunyikan hon dari luar rumah. Apabila hujan berhenti lewat maghrib, kelihatan banyak pokok tumbang sehingga wujud senarai menunggu di Perbadanan Putrajaya bagi kerja pembersihan pokok tumbang.


Inilah semaian saya yang dapat diselamatkan dari dimusnahkan ribut semalam.


Pagi ini semaian dialihkan semula ke atas pagar untuk menerima sinaran matahari. Udara hari ini juga lebih segar dari sebelum ini. Kalau dilihat betul-betul gambar di atas, dapat dilihat bumbung rumah jiran kami yang runtuh. Rumah-rumah yang berada di baris hadapan rumah kami kebanyakan mengalami kerosakan bumbung kerana berada di laluan ribut semalam. Rumah kami pula dibanjiri air sedikit di bilik utama di bilik atas kerana air hujan ditolak masuk ke dalam rumah melalui tingkap walaupun tingkap ditutup. Mujurlah tiada kemalangan jiwa berlaku semalam.
posted from Bloggeroid

Selasa, 25 Jun 2013

Menyimpan Susu Ibu Perahan Di Dalam Plastik... Cara Saya

Menyimpan Susu Ibu Perahan (SIP) di dalam plastik khas merupakan salah satu cara mudah SIP disimpan. Saya telah mula menyimpan SIP sejak minggu pertama selepas bersalin. Bagi mengoptimumkan penggunaan ruang dalam peti sejuk beku, saya menyimpan dan menyusun bekas SIP secara sistematik. Memandangkan plastik simpanan mempunyai kemasan "double seal", maka saya baringkan plastik yang berisi SIP cair dan akan membeku dalam bentuk kepingan. SIP beku yang leper mudah disusun seperti buku. Saya menggunakan kotak susu sebagai tempat simpanan kepingan SIP. Kotak yang telah penuh akan dimasukkan ke dalam plastik. Plastik susu, kotak impanan dan plastik simpanan dilabel dengan tarikh susu diperah agar mudah untuk mengenalpasti kumpulan SIP yang perlu digunakan dulu. Dengan cara ini, simpanan susu akan lebih kemas dan stok lebih mudah diselenggarakan. Di bawah adalah gambar-gambar yang menunjukkan cara simpanan SIP saya. Sejujurnya, ruang yang digunakan dengan baik untuk menyimpan stok SIP buat saya lebih bersemangat untuk sediakan lebih stok SIP. Harap catatan saya ini dapat membantu rakan-rakan yang buntu menguruskan ruang simpanan stok sepertimana saya pernah hadapi dulu.







posted from Bloggeroid

Isnin, 24 Jun 2013

Labu Fajar Manis - Hari Ke 5


Ini adalah semaian Labu Fajar Manis yang benihnya saya beli dari Encik Iskandar. Ini kali pertama saya menanam Labu Fajar Manis dengan harapan dapat menuai hasil yang baik. Saya semai dalam medium tanah berkompos dengan bahagian tajam benih menghala ke bawah. Semaian mula tumbuh pada hari ke 3 - 4. Perkembangannya agak cepat.


Inilah rupa semaian ini pada hari kelima selepas disemai. Pucuk daun sebenar pertama telah mula kelihatan. Gambar di atas adalah semaian pada hari keempat. Saya meletakkan semaian di bawah teduhan dan mula mendedahkannya ke kawasan yang bercahaya penuh sepanjang hari mulai hari kelima memandangkan daun sebenar sudah mula keluar. Ini bagi menguatkan semaian sebelum dipindahkan ke batas.
posted from Bloggeroid

Sabtu, 22 Jun 2013

Tomato Ceri Alamanda - 2 Minggu


Tomato ceri ini pun saya tak tahu dari varieti apa. Sebagai rujukan, saya namakan benih tomato ceri ini Tomato Ceri Alamanda sebab biji benihnya diambil segar dari tomato ceri yang saya dibeli dari Alamanda sebagai ramuan salad saya. Benih ini disemai pada hari yang sama dengan Tomato Alamanda saya. Umurnya 2 minggu dan telah dialihkan ke pasu individu sebahagian kecilnya. Sebahagian lagi disimpan sebagai benih simpanan. Batang pokoknya berwarna sedikit keunguan dan daunnya agak kecil berbanding daun Tomato Alamanda.

Ia mula tumbuh pada hari keempat selepas disemai dan saya telah letakkan di kawasan yang terima cahaya matahari separa setelah semaian berumur kira-kira 1 minggu. Setelah pasangan daun sebenar keluar, semaian dialih dengan menanam sebahagian besar batangnya. Ini bagi membolehkan semaian mengembangkan akarnya. Semaian disiram setiap pagi sekali sehari. Jika tanah terlalu lembap, dibimbangi semaian mati akibat akar lemas.


Benih semaian berumur 2 minggu sebelum dialih.


Benih semaian berumur 4 hari selepas hari semaian.

posted from Bloggeroid

Jumaat, 21 Jun 2013

Menanam Pegaga - 1 Minggu



Minggu lalu, saya telah minta suami saya belikan pegaga dari Pasar Tani. Dapatlah secekak dua dengan daun yang halus dan batang yang panjang. Tak pasti ianya disebabkan varietinya begitu atau pegaga yang dibeli tak cukup subur. Entahlah harga yang dibayar untuk pegaga tersebut. Daun dan batangnya sahaja saya jadikan bahan untuk kerabu dan nasi ulam. Akarnya saya simpan untuk disemai. Bukan kerana akarnya tidak boleh dimakan, tapi kerana saya malas nak mencuci bersih-bersih akarnya dari tanah.

Akar yang saya simpan saya rendamkan sekadar membasahi sebahagian akar sehingga 3 hari. Air rendamannya ditukar setiap hari. Apabila telah kelihatan munculnya pucuk-pucuk baru, saya semai akar pegaga dalam tanah yang subur dengan nutrien dari kompos. Semaian ini diletakkan di tempat redup dengan sedikit penerimaan cahaya matahari. Tanah dipastikan sentiasa lembab. Setelah 1 minggu, pucuk baru telahpun keluar kira-kira seinci. Saya hendak tunggu sehingga pegaga benar-benar lebat sebelum dituai sebagai ulaman segar.
posted from Bloggeroid

Resepi Berpantang : Ikan Merah Goreng Masam Manis


Kalau tengok rupa ikan goreng ni memang tak berselera. Tapi kalau dah rasa, teringat-ingat sampai sudah. Saya tak pandai nak persembahkan makanan bagi cantik menyelerakan. Lagipun tengah lapar malas na hias bagi cantik. Resepi ikan goreng ini diinspirasikan dari buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu. Selain ikan, ayam dan daging juga boleh digunakan sebagai protein.

Bahan perapan:
1 sudu teh halia disagat halus
1 sudu teh kicap manis
1 sudu besar tepung jagung
1/2 sudu teh pes asam jawa Adabi
Garam
Gula
Sekeping ikan merah

Bahan gorengan:
1 inci halia dihiris memanjang
2 ulas bawang putih dihiris
Minyak masak

Cara memasak:
Perap semua bahan perapan selama 30 minit. Jika gunakan ayam atau daging, perap lebih lama. Panaskan sedikit minyak dan masak ikan sehingga masak. Keluarkan ikan dan goreng hirisan halia dan bawang putih. Tabur gorengan halia dan bawang putih ke atas ikan sebelum menghidang.

Ikan goreng ini punya rasa masam dan manis yang unik dan menyelerakan. Asam jawa yang mengandungi flavonoid bersifat anti radang dan membantu pengeluaran peluh. Pengeluaran peluh adalah salah satu cara mengeluarkan toksin dari.tubuh.
posted from Bloggeroid

Khamis, 20 Jun 2013

Tomato Alamanda - 2 Minggu


Ini beberapa semaian benih tomato yang benihnya saya dapat dari tomato segar. Memandangkan tomato ini saya beli dari Alamanda maka saya memandai-mandai namakannya Tomato Alamanda. Benih ini dah berumur 2 minggu pada hari ini bermula dari tarikh ianya disemai. Saya alihkannya ke pasu yang lain bagi memberinya ruang yang lebih besar untuk berkembang. Saiznya kira-kira 2 inci dan saya kambuskan sebahagian batangnya supaya ia dapat membentuk lebih banyak akar. Benih dalam pasu merah jambu adalah benih yang paling sihat. Benih harapanlah kiranya. Benih-benih dalam pasu hijau perlu bersaing dan benih yang paling kuat akan disimpan. Benih lain dalam pasu besar adalah benih simpanan.


Benih Tomato Alamanda berumur 2 minggu sebelum dialih.


Benih Tomato Alamanda berumur 5 hari selepas disemai. Benih mula didedahkan dengan cahaya matahari redup sepanjang hari supaya lebih kuat.
posted from Bloggeroid

Resepi Berpantang : Nasi Ulam Ringkas



Nasi ulam ringkas ini diinspirasikan dari resepi nasi ulam dalam buku Enskilopedia Perbidanan Melayu. Samada saya terlalu rajin semalam atau sengaja sebab yang munsabah untuk cantas pucuk pokok selasih Thai saya. Saya hanya gunakan pegaga, pucuk selasih Thai dan daun limau purut sahaja sebagai ulaman kerana itu saja yang ada di rumah. Pucuk ulam lain yang digunakan dalam resepi ini adalah daun sekentut, pucuk ulam raja, daun kunyit, daun lemuni, daun beluntas, daun mengkudu dan bebuas. Saya akui, saya sendiri tidak tahu rupa sebahagian besar ulaman yang dinyatakan. Nasi ini enak dimakan segar.

Bahan-bahan:
Semangkuk nasi
Ulaman yg dihiris halus secukupnya
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
Sebatang serai dihiris bahagian yang putih sahaja
2 ulas bawang kecil dimayang
1 sudu besar lada hitam
Segenggam ikan bilis digoreng tanpa minyak
2 sudu besar santan pekat dipanaskan sehingga pekat

Cara penyediaan:
Tumbuk halia, kunyit hidup, lengkuas, serai, ikan bilis dan lada hitam sehingga lumat. Kemudian, gabungkan bahan yang ditumbuk dengan nasi dan ulaman, santan serta hirisan bawang. Hidangkan dan nikmati semasa masih segar.
posted from Bloggeroid

Resepi Berpantang : Ikan Haruan Masak Lada Hitam



Walaupun semalam dah 40 hari berpantang, saya masih makan ikan haruan. Ikan haruan yang mengandungi semua jenis asid amino dan asid lemak penting membantu dalam proses penyembuhan luka luar dan dalam menjadi hidangan utama bagi ibu selepas bersalin. Ikan ini biasa dimakan pada peringkat awal lepas bersalin. Luka bersalin biasanya sembuh dalam tempoh 2 minggu.

Bahan-bahan:
Seekor ikan haruan yang telah dibersihkan dengan air asam jawa untuk menghilangkan lendir dan dipotong kepingan.
1 inci halia dihiris nipis
3 ulas bawang kecil dimayang
2 ulas bawang putih diketuk
1 keping asam keping
1 sudu makan lada hitam ditumbuk kasar
Air
Garam

Cara memasak:
Didihkan semua bahan masakan kecuali ikan. Setelah air mendidih, masukkan ikan dan perlahankan api. Biarkan ia merenih sehingga ikan masak dan ramuannya mesra. Perasakan dengan garam dan hidangkan.
posted from Bloggeroid

Rabu, 19 Jun 2013

Resepi Berpantang : Sambal Ikan Bilis Berkunyit



Hari ni agak rajin sikit buat sambal ikan bilis ini untuk bekalan makan dengan nasi panas hari malas di kemudian hari. Baru pertama kali buat. Sekali sedap pula sampaikan tinggal separuh lepas makan tengahari tadi. Nanti makan malam mesti habis terus. Sambal ini makan dengan nasi panas semata-mata pun sedap.

Bahan-bahan:
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 sudu besar lada hitam
Semangkuk ikan bilis
Minyak masak

Cara memasak:
Tumbuk atau kisar kering semua bahan. Panaskan minyak masak dan tumis bahan masakan sehingga garing dan hidangkan.
posted from Bloggeroid

Resepi Berpantang : Teh Halia



Saya bersalin anak pertama secara pembedahan. Alhamdulillah dapat bersalin secara normal untuk anak kedua dan ketiga. Waktu berpantanga anak pertama dulu, badan saya banyak angin. Bergelodak perut dengan angin. Anak juga kerap meragam kerana kembung. Mak saya buatkan teh halia untuk redakan angin dalam badan. Badan kurang berangin pula waktu berpantang anak-anak seterusnya. Anak juga kurang meragam waktu malam. Minggu lepas teringin pula nak minum teh halia.

Saya rebus seinci halia dengan 3 cawan air dan renih sehingga air hampir kering separuh. Saya maniskan dengan sedikit gula melaka cukup sekadar manis buah. Enak diminum suam. Selain mampu mengurangkan angin, halia juga dikatakan dapat memperbaiki sistem penghadaman dan meningkatkan kualiti dan kuantiti susu ibu. Tidak hairanlah halia banyak digunakan sebahagian bahan masakan utama dalam menu ibu berpantang.
posted from Bloggeroid

Resepi Berpantang : Peria Tumis Kering



Pagi-pagi dah letak resepi dalam blog. Ini lauk minggu lepas. Lambat diletakkan gara-gara telefon rosak dan dihantar ke kedai untuk dibaiki. Mati kutu pula bila tak ada telefon yang sering digunakan untuk melayari internet. Risau juga kalau-kalau gambar-gambar hilang dari memori telefon. Nasib baik masih ada.

Pengambilan peria dikatakan dapat membantu ibu mengatasi masalah kesukaran membuang air besar selain meningkatkan penghasilan susu ibu. Saya biasanya masak kacang panjang gaya beginu dengan telur dimasukkan di peringkat akhir dan dikacau sehingga telur masak. Memandangkan peria antara sayuran yang dibolehkan untuk ibu berpantang makan, maka saya saya masak cara begini tanpa telur. Bagi sesetengah orang, tiada masalah baginya untuk mengambil telur. Beginilah cara saya sediakan masakan peria ini.

Bahan-bahan:
Peria dipotong kepingan secukupnya
2 ulas bawang kecil
Sebiji cili merah
1 ulas bawang putih
Segenggam ikan bilis
Garam
Lada sulah
Minyak untuk menumis

Cara memasak:
Rendam potongan peria dalan air bergaram selama 15 - 20 minit dan toskan. Tumbuk bawang kecil, bawang putih, ikan bilis dan cili merah sehingga hampir lumat. Tumis bahan yang ditumbuk hingga naik bau. Masukkan potongan peria dan perasakan dengan garam dan lada sulah. Jika mahu, boleh pecahkan telur dan kacau sehingga telur masak dan sebati dengan peria. Angkat dan hidangkan.
posted from Bloggeroid

Khamis, 13 Jun 2013

7 Hari Selepas - Selasih Thai



Tujuh hari lepas saya pindahkan selasih Thai saya ke dalam pasu individu. Setiap satunya punya 4 helai daun dan sekarang sudah punya 6 pasang daun. Kelihatannya pasangan ketujuh juga telah mula kelihatan. Saya kira akarnya sudah pasti sudah berkembang dengan segala nutrien yang ada dalam medium pasuan. Saya letakkan campuran kompos dan tanah dari nurseru dengan nisbah 1:3. Disiram setiap hari dan diletakkan di bawah teduhan yang menerima cahara matahari separa. Daunnya hijau tidak kekuningan tanda cukup penerimaan cahaya matahari. Saya belum berhasrat dan memindahkannya ke batas. Saya berhasrat untuk merimbunkannya sedikit.

Wajar atau tidak jika saya pangkas pucuknya untuk menggalakkan pertumbuhan pucuk baru yang lebih banyak?
posted from Bloggeroid

Tantalising Thursday..



Macam biasa, pagi-pagi buat pemeriksaan tanaman berpasu dulu. Cabut rumput rumpai yang menenggek dalam pasu. Sejak memulakan misi membaikpulih minggu lalu, tanaman disiram setiap hari. Baja pun telah diletakkan hujung minggu lalu. Hari ni terserlahlah hasil usaha membaikpulih. Masa mula-mula balik ke rumah dulu, daun-daun kekuningan. Hari ibi kelihatan bunga ros mini dah berbunga menyerlahkan warna merah jambunya. Bunga telang pun mengeluarkan bunga ungunya. Di belakangnya pula bunga siantan dah mula mengeluarkan kudup bunga merahnya. Kalau diikutkan hati mahu mengalih-alih pasu serba sedikit tapi ditangguh sehingga tubuh punya daya nak mengangkat pasu. Teruja hati melihat bunga-bunga telah mula berkembang di taman kecilku...
posted from Bloggeroid

Resepi Berpantang : Kerabu Pegaga Kering



Selasa lepas saya minta suami belikan pegaga di Pasar Tani Putrajaya. Dapatlah dalam dua cekak. Tapi saya kurang pasti harganya. Yang pasti, daunnya tak banyak. Yang dapat sulurnya yang panjang dan akar yang besar. Akarnya saya simpan dan rendam dalam air. Harapnya bertunas. Bolehlah di tanam dalam pasu buat ulaman di masa hadapan. Dah lama teringin nak makan kerabu pegaga tapi dah lebih sebulan baru dapat makan. Pegaga mempunyai khasiat yang tinggi antaranya dapat bertindak sebagai agen pembersih darah. Ia juga dikatakan sebagai ulaman awet muda yang mampu memberi kesan dalam pembentukan tisu seperti menghilangkan parut, membina kolagen, merangsangkan pertumbuhan rambut dan kuku serta penyembuhan luka dan masalah kulit yang lain.

Bahan-bahan:
Pegaga yang dihiris secukupnya
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 ulas bawang putih
2 ulas bawang kecil
1 sudu teh lada hitam
Segenggam ikan bilis

Cara memasak:
Tumbuk semua bahan kecuali pegaga hingga agak lumat. Goreng bahan yang ditumbuk tanpa minyak sehingga agak garing. Gaulkan dengan hirisan pegaga dan hidangkan bersama nasi panas sementara kerabu masih segar.
posted from Bloggeroid

Resepi Berpantang : Singgang Ikan Tenggiri



Semalam malas nak masak beria-ia. Sudahnya ikan tenggiri dimasak singgang sahaja. Ikan dimasak cara begini agak popular sebagai hidangab untuk wanita pantang bersalin. Jangan tak tau.. saya pun baru belajar masak ikan cara begini. Masakan inilah yang paling senang kot. Tak silap saya ada tempat panggil masakan cara begini sebagai ungkep. Ikan yang biasa dimasak cara begini adalah ikan haruan, tenggiri dan ikan parang. Saya paling suka bahagian ekor ikan tenggiri dimasak cara begini kerana isinya lebih lembut.

Bahan-bahan:
2 keping ikan tenggiri
1 inci halia dipotong kepingan
1 inci kunyit hidup dipotong kepingan
2 ulas bawang kecil dimayang
2 ulas bawang putih diketuk
1 keping asam keping
Garam
Air

Cara memasak:
Rebus kesemua bahan kecuali ikan sehingga air mendidih dan naik bau. Masukkan ikan dan garam. Biarkan merenih sehingga ikan masak dan hidangkan.
posted from Bloggeroid

Rabu, 12 Jun 2013

Resepi Berpantang : Sawi Bok Choy / Kailan Kuah Sos Tiram



Waktu berpantang ni pilihan sayuran yang boleh dimakan tak banyak. Kebanyakan hari saya makan sawi dan kailan. Mujur kedua sayuran ini banyak jenisnya. Kalau sawi bok choy dan kailan, saya suka dimasak cara begini. Bahannya tak banyak dan mudah dimasak. Sesuai sangatlah untuk saya yang masak dan makan sendiri. Sawi adalah sayur pilihan masyarakat India bagi wanita yang baru bersalin kerana dipercayai dapat membuang angin menurut Majalah Pa & Ma. Saya juga ada terbaca tentang perkara ini dalam beberapa terbitan lain tapi lupa dimana. Dibawah adalah cara saya masak sayuran ini.

Bahan-bahan:
Sawi bok choy / kailan / baby kailan secukupnya
Seulas bawang putih dititil dan dihiris
Lada sulah
Garam
Air
Minyak untuk menumis - gunakan minyak bijan jika mahu lebih berperisa.
Sesudu teh tepung jagung dibancuh dengan sedikit air - tak letak pun tak apa
Sos tiram

Cara memasak:
Panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingha kekuningan. Masukkan air dan biarkan ia merenih seketika. Jika menggunakan minyak bijan, tumiskan bawang sekejap sahaja dan masukkan air segera untuk mengelakkan minyak bijan hangit dan berubah rasa. Masukkan sayuran dan perasakan dengan garam, lada sulah dan sos tiram. Masukkan bancuhan tepung jagung dan kacau. Biarkan kuah merenih seketika dan hidangkan.
posted from Bloggeroid

Resepi Berpantang : Ayam Panggang Bermadu



Syok betul semalam dapat makan ayam. Maklumlah.. semenjak dua tiga hari ni asyik makan ikan aje. Bosan juga. Semalam saya cuba masak Ayam Panggang Bermadu yang dipaparkan dalam buku "Bersalin Secara Alami". Nasib baik ayam yang bermadu bukan saya yang bermadu hehehe. Sepatutnya ayam ini perlu diperap sekurang-kurangnya 3 jam sebelum dipanggang. Saya hanya perap selama satu jam sahaja. Saya juga telah ubah resepi ikut bahan yang ada di dapur. Hidangan ini sedap dengan kehangatan dari lada hitam dan halia. Cubalah!

Bahan-bahan :
Paha dan kepak ayam - sebaiknya tidak dibuang kulit supaya isi ayam tidak hangit dan kekal lembap selepas dipanggang
Seinci halia ditumbuk halus
Seinci kunyit hidup ditumbuk halus
Sesudu besar lada hitam ditumbuk kasar
Sesudu besar sos tiram
Sesudu besar madu
Sesudu besar kicap manis
Garam
Sedikit majerin

Cara memasak:
Cucuk isi ayam dengan garfu bagi membolehkan perapan meresap ke dalam isi ayam. Perap isi ayam dengan semua bahan kecuali marjerin selama sekurang-kurangnya 1 jam. Panaskan kuali pemanggang dan leserkan sedikit marjerin sebelum memanggang. Panggang ayam sehingga ayam masak. Hidangkan.
posted from Bloggeroid

Selasa, 11 Jun 2013

Resepi Berpantang : Air Barli



Jemu ek minum air suam je tiap hari. Kadang-kadang minum susu atau Milo untuk minum pagi atau minum petang. Bila berpantang ni, pilihan air untuk diminum tak banyak. Jangan mimpilah nak air tembikai atau sirap bandung. Pilihan yang terbaik adalah air barli. Barli adalah antara makanan kegemaran Rasulullah. Saya sering sediakan air barli apabila anak-anak atau suami diserang demam. Selain dapat membantu menyejukkan badan khususnya pada musim panas, bijirin ini juga dikatakan dapat meransang pengeluaran susu ibu.

Untuk menikmati air barli, rebus beras barli putih sehingga kembang dan perasakan dengan gula mengikut tahap kemanisan yang diingini. Boleh juga diperasakan dengan sedikit perahan limau nipis. Biasanya saya akan merebus barli selama setengah jam dan biarkan beras terendam dalam air rebusannya semalaman sehingga kembang. Kemudian dipanaskan semula keesokan pagi sebelum diletakkan gula. Beras barli yang telah kembang juga enak dibuat bubur manis dengan mencampurkan santan, garam dan daun pandan untuk mewangikan bubur barli manis.



Pilihlah beras barli dari kualiti yang baik untuk mendapatkan air barli yang berperisa. Ini adalah jenama beras barli kegemaran saya. Beras barli dari jenama ini menghasilkan air barli yang enak. Tak pasti pula saya jika ada jenama lain dipasaran selain yang dijual secara timbangan atau pek kecil. Minuman barli memang enak diminum suam atau sejuk. Beras barli yang kembang enak dimakan dan bagus untuk sistem penghadaman kerana tinggi serat. Cubalah!
posted from Bloggeroid

Alif Zakwan - Selamat Hari Lahir Kesebulan



Sebagai catatan. Pada hari ini, 11 Jun 2013 bersamaan 2 Syaaban 1434H, Alif Zakwan telah cukup umur sebulan. Alif anak yang tidak banyak kerenah pada umurnya. Aktiviti sehariannya adalah tidur sepanjang masa. Kadangkala Alif akan bangun sambil merengek minta disusukan. Jika masih menangis, selepas diganti lampin atau dimandikan mesti senyap semula. Sementara berjaga selepas dimandikan, waktu itulah ibu dapat menimang si manja ibu. Alif masih belum pandai senyum bila diagah namun sering kelihatan tersenyum ketika sedang enak dibuai mimpi. Selamat Hari Lahir Kesebulan Encik Alif Zakwan!
posted from Bloggeroid

Isnin, 10 Jun 2013

Resepi Berpantang : Ikan Bawal Rebus Masam Manis



Ikan bawal lagi hari ni. Suami saya belikan 2 ekor ikan bawal. Saya makan setengah ekor setiap kali makan. Suami saya tak makan ikan bawal. Jadi hari ni masak bawal lagilah jawabnya. Hari ini saya masak Ikan Bawal Rebus Masam Manis. Saya ubahsuai resepi ikan bawal yang saya dapat dalam majalah "Berpantang Secara Alami". Saya ubahsuai ikut bahan yang saya ada di dapur yang saya agak boleh gantikan bahan yang dinyatakan dalam resepi asal. Saya gunakan tomato untuk gantikan jus limau nipis dan kismis untuk gantikan kurma merah. Saya kira ikan bawal enak digantikan dengan ikan merah, ikan siakap atau ikan kerapu.

Bahan-bahan:
Ikan bawal dikelar sedikit
1 cm halia dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
2 ulas bawang kecil dihiris
Sebiji tomato dipotong kepingan
Sesudu besar sos ikan
Sekotak kecil kismis
Segenggam hirisan daun ketumbar
Air
Minyak untuk menumis

Cara memasak:
Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang kecil dan halia sehingga naik bau dan kekuningan. Masukkan sedikit air sekadar cukup untuk tenggelamkan 3/4 ikan. Masukkan sos ikan, tomato, daun ketumbar dan kismis. Biarkan mendidih. Setelah mendidih, masukkan ikan dan perlahankan api. Tutup periuk dan biarkan merenih sehingga ikan masak. Sesekali siramkan kuah ke atas ikan. Hidangkan. Selamat mencuba!

Masakan ikan cara begini betul-betul menaikkan selera. Sedap sungguh!
posted from Bloggeroid

Khamis, 6 Jun 2013

Selasih Pulang Ke Gagang?



Bukan ke sepatutnya sirih yang pulang ke gagang? Tapi selasih pula. Kenapa ya? Hari ni saya alihkan pokok selasih Thai saya ke pasu individu. Saya semai selasih ni beberapa minggu sebelum bersalin dan masih segar sampai sekarang walaupun ruang pertumbuhannya terhad. Saya dapat benihnya dari ayah saya. Rasanya pokok selasih ini dah tiga generasi tumbuh di rumah orang tua saya. Saya ambil benih dari kampung dan tanam di Putrajaya. Apa yang menariknya adalah ayah saya benih selasih ini dari taman herba Hospital Putrajaya. Benih ini diambil dari sana pada tahub 2009 iaitu ketika Ameer lahir. Jadi cicit selasih ni dah kembali ke Putrajaya hehehe.

Selasih Thai banyak khasiatnya. Melalui pembacaan saya, selasih membantu membuang angin di dalam perut dan merawat batuk. Ia juga dapat membantu menambah susu badan dan sebagi ubat kepada penyakit kulit tertentu. Selasih juga dipercayai boleh digunakan sebagai julap dan mengandungi vitamin B2 dan C, kalsium, zat besi dan serat. Saya suka daun selasih ini dimasak lemak bersama labu. Lepas ini bolehlah mencuba resepi lain pula.
posted from Bloggeroid

Resepi Berpantang : Sup Daging



Selagi belum mula berkebun, selagi itulah hanya resepi berpantang akan saya naikkan. Bolehlah dijadikan rujukan bagi sesiapa yang memerlukan atau mungkin juga untuk rujukan diri sendiri di masa hadapan. Semalam saya masak sup daging ringkas sahaja. Bagi yang mahu mencuba, boleh rujuk resepi di bawah.

Bahan rebusan:
Semangkuk daging dipotong kepingan
1 inci halia diketuk
2 ulas bawang putih diketuk
1 batang serai diketuk
1/2 biji bawang kuning Holang didadu besar
Sebatang kulit kayu manis
Sesudu teh ketumbar
Sesudu teh biji lada hitam
4 biji buah pelaga
4 kuntum bunga cengkih
Sekuntum bunga lawang

Bahan tumisan:
Sekeping halia dihiris memanjang
2 ulas bawang putih dihiris
2 ulas bawang kecil dimayang
Sesudu teh ketumbar

Bahan lain:
Lobak merah dipotong baji
Tomato di belah 4
Garam
Lada hitam ditumbuk
Hirisan daun bawang dan daun sup

Cara memasak:
Rebus bahan rebusan hingga daging empuk. Tumis bahan tumisan sehingga kekuningan dan masukkan ke dalam rebusan daging. Masukkan lobak dan masak sehingga lobak empuk. Masukkan tomato, daun sup dan daun bawang dan biarkan merenih seketika. Perasakan dengan lada hitam dan garam sebelum dihidangkan. Selamat mencuba!
posted from Bloggeroid

Rabu, 5 Jun 2013

Kejutan Dari Dalam Semak...



Agak-agak boleh nampak tak dua pokok cili merah kulai dalam gambar semak ni? Pagi tadi selepas buang sampah dalam tong sampah besar, sempatlah membelek pokok cili dua pokok di dalam kawasan kebun sejemput yang dah bersemak ni. Saya pun cabutlah sikit rumpai-rumpai yang ada di sekeliling pokok cili tu. Dalam pada itu, saya perasan pokok cili dah mula berbunga. Elok kalau saya baja nanti berbuahlah dengan elok. Belek punya belek, rupanya ada dua biji cili yang sedang membesar. Elok rupanya, tak cacat cela langsung. Teruja betul saya! Terus bersemangat nak berkebun semula. Tak sabarlah!!


posted from Bloggeroid

Resepi Berpantang : Kari Ikan Tenggiri Tanpa Santan Berhalba



Biasanya saya masak kari ikan letak santan. Biasa aje rasanya. Tapi bila terjumpa resepi kari ikan tanpa santan dalam Majalah Pa & Ma untuk menu berpantang, saya pun cubalah masak tengahari semalam. Saya tambahkan halba dalam masakan saya. Sedap betul kari ni. Tak malu sungguh saya ni. Masak sendiri, makan sendiri lepas tu puji sendiri pula. Hehehe. Inilah resepi kari ikan ini mengikut selera saya.

Bahan-bahan:
Sekeping ikan tenggiri
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
2 ulas bawang kecil
Seulas bawang putih
Sebatang kulit kayu manis
Sekuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
Setangkai daun kari
1 sudu teh halba
Asam jawa - saya guna 1 sudu teh pes asam jawa Adabi
2 sudu besar rempah kari ikan - dibancuh dengan sedikit air
Air
Garam
Minyak masak

Cara memasak:
Tumbuk/kisar halia, kunyit, bawang kecil dan bawang putih sehingga hancur. Tumis bahan kisar, bancuhan rempah kari dan rempah ratus lain sehingga naik bau bersama-sama daun kari. Setelah rempah naik minyak, masukkan air dan asam jawa. Setelah mendidih, masukkan ikan dan biarkan merenih sehingga ikan masak. Perasakan dengan garam. Biarkan merenih seketika dan hidangkan.

Sebagaimana kunyit dan halia, halba juga dapat membantu meningkatkan kualiti dan kuantiti susu ibu. Saya sukakan resepi ini. Sedap sungguh dan harum baunya. Saya masak lebih kari ini dan panaskannya untuk makan malam. Rasanya lebih enak setelah dipanaskan mungkin kerana rempahnya telah benar-benar mesra. Cubalah resepi enak ini.
posted from Bloggeroid

Selasa, 4 Jun 2013

Resepi Berpantang : Ikan Bawal Kukus Asam Jawa



Ini lauk makan tengahari semalam. Sampai hari ini teringat kesedapannya. Saya dapat resepi ini dari buku "Berpantang Secara Alami - Majalah Pa & Ma". Resepinya guna seekor ikan tapi saya masak separuh saja sebab makan seorang saja. Lain kali nak cuba lagi resepi ini dengan ikan lain pula. Rasanya kalau guna ikan siakap mesti sedap.

Bahan - bahan :
Ikan bawal dikelar sedikit
Dua keping halia dihiris
Sekeping kunyit hidup dihiris
Asam jawa - saya guna 1 sudu teh pes asam jawa Adabi
Lada hitam ditumbuk
Garam

Cara memasak :
Lumurkan kesemua bahan pada ikan dan kukus ikan sehingga masak. Hidangkan.

Senang tak?! Gabungan bau halia, asam jawa dan lada hitam memang menaikkan selera. Rasa masam asam jawa dan kepedasan dari lada hitam dan halia menambat hati sampai menjilat jari. Saya sarankan halia dan kunyit tu dihiris halus supaya kita dapat makan bahan-bahan tersebut. Halia dan kunyit adalah antara bahan masakan yang mampu membantu pemulihan badan selepas bersalin. Keduanya juga dikatakan boleh meningkatkan kualiti dan kuantiti susu ibu. Halia dapat merawat masalah kembung perut, mengeluarkan angin dalam usus selain membantu penghadaman makanan. Kunyit pula dikatakan boleh membersihkan dan mengecutkan rahim wanita.
posted from Bloggeroid

Misi Membaikpulih Tanaman Berpasu

Hari ini merupakan hari kedua Ameer dan Ahmad ke taska. Setelah 3 minggu berpantang, barulah dapat rehat sepuasnya bermula semalam. Sepatutnya 2 minggu pertama selepas kelahiran, ibu patut lebih banyak berehat untuk memulihkan badan dan luka bersalin. Tapi, atas sebab tak dapat dielakkan, ibu kenalah 3 orang anak jantan ibu walaupun baru bersalin. Saya tak kisah sebab rasanya badan rasa sihat. Cuma kadang-kadang rasa macam naik darah juga melihat anak-anak buat perkara tak kena dihati. Kalau setakat menyepahkan rumah, saya tak kisah. Tapi kalau dah memanjat, berlari-lari di dapur dan main suis elektrik memanglah naik darah ibu. Bahaya nak oi!

Pagi tadi masa keluar ke proch nak melambai anak-anak, sakit mata dan hati tengok rumpai bermaharajalela dalam pasu tanaman hiasan saya. Daun-daun pokok pun dah kuning dan tak bermaya. Walauphn tiap hari suami siram, tapi belum cukup untuk buat tanaman cantik. Saya mulalah mencabut rumpai, dari satu pasu sampailah hampir habis. Lepas tu sempat lagi mencantas sikit pokok yang dah carca marba bentuknya. Memang pokok-pokok ini perlu dibaja.

Saya sebenarnya baru 25 hari berpantang. Jadi, tak bolehlah melebih-lebih berkebun. Saya akan buat sikit-sikit dengan memperuntukkan 10 minit setiap hari untuk betulkan kebun. Kesihatan kena dijaga, keluar pagi-pagi dapatlah hirup udara pagi yang segar. Cahaya matahari pagi pun bagus untuk kesihatan.

Ini ada beberapa keping gambar tanaman hiasasan saya yang tak seberapa supaya saya boleh pantau perkembangan misi membaikpulih saya. Dari tempoh sebelum bersalin sehingga hari ini, rasanya sudah lebih 6 minggu tanaman ini tidak dijaga. Ini sajalah yang ada. Tidak boleh ditambah kerana kami akan berpindah dalam tempoh kurang dari 2 tahun. Tapi itupun kalau boleh ditahan nafsu membeli atau menanam pokok baru. Hehehe






posted from Bloggeroid

Isnin, 3 Jun 2013

Resepi Berpantang : Sup Ayam Berempah



Sebelum ini, kerapkali juga saya sediakan hidangan ini. Tak sangka pula resepi sup ayam ini turut dipaparkan dalam buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu terbitan Nonaroguy dan Utusan. Walaupun bahan-bahannya hampir 90% sama, namun penyediaannya berbeza. Beginilah cara saya sediakan Sup Ayam Berempah saya...

Bahan-bahan:
2 ketul ayam
Sekeping halia dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
2 ulas bawang kecil dihiris
Sebatang kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
4 kuntum bunga cengkih
Sekuntum bunga lawang
Sesudu teh lada hitam ditumbuk
Sesudu teh biji ketumbar
Sedikit lobak merah didadu
Hirisan daun bawang dan daun sup
Sesudu besar rempah kurma dicampur sedikit air
Air
Garam
Minyak masak

Cara memasak:
Panaskan minyak di dalam periuk dan tumis halia, bawang kecil, bawang putih dan kesemua rempah sehingga kekuningan. Masukkan rempah kurma dan kacau seketika. Masukkan ayam dan kacau seketika sehingga rempah sebati dengan isi ayam. Masukkan air dan biarkan mendidih. Masukkan lobak merah dan biarkan merenih sehingga lobak empuk. Perasakan dengan lada hitam dan garam. Masukkan daun sup dan daun bawang. Biarkan merenih seketika dan hidangkan.
posted from Bloggeroid

Resepi Berpantang : Sup Dua Lobak Bersuun



Saya jarang makan lobak putih. Satu, kerana suami saya tak makan lobak putih dan keduanya sebab saya lebih suka sayur berdaun hijau. Disebabkan sekarang saya berpantang dan menyusukan anak, maka saya pun sediakan sup ringkas ini. Lobak putih, lobak merah dan ubi bit dikatakan mempunyai keupayaan untuk meningkatkan pengeluaran susu berdasarkan kepada MOBI Motherhood International, sebuah organisasi sokongan penyusuan ibu. Lobak putih juga dikatakan mampu memperbaiki sistem penghadaman dan melawaskan kencing. Resepi sup lobak putih cara saya adalah seperti di bawah.

Bahan-bahan:
2 inci lobak putih dihiris
1 inci lobak merah dihiris
Seulas bawang merah dihiris
Seulas bawang putih dihiris
Hirisan cili merah
Sedikit ikan bilis dicincang kasar
Sedikit suun dan fucuk - direndam sehingga lembut
Garam
Lada sulah
Air
Minyak masak

Cara memasak :
Panaskan minyak masak dan tumis bawang merah, ikan bilis, bawang putih dan cili merah sehingga keperangan. Masukkan air dan masukkan lobak merah serta lobak putih. Biarkan merenih dan masukkan suun dan fucuk. Biarkan merenih seketika dan perasakan dengan lada sulah dan garam. Hidangkan.

Selamat mencuba. Berdasarkan pengalaman saya, pembuangan air besar juga menjadi mudah selepas memakan sup lobak ini. Tapi bergantung kepada penerimaan tubuh individu juga kot.
posted from Bloggeroid

Ahad, 2 Jun 2013

Resepi Berpantang : Bawal Stim Lada Hitam



Resepi masakan ini saya belajar dari mak saya waktu zaman masih bersekolah rasanya. Tapi waktu itu menggunakan ikan kembung. Kalau berpantang, elakkan makan ikan kembung kerana dipercayai boleh menyebabkan kegatalan. Saya tak pasti sejauh mana kesannya dan tak berani cuba-cuba makan buat masa sekarang. Ikan bawal juga boleh digantikan dengan ikan merah atau lain-lain jenis ikan yang sesuai. Saya juga pernah mencuba menggunakan resepi ini menggunakan ayam. Sedap juga namun sedikit berlemak kerana lemak ayam akan bercampur dengan jus ayam hasil kukusan. Resepi ini juga menghasilkan bau yang wangi campuran dari halia dan lada hitam. Cubalah resepi seperti di bawah.

Bahan-bahan:
Ikan bawal - seekor dan dikelar
Sesudu besar sos tiram
Sesudu teh lada hitam ditumbuk
Garam
Setengah inci halia dihiris
Seulas bawang putih dihiris
Sedikit hirisan bawang kuning Holland
Sedikit hirisan daun sup dan daun bawang

Cara memasak:
Gaulkan semua bahan dan lumurkan ikan.dengan bahan-bahan. Masukkan bahan-bahan ke dalam bekas untuk mengukus. Kukus ikan sehingga masak dan hidangkan.

Memandangkan saya masak untuk saya dan Ahmad sahaja, maka saya masak hanya separuh saja. Kalau masak seekor nanti tak habis membazir pula. Tapi, tak sangka pula Ahmad suka sampai merajuk ikan dah habis. Tak apalah Ahmad... nanti ibu masak lagi ya..
posted from Bloggeroid

Sabtu, 1 Jun 2013

Resepi Berpantang : Daging Rebus Asam



Asalnya niat di hati nak masak kari daging tengahari tadi. Selongkar punya selongkar, sekali rempah kari daging tak ada pula di dapur. Terpaksalah selongkar buku 'Berpantang Secara Alami - Majalah Pa & Ma' untuk cari resepi alternatif. Maka ternampak resepi mudah ini. Saya kongsikan resepinya tetapi saya dah ubah sedikit ikut rasa tekak.

Bahan-bahan:
Semangkuk daging yang dipotong kepingan
Setengah inci halia
Setengah inci lengkuas
2 ulas bawang putih
2 ulas bawang kecil
Sesudu teh ketumbar ditumbuk kasar
Sekeping asam keping
Garam
Air

Cara-cara:
Tumbuk halia, lengkuas, bawang putih dan bawang kecil hingga lumat. Kemudian, rebus daging bersama bahan-bahan yang ditumbuk bersama ketumbar sehingga daging empuk. Masukkan asam keping dan perasakan dengan garam. Biarkan merenih seketika sebelum dihidangkan.

Asam keping bagus untuk melancarkan sistem penghadaman serta membantu mengempiskan perut selepas bersalin. Hidangan ini tidak berlemak. Saya suka hidangan ini dimakan dengan nasi serta kicap berlada hitam. Memang membangkitkan selera. Cubalah!
posted from Bloggeroid

ads

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...